Posted on Thursday, April 17 @ 22:19:36 MYT by SongkokPutih Oleh hembusan
"Dokumentari selama 43 minit tentang sehari dalam kehidupan Tuan Guru Nik Aziz ini sebenarnya telah wujud semenjak tahun 2002 lagi. Namun sengaja dihebahkan sekali lagi di TKO agar lebih ramai orang mengetahui tentang kisah Tuan Guru dan pentadbirannya di Kelantan.http://www.youtube.com/watch?v=lsIZaezZGJ0
Nik Aziz berlakon? Tanya beberapa orang kawan ketika saya bercerita yang saya sedang membuat "Filem Tok Guru".
Tidak.
Nik Aziz tak berlakon. Kami merakamkan kehidupan hariannya yang real. Yang betul-betul dilakukannya dalam hidupnya. Kami mengikuti pergerakannya. Kami menunggu dia melakukan sesuatu dan kami shoot. Atau ada sesuatu yang terjadi waktu kami mengikut dia, maka kami pun shoot.
Misalnya Nik Aziz keluar dari rumahnya untuk solat subuh sejurus selepas azan selesai dilaungkan di masjid. Biasanya sebelum pukul 6.00 pagi. Orang yang selalu sembahyang jemaah di masjid Pulau Melaka tahu "jadual" harian Nik Aziz ini. Maka filem yang mengisahkan "Seminggu Dalam Kehidupan Tok Guru" mesti rakam peristiwa atau pergerakan ini. Ini peristiwa penting.
Adegan ini mudah saja. Nik Aziz membuka pintu rumahnya, melangkah keluar, tutup pintu, berjalan ke tangga, pakai kasut, dan melangkah menuju ke pintu khas masjid di depan rumahnya.
Seperti telah saya ceritakan dalam satu tulisan sebelum ini, saya membatalkan rancangan untuk merakamkan peristiwa Tok Guru keluar rumah di suatu subuh, kerana saya belum memaklumkan kepada dia yang kami akan membuat rakaman itu, dan saya bimbang dia terkejut melihat lampu terang sebaik saja dia membuka pintu, yang mungkin mengakibatkan suasana damai dan syahdunya di awal subuh itu sedikit terganggu. Bukan bimbang dia tidak setuju kami shoot dia keluar rumah awal-awal subuh itu tanpa bersedia untuk dishoot.
Elok saya jelaskan beberapa perkara di sini. Sepanjang kami membuat penggambaran yang memfokus kepada dia, Nik Aziz tidak pernah membuat apa-apa persediaan untuk dirinya dishoot. Dan kami pun tidak pernah membincangkan perkara tersebut. Kami hanya memberitahu dia sekali saja di awal sesi, dan selepas itu kami akan terus saja membuat shooting tanpa memberitahu dia lagi selama beberapa hari sesi tersebut. Pernah sampai 12 hari.
Kami mendapatkan maklumat mengenai jadual pergerakannya dari setiausahanya atau pegawai peribadinya, maka kami pun ikut dan shoot.
Kami tak pernah berbincang dengan Nik Aziz mengenai apa yang perlu dibuatnya untuk penggambaran yang akan kami lakukan, kecuali dalam satu peristiwa (yang akan saya ceritakan nanti).
Misalnya adegan dia keluar rumah untuk solat subuh. Kami boleh bincang dengannya untuk penggambaran adegan tersebut, supaya tidaklah perlu kami bertolak ke Pulau Melaka seawal pukul 5.00 pagi beberapa kali, semata-mata hendak menangkap satu detik dimana pintu depan rumah Menteri Besar itu terbuka, dan beliau melangkah keluar untuk berjalan ke masjid.
Misalnya kami boleh berpakat dengan dia supaya pintu itu dibukanya tepat pada pukul 5.55. Maka bolehlah kami membuat persiapan lampu dan sebagainya, dan menunggu detik 5.55. Dan kalau terjadi yang tidak memuaskan, maka boleh diminta supaya beliau mengulanginya sekali lagi.
Dan pada pagi yang saya batalkan penggambaran adegan itu saya boleh saja tidak membatalkannya, dengan meminta beliau bekerjasama untuk naik sekali lagi ke dalam rumahnya, dan buka semula pintu itu dan melangkah keluar sekali lagi, khas untuk penggambaran kami.
Tetapi tidak. Kami tak buat begitu. Kami tak mahu ganggu perjalanan kehidupan Tok Guru itu. Kami hanya hendak merakamkan 'apa' yang sebenarnya dalam kehidupan Tok Guru. Kalau kami terpaksa datang beberapa kali pada pukul 5.00 pagi, kami akan lakukannya.
Satu contoh yang agak klasik ialah adegan Tok Guru naik perahu (bot) menyeberang Sungai Dabong pada petang Isnin 22 Oktober 2001. Pagi itu Menteri Besar merasmikan pelancaran Bulan Membaca dan Draf Pembangunan Daerah Jeli, di bandar Jeli. Kemudian beliau melawat kolam air panas di pinggir lebuhraya Timur-Barat. Beliau dijadualkan menyeberangi Sungai Dabong selepas asar, untuk satu majlis perasmian Pasti pada malamnya.
Oleh kerana kenderaan tidak boleh ikut menyeberang, dan masa pun masih panjang, kami fikir lebih baiklah kami pergi ke Dabong ikut jalan ke Gua Musang. Nak ikut menyeberang sungai bersama Menteri Besar, nanti kami tidak ada kenderaan di Dabong, dan tentulah akan menyusahkan pergerakan kami. Maka kami pun 'berundur ke belakang', balik ke Machang, pergi ke Kuala Kerai dan terus menghala ke Gua Musang, kerana sebelum sampai ke Gua Musang terdapat simpang ke Dabong.
Direngkaskan cerita, kami sampai ke Dabong dan terus mencari pengkalan perahu. Sebaik saja kami sampai di depan pengkalan, kelihatan Tok Guru sedang hendak naik Pajero. Ertinya kami telah terlepas detik-detik yang kami kejar sejauh hampir 200 kilometer untuk mengambil gambar Tok Guru naik perahu menyeberang sungai itu. Kami melihat saja Pajero yang membawa Tok Guru melintas di depan kami.
Saya pandang Nasir (Nasir Jani - pengarah filem), Nasir pandang saya. "Terpaksalah kita tunggu Tok Guru balik lepas ceramah malam nanti," kata Nasir.
Dia pun mula memeriksa peralatan lampu dan kabel yang ada dalam van, sama ada mencukupi atau tidak untuk mengambil gambar Tok Guru menyeberang sungai di waktu tengah malam. Lebar sungai itu agaknya ada 100 meter. Peralatan lampu yang ada hanya dua 2K, satu red head dan satu sun gun.
Saya pula diam-diam berfikir: bagaimana kalau saya minta Tok Guru menyeberang sekali lagi? Maksudnya dia terpaksalah menyeberang balik dulu ke seberang sana, dan kemudian menyeberang semula ke seberang sini, khas untuk penggambaran kami. Ertinya dia perlu 'berlakon'lah sekejap. Bagaimana? Saya bertanya kepada fikiran saya sendiri. Hanya itu sahaja caranya. Kami berkejar datang ke sini pun hanya untuk ambil shot itu sahaja. Sekarang shot itu telah terlepas. Tak akan ada lagi shot Tok Guru naik perahu menyeberang sungai.
Shot Tok Guru naik perahu ini penting. Sangat penting untuk filem yang sedang kami siapkan. Suasananya berbeza daripada shot-shot lain. Ada sedikit kelainan. Sekurang-kurangnya dia memberi sedikit kepelbagaian kepada aksi Tok Guru. Ini sangat penting buat kami. Tapi ia telah terlepas. Maka apa salahnya untuk yang ini kami meminta Tok Guru 'berlakon' sekejap! Bukannya berlakon apa - hanya mengulangi apa yang telah dibuatnya sekejap tadi sahaja. Macam-macamana pun tak apa asalkan Tok Guru naik perahu menyeberang Sungai Dabong. Itu saja.
Patutkah atau tidak saya meminta dia mengulangi aksi menyeberang sungai itu sekali lagi! Saya berfikir seorang diri diam-diam.
Bukannya lama. Ia tak akan mengambil masa lebih daripada 20 minit. Dan setahu saya Tok Guru pun tak ada apa-apa program penting petang itu. Kata mereka, dia hanya akan berehat di Rest House. Saya percaya kalau saya minta, Tok Guru akan bersetuju untuk bekerjasama. Tetapi saya sendiri berasa sangat berat untuk meminta demikian.
Selama ini Tok Guru begitu sekali memberikan kerjasama dan understanding kepada kami. Tidak pernah walau sekali pun dia menegur kerja-kerja dan cara kami menjalankan kerja. Tidak pernah sekali pun dia mengganggu kerja kami. Dia tahu kami membuat penggambaran (kadang-kadang ada juga yang dia tak tahu) dan dia melangsungkan pergerakannya seolah-olah kami tidak ada di situ, atau seolah-olah dia tidak tahu kami sedang merakamkan pergerakannya. Ini sungguh fantastik.
Inilah kerjasama yang paling berharga diberikannya kepada kami. Kalau itu hendak dikatakan dia 'berlakon', maka itulah dia. Tetapi tak mungkin itu boleh dikatakan berlakon, kerana kalau kami tak ada di situ pun begitulah juga pergerakannya ('lakonan'nya).
Kadang-kadang boleh terjadi sesuatu yang betul-betul di luar dugaan. Kita tak akan mempercayainya kalau kita sendiri tidak tahu proses sebenar yang berlaku. Dan inilah yang berlaku pada satu shot yang diambil dalam bilik pejabat menteri besar di Kota Darulnaim, pada suatu pagi di bulan Oktober 2001.
Pagi itu kami hendak buat penggambaran Tok Guru di pejabat. Bagaimana rupa pejabatnya, bagaimana dia apabila di pejabat, bagaimana rakyat datang berjumpa dengannya dan seterusnya. Kami telah maklumkan perkara ini kepadanya, melalui setiausaha politiknya Annual Bakri, dan kami telah diberi kebenaran. Maka kami pun hadir di situ tanpa menimbulkan apa-apa gangguan kepada Tok Guru atau kepada perjalanan pergerakannya yang biasa, dan juga kepada mereka yang menjadi tetamunya. Tok Guru pun seperti biasa, seperti kalau kami tidak ada di situ.
Nasir pun seperti biasa selaku pengarah filem (dokumentari) ini. Dalam senyap mempersiapkan lampu dan mencari sudut kamera. Jurukamera (Mimi) pun menjalankan kerjanya seperti biasa. Membuat pergerakan kamera dari kiri ke kanan, merakamkan gambar-gambar yang menghiasi di belakang tempat duduk menteri besar langsung sampai kepada Tok Guru dan langsung lagi hingga nampak Annual Bakri sedang berkata sesuatu kepada Tok Guru, dan sebaik sahaja kamera berhenti di situ Annual Bakri pun bangun dan berjalan keluar (keluar frame), lalu kamera zoom-in kepada Tok Guru.
Semuanya dalam satu shot yang terjadi secara tak dirancang. Maksudnya kami tidak merancang supaya Annual Bakri bangun pada waktu itu dan berjalan keluar frame. Tetapi sesiapa yang melihat shot ini pasti akan mengatakan ia adalah shot yang dirancang. Hakikatnya ia terjadi secara kebetulan. Saya sendiri pun seperti tidak percaya, hingga saya bertanya kepada Nasir betulkah dia tidak merancangnya. Demikianlah, ia terjadi.
Balik kepada cerita menyeberang sungai tadi. Setelah berfikir-fikir sendiri akhirnya saya pun membuat keputusan sendiri: Tunggu saja Tok Guru menyeberang balik selepas ceramah tengah malam nanti.
Memang tidak sama, menyeberang sungai pukul 5.00 petang dengan pukul 12.00 malam. Banyak bezanya. Yang satu terang, yang satu gelap. Yang satu boleh nampak dengan jelas Tok Guru di dalam bot yang sedang menyeberang sungai; yang satu lagi belum tentu boleh nampak sungai Dabong yang diseberangi oleh Tok Guru itu.
Malam itu selepas maghrib berikhtiarlah kami memasang lampu untuk menerangi sungai yang selebar 100 meter itu. Kabel yang kami bawa tak cukup panjang, kami pinjam kabel dari masjid. Di seberang sana tak ada sumber elektrik, terpaksa kami minta kerjasama rumah yang berhampiran untuk mengambil sumber elektrik dari rumahnya. Kemudian kami meminta pula kerjasama abang perahu, supaya membawa krew kami mengekori bot polis yang akan membawa Menteri Besar tengah malam nanti, dengan perahunya.
Apabila tiba waktu, ketika Tok Guru Menteri Besar hendak naik bot (bot polis), perahu yang sepatutnya akan membawa krew kami telahpun penuh dinaiki penumpang yang pulang dari ceramah tadi. Tok Guru sudahpun naik bot. Prinsip kami: tidak mengganggu perjalanannya. Maka tak mungkin kami meminta dia tunggu sekejap sementara kami mengatur supaya krew kami dapat naik perahu yang akan mengekori botnya. Maka Nasir terpaksa buat keputusan cepat: Jurukamera naik bot Tok Guru, bersama seorang jurulampu.
Itu saja yang dapat dibuat. Ikhtiar kami sepanjang malam tadi untuk menerangi Sungai Dabong bagi menampakkan bot Tok Guru menyeberang sungai itu, nampaknya tak dapatlah digunapakai. Maka terpulanglah kepada kreativiti jurukamera (Roslan) bagaimana dia hendak menunjukkan Tok Guru di dalam bot yang sedang menyeberang sungai; sementara dia sendiri pun berada di dalam bot kecil itu, di depan sekali, depan Tok Guru, manakala jurulampu pula berada di bahagian belakang bot. Pandai-pandailah Lan!
Itulah dia - adegan Tok Guru menyeberang sungai lewat tengah malam, pulang dari berceramah di Dabong. Adegan yang tidak dirancang. Ia dibuat kerana kami terlepas adegan yang kami harap-harapkan, dan kami tak mahu mengganggu perjalanan Tok Guru.
Demikianlah, kami tidak pernah berbincang dengan Tok Guru meminta dia supaya berbuat begini atau begitu, kecuali dalam satu peristiwa, iaitu peristiwa yang tidak melibatkan orang lain kecuali dia dan kami. Peristiwanya ialah Tok Guru menembak dan berkebun. Ada dua shot yang Tok Guru diminta 'berlakon'. Pertama, shot dia menghalakan muncung senapangnya ke arah kita (kamera). Ini merupakan permintaan jurukamera (Roslan) sendiri.
Manakala shot yang satu lagi ialah Tok Guru menebas belukar dengan menghayunkan parangnya di atas kamera. Shot ini Nasir yang mahu. Agaknya dia teringin hendak merasa jadi pengarah kepada Tok Guru. Dia menunjukkan cara dan gaya menghayun parang seperti yang dikehendakinya, lalu meminta Tok Guru supaya beraksi demikian apabila dia berkata: "Action!"
Memang Tok Guru memberikan kerjasama yang cukup baik sekali. Fantastik! Terima kasih Tok Guru!
http://detik.daily.tripod.com/feb02/12feb_3.htm