Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

12.2.14

Taib jadi ketua menteri sudahkan kebal...

Abang Ahmad Kardee Masagus

Saya membaca laporan berita yang dimuatkan di laman web Malaysiakini berkenaan dengan kedudukan “bakal bekas ketua menteri Sarawak” oleh Prof Abdul Aziz Bari.

Saya tidak bercadang untuk menolak pandangan Aziz dari sudut undang-undang. Saya sebagai seorang peguam bersetuju sepenuhnya dengan apa yang telah beliau katakan dalam laporan tersebut.

Cumanya saya ingin memberi sisi pandang yang berbeza dari sudut realiti, iaitu seolah-oleh dengan pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) atau Yang Di-Pertua Negeri merupakan lesen besar untuk menutup segala aduan kes rasuah, skandal atau salah guna kuasa oleh banyak pihak selama ini.

Sebagaimana kenyataan Pemuda PAS sebelum ini, yang mengambil contoh kes Tan Sri Khalil Yaakob (bekas menteri besar Pahang) bahawa beliau dilaporkan mempunyai tuduhan dan aduan rasuah sebelumnya namun segalanya lenyap sama sekali setelah beliau dilantik menjadi Tuan Yang Dipertua Negeri Melaka.

Walaupun diakui terdapat peruntukan atau prosiding undang-undang di mahkamah, TYT boleh didakwa di mahkamah khas yang dibentuk bawah Artikel 182 Perlembagaan Persekutuan.

Namun sayang seribu kali sayang, praktikalnya tidak berlaku bila mana melibatkan pemimpin yang telah lama mentadbir sesebuah negeri.

Berbalik kepada cadangan pelantikan TYT yang melibatkan Pehin Seri Abdul Taib Mahmud, satu perkara yang harus kita sedari, ketika masih menjawat jawatan ketua menteri, beliau terlalu kebal untuk disiasat oleh agensi yang berkenaan.

Sehinggakan kita dimaklumkan bahawa terdapatnya peristiwa pegawai penyiasat SPRM gagal untuk melengkapkan laporan disebabkan oleh halangan untuk mendapatkan keterangan beliau.

Siasatan bakal jadi sejarah

Inikan pula, setelah dilantik menjadi TYT, satu jawatan yang cukup suci dan tertinggi di negeri Sarawak, sudah pasti kertas siasatan itu akan menjadi bahan sejarah di bilik fail agensi terbabit.

Justeru itu, pada pandangan saya, dalam soal pelantikan TYT Sarawak ini, Abdul Taib mestilah berjiwa besar dan menghormati peranan agensi-agensi kerajaan terbabit.

Berilah kerjasama dan bantuan yang baik demi membersihkan nama dan peribadi Pehin Seri sebagai seorang pemimpin yang disanjung tinggi oleh masyarakat di Sarawak.

Sebagai anak Sarawak, saya menyeru kepada Abdul Taib, jika benar segala tuduhan yang dilemparkan tidak berasas, sudilah kiranya Pehin Seri mengisytiharkan harta yang ada.

Jika tidak mampu untuk mengisytihar harta yang ada di luar negara, memadailah dengan harta yang ada di Sarawak sahaja.

Ayuh Pehin Seri, bantu kami anak muda Sarawak untuk menafikan wujudnya kisah dongeng seorang sultan atau rajah bernama Taib.

Kami percaya Pehin Sri mampu mengubahnya.

Nota: Mohon ihsan Pehin Sri sebelum berundur, kotakan Semangat "Sarawak untuk orang Sarawak" agar royalti minyak dinaikkan dari 5 peratus sekarang kepada 20 peratus.

Dengan hasil royalti ini sudah tentunya dapat menjana pembangunan yang lebih pesat kepada Sarawak demi kesejahteraan rakyat Sarawak.


ABANG AHMAD KARDEE ABANG MASAGUS pengerusi Jawatankuasa Pemuda PAS Anak Sarawak dan seorang peguam.

Tiada ulasan: