Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

21.5.14

Piala Thomas: Pasukan M'sia juarai kumpulan C

Malaysia mengambil selangkah lagi untuk menepati sasaran ke separuh akhir Piala Thomas dengan mengelak pasukan pilihan seperti China pada suku akhir selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 untuk menjuarai Kumpulan C di New Delhi semalam.
  
Selain Malaysia dan Korea Selatan, pasukan yang mara ke suku akhir ialah Indonesia dan Thailand dari Kumpulan A, Jepun dan Denmark (Kumpulan B) serta juara bertahan China dan Perancis dari Kumpulan D.
  
Dalam perlawanan akhir kumpulan, Datuk Lee Chong Wei menyumbang mata pertama dengan menewaskan Son Wan Ho 21-17, 21-17 sebelum Korea Selatan menyamakan kedudukan menerusi acara beregu pertama.
  
Beregu negara Tan Boon Heong/Hoon Thien How kalah kepada pasangan Yoo Yeon Seong/Lee Yong Dae dalam straight sets 19-21 dan 19-21.
  
Pemain perseorangan kedua negara Chong Wei Feng meletakkan Malaysia di hadapan apabila mengalahkan Lee Dong Keun 19-21, 21-17 dan 21-14 manakala beregu kedua negara Tan Wee Kiong/Goh V Shim mengesahkan kemenangan dengan mengalahkan Kim Sa Rang/Kim Ki Jung 21-17 dn 21-19.
  
Selepas memperoleh mata kemenangan, Malaysia mengambil mudah apabila perseorangan ketiga negara Goh Soon Huat kalah kepada Soo Hwang Jong 21-23 dan 15-21.
  
"Kami akan melakukan persediaan untuk menghadapi mana-mana pasukan yang diundi selepas ini," kata Chong Wei.
  
Undian ke suku akhir dijangka dibuat selepas semua perlawanan peringkat kumpulan selesai lewat malam tadi.
  
Mengenai semangat Liew Daren yang tidak diturunkan untuk perlawanan perseorangan ketiga selepas aksi hambar dalam pertemuan dengan India dan Jerman di peringkat kumpulan sebelum ini, Chong Wei berkata: "Kami tidak menjangka beliau kalah kepada pemain Jerman. Nampaknya tahap keyakinannya menurun."
  
Bagaimanapun, pengendali pasukan akan terus memberi sokongan dan menyediakannya untuk saingan suku akhir dan separuh akhir, katanya.
  
"Saya gembira untuk menyumbang mata kemenangan untuk Malaysia. Oleh kerana kami tidak akan bertemu dengan pasukan pilihan utama pada suku akhir maka mudah untuk mencapai sasaran ke separuh akhir," kata Goh V Shem.
  
Sementara itu, dalam Piala Uber, Malaysia, yang tersingkir daripada saingan suku akhir selepas kalah kepada Denmark dan Jepun dalam Kumpulan Z, akhirnya mencatatkan kemenangan sulung dengan menumpaskan Jerman 5-0 untuk menduduki tangga ketiga dalam kumpulan.
  
"Saya gembira dengan prestasi pemain hari ini kerana sasaran kami adalah untuk menewaskan Jerman. Kami sudah pasti kecewa kerana gagal menepati sasaran ke suku akhir," kata jurulatih perseorangan wanita, Wong Tat Meng.
  
Beliau berkata masa depan skuad wanita negara memang menggalakkan tetapi memerlukan lebih banyak pendedahan seperti Korea Selatan.
  
Sementara itu, biarpun Malaysia gagal ke suku akhir Piala Uber tetapi pemain perseorangan utama negara Tee Jing Yi mencapai kemenangan manis apabila memenangi kesemua ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan.
  
Walaupun skuad wanita Malaysia turun sebagai pasukan bukan pilihan tetapi pencapaian Jing Yi adalah konsisten dan patut diberi pujian.
  
"Saya amat gembira dan sekarang saya akan membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan akan datang," katanya kepada wartawan selepas kemenangan sulung 5-0 ke atas Jerman pada perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Tertutup Siri Fort di New Delhi.

Jing Yi menang semua ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan dengan straight set.
  
Beliau menumpaskan pemain Denmark Line Kjaersfeldt 21-17, 22-20 dalam perlawanan pertama, menundukkan pemain Jepun Sayaka Takahashi 22-20, 21-19 dan menumpaskan Karin Schnaase dari Jerman 21-13, 21-18 di peringkat kumpulan.

Lewat tahun lepas, Jing Yi menarik diri daripada pasukan kebangsaan kerana berpendapat beliau tidak lagi berupaya menyumbang kepada skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, beliau dipanggil kembali bagi menghadapi Piala Uber.
  
Jing Yi turun sebagai pemain perseorangan pertama bagi pasukan Malaysia.
  
"Ia seperti berjuang bagi negara," katanya ketika ditanya apakah yang mendorong beliau untuk kembali mewakili skuad kebangsaan.
  
Sokongan dan galakan daripada para jurulatih juga tidak kurang faktor yang menyumbang bagi kejayaannya, kata beliau.
  
Katanya, beliau berpendapat tahap permainannya sekarang lebih matang daripada sebelum beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
  
Jurulatih perseorangan wanita, Wong Tat Meng berkata Jing Yi mempamerkan aksi yang lebih baik dalam strategi pertahanan dan perancangan.
  
Beliau mampu menundukkan pemain Jepun, iaitu pencabar yang lebih kuat, katanya.
  
"Sepanjang perlawanan, saya menguasai perlawanan dan mendahului lawan," kata Jing Yi.
  
Seterusnya, pemain ranking ke-69 dunia itu, berkata beliau akan membuat persiapan bagi menghadapi Super Siri Indonesia dan Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, Julai ini.
  
"Saya menyasarkan untuk meraih pingat gangsa pada Sukan Komanwel," kanya.

- Bernama

Tiada ulasan: