Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpendapat pilihan
raya kecil DUN Kajang tidak perlu menjadi medan kepada BN untuk
mencurahkan pelbagai peruntukan pembangunan.
Beliau berkata penyaluran peruntukan sepatutnya diberikan sekiranya
penduduk Kajang memberikan mandat kepada calon BN Datin Paduka Chew Mei
Fun dalam pilihan raya kecil dijadual 23 Mac ini.
Katanya jentera pilihan raya BN yang merupakan pembangkang di Selangor
juga perlu mengubah minda agar tidak terlalu bergantung kepada
penyaluran peruntukan pembangunan dalam mendapatkan sokongan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival
Rakyat Umno Bahagian Masjid Tanah di Alor Gajah hari ini. Turut hadir
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata BN mempunyai potensi
besar untuk menang pilihan raya kecil itu berikutan pengundi khususnya
Melayu telah mula memberikan sokongan kepada BN setelah menyedari
kerajaan Selangor gagal menyediakan infrastruktur diperlukan penduduk.
"Di kalangan orang Cina pula mereka tahu bahawa Chew Mei Fun ketika jadi
anggota Parlimen Petaling Jaya Utara merupakan seorang yang baik, turun
ke bawah... jadi kalau ditakdirkan beliau menang jadi ADUN Kajang,
beliau akan laksanakan tanggungjawab yang sama biarpun Selangor dipegang
pembangkang," katanya.
Justeru, Ahmad Zahid yakin penduduk Kajang mampu membuat pilihan tepat
dengan memberi peluang kepada calon BN untuk berkhidmat kepada rakyat
dan menolak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya
berniat memenuhi keinginan politiknya.
- Bernama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan