Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

19.3.10

Anwar dimalukan lagi



Ahmad Zahid Hamidi diiringi Pengarah Urusan Zetro Aerospace Corporation, Datuk Zamri Muda (kanan) melawat sekitar bengkel penyelenggaraan helikopter pada majlis perasmian bangunan baru Zetro Aerospace Corporation di Subang, semalam.


SUBANG JAYA 18 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi malu besar apabila bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal menafikan badan bersenjata itu merestui rancangan ‘16 September’ bagi mengambil alih Kerajaan Pusat.

Sambil menyifatkan dakwaan Ketua Pembangkang itu seperti yang didedahkan seorang ahli Parlimen Bebas semalam, sebagai pembohongan paling besar, Abdul Aziz yang memimpin ATM pada waktu itu mengutuk tindakan yang sangat keji tersebut kerana sanggup menjual nama sebuah organisasi pertahanan yang profesional demi kepentingan politik peribadi.

‘‘Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan ATM dengan pembangkang ketika itu sebagaimana didakwa oleh Anwar, kerana badan ini adalah organisasi profesional yang bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara dan bukannya terbabit dalam mainan politik.

“Kenyataan Anwar itu hanyalah helah untuk mengaburi mata rakyat kerana ATM tidak akan sesekali menyetujui sebarang perancangan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat,’’ katanya pada sidang media selepas majlis perasmian bangunan baru Zetro Aerospace Corporation, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau mengulas pendedahan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pada sidang Dewan Rakyat semalam berhubung rancangan Anwar untuk menubuhkan kerajaan 16 September 2008.

Antara lain, Zahrain mendedahkan Anwar membohongi wakil rakyat pembangkang kononnya Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin memperkenan pelantikannya sebagai Perdana Menteri keenam dan mendakwa ATM juga menyokong pelantikan itu.

Selain itu, Anwar juga didakwa berbohong apabila menyatakan seorang Timbalan Speaker Dewan Rakyat akan mempengerusikan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan dan menyokong pembangkang untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut mengenai tindakan Anwar itu, Abdul Aziz berkata, tiada sebarang pertemuan dibuat antara Ketua Pembangkang dengan beliau mahu pun pemimpin kanan ATM lain selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada Mac 2008.

Ditanya sama ada pihak ATM mengetahui sejak dari awal nama organisasi itu dikaitkan dengan rancangan 16 September, Abdul Aziz berkata, pihaknya mengakui memang timbul desas-desus dan beliau sendiri pernah ditanya oleh media mengenainya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau tidak menolak kemungkinan ATM akan mengambil tindakan tegas, jika selepas ini pembangkang terus mencemarkan imej organisasi itu demi kepentingan politik mereka.

Sementara itu, Ahmad Zahid mahu rakyat menilai sendiri pembohongan Anwar yang sanggup mempergunakan apa sahaja demi memastikan matlamat peribadinya tercapai.

“Apa yang dikatakan oleh Anwar adalah pembohongan besar, bukan sahaja kepada wakil rakyat pembangkang tetapi rakyat keseluruhannya hanya semata-mata untuk mencapai hasratnya bergelar Perdana Menteri,’’ jelasnya.

“Pembohongan mereka jelas kerana sehingga kini tiada seorang pun wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang keluar parti, sebaliknya mereka yang dilanda musibah apabila ramai wakil rakyat pembangkang menjadi ahli Bebas,’’ jelasnya.

Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan komited untuk terus membangunkan industri pertahanan tempatan melalui penganugerahan kontrak jangka masa panjang terutamanya kepada syarikat yang menunjukkan pencapaian progresif.

Katanya, kerajaan akan memastikan hala tuju program pembangunan industri pertahanan tempatan terus dipergiatkan bagi memastikan negara mampu berdikari dalam menghasilkan produk pertahanan berasaskan teknologi tempatan.

“Komitmen kerajaan ini amat penting kerana kita tidak boleh terlalu bergantung kepada negara luar terutamanya berkait dengan sistem pertahanan yang bersifat strategik,” ujarnya.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: