ALOR SETAR 13 Dis. – Pelantikan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dan kali kedua jawatan itu bagi baginda amat bermakna kepada bekas operator telefon Istana Negara, Zulkapli Othman dan keluarganya.
Malah membawa kembali kenangan manis buat Zulkapli dan keluarganya yang pernah berkhidmat dengan Tuanku Abdul Halim semasa baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima dari 21 September 1970 hingga 20 September 1975.
Zulkapli, 55, dari Alor Gunung, Pumpong dekat sini berkata, pada masa itu beliau berumur 18 tahun dan masih belajar, bertugas sebagai operator telefon bagi syif malam iaitu dari pukul 10 malam hingga 7 pagi selama dua tahun dari 1973 hingga 1975.
Sementara itu arwah ayahnya pula, Othman Ismail merupakan pekerja Istana Kedah yang dibawa oleh baginda ke Istana Negara untuk menguruskan mengenai pakaian protokol baginda semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Arwah neneknya pula Jamaliah Awang yang bertugas sebagai tukang masak di Istana Kedah turut dibawa ke Istana Negara untuk penyediaan santapan raja, katanya di sini hari ini.
Zulkapli berkata, bagaimanapun neneknya meninggal dunia setelah bertugas dua tahun di Istana Negara. — BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan