Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

25.3.10

Culik Altantuya: 'Nasir Safar di tempat kejadian

'
Feb 10, 10 4:47pm

Penyiasat persendirian P Balasubramaniam mendakwa Datuk Nasir Safar berada di lokasi apabila anggota polis menahan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, demikian menurut peguamnya, Americk Sidhu.

Dakwaan tersebut disiarkan dalam Suara Keadilan - akhbar rasmi PKR.

Suara Keadilan memetik emel Sidhu kepadanya yang mendakwa Bala, mengenali bekas pembantu khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abd Razak itu apabila melihat gambar Nasir (kiri, bertali leher) di blog.

Nasir diheret dengan kontroversi apabila minggu lalu dia membuat ucapan yang berbaur perkauman pada seminar 1Malaysia di Melaka.

Dia didakwa sebagai berkata kaum Cina dan India sebagai pendatang.

Akibat bantahan dan kemarahan pemimpin dan rakyat, Nasir kemudiannya meletakkan jawatannya.

Kedua-dua Bala dan Sidhu kini tinggal di luar Malaysia kerana bimbang dikenakan tindakan.

Bala (kanan) menjadi terkenal pada Julai 2008, apabila dia membuat pengakuan bersumpah mendakwa dia berada di tempat kejadian apabila polis membawa Altantuya dengan sebuah kereta di luar rumah kekasihnya, Abdul Razak Baginda, yang juga seorang lagi pegawai Najib.

Beberapa minit sebelum Altantuya dibawa ke kereta, Bala mendakwa “sebuah Proton Saga biru yang dipandu oleh seorang lelaki Melayu melalui jalan itu secara perlahan. Tingkap pemandu tidak dinaikkan dan pemandu itu memandang ke arah kami.”

Bala tidak tahu siapa lelaki Melayu itu tetapi berjaya memberitahu polis mengenai raut wajah lelaki itu ketika disoal siasat.

Menurut Sidhu, polis yang menyoalnya cuma memberitahu lelaki itu adalah jiran Abdul Razak (bawah, tengah).

Bagaimanapun, Bala mengecam pemandu Melayu yang berkereta biru itu sebagai Nasir apabila melihat wajahnya di Internet, kata Sidhu.

Nasir yang dihubungi oleh Malaysiakini sebentar tadi, tidak mahu mengulas lanjut tetapi berkata sidang media akan diadakan tidak lama lagi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga tidak mahu mengulas.

"Saya tidak mahu komen. Perkara itu telah dibicarakan di mahkamah," katanya kepada Malaysiakini.

Pada April 2009 lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung terhadap dua anggota polis yang dikaitkan dengan pembunuhan wanita Mongolia itu.

Bagiamanapun Abdul Razak dibebaskan daripada tuduhan bersubahat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini telah berkali-kali menafikan dia mengenali Altantuya ataupun pernah berjumpa dengan wanita itu.

MalaysiaKini

19.3.10

Jaga kepentingan Orang Asli


Mohd. Shafie Apdal bersalaman dengan remaja Orang Asli semasa perjumpaan di Putrajaya. Turut mengiringi beliau Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Abd. Jabar Che Nai (kiri).


KESEDARAN mengenai perlunya pemberian milik tanah secara individu di kalangan masyarakat Orang Asli sebenarnya telah wujud sejak tahun 1990-an lagi. Ia selaras dengan resolusi Persidangan Nasional Mengenai Hak Tanah Dan Jati Diri Orang Asli SeMalaysia pada 2 dan 3 September 1996.

Sehingga kini, orang Asli telah menduduki dan mengusahakan tanah seluas kira-kira RM50,563 hektar. Daripada jumlah itu, kira-kira 19,713 hektar tanah telah diwartakan sebagai tanah rizab mengikut seksyen Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

Sejumlah 30,489 hektar tanah pula telah diluluskan oleh pihak berkuasa negeri tetapi masih belum diwartakan sebagai kawasan Orang Asli mengikut akta yang sama.

Jika diteliti, Orang Asli sebenarnya masih jauh ketinggalan dari segi pemilikan tanah. Setakat ini, hanya 0.03 peratus sahaja tanah yang dimiliki secara individu daripada jumlah keseluruhan pemilikan tanah di Semenanjung. Oleh sebab tiada hak milik berdaftar, hak-hak mereka telah dinafikan apabila berlaku urus niaga atas tanah. Atau kegagalan menerima bayaran pampasan yang setimpal apabila berlaku pengambilan tanah.

Orang Asli juga berdepan dengan masalah ketika mendaftar pembahagian pusaka apabila berlaku kematian dan tiada jaminan hak milik untuk generasi akan datang. Isu ini sering dibangkitkan dalam sesi perjumpaan antara masyarakat orang Asli dengan jabatan agensi kerajaan serta pemimpin masyarakat.

Kerana itu adalah wajar untuk Orang Asli diberi hak milik tanah sebagaimana kaum-kaum lain. Ini membawa kepada pembentangan Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah kepada Orang Asli antara kementerian dan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) sepanjang 2005 hingga 2009.

Kertas dasar ini juga telah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Pembangunan Masyarakat Orang Asli (MPKMOA) pada 2009 dan dipersetujui. Dasar itu dirangka dengan mengambil kira pandangan beberapa pihak dan agensi berkaitan. Antaranya Jabatan Peguam Negara, kerajaan negeri, Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar serta Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan.

Kertas dasar ini juga telah dibentangkan dan dipersetujui oleh Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada Disember tahun lalu. Pemberimilikan tanah ini dipertimbangkan sebagai langkah untuk meningkatkan taraf sosial ekonomi dan kualiti hidup Orang Asli melalui pembangunan tanah secara terancang dan bersepadu. Ia juga bertujuan memastikan mereka turut serta dalam arus pembangunan.

Dalam masa yang sama, dasar ini diharapkan dapat mewujudkan budaya dan nilai-nilai positif dalam kehidupan harian tanpa mengamalkan budaya hidup berpindah-randah. Ini sekali gus dapat membantu kerajaan mempercepatkan usaha membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan masyarakat Orang Asli.

Pemberian milik tanah kepada Orang Asli itu adalah mengikut seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965 yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk memberi milik kepada ketua isi rumah Orang Asli dengan pegangan kekal.

Dasar ini melibatkan pemberimilikan untuk tanah ladang dan tapak rumah. Tanah ladang yang diberi milik akan dibangunkan terlebih dahulu oleh agensi kerajaan, swasta atau koperasi. Suratan hak milik pula akan dikeluarkan setelah ladang matang.

Tanah yang hendak diberi milik pula merangkumi tiga perkara. Pertama tanah rizab Orang Asli di bawah Seksyen 7 Akta 134. Kedua tanah yang diluluskan oleh pihak berkuasa negeri tetapi belum diwartakan dan ketiga, pemberimilikan tanah hanya kepada ketua isi rumah Orang Asli (Seksyen 3 Akta 134).

Majlis Tanah Negara juga bersetuju dengan cadangan kegunaan dan kelulusan tanah iaitu tanah ladang seluas 2.4 hektar (enam ekar). Keluasan tapak rumah pula seluas 0.1 hektar atau bersamaan satu perempat ekar dengan tempoh pegangan kekal.

Melihat kepada dasar itu, kerajaan sedang berada pada landasan yang betul dalam usaha membawa masyarakat Orang Asli bersama-sama menikmati arus pembangunan negara. Tetapi dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu berhati-hati merangka dasar tersebut kerana soal tanah bagi masyarakat Orang Asli adalah satu isu yang sangat sensitif.

Kerana itu rasa tidak puas hati yang disuarakan oleh mereka tidak boleh dipandang mudah. Apatah lagi apabila wujud dakwaan bahawa dasar berkenaan diluluskan tanpa melibatkan rundingan dengan masyarakat Orang Asli. Sedangkan pandangan mereka perlu diletakkan paling hadapan kerana dasar itu menyentuh secara langsung mengenai kepentingan mereka.

Namun, masyarakat Orang Asli barangkali boleh menarik nafas lega apabila Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal memberi jaminan untuk meneliti semua cadangan yang dikemukakan. Malah beliau turut menekankan semua undang-undang mengenai Orang Asli akan digubal dengan mengutamakan kepentingan masyarakat itu.

Kalangan masyarakat Orang Asli juga perlu mendapatkan gambaran yang jelas mengenai dasar ini terutama dari sudut pelaksanaan dan manfaat kepada mereka. Peluang daripada siri jelajah yang diadakan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di seluruh negara ketika ini wajar diambil untuk memahami dasar ini dengan lebih baik.

Siri jelajah atau 'road show' itu telah pun digerakkan sejak 18 Februari lalu. Ia bertujuan memberi penjelasan kepada ketua-ketua masyarakat, tok batin, badan bukan kerajaan (NGO) dan cendekiawan dari masyarakat Orang Asli.

Dari sudut pandang yang lebih luas, permasalahan Orang Asli sebenarnya melangkaui isu tanah semata-mata. Pembangunan sosio ekonomi, pendidikan dan modal insan juga sentiasa dititikberatkan. Kerajaan sentiasa mengkaji dan mengenal pasti strategi bersesuaian bagi memastikan usaha membasmi kemiskinan dapat direalisasikan.

Penubuhan Focus Group misalnya, adalah strategi khusus untuk melonjakkan masyarakat Orang Asli menerusi lima bidang utama. Ia termasuk bidang pendidikan, pembangunan ekonomi, kemudahan prasarana penempatan, pengetahuan tradisional dan warisan serta kesihatan.

Tinggal lagi ketika ini, sejauh mana masyarakat Orang Asli bersedia untuk bersama-sama rakyat Malaysia yang lainnya dalam arus pembangunan negara.

Anwar dimalukan lagi



Ahmad Zahid Hamidi diiringi Pengarah Urusan Zetro Aerospace Corporation, Datuk Zamri Muda (kanan) melawat sekitar bengkel penyelenggaraan helikopter pada majlis perasmian bangunan baru Zetro Aerospace Corporation di Subang, semalam.


SUBANG JAYA 18 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi malu besar apabila bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal menafikan badan bersenjata itu merestui rancangan ‘16 September’ bagi mengambil alih Kerajaan Pusat.

Sambil menyifatkan dakwaan Ketua Pembangkang itu seperti yang didedahkan seorang ahli Parlimen Bebas semalam, sebagai pembohongan paling besar, Abdul Aziz yang memimpin ATM pada waktu itu mengutuk tindakan yang sangat keji tersebut kerana sanggup menjual nama sebuah organisasi pertahanan yang profesional demi kepentingan politik peribadi.

‘‘Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan ATM dengan pembangkang ketika itu sebagaimana didakwa oleh Anwar, kerana badan ini adalah organisasi profesional yang bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara dan bukannya terbabit dalam mainan politik.

“Kenyataan Anwar itu hanyalah helah untuk mengaburi mata rakyat kerana ATM tidak akan sesekali menyetujui sebarang perancangan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat,’’ katanya pada sidang media selepas majlis perasmian bangunan baru Zetro Aerospace Corporation, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau mengulas pendedahan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pada sidang Dewan Rakyat semalam berhubung rancangan Anwar untuk menubuhkan kerajaan 16 September 2008.

Antara lain, Zahrain mendedahkan Anwar membohongi wakil rakyat pembangkang kononnya Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin memperkenan pelantikannya sebagai Perdana Menteri keenam dan mendakwa ATM juga menyokong pelantikan itu.

Selain itu, Anwar juga didakwa berbohong apabila menyatakan seorang Timbalan Speaker Dewan Rakyat akan mempengerusikan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan dan menyokong pembangkang untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut mengenai tindakan Anwar itu, Abdul Aziz berkata, tiada sebarang pertemuan dibuat antara Ketua Pembangkang dengan beliau mahu pun pemimpin kanan ATM lain selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada Mac 2008.

Ditanya sama ada pihak ATM mengetahui sejak dari awal nama organisasi itu dikaitkan dengan rancangan 16 September, Abdul Aziz berkata, pihaknya mengakui memang timbul desas-desus dan beliau sendiri pernah ditanya oleh media mengenainya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau tidak menolak kemungkinan ATM akan mengambil tindakan tegas, jika selepas ini pembangkang terus mencemarkan imej organisasi itu demi kepentingan politik mereka.

Sementara itu, Ahmad Zahid mahu rakyat menilai sendiri pembohongan Anwar yang sanggup mempergunakan apa sahaja demi memastikan matlamat peribadinya tercapai.

“Apa yang dikatakan oleh Anwar adalah pembohongan besar, bukan sahaja kepada wakil rakyat pembangkang tetapi rakyat keseluruhannya hanya semata-mata untuk mencapai hasratnya bergelar Perdana Menteri,’’ jelasnya.

“Pembohongan mereka jelas kerana sehingga kini tiada seorang pun wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang keluar parti, sebaliknya mereka yang dilanda musibah apabila ramai wakil rakyat pembangkang menjadi ahli Bebas,’’ jelasnya.

Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan komited untuk terus membangunkan industri pertahanan tempatan melalui penganugerahan kontrak jangka masa panjang terutamanya kepada syarikat yang menunjukkan pencapaian progresif.

Katanya, kerajaan akan memastikan hala tuju program pembangunan industri pertahanan tempatan terus dipergiatkan bagi memastikan negara mampu berdikari dalam menghasilkan produk pertahanan berasaskan teknologi tempatan.

“Komitmen kerajaan ini amat penting kerana kita tidak boleh terlalu bergantung kepada negara luar terutamanya berkait dengan sistem pertahanan yang bersifat strategik,” ujarnya.

Utusan Malaysia

18.3.10

Bekas pelakon lucah dedah mesej Tiger Woods


LOS ANGELES: Bekas pelakon filem lucah mendedahkan teks pesanan ringkas intim yang membuktikan hubungan sulit beliau dengan Tiger Woods dan menyatakan memiliki maklumat yang boleh mengaibkan bintang golf itu.

Joslyn James yang nama sebenarnya Veronica Siwik-Daniels, memaparkan lebih 100 mesej pada laman webnya yang beliau dakwa dikirim Woods.

Sebilangan mesej itu menunjukkan keinginan untuk melakukan huungan seks kasar.

Dalam satu mesej, pengirim yang beliau dakwa sebagai Woods menyatakan mahu menampar beliau dan beliau patut merayu apabila mereka bertemu kelak. James berkata, beliau dan Woods menjalin hubungan sulit selama tiga tahun dan bintang golf itu menghancurkan hati beliau apabila menamatkannya. - AP

Kanak-kanak 3 tahun mati dilanggar bapa saudara

2010/03/19

KUANTAN: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda yang dipandu bapa saudaranya di Kampung Perawas, Hulu Dong, Raub, semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata ketika kejadian pada 6.10 petang itu, bapa saudara mangsa menghidupkan kenderaan itu yang diletakkan berhampiran rumahnya.

"Tanpa disedari, dia kemudian terlanggar anak saudaranya yang berada di hadapan kenderaan tersebut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Katanya, orang ramai yang berada di kawasan itu telah menjerit bagi memberitahu Norainal Fazilah Mohd Sabri berada di hadapan kenderaan tersebut, namun ia tidak disedari lelaki itu.

"Norainal Fazilah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klini," katanya. - Bernama

Keputusan permohonan Khairy lawan Anwar 14 Mei

2010/03/19

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, akan mengetahui pada 14 Mei ini permohonannya untuk mengenepikan penghakiman ingkar yang diperoleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnah RM100 juta yang difailkan ketua pembangkang itu.

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi, A Kaveetha, menetapkan tarikh itu untuk keputusan selepas berjumpa peguam Anwar, SN Nair dan Wan Anuar Shaddat serta Badrul Munir Bukhari yang mewakili Khairy dalam kamarnya hari ini.

Nair memberitahu wartawan bahawa mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak menyerahkan ikatan nas undang-undang kepada mahkamah pada 14 April ini. Pada 4 Disember, 2008, Anwar memperoleh penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi terhadap Khairy apabila beliau gagal memasukkan kehadiran dalam kes itu selepas writ saman diserahkan kepadanya.

Khairy memfailkan permohonan pada 20 Februari 2009 untuk mengenepikan perintah itu.

Anwar, 63, menfailkan saman terhadap Khairy pada 7 Mac 2008 kerana dakwaan Khairy pada ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno telah mengucapkan dan telah menyebabkan penerbitan di laman web termasuk Malaysiakini.com satu rakaman klip video bersama sebuah artikel bertajuk "Anwar and kin no threat".

Anwar mendakwa rakaman klip video itu dalam Malaysiakini mengandungi kata-kata fitnah yang diucapkan oleh Khairy di satu ceramah di Lembah Pantai di sini pada atau sekitar 20 Februari 2008.

Beliau berkata, kata-kata fitnah itu antara lain bermaksud beliau terbabit dengan aktiviti berlawanan dengan Islam, tidak mempunyai akhlak mulia dan tidak sesuai memegang jawatan politik atau apa-apa jawatan.

Beliau memohon ganti rugi pampasan RM100 juta, teruk, teladan, kos dan lain-lain relif oleh mahkamah. - Bernama

Analisa Tarikh Lahir : Jangan Jadi Bomoh Tak Rasmi

Posted on Wednesday, March 17 @ 16:40:46 PDT
Dilulus untuk paparan oleh SongkokPutih

Artikel
Oleh:
nitacute

"Perlu difahami bahawa, isu yang berkaitan dengan perkara ghaib seperti mengetahui perihal sejarah silam, ramalan bala, ramalan perkara yang akan datang seperti yang disebut dalam soalan di atas, mengetahui sesuatu tentang makhlus halus dan yang seumpama dengannya adalah satu keyakinan yang mesti di sumberkan kepada tiga sumber sahaja. Iaitu :-

a) Al-Quran

b) Hadith Sohih dan Hasan

c) Fitrah kejadian alam (sunnatullah)

Tanpa ketiga-tiga ini, kepercayaan tadi dengan mudah boleh membawa kepada gejala tilikan dan ramalan ghaib yang tidak diizinkan oleh Allah SWT dan RasulNya sebagainya firmanNya di dalam surah al-Naml ayat 65 : ertinya :

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ

Ertinya : " Katakan (wahai Muhammad kepada umatmu) tiada sesiapa di atas muka bumi atau di langit mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT" .

Malah Nabi juga bersabda :

"Sesiapa yang menemui tukang tilik atau tenung, lalu mempercayai ramalannya (ghaibnya) maka ia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi SAW"

SUNNATULLAH ( HUKUM ALAM) BOLEH DIPERCAYAI

Maksudnya adalah mempercayai sesuatu yang mempunyai ciri ghaib seperti meyakini esok akan berlaku hujan berdasarkan sunnatullah iaitu dilihat dari satelit maka di dapati kumpulan awan tebal di atas Malaysia. Ia adalah bentuk ramalan yang didasari oleh sunnatullah atau fitrah alam yang diharuskan.

Alah SWT menyatakan : Ertinya : "Andaikata kebenaran itu mengikuti hawa nafsu mereka, niscaya akan rusaklah langit dan bumi serta seluruh makhluk yang ada di dalamnya." (al-Mu'minun: 71)

Inilah yang perlu dimaklumi, bahwa alam ini dikendalikan dengan undang-undang dan hukum yang tetap, tidak pernah berubah dan berganti, sebagaimana telah dinyatakan oleh al-Quran dalam beberapa ayat, antara lain sebagai berikut:

Firman Allah ertinya : "Kamu tidak akan menjumpai sunnatullah itu berganti." (Fathir: 43)

Hasil dari kepercayaan ghaib tanpa didasari oleh tiga asas tadi, maka ramailah di kalangan umat Islam yang dihinggapi virus kerosakan aqidah.

Idea tilikan dan pengiraan tarikh lahir untuk mnegetahui hal yang akan datang termasuk status kewangan, keharmonian rumah tangga dan sebagai amat bercanggah dengan hukum Islam. Malah jika ingin digunakan hujah ‘sunnatullah' atau tajribah (percubaan dan analsia) pun ia tidak boleh sama sekali. Kerana analisa yang boleh diterima hanyalah analisa yang boleh dibuktikan melalui bukti-bukti saintifik dan fizikal, seperti ramalan cuaca melalui info lengkap dari kedududkan awan dan angin melalui alatan canggih moden dan visual dari satellite.

Begitu juga khasiat kayu-kayu tertentu untuk mengubati penyakit, menghalau binatang tertentu dan sebagainya ia juga bersifat fizikal. Namun kombinasi tarikh lahir dan kiraan matematik dan seterusnya boleh mencapai kejadian yang akan datang, bukan dari sesuatu bersifat fizikal, tidak juga bersamaan dengan contoh yang kayu dan ramalan cuaca tadi.

NABI PUN TIDAK MENGETAHUI YANG GHAIB

Nabi Muhammad s.a.w. datang dan dijumpainya di tengah-tengah masyarakat ada sekelompok manusia tukang dusta yang disebut kuhhan (dukun) dan arraf (tukang ramal). Mereka mengaku dapat mengetahui perkara-perkara ghaib baik untuk masa yang telah lalu mahupun yang akan datang, dengan jalan mengadakan hubungan dengan jin dan sebagainya.

Justeru itu Rasulullah s.a.w. kemudian mengishtiharkan perang dengan sebarang dakwaan dusta yang tidak berlandaskan ilmu, petunjuk mahupun dalil syara'.

Rasulullah membacakan kepada mereka wahyu Allah yang berbunyi:

"Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah semesta." (an-Naml: 65)

Bukan Malaikat, bukan jin dan bukan manusia yang mengetahui perkara-perkara ghaib. Rasulullah juga menegaskan tentang dirinya dengan perintah Allah s.w.t. sebagai berikut:

"Kalau aku dapat mengetahui perkara ghaib, niscaya aku dapat memperoleh kekayaan yang banyak dan aku tidak akan ditimpa suatu musibah; tidak lain aku hanyalah seorang (Nabi) yang membawa khabar duka dan membawa khabar gembira untuk kaum yang mau beriman." (al-A'raf: 188)

Oleh kerana itu, barangsiapa mengaku dapat mengetahui perkara ghaib, termasuk perkara akan datang dan lain-lain, bererti dia mendustakan Allah, mendustakan kenyataan dan mendustakan manusia banyak.

JANGAN JADI BOMOH SECARA TIDAK RASMI

Sebahagian utusan pernah datang ke tempat Nabi, mereka menganggap bahwa Nabi adalah salah seorang yang mengaku dapat mengetahui perkara ghaib. Kemudian mereka menyembunyikan sesuatu di tangannya dan berkata kepada Nabi: Tahukah tuan apakah ini? Maka Nabi menjawab dengan tegas:

"Aku bukan seorang tukang tenung, sebab sesungguhnya tukang tenung dan pekerjaan tenung serta seluruh tukang tenung di neraka."

Inilah yang dilakukan oleh bomoh-bomoh rasmi dan tidak rasmi hari ini, meramalkan perkara ghaib seperti meramal di mana boleh dijumpakan orang hilang, dan meramal melalui tarikh lahir, jumlah huruf pada nama seseorang malah adakalanya menyalahgunaan nombor surah al-Quran untuk tujuan ramalan mereka.

Memang tabiat bomoh atau dukun akan mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti berita tentang perkara-perkara akan datang. Biasanya dakwaan tersebut bersandarkan perkhabaran yang dibisikkan oleh jin yang mencuri dengar ucapan para malaikat. Lalu dicampur-baurkan ucapan itu dengan ratusan kebohongan. Kemudian manusia mempercayai ramalan bomoh tersebut.

Masyarakat awam sepatutnya berwaspada dalam hal ini sebab bomoh kadang-kadang menzahirkan dirinya sebagai tukang ubat, peramal, ustaz, wali yang mampu melakukan beberapa perkara luar biasa seperti kebal dan lain-lain padahal mereka sebenarnya bukan wali Allah tetapi wali syaitan yang hanya akan merosak akidah umat.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْئٍ فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا

Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membenarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari. ( Riwayat Muslim )

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi :

مَنَ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ (صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ )

Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ( Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang kuat ; berkata al-Haithami perawinya shohih kecuali ‘Uqbah bin Sinan 5/117 ; Muntaqa , 2/791 )

Semoga semua kita terselamat dari kesesatan dan kebahayaan syirik. Perlu diingat, perkara syirik sebegini, sengaja melihat dan menganalisa untuk tujuan ‘suka-suka' juga diharamkan. Ia perlu dijauhi sejauh-jauhnya.


Sekian

dari zaharudin.net
Kembali ke TRANUNGKITE.NET dan beri komen sila klik link dibawah
http://www.tranungkite.net/v10/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&p=375898#375898"

Lagi Penyelewengan UMNO BN.

.
Posted on Wednesday, March 17 @ 17:30:00 PDT
Dilulus untuk paparan oleh teori

Berita Oleh: addin_77

"
Kerajaan Selangor hari ini mendedahkan minit mesyuarat majlis kerajaan negeri pada 1987 mengenai status pengasingan tanah di Subang Jaya iaitu Taman Rekreasi Subang Ria. Maklumat yang diklasifikasi mengikut Akta Rahsia Rasmi itu menunjukkan bagaimana kerajaan Selangor ketika masih dicengkam pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) menjual tanah terbabit kepada Sime Darby UEP.


Mendedahkan hal itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, bayaran tanah yang dijual kepada Sime Darby pula jauh lebih tinggi dari nilai sebenar. Mengikut minit mesyuarat itu, katanya, United Estate Berhad memohon tanah seluas 76.5 ekar di Petaling yakni sekarang Subang Jaya pada 1987 untuk kegunaan rekreasi.

Beliau berkata, bayaran premium yang dikenakan untuk tanah tersebut ketika itu berjumlah 4.95 juta sedangkan nilai pasaran hanyalah 1.57 juta. "Bagaimanapun, urusan itu tidak melibatkan wang, sebaliknya Sime Darby membeli 10 rumah untuk digazetkan sebagai kuaters kakitangan pejabat daerah petaling ketika itu. Khalid berkata, rumah itu diserah kepada kerajaan Selangor dan digazet sebagai rumah untuk Penolong Pegawai Daerah Petaling dan Setiausaha Majlis Daerah Petaling.

"Kesemua unit runah ini terletak di SS 19 Subang Jaya. Cadangan ini telah diluluskan Mesyuarat MMKN ketika itu," katanya. Katanya, ia mencetuskan kontroversi berikutan Taman Rekreasi Subang Ria hendak dimajukan sebagai kawasan perumahan oleh Sime Darby mendapat tentangan hebat penduduk. "Sebagai pemilik tanah yang berhak, Sime Darby UEP tidak boleh dihalang dari membuat pelan pembangunan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri akan memastikan penduduk di Subang Jaya mendapat kawasan hijau secukupnya. "Kerajaan Selangor komited memastikan pembangunan tidak akan menjejaskan hak rakyat dan semua keputusan dibuat secara telus dan tanggungjawab dan selari dengan agenda merakyatkan ekonomi Selangor.
"

Terkesima

Posted on Wednesday, March 17 @ 17:27:53 PDT
Dilulus untuk paparan oleh SongkokPutih

Artikel Oleh Abdul Kadir

Saya amat terkesima apabila menziarahi posting Muktamar Wehdatul Islamiah Versi Edition oleh Ustaz Nasaruddin Haji Hassan At-Tantawi pada program Penyatuan Islam Antarabangsa kali ke 23 . Program yang dipenuhi para alim ulama' turut bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se- Malaysia PAS.

Memang mengejutkan saya apabila beliau menjadi dif jemputan dan diberi penghormatan untuk berucap pada program tersebut. Sedangkan sebelum ini yang saya ketahui beliau merupakan AJK Taqribul Mazhab sahaja. Jika tidak silap. Ini merupakan Qudwah yang baik.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Daripada Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bermurabitunlah satu hari di jalan Allah lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di atasnya.”
(Riwayat al-Bukhari)

Ulama' yang murabbi sungguh memberi kesan kepada si mad'u yang menerima setiap apa yang disampaikan. Kerana setiap apa yang mereka ingin sampai mereka sangat-sangat mengamati sebelum mereka menyampaikan. Mereka bukan golongan yang hanya pandai berkata-kata tetapi tidak melaksanakannya. Setiap apa yang mereka katakan dijadikan contoh tauladan melalui pengamalanya.

Sehari dua ini seorang sahabat rapat saya yang tidak perlu disebut namanya. Dia seakan mahu menjejaki betul-betul setiap akspek kehidupan Tuan Guru yang saya boleh katakan sebagai idolanya. Dia seakan mengikuti setiap perkembangan semasa, ceramah, dan sebagainya. Setiap ceramah di downloadnya. Dan cuba menjiwai kesukaran jalan dakwah. Barangkali bakal menggantikan Tuan Guru di masa mendatang InsyaAllah. Setidak pun pembantu perjuangan Islam. Saya yakin.

Semoga Allah membuka hati kita untuk terus mendalami ilmu agama dan beramal denganya. Mengekalkan (thabat) hati untuk menerusi jalan dakwah yang ujiannya tidak kita ketahui.


Memahami apa yang kita lakukan adalah satu perkara yang sangat penting. Kerana tidak semudah untuk kita bahasakan perjuangan itu dan ini jika ianya tidak dilalui dengan ujian. Samada ujian itu kesenangan mahupun ujian kesesusahan. Mudahan ujian dariNya termampu mengikut kemampuan masing-masing.

Nasihat buat diri dan pembaca sekalian agar kita sentiasa beristiqomah untuk mendalami ilmu agama dan sentiasa memenuhi kehidupan semangat membaca. Sepertimana ada seorang pemuda gerakan Islam Ikhwanul Muslimin pernah berpesan pada kami melalui tauladan yang beliau lakukan.

" Selepas saja waktu Isyak merupakan masa untuk aku penuhi dengan pembacaan buku-buku gerakan islam dan ilmu-ilmu lain, aku tidak suka buang masa".

Antara pesanan beliau juga dikala kita menghadapi penyakit putus asa (futur). Beliau berpesan supaya. " Sentiasalah membaca muqoddimah fi dhilali Quran karangan Sayyid Qutub".

Mudahan kita terus bersemangat dan terus faham. Biarlah sedikit demi sedikit kita cuba lakukan. Terpenting jangan tinggalkan kesemuanya jika tidak termampu. Semoga kita beristiqomah.

...
http://abdqodirjailani.blogspot.com/