esme@hmetro.com.my
APA kata sebelum tonton filem, dengar lagu dulu? Menjelang tayangan filem baru terbitan KRU Studios Sdn Bhd bertajuk 29 Februari yang memasuki pawagam pada 30 Ogos depan, peminat sudah boleh mendengar lagu-lagu runut bunyi (OST) filem itu.
Penghasilan CD dilakukan oleh KRU Music ini bertujuan meneruskan langkah strategik menerbitkan album OST. Album ini memuatkan lima lagu baru ciptaan Edry Abdul Halim. Lagu-lagu terdapat album OST 29 Februari bertajuk Cahaya Mata nyanyian S Masroni, Jagalah Diri oleh Jaclyn Victor, Seperti Dulu nyanyian Forteen dan satu lagu nyanyian pelakon filem ini, Remy Ishak menerusi lagu Kelip-Kelip. Lagu Kelip-Kelip versi bonus juga boleh didapati dalam versi instrumental.
Selaku pelakon utama filem 29 Februari, Remy menerima cabaran baru apabila dituntut untuk menyanyi dalam filem muzikal ini. Apa yang pasti, ternyata percubaan pertama beliau menerusi Kelip-kelip tidak menghampakan.
Lagu bertajuk Jagalah Diri adalah sebuah lagu berskala besar dilihat mampu meneruskan kejayaan seperti pernah diraih melalui lagu Sedetik Lebih. Dengan berkonsep balada, ia begitu sinonim dengan kekuatan vokal lantang dimiliki oleh Jaclyn Victor atau Jac.
Jika dilihat pada lagu Seperti Dulu, ia adalah sebuah lagu dianggap berat buat pendatang baru seperti Forteen tetapi mereka mampu menyampaikan melodi dan lirik lagu terbabit dengan baik. Lagu Jagalah Diri dan Seperti Dulu juga adalah single kedua Jac dan Forteen.
Filem 29 Februari adalah filem bergenre ‘biografi fantasi’ yang diarahkan oleh Edry Abdul Halim.
Menariknya, 29 Februari menampilkan lakonan Remy sebagai Budi, hanya dimakan usia 4 tahun sekali. Filem ini juga menggunakan latar detik bersejarah Malaysia sewaktu penjajahan British, penaklukan Jepun hinggalah ke zaman sekarang.
Album OST 29 Februari pasti memberi kelainan kepada pendengar kerana ia turut menyelitkan petikan dialog daripada filem.
Selain menyajikan lagu bakal hits dendangan artis ternama tanah air, album ini akan membawa pendengar menghayati lagu dan lirik yang berkait rapat dengan jalan cerita filem 29 Februari.
Cara ini juga dapat meningkatkan pemahaman peminat sebelum menonton filem terbabit. Album ini sudah berada dalam pasaran dan dijual dengan harga RM19.90.
Peminat boleh mendapatkan filem OST 29 Februari di semua cawangan Speedy, Music Valley dan Rock Corner.
-mymetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan