Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

13.6.08

Demo terbesar bantah harga minyak


Wartawan Malaysiakini | Jun 13, 08 11:34am
3.20 petang Polis memberitahu Malaysiakini, tiada tangkapan dalam perhimpunan tersebut dan keadaan kini terkawal.

Beberapa ratus penyokong pembangkang berhenti di depan ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut, dan kemudiannya bersurai di situ.

3.00 petang Sekumpulan penyokong pembangkang berarak di sepanjang Jalan Raja Laut, menuju ke arah ibu pejabat PAS. Mereka masih diketuai oleh ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

Lalulintas, yang melimpah ke tengah-tengah jalan tersebut, dikawal oleh Unit Amal PAS.

2.50 petang Pasukan polis, khususnya FRU, menuju ke arah kumpulan penunjuk perasaan yang berkumpul di atas simpang dekat Kompleks Pertama-Sogo.

Polis dalam keadaan berjaga-jaga di Jalan Dang Wangi.

2.45 petang Ketua angkatan muda PKR menyampaikan ucapan selepas ucapan ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Syed Azman Syed Nawawi.

Salahuddin menjanjikan satu perhimpunan yang lebih besar bagi membantah kenaikan harga minyak.

"Rakyat akan berhimpun (lagi) 5 Julai," katanya. "Pemimpin BN dah kaya raya, rakyat hidup papa. Marilah kita jatuhkan Umno dan BN."




Penyokong pembangkang melaungkan slogan "BN naik, minyak naik, BN turun, minyak turun."

2.37 petang Perarakan bantahan harga minyak berada di Kompleks Pertama-Sogo dan beberapa ratus duduk, berkumpul, di atas jalan.

Lalu lintas menuju simpang Jalan Tuanku Abdul Rahman-Jalan Dang Wangi terhenti.

2.30 petang Kumpulan penyokong pembangkang berada di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman, menuju Kompleks Pertama-Sogo, dipercayai untuk mengelak bertembung dengan polis.

Mereka melaungkan slogan "Hidup, hidup. Hidup rakyat" berkali-kali.

2.23 petang Kumpulan penyokong pembangkang berada di kawasan Chow Kit, dan mula bergerak sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Perarakan dipimpin ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

Mereka melaungkan slogan "Hidup, hidup. Hidup rakyat" berkali-kali.

2.11 petang Kira-kira 1,000 orang mula bergerak ke sepanjang Jalan Raja Alang, tidak meneruskan perjalanan seperti dijadualkan di Jalan Raja Abdullah susulan sekatan sekumpulan anggota polis FRU.

2.00 petang Solat selesai, ahli-ahli jemaah keluar masjid dengan slogan-slogan "turunkan harga minyak" dan mengecam perdana menteri.



1:45 tengahari Orang ramai sesak di dalam dan luar masjid, dijangkakan jumlah mereka kira-kira 3,000.

1.20 tengahari Imam Masjid Kampung Baru menasihatkan para jemaah supaya jangan berkumpul dalam kawasan masjid.

1.00 tengahari Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salehuddin Ayub yang juga ahli Parlimen Kubang Krian serta timbalannya, Nasaruddin Tantawi tiba untuk bersembahyang Jumaat di Majlis Kampung Baru.




Turun hadir ialah ahli Parlimen PAS bagi Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Syed Azman Syed Nawawi yang ahli jawatankuasa PAS pusat.

Sebelum ini, kira-kira 60 anggota polis, termasuk anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) sudah ditempatkan di depan Masjid Kampung Baru dan kawasan sekitarnya mulai jam 11.15 pagi ini ekoran rancangan Pemuda Pakatan Rakyat untuk mengadakan perarakan ke Menara Berkembar Petronas bagi membantah kenaikan harga minyak.

Dua buah trak kecil yang masing-masing membawa lapan anggota tiba kira-kira jam 11.15 pagi manakala sebuah lagi trak besar yang membawa kira-kira 15 anggota tiba di situ kira-kira lima minit kemudiannya.

Manakala empat lagi trak bersama kira-kira 30 anggota FRU tiba sejurus kemudiannya.

Turut kelihatan ialah sebuah trak meriam air yang ditempatkan di Jalan Raja Abdullah.

Pada kira-kira jam 12.40 tengahari, kira-kira 40 anggota polis kelihatan sedang bergerak dari Jalan Raja Alang ke Jalan Raja Abdullah.

Lagi anggota FRU kelihatan bergerak dengan trak ke Jalan Raja Alang.

Di dalam kawasan masjid, kelihatan sekumpulan 30 orang, termasuk tiga daripadanya memakai baju-T berwarna hijau bertulis Pakatan Rakyat.




Difahamkan perhimpunan dan perarakan hari ini dianjurkan oleh Pemuda Pakatan Rakyat.

Keadaan di sekitar masjid kelihatan seperti biasa. Walaupun terdapat ramai anggota polis di situ, gerai-gerai di tepi jalan dibuka seperti biasa.

Kira-kira 20 anggota polis mengawal di persimpangan Jalan Raja Abdullah/Raja Alang, tetapi orang ramai boleh lalulalang di situ menuju ke masjid.

Sementara tujuh trak FRU, serta sebuah trak meriam air telah ditempatkan di kawasan di belakang KLCC.

Manakala sepuluh lagi anggota polis kelihatan berkawal di pintu masuk utama KLCC.

Semalam, Ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata antara 1,500 hingga 2,000 anggota polis, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Rela akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghalang perarakan itu.

Katanya, anggota polis dari balai polis daerah Dang Wangi dan Sentul juga akan berkawal di sekitar kawasan tersebut.

Beliau juga melaporkan berkata, jika perlu, polis akan menutup beberapa jalan yang menghala ke kawasan (masjid), itu jika perlu," katanya.

Sabtu lalu, ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub mengumumkan acara perarakan sejauh lebih dua kilometer itu.

Sehubungan itu, polis telah memanggil setiausaha Pemuda PAS Sabki Yusoff dan ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad, untuk membincangkan perkara tersebut.

Angkatan Muda PKR (AMK) juga menyatakan kesediaannya menyertai perarakan tersebut kelmarin.

Perhimpunan ini dipercayai yang terbesar pernah dianjurkan oleh parti-parti pembangkang selepas pengumuman kenaikan harga minyak secara mendadak Rabu minggu lalu.

Malaysia Kini

Polis halang perarakan isu minyak

Jun 12, 08 4:17pm
kemaskini 6:51pm Polis mungkin menutup jalan menghala ke masjid Kampung Baru esok ekoran rancangan Pemuda Pakatan Rakyat mengadakan perarakan ke Menara Berkembar Petronas bagi membantah kenaikan harga minyak.

Ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata antara 1,500 hingga 2,000 anggota polis, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Rela akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghalang perarakan itu.

"Anggota polis dari balai polis daerah Dang Wangi dan Sentul juga akan berkawal di sekitar kawasan tersebut.

"Kita akan tutup beberapa jalan yang menghala ke kawasan (masjid), itu jika perlu," katanya, lapor Bernama.

Muhammad berkata pihak penganjur perhimpunan itu tidak memohon permit daripada ketua polis daerah dan hanya sekadar menghantar surat makluman sahaja.

"Menyertai perhimpunan tanpa permit adalah salah dan polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serius ke atas mereka," katanya kepada pemberita hari ini.

Sabtu lalu, ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub mengumumkan acara perarakan sejauh lebih dua kilometer itu.

Sehubungan itu, polis telah memanggil setiausaha Pemuda PAS Sabki Yusoff dan ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad, untuk membincangkan perkara tersebut.

Angkatan Muda PKR (AMK) juga menyatakan kesediaannya menyertai perarakan tersebut kelmarin.

Perhimpunan ini dipercayai yang terbesar pernah dianjurkan oleh parti-parti pembangkang selepas pengumuman kenaikan harga minyak secara mendadak Rabu lalu.

Dalam kenyataannya Selasa lalu, AMK menggesa semua ahli Pemuda Pakatan dari seluruh negara menghadirinya.

Sejak minggu lalu, beberapa demonstrasi kecil diadakan di beberapa lokasi seluruh negara, antaranya di Kuching, Ipoh, Sungai Petani, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Setiausaha AMK Zulfikar Ali Ariffin menganggarkan kira-kira 3,000 orang akan hadir esok bersama ketua-ketua pergerakan Pemuda Pakatan - Salahuddin Ayub, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan wakil Pemuda DAP.

Menurut Zulfikar, AMK juga meminta setiap negeri agar menghantar wakil bagi menyertai perhimpunan itu nanti.

"13 Jun adalah titik tolak untuk rakyat turun sama-sama pada 12 Julai nanti," kata Zulfikar.

Beliau berkata AMK meminta kerjasama polis dan memberi jaminan perarakan itu akan berlangsung secara aman.

Malaysia Kini

Tiada ulasan: