SHAH ALAM - Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat negeri
Selangor yang akan mengerjakan ibadah haji tahun ini agar tidak
berdemonstrasi semasa berada di Makkah dan Madinah.
Baginda bertitah tindakan sedemikian pastinya menjejaskan nama baik
rakyat Malaysia serta hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab
Saudi.
"Beta menasihatkan bakal-bakal haji supaya dapat menjaga nama baik
negeri Selangor dan juga negara Malaysia yang telah dikenali di kalangan
pemimpin negara Arab sebagai jemaah haji berdisplin dan terbaik.
"Beta tidak berkenan rakyat negeri Selangor yang pergi menunaikan haji
ke tanah suci Mekah dan Madinah mengadakan tunjuk perasaan atau
demonstrasi," titah baginda pada majlis Penyempurnaan Kursus Perdana
Haji tahun 1434H/2013 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di
sini, hari ini.
Baginda turut mengingatkan bakal haji agar menunaikan ibadah haji
dengan betul sebagaimana dituntut ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah
dan tidak terikut-ikut jemaah haji dari negara lain.
"Sebarang masalah yang berkaitan dengan ibadah haji hendaklah dirujuk
kepada ahli agama yang disediakan Lembaga Tabung Haji. Beta yakin kursus
haji yang telah diadakan ini mampu membantu jemaah mengerjakan ibadah
haji dengan baik dan sempurna," titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut merakamkan ucapan tahniah kepada bakal haji
yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah kerana masih ramai yang telah
berdaftar tetapi belum berpeluang menunaikan haji.
Seramai 3,600 jemaah haji musim ini merupakan dari Selangor termasuk
dua yang dikurniakan oleh baginda iaitu Abdullah Apandi Ngalimin, 58 dan
Baharun Mohd Noh, 71.
Sementara 14 orang lagi ditaja Tabung Waris, Kerabat dan Datuk-Datuk Diraja Selangor. - Bernama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan