Seorang bayi berusia lapan bulan terpaksa menanggung kesakitan apabila
badannya melecur selepas mengalami alahan terhadap ubat diberi sebuah
klinik swasta di Alor Setar.
Bapa bayi, Khairul Nizam Lebai Jusoh, 41, berkata badan anaknya Muhammad
Nasrullah mula melecur dan bertukar kehitaman selepas beberapa hari
menggunakan ubat makan dan sapu diberikan klinik berkenaan ketika
mendapatkan rawatan bagi ruam dihidapi anaknya pada 16 Februari.
"Dua hari kemudian, badan anak saya membengkak dan bertompok
kemerah-merahan...selepas melihat keadaan semakin teruk, saya bawa dia
ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 25 Februari untuk diperiksa,"
katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Stadium di sini petang
semalam.
Khairul Nizam berkata doktor pakar HSB mengesahkan anaknya mengalami
alahan serius terhadap ubat-ubatan yang diterima dan telah dimasukkan ke
wad selama tiga hari untuk rawatan.
"Saya telah diminta untuk membawa semua ubat yang diterima oleh doktor
di HSB untuk diuji dan saya kemudiannya diberitahu bahawa anak saya
mengalami penyakit alahan dan tidak boleh diberikan sebarang ubat,"
katanya.
Khairul Nizam berkata dia telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bagi membolehkan siasatan dibuat.
"Saya bukan nak menyaman klinik atau doktor yang merawat anak saya
tetapi saya hanya ingin pihak polis menjalankan siasatan bagi
membolehkan nasib anak sulung saya terbela," katanya.
Ibu bayi, Nur Shazira Mohd Salleh, 23, berkata dia sangat sedih dengan
kejadian yang berlaku dan berharap akan pulih dengan cepat kerana badan
anaknya masih mengelupas dan sentiasa menangis kesakitan.
- Bernama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan