Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

19.3.10

Jaga kepentingan Orang Asli


Mohd. Shafie Apdal bersalaman dengan remaja Orang Asli semasa perjumpaan di Putrajaya. Turut mengiringi beliau Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Abd. Jabar Che Nai (kiri).


KESEDARAN mengenai perlunya pemberian milik tanah secara individu di kalangan masyarakat Orang Asli sebenarnya telah wujud sejak tahun 1990-an lagi. Ia selaras dengan resolusi Persidangan Nasional Mengenai Hak Tanah Dan Jati Diri Orang Asli SeMalaysia pada 2 dan 3 September 1996.

Sehingga kini, orang Asli telah menduduki dan mengusahakan tanah seluas kira-kira RM50,563 hektar. Daripada jumlah itu, kira-kira 19,713 hektar tanah telah diwartakan sebagai tanah rizab mengikut seksyen Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

Sejumlah 30,489 hektar tanah pula telah diluluskan oleh pihak berkuasa negeri tetapi masih belum diwartakan sebagai kawasan Orang Asli mengikut akta yang sama.

Jika diteliti, Orang Asli sebenarnya masih jauh ketinggalan dari segi pemilikan tanah. Setakat ini, hanya 0.03 peratus sahaja tanah yang dimiliki secara individu daripada jumlah keseluruhan pemilikan tanah di Semenanjung. Oleh sebab tiada hak milik berdaftar, hak-hak mereka telah dinafikan apabila berlaku urus niaga atas tanah. Atau kegagalan menerima bayaran pampasan yang setimpal apabila berlaku pengambilan tanah.

Orang Asli juga berdepan dengan masalah ketika mendaftar pembahagian pusaka apabila berlaku kematian dan tiada jaminan hak milik untuk generasi akan datang. Isu ini sering dibangkitkan dalam sesi perjumpaan antara masyarakat orang Asli dengan jabatan agensi kerajaan serta pemimpin masyarakat.

Kerana itu adalah wajar untuk Orang Asli diberi hak milik tanah sebagaimana kaum-kaum lain. Ini membawa kepada pembentangan Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah kepada Orang Asli antara kementerian dan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) sepanjang 2005 hingga 2009.

Kertas dasar ini juga telah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Pembangunan Masyarakat Orang Asli (MPKMOA) pada 2009 dan dipersetujui. Dasar itu dirangka dengan mengambil kira pandangan beberapa pihak dan agensi berkaitan. Antaranya Jabatan Peguam Negara, kerajaan negeri, Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar serta Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan.

Kertas dasar ini juga telah dibentangkan dan dipersetujui oleh Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada Disember tahun lalu. Pemberimilikan tanah ini dipertimbangkan sebagai langkah untuk meningkatkan taraf sosial ekonomi dan kualiti hidup Orang Asli melalui pembangunan tanah secara terancang dan bersepadu. Ia juga bertujuan memastikan mereka turut serta dalam arus pembangunan.

Dalam masa yang sama, dasar ini diharapkan dapat mewujudkan budaya dan nilai-nilai positif dalam kehidupan harian tanpa mengamalkan budaya hidup berpindah-randah. Ini sekali gus dapat membantu kerajaan mempercepatkan usaha membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan masyarakat Orang Asli.

Pemberian milik tanah kepada Orang Asli itu adalah mengikut seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965 yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk memberi milik kepada ketua isi rumah Orang Asli dengan pegangan kekal.

Dasar ini melibatkan pemberimilikan untuk tanah ladang dan tapak rumah. Tanah ladang yang diberi milik akan dibangunkan terlebih dahulu oleh agensi kerajaan, swasta atau koperasi. Suratan hak milik pula akan dikeluarkan setelah ladang matang.

Tanah yang hendak diberi milik pula merangkumi tiga perkara. Pertama tanah rizab Orang Asli di bawah Seksyen 7 Akta 134. Kedua tanah yang diluluskan oleh pihak berkuasa negeri tetapi belum diwartakan dan ketiga, pemberimilikan tanah hanya kepada ketua isi rumah Orang Asli (Seksyen 3 Akta 134).

Majlis Tanah Negara juga bersetuju dengan cadangan kegunaan dan kelulusan tanah iaitu tanah ladang seluas 2.4 hektar (enam ekar). Keluasan tapak rumah pula seluas 0.1 hektar atau bersamaan satu perempat ekar dengan tempoh pegangan kekal.

Melihat kepada dasar itu, kerajaan sedang berada pada landasan yang betul dalam usaha membawa masyarakat Orang Asli bersama-sama menikmati arus pembangunan negara. Tetapi dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu berhati-hati merangka dasar tersebut kerana soal tanah bagi masyarakat Orang Asli adalah satu isu yang sangat sensitif.

Kerana itu rasa tidak puas hati yang disuarakan oleh mereka tidak boleh dipandang mudah. Apatah lagi apabila wujud dakwaan bahawa dasar berkenaan diluluskan tanpa melibatkan rundingan dengan masyarakat Orang Asli. Sedangkan pandangan mereka perlu diletakkan paling hadapan kerana dasar itu menyentuh secara langsung mengenai kepentingan mereka.

Namun, masyarakat Orang Asli barangkali boleh menarik nafas lega apabila Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal memberi jaminan untuk meneliti semua cadangan yang dikemukakan. Malah beliau turut menekankan semua undang-undang mengenai Orang Asli akan digubal dengan mengutamakan kepentingan masyarakat itu.

Kalangan masyarakat Orang Asli juga perlu mendapatkan gambaran yang jelas mengenai dasar ini terutama dari sudut pelaksanaan dan manfaat kepada mereka. Peluang daripada siri jelajah yang diadakan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di seluruh negara ketika ini wajar diambil untuk memahami dasar ini dengan lebih baik.

Siri jelajah atau 'road show' itu telah pun digerakkan sejak 18 Februari lalu. Ia bertujuan memberi penjelasan kepada ketua-ketua masyarakat, tok batin, badan bukan kerajaan (NGO) dan cendekiawan dari masyarakat Orang Asli.

Dari sudut pandang yang lebih luas, permasalahan Orang Asli sebenarnya melangkaui isu tanah semata-mata. Pembangunan sosio ekonomi, pendidikan dan modal insan juga sentiasa dititikberatkan. Kerajaan sentiasa mengkaji dan mengenal pasti strategi bersesuaian bagi memastikan usaha membasmi kemiskinan dapat direalisasikan.

Penubuhan Focus Group misalnya, adalah strategi khusus untuk melonjakkan masyarakat Orang Asli menerusi lima bidang utama. Ia termasuk bidang pendidikan, pembangunan ekonomi, kemudahan prasarana penempatan, pengetahuan tradisional dan warisan serta kesihatan.

Tinggal lagi ketika ini, sejauh mana masyarakat Orang Asli bersedia untuk bersama-sama rakyat Malaysia yang lainnya dalam arus pembangunan negara.

Tiada ulasan: