Datuk Seri Ahmad Said - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Said yang dilahirkan pada 1957 merupakan Menteri Besar Terengganu sejak 2008 hingga 12 Mei 2014.
Beliau kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Terengganu dan merupakan bekas ahli UMNO.
Ahmad Said merupakan anak bongsu kepada pasangan Said Bin Mohamad dan
Wook Binti Ali dimana beliau telah dilahirkan pada 15 Februari 1957 di
Teluk Kalung, Kemaman, Terengganu.
Zaman persekolahan Ahmad
bermula pada tahun 1964 di Sekolah Kebangsaan Telok Kalong, Kemaman,
Terengganu. Beliau kemudiannya menyambung persekolahan di peringkat
menengah di Sekolah Menengah Chukai, Kemaman dari tahun 1970 hingga
1974.
Ahmad Said yang merupakan graduan jurusan sains politik
dari Universiti Sains Malaysia (USM) mula menceburi bidang politik
seawal tahun 1975 iaitu di usia 19 tahun beliau dilantik sebagai Naib
Ketua UMNO Cawangan Telok Kalong, Kemaman.
Beliau memegang jawatan tersebut sehingga tahun 1978 sehingga dilantik menjadi ADUN Kijal pada 1990.
Susulan Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Barisan Nasional (BN) berjaya
memenangi undian majoriti di Terengganu sekaligus memegang 24 daripada
32 kerusi yang dipertandingkan, dengan PAS memenangi baki lapan kerusi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Ahmad Said menang dalam kawasan DUN Kijal
menewaskan calon PAS, Hazri Jusoh dengan majoriti 3,157 undi. Beliau
memperoleh 8,169 undi manakala Hazri 5,012 undi.
Semasa
pembentukkan kerajaan baru di Terengganu, kerajaan pusat yang pada masa
itu diketuai Tun Abdullah Ahmad Badawi mengemukakan pelantikan semula
Datuk Seri Idris Jusoh untuk penggal kedua sebagai Menteri Besar.
Kontroversi pelantikan MB Terengganu bermula selepas Sultan Terengganu,
Tuanku Mizan Zainal Abidin yang juga merupakan Yang di-Pertuan Agong
Malaysia pada masa itu enggan melantik semula Idris sebagai MB negeri
itu. Kontroversi sama pernah terjadi di Perlis dimana pilihan Perdana
Menteri pada waktu itu ditolak dan akhirnya kuasa membuat keputusan pada
waktu itu diberi sepenuhnya kepada Raja Perlis.
Pada 23 Mac 2008, pejabat Sultan Terengganu mengumumkan pelantikan ADUN Kijal, Ahmad Said sebagai menteri besar baru.
Selepas majlis angkat sumpah, Ahmad Said berikrar untuk menunaikan tanggungjawabnya serta membasmi kemiskinan di negeri itu.
Pada PRU 13, Ahmad Said memenangi kerusi Kijal, sekali lagi mengalahkan
Hazri Jusoh daripada PAS dengan undian majoriti sebanyak 4,204.
Semasa krisis banjir yang melanda Pantai Timur pada Disember 2013, Ahmad Said telah menahan dua buah lori
Gardenia
bagi mengagihkan makanan kepada mangsa banjir yang berada dalam keadaan
kelaparan waktu itu, dimana tindakan ini telah mendapat pujian termasuk
oleh pihak pembangkang.
Ahmad Said turut dipuji rakyat
Malaysia selepas insiden tersebut menjadi bualan hangat di platform
media sosial Facebook dan blog.
Februari lalu, Ahmad Said
mengkritik keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghukum
Pasukan Bola Sepak Johor (Johor FA), bukannya individu yang terlibat
dalam insiden ‘serangan terowong’ di Stadium Larkin.
FAM
mengenakan denda RM30,000 kepada Johor FA untuk insiden tersebut sewaktu
perlawanan pusingan kedua Piala FA, Johor Darul Takzim (JDT) menentang
T-Team pada 1 Februari 2014.
Ahmad mendakwa keputusan FAM itu
tidak wajar kerana pengadil dan pegawai perlawanan tidak melihat apa
yang berlaku dalam terowong sewaktu perlawanan berhenti rehat pada
separuh masa pertama.
Beliau turut meminta pemain dan pegawai
T-Team yang menyaksikan kejadian di terowong Stadium Tan Sri Datuk Haji
Hassan Yunos, Larkin, Johor baru-baru ini, termasuk pemain pertahanan
pasukan itu, Mohd Irfan Abdul Ghani, bersumpah menggunakan Al-Quran bagi
menegakkan kebenaran.
Pada 12 Mei 2014, Ahmad Said meletak
jawatan sebagai MB Terengganu seterusnya memberi laluan kepada Datuk
Ahmad Razif Abdul Rahman yang merupakan ADUN Seberang Takir menjadi MB.
Ahmad Said dilaporkan
keluar daripada UMNO selepas permintaannya untuk meletak jawatan selepas 17 Mei ini tidak dibenarkan.
Ahmad Said ketika dihubungi Astro AWANI berkata beliau telah memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk
menangguhkan pertukaran itu namun ditolak atas alasan ia perkara peribadi.
Kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu ketika ini adalah 15
kerusi Barisan Nasional, 15 lagi Pakatan Rakyat dan dua Bebas selepas
Ahmad Said dan ADUN Ajil, Ghazali Taib bertindak keluar parti beberapa
jam selepas perletakan jawatan Ahmad Said sebagai Menteri Besar.