9.1.14
'Bapa Tuhan Allah' berkumandang di gereja Klang
Bantahan oleh sekumpulan NGO Islam di padang berhampiran tidak menghalang penganut Kristian mengalunkan puji-pujian kepada 'Allah' dalam satu upacara di sebuah gereja di Klang hari ini.
Kalimah 'Allah' itu berkumandang di gereja Our Lady of Lourdes dalam bentuk lagu pujian (hymn) dan doa upacara keagamaan (mass) menggunakan bahasa Melayu.
Kira-kira 200 orang yang hadir itu antara lainnya mengulangi pujian "Bapa Tuhan Allah" dan "Tuhan kami yang kudus, Allah" sekurang-kurangnya sebanyak empat kali dalam nyanyian lagu dan juga doa sebelum ucapan utama.
Kalimah 'Allah' yang digunakan itu merujuk kepada konsep triniti dalam kepercayaan Kristian.
Upacara diketuai paderi Michael Chua itu berlangsung ketika kira-kira 50 orang penganut Islam berhimpun sebagai tanda solidariti di luar gereja.
Michael dalam ucapannya mengucapkan penghargaan kepada individu yang hadir terima kasih memberi sokongan dan juga buat para anggota keselamatan yang menjaga keselamatan mereka.
Beliau juga berharap agar masyarakat Kristian dapat menjalankan tanggungjawab agama mereka tanpa gangguan.
"Ktia terus berdoa supaya situasi aman damai dapat berterusan di Malaysia.
Kehadiran berkurangan
"Kita dapat saling hormat menghormati dan umat Kristian ada kebebasan guna bahasa mereka sendiri untuk menyembah Tuhan," kata beliau dalam ucapannya hari ini.
Chua ketika ditemui pemberita selepas itu berkata, kehadiran ke upacara dalam bahasa Melayu hari ini berkurangan berbanding kehadiran untuk upacara dalam bahasa Inggeris dan Tamil.
"Biasanya ada kira-kira 300 (hadirin) tapi hari ini ada lebih kurang 200 sahaja," kata beliau ketika ditemui di luar gereja.
Chua berkata, mungkin ramai hadirin memilih untuk pulang lebih awal atau tidak langsung tidak menghadiri acara tersebut disebabkan ancaman kumpulan yang dikatakan akan mengadakan bantahan di hadapan gereja mereka.
Katanya, beliau telah membuat laporan polis berhubung rancangan untuk mengadakan perhimpunan tersebut.
Satu gabungan NGO yang rapat dengan Umno Selangor pada hari Khamis lalu mengumumkan rancangan untuk mengadakan protes dan menghantar nota bantahan kepada paderi Lawrence Andrew.
Ia ekoran pendirian Andrew yang didakwa mencabar kuasa Sultan Selangor dan berkeras mahu orang Kristian dibenarkan mengguna nama 'Allah'.
Umno Selangor semalam mengeluarkan arahan kepada anggotanya untuk tidak menghadiri perhimpunan di gereja berkenaan.
Bagaimanapun, sesetengah anggota dan pemimpin Umno Selangor tetap muncul dalam perhimpunan anjuran NGO yang dikenali sebagai Sekretariat Solidariti Muslim Klang, di satu padang kira-kira 1km dari gereja tersebut hari ini.
Fbi Ibam · Top Commenter
Pihak gereja dgn bangga berdoa dengan menggunakan nama Allah mengikut fahaman agamanya dan orang Melayu masih bercakaran mengenainya. Tiitah sultan hanya termaktub pada istiadat Melayu/Islam sahaja tanpa meliputi agama lain. Jika titah sultan tidak menjadi undang-undang maka titah sultan boleh disanggah dan diingkari.
Di mana kita meletakkan kerajaan beraja dan sultan yangmampu menjaga kesucian Islam? Apakah perlembagaan Malaysia tidak mampu menjaga kesucian Islam sehingga kita kena perlu membabitkan sultan bagi menjaga kesuciannya?
Hanya penganut Islam dianggap ektrimis sehingga wujudnya kumpulan yang dilabel sebagai pengganas seperti al-Qeada, JI dan pelbagai ajaran sesat. Bagaimana pula penganut agama lain adakah mereka ini tidak sesat mengikut kaca mata agama mereka? Berapa ramai umat Islam di negara ini disumbat ke penjara di atas kesalahan agama dan pernahkah kita mendengar dari agama lain yang disumbat ke penjara atau menjadi mangsa tahanan ISA atas kesalahan agama?
Pernahkah ada ahli parlimen yang mengusulkan pindaan atau peruntukkan undang-undang yang mengenakan hukuman keras yang membawa hukuman mati ke atas sesiapa yang didapati bersalah kerana menyebarkan agama bukan Islam kepada orang Islam? Pernahkah kita mendengar terdapat pertuduhan di mahkamah kepada mana-mana pihak yang menyebarkan agama bukan Islam kepada orang Islam?
Sepatutnya kerajaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan istimewa mengikut perlembagaan perlu sentiasa menyebarkan dan menerangkan siapa itu Allah mengikut pandangan Islam. Ya.. bagi sesetengah pihak ada yang merestui agama lain dibolehkan menggunakan nama Allah selaras dengan nama Allah itu hak milik semua manusia dan tidak terbatas kepada umat Islam sahaja walaupun dengan kefahaman yang berbeza. Mereka juga menggunakan nas bahawa agama mereka lahir sebelum agama Islam. Bagi kita agama Nabi Muhammad s.a.w nabi yang terakhir petunjuk sekelian alam.
Isu agama adalah sesuatu yang amat kompleks sehingga jabatan agama Islam sendiri tidak dapat mengawal ajaran sesat di kalangan penganut agama Islam. Itulah sebenarnya masalah di dalam peruntukkan undang-undang agama kita sendiri yang begitu lemah di dalam menangani masalah murtad dan penyebaran agama lain kepada penganut agama Islam. Jesteru dengan itu saya merayu kepada semua sarjana Islam memikirkan bagaimana untuk memperkasakan agama Allah ini selaras dengan kestimewaan Islam dalam perlembagaan.
Kita perlu membenteras penyebaran dan bukan hanya terpekik terlolong untuk menjaga nama Allah sedangkan kita sendiri sedar tindakkan kita hanya membuang masa. Kita masih ada kuasa politik tidak kira di dalam BN atau PR untuk menjaga agama yang suci ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan