Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

2.4.08

Status PR lebih 10 tahun disemak

PUTRAJAYA 28 Mac – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyemak kembali pendekatan yang diguna pakai dalam dasar pemberian status penduduk tetap (PR) dan kerakyatan kepada warga asing yang tinggal di negara ini melebihi 10 tahun.

Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, langkah itu perlu kerana didapati kira-kira 200,000 pekerja asing yang tinggal di negara ini dalam tempoh tersebut cuba memohon mendapatkan status kerakyatan dan PR.

Sedangkan, tegas beliau, bekerja dalam tempoh berkenaan bukan bermakna mereka berhak menjadi penduduk negara ini.

‘‘Ia adalah satu angka yang besar dan mereka tidak boleh menganggap bila tinggal dalam negara kita selama itu seolah-olah mereka boleh mohon PR atau menjadi rakyat negara ini.

‘‘Soal kita nak beri PR atau kerakyatan adalah soal lain dan pengambilan pekerja asing adalah untuk memenuhi keperluan ekonomi dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KDN, Datuk Raja Azhar Raja Abdul Manap.

Mengikut peraturan, pekerja asing tanpa kemahiran hanya dibenarkan bekerja sehingga maksimum lima tahun, manakala pekerja asing berkemahiran sehingga 10 tahun.

Setakat ini, Malaysia mempunyai seramai 2.1 juta pekerja asing yang sah.

Pada masa sama, Syed Hamid berkata, beliau juga akan menyemak kembali pemberian kemudahan Visa Ketibaan (VOA) kepada pelancong asing yang tiba di negara ini.

Ini kerana, kata beliau, kira-kira 30 peratus pelancong asing yang menggunakan VOA itu didapati tinggal melebihi had tempoh di negara ini.

‘‘Ia memberi banyak masalah kepada soal penguatkuasaan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, proses pencantuman KDN dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) tidak akan membabitkan soal pemberhentian kakitangan sedia ada.

Malah, katanya, proses pencantuman dua kementerian itu tidak akan menjejaskan perkhidmatan kedua- dua kementerian itu kepada orang ramai.

‘‘Dari segi dasar sudah selesai dan kita mungkin mengambil masa untuk menggabungkan kakitangan kita dan menyelaraskan fungsi kedua-dua kementerian berkenaan untuk menjadi satu identiti.

‘‘Saya berikan jangka masa tiga bulan untuk kita selesaikannya tetapi mungkin kita boleh lakukan lebih cepat dari itu,” katanya.

Utusan Malaysia