Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

17.2.09

Polis ambil keterangan Elizabeth, 4 wartawan

PETALING JAYA 17 Feb. - Polis Selangor hari ini mengambil keterangan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong berhubung penyebaran gambar bogel membabitkannya.

Elizabeth, 37, memberi keterangan di pejabat peguamnya di sini pada pukul 3 petang dan proses itu mengambil masa selama dua jam.

Keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Lanjan itu direkodkan oleh seorang pegawai penyiasat polis wanita dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Turut dipanggil polis untuk memberi keterangan ialah empat wartawan, dua daripada akhbar Malay Mail manakala dua lagi dari akhbar The Sun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, mereka terdiri daripada dua wartawan daripada akhbar Malay Mail manakala dua lagi dari akhbar The Sun.

"Dua wartawan Malay Mail telah memberi keterangan mereka semalam manakala wartawan The Sun pula diambil keterangan masing-masing petang ini.

"Mereka turut menyerahkan sekeping cakera padat yang mengandungi dua keping gambar memaparkan Elizabeth kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya selepas merasmikan merasmikan pusat Pakar Sistem Penggera kereta Takashimaya di Pasar Raya Giant Kota Damansara di sini hari ini.

Elizabeth membuat laporan di Balai Polis Damansara kira-kira pukul 11.05 malam kelmarin berhubung penyebaran gambar bogelnya di Internet.

Difahamkan, gambar bogel itu diambil tanpa pengetahuan Elizabeth dengan menggunakan telefon bimbit sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac tahun lalu.

Dalam gambar berkenaan, ahli politik yang masih bujang itu berada dalam keadaan berbogel ketika sedang tidur di atas sofa.

Mengulas lanjut, kata Khalid, satu pasukan siasatan khas yang diketuainya sendiri telah ditubuhkan khusus untuk menyiasat kes itu.

Katanya, pasukan itu dianggotai beberapa pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

"Polis memberi jaminan akan menyiasat kes ini secara menyeluruh dan semua individu yang ada kaitan akan kita panggil untuk bantu siasatan," ujarnya.

Khalid bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai kemungkinan perbuatan khianat suspek terhadap mangsa adalah bermotifkan politik serta khabar angin yang menyatakan penglibatan bekas teman lelaki mangsa.

Utusan Malaysia