Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

9.1.14

Harussani, siapa itu kerajaan?



Ada kritikan yang bersifat ad rem (to the point) yang menyanggah pendapat Tan Sri Harussani Zakaria terhadap perhimpunan TURUN, yang dikatakan sebagai bughah (pemberontak) dan ‘halal darah’.

Selaksa kritikan dihamburkan terhadap mufti Perak itu.

Tetapi ada juga kritikan yang bersifat ad hominem (to the man) yang bertujuan untuk menjatuhkan keperibadian beliau. Saya kesal dan bersimpati terhadap beliau dalam perkara ini dan ia tidak sepatutnya terjadi.

Namun begitu Harussani masih tekal mempertahankan pendapatnya.

Kapasiti Harussani sebagai seorang mufti juga membuatkan orang awam keliru bahawa hukum bughah itu adalah bertaraf fatwa.

Tetapi sefaham saya, ia bukannya fatwa dan sekadar pendapat peribadi beliau. Ini kerana sesuatu fatwa mestilah proses istinbat yang teliti dan bukan sekadar pendapat melulu yang berdasarkan berita di televisyen atau naskah suratkhabar.

Namun begitu, saya melihat Harussani juga keliru dengan pendapatnya tentang bughah.

Pertamanya ialah tentang tindakan yang sebagaimana yang dikatakan sebagai bughah?

Apakah mereka yang berhimpun aman tanpa senjata itu boleh dikatakan sebagai berbahaya? Apakah mereka yang berhimpun itu menentang kesemua undang-undang negara? Perkara ini telah banyak dibincangkan oleh mereka yang telah terlebih dahulu menegur pendapat Harussani.

Antara kitab klasik & realiti semasa

Apa yang ingin saya bincangkan di sini yakni isu kedua, ialah alasan atau sebab musabab Harussani mengeluarkan pendapat bughah. Ini kerana menurut beliau himpunan tersebut bertujuan
menggulingkan kerajaan.

Persoalan utama yang saya kira perlu diselesaikan dalam perkara ini ialah bahawa siapa itu kerajaan?

Dalam menentukan letak duduk isu ini, para agamawan perlu membandingkan dan menyesuaikan maksud kerajaan yang dinyatakan di dalam kitab-kitab klasik Islam dengan kerajaan yang wujud pada hari ini.

Segala apa yang tertulis di dalam kitab-kitab klasik Islam tidak boleh diambil secara bulat-bulat kerana suasana politik telah berubah. Jika pada zaman dahulu sosok khalifah dan para menterinya diiktiraf sebagai kerajaan, namun sesuaikah pentafsiran itu terhadap bentuk kerajaan sekarang?

Apakah perdana menteri dan kabinetnya layak dikatakan sebagai kerajaan secara keseluruhannya?
Oleh kerana sistem pemerintahan Malaysia berasaskan sistem parlimen ala Westminster, maka perdana menteri cenderung dianggap sebagai ketua kerajaan manakala Yang Di-Pertuan Agong adalah ketua negara.

Tetapi sebenarnya dari sudut perundangan, istilah ketua kerajaan terhadap perdana menteri cuma bersifat de facto.

Jika tidak silap pada pengetahuan saya, gelaran perdana menteri sebagai ketua kerajaan tidak pernah dicatatkan secara rasmi di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia cuma persetujuan berbentuk konvensyen sahaja.

Yang dicatatkan cuma kedudukan perdana menteri sebagai ketua jemaah menteri atau kabinet. Sekadar itu sahaja.

Kerajaan Britain, pentadbiran Amerika

Kedudukan Agong sebagai ketua negara secara de jure tetap menunjukkan bahawa baginda adalah ketua kerajaan yang sebenar-benarnya.

Oleh kerana itu juga kerajaan yang memerintah dinamakan sebagai – Kerajaan Seri Paduka Baginda, yakni kerajaan Agong. Maka taat-setia atau baiah rakyat tetap tertumpah kepada Agong dan bukannya perdana menteri.

Cuma dalam urusan kerajaan, Agong bertindak atas nasihat perdana menteri dan pengaruh perdana menteri adalah amat besar. Tetapi Agong tetap mempunyai kuasa-kuasa tertentu yang telah diperuntukkan.

Pembahagian komponen di dalam Kerajaan Persekutuan Malaysia boleh dirujuk melalui Perlembagaan Persekutuan pada Bahagian IV.

Bawah prinsip pembahagian kuasa, maka Kerajaan Malaysia boleh ditafsirkan sebagai terdiri daripada komponen berikut;

1. Ketua utama negara (Agong).
2. Majlis Raja-raja.
3. Badan Eksekutif (perdana menteri dan kabinetnya).
4. Badan Perundangan Persekutuan (Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara).
5. Tatacara Perundangan (Kehakiman atau Perundangan).

Oleh kerana sistem politik Malaysia bersifat British-centric rakyat sering mentafsirkan badan eksekutif sebagai kerajaan walhal badan eksekutif adalah cuma sebahagian daripada komponen kerajaan.

Badan eksekutif di England dan Britain dipanggil sebagai government disebabkan istilah governance. Ini kerana badan eksekutiflah yang mengurus tadbir negara.

Di Amerika Syarikat pula, perbezaannya lebih jelas. Badan dksekutif dinamakan sebagai administration (pentadbiran) manakala istilah kerajaan pula dirujuk terhadap kesemua badan yang berperanan dalam pemerintahan negara, termasuklah badan eksekutif dan badan perundangan atau kehakiman.

Tak tentang Agong

Maka saya tetap percaya bahawa peserta ‘himpunan TURUN’ pada tempoh hari bukan bertujuan untuk menggulingkan Kerajaan Malaysia atau mana-mana pihak.

Tetapi sekalipun mereka ingin menggulingkan kerajaan, maka siapa yang mereka maksudkan?
Maka persoalan saya terhadap Harussani:

Apakah menjatuhkan badan eksekutif yakni perdana menteri dan menteri kabinetnya adalah sama seperti maksud bughah seperti yang tercatat di dalam kitab-kitab klasik Islam?

Mereka tidak menentang Agong, Majlis Raja-raja, badan perundangan persekutuan dan badan
kehakiman. Mereka tidak menentang kerajaan secara keseluruhannya dalam erti kata yang sebenar.

Jika menentang badan eksekutif disamakan dengan menentang kerajaan dan natijahnya perlakuan itu ditafsirkan sebagai khianat, maka bagaimana pula jika seorang sultan yang memecat menteri
besarnya yakni ketua badan eksekutif negeri?

Sultan itu kerajaan atau menteri besar dan barisan exconya yang kerajaan? Dalam hal yang berkaitan, apakah Agong itu kerajaan atau perdana menteri dan kabinetnya yang kerajaan?

Saya merasakan bahawa Harussani keliru dalam mengeluarkan pendapatnya. Pendapat tersebut gagal mengimbangi keilmuan kitab-kitab klasik Islam dan bentuk kerajaan moden pada
hari ini.

Sesungguhnya kitab-kitab klasik Islam karangan para ulama terdahulu tidak melakukan kesilapan.

Kesilapan itu berlaku pada pentafsiran sesetengah daripada kita yang gagal untuk menyesuaikannya terhadap semangat zaman. Jangan mengkhianati keilmuan para ulama terdahulu.



RIZUAN ABDUL HAMID ALUMNUS Akademi Pak Sako ‘Tulis.Ubah.Dunia.’

Tiada ulasan: