Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

10.4.12

Razak bebas dgn ikat jamin adalah sesuatu yg luar biasa

24 November 2006

Kes pembunuhan wanita rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibu merupakan salah satu daripada dua kes di negara ini di mana tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan sejak 25 tahun lepas.

Menurut seorang peguam jenayah terkemuka Christopher Fernando, keadaan ini agak jarang-jarang berlaku di mana tertuduh yang menghadapi pertuduhan membunuh dibebaskan dengan ikat jamin dan kes yang satu lagi, tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM500,000 sementara menunggu perbicaraan pada 2002 ialah kes peguam Datuk Balwant Singh yang dituduh dengan membunuh seorang penghantar cepat.

"Ia adalah satu pengecualian dan bukan satu peraturan kerana kesalahan membunuh tidak boleh dijamin," kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan tertuduh dibebaskan dalam keadaan seperti jika seseorang itu sakit atau kemudahan dan suasana di penjara tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan kesihatannya.

Mengenai terma yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi untuk membebaskan penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda yang dituduh bersubahat membunuh dengan ngeri Altantuya dengan ikat jamin bon, Fernando berkata ini adalah sesuatu yang luar biasa.

Beliau berkata kes ini mungkin yang pertama seperti ini kerana pada kebiasaannya mahkamah tidak menetapkan jumlah wang yang akan dirampas daripada penjamin jika tertuduh gagal hadir di mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Kadir Musa semalam membebaskan Abdul Razak dengan bon RM1 juta dengan dua orang penjamin tanpa sekuriti setelah membenarkan permohonan peguam bela kerana alasan kesihatan berikutan pemeriksaan perubatan menunjukkan bahawa tertuduh mengalami sakit bronkitis yang teruk.

Fernando berkata dalam keadaan biasa, mahkamah akan menetapkan jumlah jaminan dan jika tertuduh gagal hadir di mahkamah, mahkamah akan menghantar surat tunjuk sebab kepada penjamin bagi memberikan penjelasan bagi pihak dia (tertuduh) yang gagal hadir.

Katanya mahkamah akan merampas wang jaminan atau sebahagian daripada wang jaminan itu jika mahkamah tidak berpuas hati dengan penjelasan penjamin.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia Yeo Yang Poh berkata tertuduh yang menghadapi pertuduhan membunuh diikat jamin sementara menunggu perbicaraan adalah sesuatu yang jarang berlaku tetapi seseorang hakim mempunyai budi bicara untuk memberikan jamin dalam keadaan tertentu.

Ditanya sama ada ini adalah kes pertama di mana mahkamah mengenakan bon tanpa sekuriti, Yeo berkata beliau tidak pasti dan tidak dapat mengulas.

Seorang peguam, Gurbachan Singh, berkata sepanjang pengetahuannya, ini adalah kes pertama, mahkamah membebaskan seorang tertuduh dalam kes bunuh dengan bon tanpa sekuriti.

Peguam Amer Hamzah Arshad berkata ini adalah perkara luar biasa untuk seseorang yang dituduh dibebaskan dengan bon tanpa sekuriti.

"Ini mematuhi keperluan dalam Kanun Acara Jenayah (CPC) yang hanya memerlukan satu bon dikeluarkan dengan penjamin.

"Dalam kebanyakan kes, ada bon dengan penjamin," kata beliau.

Bagaimanapun, katanya terpulanglah kepada budi bicara mahkamah mengenai keperluan untuk mendeposit satu sekuriti yang tidak ada dalam peruntukan CPC.

Tiada ulasan: