Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my
MEMPUNYAI hobi membaca tidak mengira apa saja jenis majalah mendorong Siti Musrina Musa, 32, turut gemar mengumpul bahan bacaan itu sebagai koleksi peribadi.
Sebut saja majalah berkonsepkan Muslimah atau fesyen, Siti Musrina tidak kisah mengenai isi kandungannya asalkan dia dapat memenuhi permintaan hati untuk membaca setiap hari.
Baginya, setiap majalah mempunyai fokus tersendiri termasuk fesyen, kekeluargaan, motivasi dan Muslimah untuk menambah pengetahuan.
Bukan saja gemar membaca, malah Siti Musrina turut mempunyai hobi lain iaitu menyertai peraduan yang ditawarkan di majalah yang dibacanya.
Paling menggembirakan hatinya apabila dengan hobinya itu dia dapat melancong sehingga ke luar negara seperti Jepun dan akan ke Wonderland Jiuzhaigou, China tidak lama lagi.
“Walaupun sebelum ini tidak pernah memenangi hadiah berbentuk percutian yang banyak, saya kini berpuas hati dengan hobi ini.
“Pengalaman ke Jepun sebelum ini begitu bermakna untuk saya agar lebih bersedia dalam menghadapi pelbagai kesulitan apatah lagi jika membabitkan makanan.
“Walaupun risau dengan makanan di negara orang, saya tetap teruja untuk ke China kerana ia pengalaman pertama untuk menjejakkan kaki di situ,” katanya yang ditemani suami, Noor Fairuzhizam Yakob.
Siti Musrina dari Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur dinobatkan sebagai pemenang Peraduan Wajah Aniqah 2011 anjuran MMP Communications Sdn Bhd dengan slogannya yang berjaya menarik perhatian juri.
Menggunakan slogan berbunyi ‘Wadah informasi penuh berkualiti, citra Muslimah unggul berkredibiliti, penuh elegan dengan identiti tersendiri, Aniqah hebat dimiliki’ membuatkan juri sebulat suara memilihnya sebagai pemenang peraduan itu.
Menerusi kemenangannya, Siti Musrina menerima hadiah berupa pakej percutian untuk dua orang ke China tajaan Safirgotravel, produk kecantikan dan kesihatan Go Cell International, baucar daripada butik Jumana by JubahOnline dan pakej perawatan kecantikan Putri Timur Spa.
Pemenang kedua peraduan ialah Rokiah Abdul Rahim dari Kampung Teluk Kemang, Negeri Sembilan manakala tempat ketiga disandang oleh Nor Irdawati Zainuddin dari Batu Caves, Selangor.
Peraduan Wajah Aniqah 2011 itu diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada pembaca memilih sendiri gambar kulit terbaik yang ditampilkan di dalam majalah berkenaan bermula Januari hingga Mac 2011.
Berdasarkan penyertaan itu, sebahagian besar pembaca memilih penghias kulit Oktober, pelakon Faezah Elai sebagai gambar kulit majalah terbaik.
Selain hadiah utama, majalah Aniqah turut menyampaikan tiga hamper sebagai penghargaan kepada pembaca yang kreatif menghantar penyertaan untuk peraduan itu.
Hadiah disampaikan oleh Pegawai Eksekutif MMP Communications, Datuk Jamaluddin Mansor kepada pemenang peraduan di restoran Kelantan Delight di Sooka Sentral, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
-mymetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan