Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

10.2.09

Khairy Jamaluddin - PERAK



February 7, 2009 by admin
Saya ingin memanjangkan ucapan sekalung tahniah kepada Y.A.B. Datuk Dr Zambry Abd Kadir atas pelantikannya sebagai Mentri Besar Perak kesebelas. Dari pengalaman saya bersamanya sewaktu menjadi rakan seperjuangan dalam Jawantankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Zambry merupakan seorang pemimpin yang berkeupayaan dan berintelek tinggi, lengkap dengan Ijazah Kedoktoran (PhD). Walaupun beliau seorang intelektual, Dr. Zambry juga merupakan seorang pemimpin akar umbi yang sentiasa mendampingi rakyat jelata untuk membawa penyelesaian kepada masalah-masalah setempat.

Sungguhpun saya kurang menggemari tindakan melompat parti, hakikatnya tiada undang-undang yang menghalang perbuatan tersebut. Dalam kes Perak, isu yang paling penting adalah bahawa Y.B. Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tidak lagi mempunyai keyakinan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri Perak. Umum mengetahui bahawa setelah perjumpaan DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah bersama ADUN BN dan Bebas untuk mengesahkan tiadanya keyakinan majoriti terhadap Datuk Seri Nizar, Tuanku telah bertitah Datuk Seri Nizar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meletakkan jawatan, sejajar dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Datuk Seri Nizar dan Pakatan Rakyat perlu akur kepada keputusan Tuanku, sepertimana yang telah mereka janjikan sebelum ini. Namun, aksi mereka kini melihatkan seolah-olah tidak langsung menghormati titah Tuanku - malah tidak keterlaluan untuk saya mengatakan pihak Pakatan Rakyat Perak sudah ingkar dan derhaka kepada Tuanku. Jika Pakatan Rakyat ingin dilihat sebagai sebuah pakatan politik yang matang, ia harus cepat berundur diri sejajar dengan kewajipan menghormati keputusan Tuanku selagi ianya mengikut peruntukan undang-undang yang sah.

Pihak Pakatan Rakyat juga perlu bermuhasabah diri untuk melihat sama ada peristiwa di Perak ini merupakan suatu episod “hukum karma”. Ura-ura 16 September yang sepatutnya menyaksikan Kerajaan BN jatuh melalui kaedah lompat parti besar-besaran sebenarnya hanyalah sandiwara politik untuk mengganggu kestabilan politik negara. Namun, kini setelah BN Perak mengambil-alih mengikut kaedah yang ‘diajar’ Dato’ Seri Anwar Ibrahim selama ini, kita melihat Pakatan Rakyat pula bersungguh-sungguh mengkritik dan melawan kaedah tersebut. Ini merupakan satu lagi bukti bahawa Pakatan Rakyat sudah ketandusan sebarang pegangan prinsip.

Saya ingin mengulas bahawa apa yang terjadi di Perak tidak mengubah pendirian saya bahawa perbuatan melompat parti ini tidak harus digalakkan. Malah, dalam kes Perak, saya merasa lega bahawa dua bekas ADUN Parti Keadilan Rakyat tidak terus memasuki UMNO setelah meninggalkan parti mereka, sebaliknya cuma menjadi ADUN Bebas. Ini kerana mereka masih menunggu hari ke muka pengadilan atas tuduhan rasuah, dan sebarang langkah untuk memasuki UMNO sekarang barangkali tidak akan menghantar isyarat yang positif kepada rakyat. Sejajar dengan komitmen Kerajaan BN memerangi rasuah, saya juga berharap bahawa tiada sebarang timbal balas bagi sokongan mereka terhadap BN dalam bentuk pengguguran kes mereka di mahkamah.

Demi kesejahteraan rakyat Perak, semoga Kerajaan BN Perak memerintah dengan baik dan penuh integriti. Dalam pada BN menyambut kejayaan menawan Kerajaan Negeri Perak, BN Perak harus sedar bahawa walaupun Kerajaan ini ditubuhkan secara sah, ia masih belum memegang mandat rakyat dalam erti kata demokratik yang lazim. Namun, di bawah kepimpinan Y.A.B. Datuk Dr Zambry, saya yakin bahawa BN mampu memenangi kembali kepercayaan rakyat pada PRU-13 kelak, insya’Allah.

petikan : http://www.rembau.net.my

Tiada ulasan: