Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

20.6.08

Sultan Johor cari ikhtiar dapatkan Batu Puteh

Oleh Johan Afandi

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Iskandar semalam menegaskan baginda akan berikhtiar mencari jalan bagi mendapatkan semula hak kedaulatan Pulau Batu Puteh yang kini dimiliki Singapura.

"Saya suka mengingatkan semua, saya tidak lupa bahawa pulau saya, Pulau Batu Puteh itu bukan hak milik Singapura... ia hak Johor.

"Sampai bila pun, saya akan ikhtiar bawa balik benda itu ke Johor," titah baginda pada istiadat perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-12 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini.



Hadir sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail; Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Pada 23 Mei lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Pulau Batu Puteh dimiliki Singapura manakala Malaysia mendapat Batuan Tengah yang terletak tidak jauh dari pulau itu,

Kedaulatan Tubir Selatan pula akan menjadi milik negara yang menguasai perairannya. Keputusan mahkamah itu menamatkan pertikaian kedua-dua negara berhubung tuntutan ke atas muka bumi itu sejak 28 tahun lalu.

Terdahulu, Sultan Iskandar mengingatkan rakyat dan pemimpin supaya menolak unsur melampau sama ada dari segi perkauman atau agama, selain mengamalkan cara hidup sederhana dalam menghadapi keadaan ekonomi sekarang.

"Semua pemimpin dan rakyat hendaklah berpegang teguh kepada Rukun Negara serta Perlembagaan dan Ahli-Ahli Dewan Negeri yang dipilih hendaklah menjalankan tugas dengan jujur, ikhlas dengan memahami hasrat serta harapan rakyat," titah baginda.

Baginda turut yakin Johor akan terus maju di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

"Beta bersyukur kerana kita dapat terus berada dalam keadaan selamat, aman dan damai," titah baginda.

Sementara itu, Abdul Ghani yang diminta mengulas titah Sultan Iskandar mengenai Pulau Batu Puteh, berkata kerajaan dan rakyat mendengar dengan jelas apa yang dititahkan baginda.

"Tuanku bertitah bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh sudah diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Berita Harian