MESRA. Rozita diiringi Zain pada acara karpet merah majlis Anugerah Bintang Popular 2011, Ahad lalu.
Oleh HARYATI KARIM
AKTRES popular, Rozita Che Wan, 38, tidak pernah sunyi daripada kontroversi dikaitkan dengan lelaki. Selepas seorang lelaki, seorang lelaki lain pula dikaitkan bercinta dengan dirinya.
Di sebalik sering dikaitkan dengan lelaki muda termasuk Shahir AF7 dan Zain Saidin, terbaharu kecoh seketika dunia seni tempatan apabila ibu tunggal kepada dua orang anak lelaki itu dikatakan telah bernikah dengan suami penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza iaitu Datuk Khalid Muhammad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K.
Biarpun Rozita, Siti Nurhaliza dan Datuk K masing-masing sudah mengeluarkan kenyataan sebelum ini bahawa perkara itu tidak benar sama sekali, namun persoalan itu masih menjadi perbualan hangat masyarakat.
Pada majlis Anugerah Bintang Popular 2011 yang berlangsung di Genting Highlands, Pahang malam Ahad lalu, Rozita dilihat intim di samping aktor muda yang sering digosip dengannya, siapa lagi kalau bukan Zain Saidin. Mereka dilihat beriringan mesra pada acara karpet merah.
Malah, selepas sahaja tamat majlis tersebut Rozita dikatakan terus pulang untuk mengejar penerbangan ke Itali untuk bercuti. Mungkinkah untuk melarikan diri daripada pihak media?
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Rozita semalam menerusi telefon sewaktu aktres jelita itu sedang berada di Monte Carlo, Monaco.
Kosmo!: Pada majlis Anugerah Bintang Popular 2011 baru-baru ini, adakah Rozita memang sudah rancang untuk berpasangan dengan Zain pada acara karpet merah? Siapa yang ajak siapa terlebih dahulu?
ROZITA: Gandingan saya dengan Zain untuk acara karpet merah majlis Anugerah Bintang Popular 2011 Ahad lepas sememangnya sudah dirancang sebab saya tanya Zain, dia membuat penampilan pada acara itu dengan siapa? Jadi apabila dia mengatakan tidak mempunyai teman dan saya pun seorang diri, lalu saya ajak dia untuk mengiringi saya pada acara tersebut. Sekurang-kurangnya saya tidaklah tampil seorang diri pada acara karpet merah itu.
Adakah Rozita sengaja memilih Zain untuk mengiringi pada acara karpet merah majlis Anugerah Bintang Popular itu kerana ingin menutup gosip bernikah dengan Datuk K?
Saya tiada niat apa-apa pun. Rasanya tidak perlu dijadikan sebarang kontroversi apabila saya berpasangan dengan Zain pada acara karpet merah sebab umum mengetahui saya dengan Zain memang rapat, tidak ada yang pelik. Lainlah kalau tiba-tiba saya muncul pada acara karpet merah dengan Remy Ishak, mesti semua orang pelik (ketawa).
Sebelum ini sudah ada gosip mengaitkan Rozita dan Zain, kenapa Rozita berani menunjukkan hubungan yang rapat itu secara terbuka?
Sama ada secara terbuka atau sorok-sorok, saya dengan Zain memang baik, jadi tidak ada apa yang perlu kami sorokkan.
Melihat rentetan gosip cinta Rozita yang terdahulu sehingga kini, adakah Rozita memang suka lelaki yang lebih muda?
Suka atau tidak, saya cuma selesa dengan lelaki bujang.
Apa pula kata anak-anak Rozita apabila ibu mereka rapat dengan Zain?
Anak-anak saya kenal siapa kawan ibu mereka, jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan tentang hal itu.
Kenapa pada majlis Anugerah Bintang Popular 2011 Rozita pulang awal, adakah kerana bimbang dikejar pihak media?
Saya pulang awal kerana saya perlu berada di lapangan terbang pada pukul 10.30 malam kerana saya ada penerbangan ke Itali pada malam itu juga.
Percutian ke Itali ini sudah lama dirancang atau Rozita bercuti untuk tenangkan fikiran kerana gosip bernikah dengan Datuk K?
Saya memang sudah lama rancang percutian bersama keluarga. Saya tidak pergi sendirian tetapi bersama ibu, dua adik saya, Ayu Raudhah dan Rubytah, Lan Pet Pet (suami Rubytah) serta seorang kakak saya. Kami semua akan berada di Itali selama dua minggu.
Gosip (berkahwin dengan Datuk K) yang tidak berasas pada saya bukan isu besar walaupun itu adalah fitnah yang memalukan saya. Diharapkan orang ramai faham bahawa saya yang menjadi mangsa keadaan.
Orang yang memfitnah saya bernikah dengan Datuk K itu perlu bertanggungjawab. Jika orang yang menabur fitnah itu tidak ada rasa bersalah kerana memfitnah saya sekurang-kurangnya dia perlu rasa bersalah dengan Allah kerana dosanya itu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan