Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

10.6.08

Tekno Tani: Nat Mega pelbagaikan produk kacang soya

Oleh Siti Nor Saadah Mdh Yusof

SEBUT saja mengenai kacang soya, sudah pasti ramai yang membayangkan mengenai makanan berkhasiat seperti tempe, tauhu, kicap dan air kacang soya yang dihasilkan sehingga ia menjadi juadah popular di kalangan masyarakat pelbagai kaum khususnya di Johor dan Selangor.

Kacang soya dikenali sebagai Glycine Max yang berasal dari keluarga pea atau leguminosae dipercayai mengandungi sejumlah besar asid amino penting yang diperlukan oleh otot badan dan tulang.

Selain dijadikan makanan yang kaya dengan sumber protein, kacang soya juga turut dijadikan bahan asas bagi penghasilan kosmetik berikutan kandungan protein tinggi membantu individu mendapatkan kulit sihat.

Lebih daripada itu, kacang soya digunakan secara komersial dalam produk industri termasuk minyak, sabun, plastik, tinta cetak, serta pengganti kepada biodiesel.

Menyedari kelebihan kacang soya yang kaya dari segi zat pemakanan dan kecantikan, syarikat pengusaha produk berasaskan kacang soya, Nat Mega Enterprise di Masjid Tanah, Melaka giat mengeluarkan produk makanan berkenaan di bawah jenama SoyPro untuk dipasarkan di sekitar Melaka.

Antara produk yang dikeluarkan dan mendapat sambutan menggalakkan ialah tempe segar, tempe bungkus, kerepek tempe, nuget tempe dan air kacang soya segar.

Pengusahanya, Nur Aishah Tey, 49, berkata produk berasaskan kacang soya dilihat berpotensi untuk dimajukan dan dipasarkan ekoran khasiatnya yang tinggi dan digemari semua lapisan masyarakat.

Pada peringkat awal, beliau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menghasilkan tempe segar dibalut dengan daun pisang yang diproses secara manual.

Berbekalkan modal kurang daripada RM20 kira-kira empat tahun lalu, tempe yang dihasilkan hampir 100 keping sehari kini mencecah 1,000 keping sehari berikutan permintaan yang tinggi di kalangan pengguna. Hingga kini, pengeluaran bulanan adalah sebanyak 10,000 keping tempe dan mencecah 20,000 pada musim perayaan.

Selepas menerima sambutan memberangsangkan, Nur Aishah bertekad untuk membeli sebuah bangunan kedai pada awal 2005 dan beberapa bulan selepas itu menyewa sebuah lagi bangunan untuk kerja memproses produk.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian banyak membantu membimbing dan dalam memperkembang serta meningkatkan mutu produk, termasuk membantu menyediakan kelengkapan pemprosesan tempe dilengkapi dengan standard amalan pengeluaran baik (GMP).

Di samping itu, syarikat berkenaan turut menghadiri kursus anjuran pelbagai agensi dan terbaru di bawah program Groom Big yang dijalankan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD).

Selain itu, dari segi pemasaran dan kajian penyelidikan , beliau bersyukur kerana mendapat bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) dalam meningkatkan lagi mutu produknya.

Bagi mempelbagaikan produk sedia ada, produk keluaran SoyPro kini menghasilkan nuget daripada tempe segar khusus kepada mereka yang menggemari makanan tempatan ini.

"Kebanyakan nuget yang dihasilkan di pasaran dilihat lebih tertumpu kepada ikan, daging, ayam atau sayur-sayuran. Justeru, kami mencuba untuk mengetengahkan nuget tempe yang dihasilkan bersama serbuk roti dan enak dimakan bersama mayonis, sos cili atau kicap pedas.

"Nuget ini sesuai dijadikan makanan sampingan kepada kanak-kanak dan pemakan sayuran atau vegetarian bagi memperoleh sumber protein tambahan.

“Di samping itu, kacang soya mengandungi kalsium, fosforus dan zat besi yang tinggi dan kecantikan kulit boleh diperoleh jika kita selalu minum air kacang soya," katanya yang mempunyai lima kakitangan.

Bagi menghasilkan tempe yang berkualiti, pemilihan kacang soya yang segar amat penting selain memerlukan proses secara teliti langkah demi langkah. Nur Aishah memberitahu, 100 kilogram kacang soya dibuang kulit menerusi mesin akan direndam selama dua hari sebelum direbus selama dua jam.

Kemudian, kacang berkenaan akan disaring dengan mesin pengering dan dicampur dengan ragi sebelum dibungkus dengan mesin 'auto-pack'. Tempe yang siap dibungkus seterusnya akan diperap semalaman sebelum dipasarkan ke pasar borong, pasar tani, pasar mini, bazar 24 Jam serta di Jaya Jusco.

Jenama SoyPro disasarkan akan berada di pasaran seluruh negara dalam jangka masa dua hingga empat tahun lagi bagi memperkembangkan perniagaannya.

INFO: Kacang Soya

# Kacang soya kering mempunyai komposisi protein (40 peratus), karbohidrat (34 peratus), lemak (21 peratus), dan mineral (5 peratus).

# Tempe dipercayai mengandungi vitamin B12 dan bahan antioksida semula jadi yang diperlukan oleh tubuh badan.

# Kacang soya ditanam di kawasan tropika dan Asia yang sederhana panas.

# Di Asia Timur, kacang soya digunakan secara meluas sebagai kicap, makanan kacang soya, minyak sayuran, tauhu, miso dan susu kacang soya serta sebagai pengganti kopi. Di Amerika Syarikat, menu berkenaan menjadi kegemaran di kalangan golongan vegi dan individu yang mengamalkan rendah lemak.

# Antara negara yang banyak mengimport kacang soya adalah Jepun dan China, manakala negara pengeluar kacang berkenaan ialah Brazil, Argentina, dan Paraguay.

Tiada ulasan: