Ramai pembikin filem tanah air merungut dengan keadaan industri
sepanjang tahun lalu yang kurang memberangsangkan apabila rata-rata
kutipan filem rendah. Bagaimanapun, perkara itu sedikit pun tidak
dirasai produser Metrowealth Pictures Sdn Bhd (MIG), David Teo.
Ancaman tayangan dua filem seminggu sebagaimana disuarakan
kebanyakan penggiat filem sebagai punca, bukan satu masalah buatnya.
Sebaliknya ia dijadikan cabaran untuk menguji selera penonton untuk
pembikinan filem akan datang. Filem yang menepati selera mereka akan
mendapat sambutan, begitu juga sebaliknya.
Kehadiran Astro First yang turut dilihat kebanyakan pembikin filem
sebagai saingan kepada filem di pawagam, dilihatnya sebagai penyelamat,
terutama bagi filem yang mencatat kutipan rendah.
Dengan
bayaran Astro First, ia dapat mengurangkan kerugian dialami bagi filem
yang mencatat kutipan rendah, manakala bagi filem yang mendapat sambutan
pula, ia menjadi bonus apabila ditayangkan di Astro First.
Apabila filem terbitan MIG mencatat kutipan rendah hingga ada yang hanya
mencecah RM200,000, David tidak menuding jari kepada orang lain seperti
pengarah atau pelakonnya.
Baginya, mereka adalah orang yang dipilih olehnya, jadi mengapa
pula bila filem gagal, tuding jari kepada mereka yang dipilihnya.
Perjalanan produksinya terus rancak dan berkembang pesat. Dari pejabat
kecil di USJ1, Subang Jaya ke bangunan tujuh tingkat di Pusat
Perdagangan Petaling Jaya (PJCC) dan tidak lama lagi, akan ke Cyberjaya
pula dengan bangunan lebih besar dan selesa.
MIG kini mencapai tahap industri sebagai pengeluar filem dan drama
sebagaimana yang sering kita sebut selama ini. Sejak 2000 hingga 2012,
MIG menghasilkan 75 filem dan tahun ini mahu menghasilkan 15 filem.
Kejayaan ini juga bukan dicapai dalam sekelip mata. MIG bermula dengan
kerugian apabila filem pertama, Syukur 21 yang dihasilkan dengan modal
RM2.8 juta diikuti dua filem selepas itu, No Problem dan Mendam Berahi,
tetapi kadar kerugian dua filem itu tidak seteruk filem pertama kerana
kos kedua-duanya lebih rendah.
Belajar daripada situ, MIG
menghasilkan filem dengan bajet sederhana dan apabila mendapat sambutan,
ia sedikit demi sedikit memberi keuntungan.
Bukan mahu
mengangkat MIG dalam kolum saya minggu ini tetapi ingin berkongsi apa
yang baik untuk difikirkan bersama. Mana yang baik kita jadikan teladan,
mana yang tidak baik dijadikan sempadan.
Saya mula mengenali David ketika pembikinan Mendam Berahi dan sejak itu, sering membuat liputan filem terbitannya.
Sama ada ketika zaman pengarah A Razak Mohaideen, kemudian zaman Ahmad
Idham dan kini zaman pengarah muda melalui Skim 10 Pengarah Muda, saya
terus melihat perjalanan MIG daripada kaca mata pengamal media.
Walaupun macam-macam orang kata, saya melihat mana yang baik kita
ikut, yang buruk kita buang. Sememangnya seperti ada satu tanggapan
sinis di kalangan penggiat seni apabila pelakon yang ada nama sanggup
bekerja dengan produksi MIG.
Shaheizy Sam dikenali sebagai
pelakon bagus dan tidak pernah mengecewakan lakonannya, tetapi apabila
menyertai MIG, tidak memilih filem yang dibintangi hingga ada kualitinya
disifatkan sangat buruk. Kini Pekin Ibrahim pula mengikut jejak langkah
Sam dengan menjadi artis MIG.
Saya melihat apa dilakukan
Sam atas rasa tanggungjawab di atas kerja yang diserahkan kepadanya.
Setiap filem yang dibintangi bermakna memberi pendapatan kepadanya.
Apabila diberikan satu naskhah filem, dia sedia bekerja dan memberi
lakonan sebaik mungkin. Namun kalau hanya lakonan Sam yang bagus dan
tidak disokong skrip yang baik serta pengarah yang bagus, apabila filem
gagal di pawagam, ia bukan lagi kesalahan Sam. Lainlah kalau ada yang
kata teruknya lakonan Sam.
Begitu juga apabila Faizal
Hussein berlakon dengan produksi MIG melalui filem Longkai. Tidak
mustahil Faizal juga bakal mengikut jejak Sam dan Pekin kerana lakonan
menjadi sumber pendapatannya untuk menyara keluarga.
Apakah
mahu menanti naskhah hebat tetapi entah bila akan tibanya tetapi waktu
sama, bagaimana hendak menyara anak dan isteri? Yang paling penting
ialah bekerja dengan ikhlas dan berikan yang terbaik atas tanggungjawab
yang diberi, bukan memilih kerja tertentu.
Kini saya melihat
MIG bukan saja kilang mengeluar filem dan drama tetapi juga payung
besar kepada ratusan anak muda bangsa kita yang berpaksikan dunia seni,
sama ada sebagai pelakon, pengarah hinggalah kru di balik tabir
sampailah yang menyediakan makanan dan membancuh air di lokasi. Semuanya
bekerja untuk menyara keluarga.
Yang mengagumkan, apabila
mendapat untung, ia dikongsi bersama mereka yang selama ini bekerja
keras dan bukan dinikmati dirinya dan keluarganya saja, manakala
kakitangan dan orang yang selama ini bertungkus lumus membantu
kejayaannya dilupakan.
Amalan berkongsi rezeki ini diamalkan
MIG sejak dulu lagi apabila filemnya mendapat untung. Jika banyak
untung, banyaklah bonus yang diterima dan ia diberi setiap kali
menjelang Tahun Baru Cina yang dikenali sebagai angpau.
Bagaimanapun, disebabkan MIG ramai pekerja Melayu, sambutan Aidilfitri
juga sama meriahnya dengan Tahun Baru Cina. Bertuahnya mereka kerana
dapat bonus dua kali.
Sempena Tahun Baru Cina yang diraikan
hari ini, MIG meraikan artis dan pengarah yang gigih bekerja untuk
produk syarikat, begitu juga media cetak dan elektronik yang selama ini
memberi publisiti, dalam satu majlis sederhana tetapi meriah di Wisma
Metrowealth di PJCC, Rabu lalu.
NOTA: Semoga penyanyi Shila
Amzah menemui jalan penyelesaian atas kemelut yang melanda bapanya, ND
Lala dengan kekasih hatinya, Shaarnaz Ahmad. Nasihat saya buat Shila,
ibu bapa kandung kita adalah harta yang tidak ternilai dan hargailah ia
kerana kita tidak akan mendapat ibu bapa lain yang lebih baik lagi
selepas ini kerana itulah satu-satunya ibu bapa kita yang tiada
gantinya. Bagaimanapun, insya-Allah kita akan mendapat lelaki yang
menjadi teman hidup kita yang lebih baik lagi pada masa akan datang.