Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

25.3.08

20 Minit "BERBICARA" Dengan Menteri Besar PERAK, YAB Ir. Mohd Nizar

By TARMIZI MOHD JAM

NAIB Presiden PAS, Haji Mohd Sabu sudah menunggu saya dan rakan saya, Sdra. Radhi (TYDP Bukit Bintang) di Rumah Rehat Sg. Perak, 50 meter dari Jambatan Sayong, Kuala Kangsar.

Setelah mundar-mandir mencari tempat pertemuan itu, hampir setengah jam, akhirnya kami temui. Hari itu, Isnin 17 Mac 2008.Saya dan Hj. Mohd Sabu sekadar ingin bertemu dengan Menteri Besar Perak yang baru, Ir. Mohd Nizar Jamaluddin. Dia mengajak saya, kerana saya orang Perak...Pagi itu, Ir. Nizar menyempurnakan acara angkat sumpah sebagai Menteri Besar, kira-kira jam 11 pagi. Kemudian difahamkan ada jamuan makan diraja dan sebelah petangnya Mesyuarat Dewan Negara.

Pertemuan kami dijadualkan pada jam 3.00 petang tertangguh. Haji Mohd Sabu dan dua rakannya dari Pulau Pinang sudah terlena di atas kerusi empuk kafeteria.

Pagi itu, beliau bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengadakan sidang media berkenaan isu DEB. Hj. Mohd Sabu dijemput oleh Guan Eng sebagai tetamu bersama bagi meredakan isu "panas" tersebut.

Setelah selesai sidang media, Hj. Mohd Sabu bertolak terus menuju Kuala Kangsar. Saya bersama Radhi dari Kuala Lumpur. Janji asalnya, pertemuan akan diadakan di Ipoh.

Kemudian berubah. Apabila Ir. Nizar yang sudah bergelar Menteri Besar terpaksa menghadiri jamuan makan diraja dan Mesyuarat Dewan Negara di Kuala Kangsar.Jam 5.00 petang baru kami dapat bertemu dengan Ir. Nizar. Itupun di kafeteria sahaja. Beliau sudah berkemas untuk ke Ipoh.

Setibanya beliau, saya dan Hj. Mohd Sabu menghulurkan tangan, mengucapkan tahniah atas perlantikan beliau sebagai Menteri Besar. Beliau kelihatan begitu ceria sekali.Beberapa petugas keselamatan, barangkali dari Unit Amal Perak mengawasi beliau. Tiada seorangpun pimpinan PAS negeri ketika itu.Yang kelihatan sibuk, sahabat saya yang dulunya Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri (JPN), Sdra. Amran.Barangkali, Sdra. Amran bertindak sebagai Setiausaha Peribadi kepada Ir. Nizar. Saya tanyakan kepada beliau. Tapi beliaupun susah hendak beri jawapan.

Sudah tentulah, pada waktu ini jawatan seperti Setiausaha Politik, Setiausaha Akhbar, Setiausaha Peribadi, Pegawai Khas dan lain-lain belum diisi lagi.

Malah, sehingga hari ini Isnin (25 Mac 2008), senarai Excopun belum diperkenankan Sultan untuk angkat sumpah.

Dalam pertemuan selama 20 minit dengan Menteri Besar Perak itu, saya sempat menghulurkan secebis nota, hasrat seorang rakan saya, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari yang teringin nak bertemu dan diskas beberapa perkara dengan Ir. Nizar."Buat masa ini, sibuk sangat. Nanti ana bagi tau kemudian," ujar Menteri Besar Perak itu kepada saya.

Ir Nizar masih ramah seperti dulu dan saya mengenalinya sejak beliau menyertai kepimpinan PAS Perak dibawah Pesuruhjayanya, Ustaz Haji Ahmad Awang.

Beliau juga antara pemimpin PAS Perak yang diamanahkan untuk memantau PAS Kawasan Parit sewaktu "krisis" selepas pilihan raya 1999 dan saya ketika itu Ketua Penerangan dan tidak lama kemudian dilantik Setiausaha PAS Kawasan.

Ir. Nizar juga antara yang menyokong penuh penerbitan Buletin Al-Ridhwan, lidah rasmi PAS Perak yang saya kendalikan sekitar tahun 2002.

Masa terlalu singkat. Tidak lebih 20 minit kami berbicara. Haji Mohd Sabu antara yang rancak. Ir. Nizar meminta diri.

Tamat pertemuan itu, saya menghantarnya ke kereta kerana beliau terpaksa bergegas ke Ipoh, ada satu lagi program di sana. Hanya sebuah kereta peronda polis mengiringinya.

Kata, rakan saya, Ir. Nizar tidak mahu diiring terlalu banyak kereta polis dan polis trafik. Pada hari itu, keselamatannya masih dikawal oleh beberapa orang anak muda, selain dari polis.

Kami berpisah. Haji Mohd Sabu menuju ke Pulau Pinang semula dan saya mengarahkan kereta ke Kuala Lumpur. Suatu yang tidak pernah diimpikan, PAS boleh menjadi Menteri Besar di Perak, ulas saya pada Radhi.

Dia tersenyum puas sambil menyebut itulah tanda kebesaran Allah. Apa yang penting, kita kuatkan kerja, banyakkan cawangan. Jika Allah nak beri, lihatlah sekarang... tiada siapa boleh halang!

Dicatat oleh TARMIZI MOHD JAM di Selasa, Mac 25, 2008

Tiada ulasan: