14-11-2006 11:27:34 PM
Oleh EDDIE CHUA dari Mongolia
ULAN BATOR: Berita kematian Altantuya Shaariibuu mengejutkan bekas suami pertamanya, seorang penyanyi hip-hop dan rap Mongolia yang terkenal, Maadai.
Dia kini berusaha mendapatkan hak penjagaan ke atas anak lelaki mereka, sekarang berusia sembilan tahun, jika disahkan bekas isterinya itu telah meninggal dunia.
Penyanyi utama kumpulan Khar Sarnai (Mawar Hitam), 32 tahun, berkata dia mendapat tahu tentang pembunuhan Altantuya melalui laporan-laporan akhbar.
"Saya tidak percaya dia telah dibunuh. Dia seorang wanita bijak dan dia tahu bagaimana menghadapinya walau dalam keadaan yang paling rumit," katanya kepada The Star. "Tetapi jika berita itu benar, saya akan mendapatkan hak penjagaan sah anak kami daripada orang tuanya."
Anak lelaki Maadai itu, Atanshagai, sekarang tinggal bersama ibu bapa Altantuya di sini.
Maadai, yang tidak berkahwin lagi selepas perpisahan mereka sejak lapan tahun lalu, bagaimanapun enggan bercerita tentang kisah rumahtangga mereka dan perceraian pahit yang dia lalui.
"Ya, saya berkahwin dengan Altantuya 10 tahun lepas dan kami mendapat seorang anak lelaki berusia sembilan tahun," ceritanya, dengan menambah dia turut mengasaskan kumpuan Mawar Hitam bersama Amraa 15 tahun lepas.
Dia berkata dia tidak pernah berhubung lagi dengan Altantuya sejak perceraian mereka.
"Saya sudah tidak ada apa-apa lagi dengannya kerana kami masing-masing meneruskan hidup sendiri."
Dia juga berkata dia tidak berjumpa dengan anaknya itu sejak tiga tahun lepas setelah dihalang oleh bekas isterinya.
Maadai berkata, dia akan bertemu dan cuba meyakinkan bekas mertuanya agar dapat mengambil alih hak penjagaan anaknya, kini sedang belajar di darjah tiga di sebuah sekolah kerajaan di sini, jika disahkan Altantuya sudah mati.
"Saya mampu menjaganya. Saya sayangkannya dan mahukan yang terbaik untuknya."
Maadai berkata dia berharap bekas mertuanya akan bersetuju dengan hasratnya itu.
"Saya sedar tidak mudah bagi mereka untuk melepaskan anak itu kepada saya tetapi saya berharap dapat menyelesaikan hal ini dengan baik. Saya mahu yang terbaik untuk anak saya," tambahnya.
(sumber: mstar.com.my)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan