Perdana Menteri menafikan dakwaan wujudnya penyalahgunaan dalam pinjaman mudah kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada Agroscience Sdn Bhd.
Beliau menjelaskan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang dipertanggungjawab untuk melaksanakan Pusat Fidlot Nasional, menjemput enam syarikat untuk mengemukakan cadangan pelaksanaan pembangunan industri daging tempatan dan sekaligus meningkatkan pengeluaran daging lembu tempatan.
Jawatankuasa pemilihan syarikat peneraju, yang ditubuhkan untuk membuat pilihan syarikat yang memberi cadangan terbaik dan berpandu kepada kriteria dikehendaki, telah memilih Agroscience Sdn Bhd, katanya.
Menurut Najib sehingga 31 Julai 2011, jumlah pengeluaran pinjaman kepada NFC ialah sebanyak RM181.9 juta bagi membiayai pembangunan kandang, bangunan, kilang baja, kilang makanan dan sebagainya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) yang meminta penjelasan Menteri Kewangan sama ada berlakunya penyalahgunaan pinjaman mudah berjumlah RM250 juta kepada Agroscience Sdn Bhd pada 2003.
NFC ialah projek "Lembah Daging" di Gemas, Negeri Sembilan untuk meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan penggantungan negara kepada pengimportan daging dari luar negara.
Produk pengeluaran NFC dijual di pasar raya seperti Jaya Jusco, Giant, Carrefour, Cold Storage, pasar segar, kilang pemprosesan daging, restoran dan pasar runcit di seluruh negara.
NFC kini menjalankan peningkatan kapasiti pengeluaran fidlot dari 6,000 ekor lembu kepada 12,000 ekor lembu manakala kapasiti penyembelihan di pusat penyembelihan kepada 200 ekor lembu sehari dan pembangunan itu dijangka siap pada awal tahun depan, katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan