Oleh Murni Wan Omar
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, yang menghadapi tuduhan bersubahat membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shariibuu, mengalirkan air mata di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Abdul Razak menangis apabila Hakim Datuk Abdul Kadir Musa membenarkannya dibebaskan dengan jaminan bon RM1 juta.
Dia yang berdepan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan, dituduh bersubahat membunuh Altantuya bersama dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, dibenarkan ikat jamin atas sebab kesihatan.
Abdul Kadir membenarkan permohonan peguam bela penganalisis politik itu, M Puravelan, yang memberi alasan anak guamnya memerlukan pemerhatian kesihatan yang serius.
Abdul Razak, 48, yang berkemeja merah jambu dan seluar berwarna gelap kelihatan lemah tetapi tenang sepanjang prosiding.
Abdul Kadir menetapkan jaminan bon RM1 juta dengan dua penjamin selain membuat syarat, penjamin perlu membayar RM100,000 kepada mahkamah jika Abdul Razak tidak hadir pada perbicaraan kelak.
Dalam keputusannya, Hakim berkata, permohonan berkenaan dibenarkan atas faktor kesihatan Abdul Razak yang mungkin tidak dapat hadir ke mahkamah jika sakit kerana tidak mendapat rawatan yang secukupnya.
Jaminan bon itu berkuat kuasa mulai semalam sehingga tarikh sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Disember ini.
Abdul Kadir juga memerintahkan Abdul Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Abdullah, menyerahkan pasportnya kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan, sekali seminggu.
Abdul Razak dijamin abang dan kakaknya, Dr Rani dan Rohani.
Terdahulu, Puravelan mengemukakan dua laporan doktor yang merawat penganalisis politik itu yang beberapa kali dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sepanjang ditahan reman untuk membantu siasatan.
Menurutnya, dua laporan itu adalah daripada Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma, Jabatan Kecemasan HKL, Dr Nor Azleen Ayob dan Perunding Kanan Paru-Paru HKL, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurrai.
“Abdul Razak dibawa ke HKL pada 8 November lalu selepas mengadu sakit dada dan sesak nafas. Berdasarkan pemeriksaan, Dr Nor Azleen mendapati dia tidak mengalami sakit jantung tapi lapisan dadanya mempunyai kesan bengkak.
“Laporan kedua pula mengesahkan anak guam saya stabil dan boleh dibawa keluar dari hospital tetapi perlu mendapatkan rawatan segera jika keadaan kesihatan merosot,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Salehuddin Saidin yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin bagaimanapun membantah permohonan itu kerana dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak boleh dijamin.
Namun. menurutnya, jika mahkamah membenarkan permohonan, pihaknya mencadangkan jaminan RM1 juta serta beberapa syarat tambahan lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Sebelum permohonan itu dibuat, mahkamah mengambil pengakuan daripada Abdul Razak.
Abdul Razak mengaku faham pertuduhan dan tidak mengaku bersalah serta minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, Salha Abdul Jalal.
Dia yang Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MRSC), didakwa bersubahat dengan Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Konstabel Sirul Azhar Umar, 35, membunuh Altantuya, 28.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, No 148, Jalan Ampang di sini, antara jam 9.54 hingga 11.05 pagi, 19 Oktober lalu.
Bagi dakwaan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Selepas membuat pengakuan tidak bersalah, Sallehudin memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dan mahkamah membenarkan permohonan itu.
Abdul Razak turut diwakili peguam bela, Datuk Muhammad Shafee Abdullah.
Altantuya dilaporkan tiba di negara ini bersama dua lagi sepupunya pada 6 Oktober lalu untuk menemui seorang lelaki yang dipercayai mempunyai hubungan intim dengannya.
Bagaimanapun, model terbabit dilaporkan hilang pada 19 Oktober dan kehilangan itu mendorong sepupunya membuat laporan kepada Kedutaan Mongolia di Thailand selain membuat laporan polis.
Berikutan laporan itu, polis berjaya menahan tiga suspek yang kemudian membawa kepada penemuan cebisan tubuh manusia berselerak dipercayai dibunuh dan mayatnya dibom di satu kawasan hutan di Puncak Alam, dekat Shah Alam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan