Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

2.2.10

Penyokong Pakatan sokong petugas media...


Abdul Rahim Sabri
Feb 2, 10
3:48pm

Keadaan menjadi riuh rendah seketika di lobi kompleks mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pagi tadi apabila kira-kira 100 penyokong Pakatan Rakyat bersorak sebagai tanda sokongan kepada petugas media yang ketika itu diarahkan oleh pihak polis mengosongkan kawasan tersebut.

Lebih 50 petugas media dari dalam dan luar negara berada di situ untuk membuat liputan ucapan ahli parlimen Batu, Tian Chua yang juga pengarah strategik PKR. Ketika itu, Perbicaraan kes liwat terhadap ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berlangsung di dalam mahkamah.

Mereka menjerit membantah tindakan anggota polis dengan melaungkan "Hidup Rakyat" dan "Berikan hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman".

Mereka turut mengibarkan dua kain rentang berbunyi "Perhimpunan Bantah Fitnah ke-2" dan "Tolak Kekejaman Terhadap Anwar".

Kira-kira 30 anggota polis berada di situ untuk mengawal keadaan. Selepas itu, kelihatan beberapa anggota polis cuba menurunkan salah satu kain rentang tersebut.

Bagaimanapun ia sempat dihalang oleh kumpulan penyokong yang berada di tangga mahkamah, tempat kain rentang itu dipasang dan keadaan kembali tenang.

Tian Chua yang berucap di atas tangga meminta polis supaya tidak mengganggu perhimpunan itu.

"Kita tidak berniat untuk melakukan provokasi atau permusuhan dengan polis. Kita harap tidak ada gangguan dari pihak polis," katanya.

Tian Chua dalam ucapannya mendakwa pemerintah (Umno) menggunakan segala jentera kerajaan untuk menjatuh Anwar Ibrahim 10 tahun lalu sehinggalah rakyat menolak Umno dalam pilihnraya umum, Mac 2008.

Beliau mendakwa tuduhan terhadap Anwar itu adalah "palsu dan fitnah".

"Kita harap rakyat bangkit menyaksikan bahawa negara kita masih belum berubah. Kita hantar mesej yang jelas untuk buat perubahan," katanya penuh semangat, disambut laungan reformasi dan takbir para penyokong.

Manakala ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Hatta pula berkata pertuduhan liwat terhadap Anwar adalah pengulangan kisah tahun 1998. Manakala naib presiden PKR, Lee Boon Chye mendakwa pertuduhan itu "satu konspirasi politik untuk menjatuhkan Anwar".

Di satu sudut yang lain, seorang penyokong PKR memberi ucapan secara berseloka kepada hadirin, mengecam ketidakadilan yang didakwanya berlaku terhadap Anwar.

Sementera itu, Bernama pula melaporkan seorang lelaki warga emas mencetuskan kekecohan apabila menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap petugas media kerana tidak dapat mengikuti perbicaraan Anwar.

Ia berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi selepas lelaki dalam lingkungan usia lewat 70-an tersebut, tidak dibenarkan memasuki dewan mahkamah kerana pas telah kehabisan.

Beliau melepaskan rasa geram kepada petugas media yang memenuhi ruang lobi tersebut sebelum pengsan lima minit selepas itu dan terpaksa dibawa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans.

Sebelum itu beberapa pemimpin PKR yang dilihat hadir selepas Anwar menuju ke dewan mahkamah antaranya, naib presiden PKR Mustafa Kamil Ayub dan timbalan pengerusi PKR Selangor Syed Shahir Syed Mohamud , pada kira-kira jam 9.10 pagi.

Sepuluh minit selepas itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat tiba di mahkamah memberi sokongan kepada Anwar. Kehadiran beliau disambut laungan takbir dari para penyokong.

Ketua Pemuda PKR (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin pula tiba. Sambil tersenyum beliau sempat bersalaman dengan beberapa pemimpin PKR, termasuk bekas setiausaha akhbar Anwar, Khalid Jaafar. Turut hadir ialah ahli parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Penyokong Pakatan berhimpun di lobi mahkamah untuk memberi sokongan kepada Anwar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata keadaan di kawasan kompleks mahkamah terkawal.

"Sebarang perbicaran kes berprofil tinggi polis akan mengadakan kawalan keselamatan yang ketat dan kita telah menempatkan anggota yang secukupnya bagi kes ini," katanya kepada Bernama di lobi mahkamah.

Katanya polis telah ditugaskan berkawal di kompleks mahkamah dari pukul 6 pagi ini sehingga perbicaraan kes liwat Anwar selesai.

Zakaria berkata polis juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang cuba melanggar peraturan mahkamah sehingga menggangu perjalanan perbicaraan kes berkenaan.

Usaha temui Ketua Hakim Negara gagal


Feb 2, 10 2:25pm
Usaha peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan tarikh awal bagi semakan rayuan keputusan mahkamah, yang menolak pembekalan dokumen penting, kepada pemimpin PKR itu dengan menemui Ketua Hakim Negara gagal.

Peguam bela Anwar, Sankaran Nair berkata Tun Zaki Azmi tidak berada di pejabat beliau di Putrajaya hari ini.

"Tun Zaki bagaimanapun telah mengeluarkan arahan kepada Tan Sri Allaudin yang bersetuju mengadakan satu pertemuan pagi esok di Putrajaya bagi membincangkan penetapan tarikh untuk permohonan semakan.

"Oleh itu, saya akan berada semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi meneruskan hujahan permohonan penangguhan kes,'' katanya.

Sementara itu, perbicaraan kes liwat Anwar bersambung petang ini di mana mahkamah mendengar pemohonan pihak pembela untuk menangguhkan prosiding, sementara menunggu permohonan semakan semula keputusan penolakan rayuan ketua pembangkang itu untuk mendapatkan lebih dokumen dan bukti-bukti dari pihak pendakwa.

Penangguhan ditolak, kes Anwar didengar esok


Hafiz Yatim
Feb 2, 10
12:56pm

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan penangguhan berhubung kes liwatnya.

Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah yang mendengar hujah kedua-dua pihak berkata tiada sebab bagi penangguhan lanjut

Beliau bagaimanapun membenarkan penangguhan perbicaraan sehingga 2.30 petang esok.

Keputusan itu bagi membolehkan peguam Anwar bertemu dengan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alaudin Mohd Sherif bagi menetapkan tarikh pendengaran permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan.

Permohonan semakan itu adalah untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu yang menolak permohonan Anwar mendapatkan dokumen dan material penting termasuk sampel DNA Mohd Saiful Bukhari Azlan bagi persediaan pembelaan kes liwat itu.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Peguam Sankara Nair berkata, permohonan tersebut telah difailkan di Mahkamah Persekutuan pada kira-kira jam 8.40 pagi tadi.

“Kami perlu memfailkan permohonan semakan semula kerana tanpa dokumen-dokumen tersebut, tangan kami terikat dalam membuat persiapan menghadapi kes ini,” katanya.

Pagi tadi, Hakim Mohamad membenarkan prosiding ditangguh sehingga jam 2.30 petang ini, untuk mendengar hujah-hujah berhubung perkara tersebut.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan juga turut menolak rayuan Anwar untuk mendapatkan lebih banyak bukti dari pihak pendakwaraya seperti rakaman CCTV, nota doktor, senarai saksi dan kenyataan hemat saksi.

Dalam afidavit sokongannya, Anwar berkata Mahkamah Persekutuan - sebagai mahkamah tertinggi di negara ini - mempunyai kuasa untuk mendengar dan menyemak keputusan awalnya.

Menurut Anwar, beliau tidak diberi keadilan oleh Mahkamah Persekutuan yang didakwanya tidak memberi pertimbangan secukupnya terhadap rayuannya itu, kerana dokumen dan bahan-bahan tersebut, amat penting dalam menyedia pembelaannya.

Anwar akan sapena Najib, Rosmah jadi saksi


Hafiz Yatim
Feb 2, 10
10:27am
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah meminta peguamnya, Karpal Singh supaya mensapena Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Rosmah Mansor untuk menjadi saksi dalam kes liwat terhadapnya.

Anwar yang juga ketua umum PKR berkata, beliau mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa Mohd Saiful Bukhari Azlan, telah menemui Rosmah dan kemudian Najib, dua hari sebelum membuat laporan polis.

"Kita mahu tahu pembabitan Rosmah dan Najib dalam hal ini.

"Mereka tidak menafikan pertemuan tersebut dan kita mahu tahu," katanya.

Kemudiannya, ketika berucap kepada penyokongnya, Anwar berkata: "Biar mereka datang buat penjelasan apa yang sebenarnya berlaku.

"Mereka mesti hadir jelaskan keadaan," katanya.

Anwar mengakhiri ucapannya dengan laungan bersama penyokongnya "lawan tetap lawan".

Pada Julai 2008, Najib yang ketika itu timbalan perdana menteri, mengakui bahawa Mohd Saiful adalah menemuinya di kediamannya beberapa hari sebelum membuat laporan polis.

Najib mendakwa beliau telah menasihatkan Mohd Saiful supaya membuat laporan polis tetapi menafikan beliau terbabit dalam konspirasi terhadap Anwar.

Sebelum itu, Najib telah mengakui bahawa beliau juga telah bertemu dengan Mohd Saiful di pejabatnya di Putrajaya.

Mohd Saiful, bekas pelajar Universiti Tenaga (UNITEN), ketika itu mahu mendapatkan bantuan Najib untuk memperolehi biasiswa kerajaan.

Karpal: Tiada bukti kemasukan di dubur Saiful



Feb 2, 10 9:09am

Perbicaraan hari ini mendengar hujah kedua-dua pihak dengan pihak pembela menggesa Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin menangguhkan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan itu bagi membolehkan mereka untuk mendapatkan permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan. Antara bukti tambahan yang dipohon oleh Anwar ialah rakaman video, nota ahli kimia dan laporan perubatan Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi.

Mahkamah juga hari ini mendengar hujah pendakwa bahawa kononnya dubur Saiful dimasukkan dengan plastik adalah tidak benar.

Berikut rentetan peribicaraan hari ini.

3:35 petang: Mahkamah ditangguhkan. Perbicaraan bersambung semula esok pada jam 2.30 petang.

3:30 petang: Hakim Mohd Zabidin memutuskan menolak permohonan penangguhan dan berkata perbicaraan akan diteruskan.

Karpal memohon keputusan ditangguhkan sehingga pertemuan dengan presiden mahkamah rayuan.

Bagaiamanapun hakim menolak permintaan itu dan berkata dia tidak boleh menangguhkan lagi kes ini.

3.20 petang: Hujah berakhir. Mahkamah berhenti seketika sebelum hakim Mohd Zabidin membuat keputusan berhubung penangguhan.

3:15 petang: Mohd Yusof berhujah tiada peruntukkan khas bagi membenarkan permohonan penangguhan berkenaan.

Katanya, laporan perubatan yang dimilikinya tidak menyebut bahawa plastik dimasukkan ke dalam dubur Saiful.

3:10 petang: Pendakwa raya utama, Mohd Yusof memulakan hujahnya.

2.50 petang: Karpal menyerahkan dua laporan perubatan yang menunjukkan tiada bukti kesan kemasukan di dubur Saiful.

"Tembusan adalah elemen penting. Tidak mungkin disabitkan kesalahan. Tiada hakim yang akan mengabaikan bukti itu," katanya.

"Malah jika ada memanggil 1,000 saksi, apa yang asas ialah laporan perubatan menunjukkan tiada

kesan kemasukan."

2.45 petang: Peguam bela Karpal Singh memberitahu mahkamah pihaknya gagal menemui Tun Zaki tetapi sebaliknya diarah berjumpa dengan presiden mahkamah rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff.

Memandangkan Alauddin mempunyai jadual rawatan gigi hari ini, pertemuan diaturkan esok.

2:35 petang: Perbicaraan bersambung semula.

10:44 pagi: Penyokong mula bersurai tetapi masih ada yang menunggu sambil menyanyikan lagu Suara Rakyat di pintu masuk bangunan mahkamah. Polis masih mengawal dan tiada kekerasan dilaporan sepanjang pagi tadi.

10:34 pagi: Anwar meninggalkan mahkamah dengan laungan "Hidup Anwar" oleh kira-kira 50 penyokongnya. Wartawan ditegur polis kerana 'merosakan' garisan kuningnya manakala 40 wakil rakyat pembangkang yang berada di situ 'ditegur' kerana didakwa membuat bising.

10:25 pagi: Anwar berucap pada penyokongnya dengan berkata peguamnya akan memanggil Najib dan Rosmah sebagai saksi kerana dia mempunyai bukti bahawa Saiful berjumpa kedua-dua mereka, dua hari sebelum laporan polis dibuat. "Kami mahu tahu pembabitan mereka dalam perkara ini. Mereka tidak menafikan pertemuan itu dan kami mahu tahu lanjut," katanya.

10:11 pagi: Tian Chua dan pemimpin PKR yang lain meluru ke lobi mahkamah. Sambil berdiri di tangga, mereka membidas kerajaan dan menyeru penyokong mempertahankan Anwar. Mereka juga mengibarkan kain rentang berbunyi 'Himpunan bantah fitnah ke-2'. Pergelutan kecil berlaku apabila polis cuba merampas kain rentang berkenaan. Namun mereka dihalang oleh penyokong PKR. Polis membiarkannya dan hanya memanatu keadaan. Ucapan Tian Chua diteruskan.

9:50 pagi: Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah menangguhkan prosiding sehingga jam 2.30 petang, di mana peguam Anwar dijangka berhujah bagi menangguhkan prosiding.

9:45 pagi: Peguam Anwar - Karpal Singh - memohon untuk menangguhkan prosiding pagi ini ekoran temujanji dengan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi berhubung semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu yang menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen berhubung kes liwatnya.

9:26 pagi: Buat pertama kalinya, Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghadiri perbicaraan kes liwat Anwar, tiba.

9:18 pagi: Pasukan pendakwaraya dan peguam masuk ke dewan mahkamah.

9:17 pagi: Anwar sempat berjenaka dengan Ragunath apabila gagal membuka pintu kamar perbicaraan. Beliau berseloroh: "Kamu lebih berpengalaman, selepas 11 tahun, saya masih tidak dapat membukanya".

9:00 pagi: Pemimpin-pemimpin Pakatan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang, presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail, timbalannya Dr Syed Husin Ali dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail semuanya sudah tiba di mahkamah.

8:51 pagi: Ketibaan Anwar, anggota keluarganya dan Lim disambut dengan laungan "reformasi" dan hidup Anwar".

8:46 pagi: Pihak pendakwaan Nordin Hassan dan Mohd Yusof Zainal Abiden tiba di mahkamah.

8.42 pagi: Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan tiba sebagai pemerhati untuk kes berprofil tinggi itu.

8:35 pagi: Ketibaan pemimpimpin-pemimpin Pakatan, Dr Syed Husin Ali dan dua exco kerajaan Selangor Elizabeth Wong dan Dr Xavier Jayakumar.

8:33 pagi: Anwar, Wan Azizah dan dua anaknya keluar daripada rumah mereka di Segambut.

8:25 pagi: 50 penyokong berkumpulan di sekitar bangunan mahkamah

8:15 pagi: Beberapa wakil rakyat PKR berkumpul di rumah Anwar.

8:00 pagi: Bapa kepada Mohd Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim tiba.

7:57 pagi: Pihak diplomat daripada Britain, Jepun, Switzerland, Kanada tiba, lebih ramai dijangka hadir.

7:55 pagi: Kira-kira 30 penyokong PKR dan 10 wartawan masih beratur bagi mendapatkan pas masuk.

7:43 pagi: Polis hanya membenar 30 wartawan mengikuti perbicaraan, setiap organisasi hanya dibenarkan menghantar seorang wartawan

7:00 pagi: Anggota keselamatan telah berkumpul di sekitar kompleks mahkamah tersebut. Kawalan keselamatan ketat.

Wartawan telah sedia menunggu sejak daripada jam 6.25 pagi lagi.

Pendakwa: Air mani dikeluarkan dari dubur Saiful


Feb 2, 10 6:26pm


Peguamcara negara Mohd Yusof Zainal Abiden berkata pihaknya mempunyai bukti yang kukuh dalam bentuk spesimen air mani bagi mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim memang meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Pihak pendakwa akan membuktikan kes ini melalui laporan kimia yang menunjukkan air mani diperolehi daripada mangsa,” kata Mohd Yusof yang mengetuai pasukan pendakwa raya dalam perbicaraan yang secara rasmi bermula esok.

“Terdapat spesimen yang dikeluarkan dari dubur mangsa. Ini akan membuktikan tembusan memang berlaku,” katanya.

“Apa yang dimiliki oleh pasukan pembela adalah hanya laporan awal daripada doktor yang merawat Mohd Saiful tetapi ia tidak termasuk laporan kimia berhubung spesimen air mani,” tambahnya.

Mohd Yusof berkata perkara berkenaan akan dibuktikan ketika perbicaraan apabila doktor dan ahli kimia memberi keterangan.

Mereka akan menunjukkan bagaimana tembusan tehadap mangsa dilakukan.

Saiful akan dedah semuanya di mahkamah


Kuek Ser Kuang Keng
Feb 2, 10
4:52pm
Mohd Saiful Bukhari Azlan menolak tanggapan bahawa dia telah dipengaruhi oleh perdana menteri dan isterinya, untuk membuat tuduhan diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tidak, tidak, tidak... ianya tidak benar. Saya akan beri keterangan esok," katanya sambil menambah semuanya akan didedahkan di mahkamah.
Mohd Saiful memberitahu media demikian ketika keluar dari bilik saksi di mahkamah petang ini.

Pagi tadi, ketua pembangkang, Anwar berkata beliau meminta peguamnya, Karpal Singh supaya mensapena Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor untuk menjadi saksi dalam kes liwat terhadapnya.

Anwar yang juga ketua umum PKR dilaporkan berkata, beliau mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa Mohd Saiful telah menemui Rosmah dan kemudian Najib, dua hari sebelum membuat laporan polis.

Penasihat PKR dan ahli Parlimen Permatang Pauh dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara jam 3.01 petang dan jam 4.30 petang 26 Jun 2008.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mohd Saiful tiba di mahkamah kira-kira jam 8 pagi tadi, dan menunggu di bilik saksi sehingga prosiding hari ni selesai

Mohd Saiful kelihatan tenang dan ditemani oleh peguamnya.

Ditanya sama ada dia akan menjadi saksi pertama apabila perbicaraan kes liwat Anwar bermula petang esok, Mohd Saiful berkata dia “tidak pasti tetapi ada kemungkinan besar.”

Beliau juga berkata, kenyataannya kepada media hari ini tidak berunsur prejudis kerana dia tidak menyentuh tentang kes tersebut.

Menjawab soalan media, Mohd Saiful berkata dia agak letih kerana berada di bilik saksi sejak pagi tadi.

Bagaimanapun, katanya, dia gembira kerana selepas menunggu selama setahun setengah, dia kini berpeluang memberi keterangan bagi membela dirinya.

Bagaimanapun, katanya, penantian tersebut telah “menambah kekuatannya."

Ditanya mengenai keyakinan terhadap kes, Mohd Saiful menjawab: “Insya-Allah”.

1.2.10

AC undur

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
2010/02/04
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara terkenal, Mizal Zaini atau lebih dikenali sebagai AC Mizal, sah meninggalkan Akademi Fantasia sekali gus tidak terbabit sama sekali dalam penerbitan musim ke-8 program realiti paling berpengaruh di negara ini.

AC berkata, sebagai pemilik AC Konsortium dia harus memberikan komitmen tinggi terhadap perniagaannya.

“Saya diberikan Arastu Sdn Bhd dana RM200 juta untuk menguruskan perniagaan konsortium ini. Tiga bulan beroperasi AC Konsortium memasuki pasaran di Indonesia, Guangzhou, Macau dan Insya-Allah tidak lama lagi di Australia dan United Kingdom (UK).

“Sekarang ini boleh dikatakan hujung minggu saya dipenuhi seminar bersama kakitangan kerajaan mengajak mereka menjana pendapatan melalui penjualan produk AC Konsortium. “Keterbatasan waktu menyebabkan saya tidak mampu membahagikan diri antara AF dan perniagaan ini apatah lagi, AF menuntut komitmen panjang.

“Lega kerana tidak lagi ada bebanan sebagai pengacara AF, tetapi dalam masa sama sedih kerana terpaksa melepaskan AF yang membawa makna besar dalam hidup saya sepanjang dua tahun mengendalikannya iaitu AF6 dan AF7,” katanya.

Perkara itu disahkan Pengarah Eksekutif Astro, Zainir Aminullah yang turut dihadiri Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi dan AC pada sidang media.

Zainir berkata, keputusan dibuat atas persetujuan bersama dan tiada kaitan desas-desus tersebar sebelum ini kononnya AC disingkirkan sebagai pengacara AF8.

“Pada hari ini Astro dan AC memperoleh kesepakatan membuat kenyataan bersama berhubung masa depan AC sebagai hos AF. Mengimbau perkembangan AF jelas sekali ia mengalami banyak perubahan. “Musim demi musim Astro sentiasa berusaha memberi nafas baru memperkasakan AF. Pembaharuan dilakukan merangkumi format, hos termasuk segmen dan di bawah pengurusan Azlin, AF8 kali mencetuskan idea baru.

“Semestinya ia memerlukan komitmen berganda daripada pengacara. Justeru, pihak kami mengadakan satu perbincangan dengan AC berhubung perubahan yang ingin kami lakukan.

“Dari hasil perbincangan menemukan kesepakatan dari kedua belah pihak iaitu AF8 tidak lagi dikendali AC. Pengacara itu sendiri, mengakui dia tidak mungkin membahagikan diri tambahan pula perniagaannya sedang berkembang pesat ketika ini,” katanya.

Air mani Anwar jadi bukti Saiful diliwat


DI Hospital Kuala Lumpur inilah tempat Mohd. Saiful membuat pemeriksaan
perubatan pada 28 Jun 2008.

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa kesan air mani daripada spesimen yang diambil dari dubur Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang telah disahkan oleh Jabatan Kimia sebagai milik Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bukti kukuh bagi membuktikan kesalahannya meliwat Mohd. Saiful.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dalam ucapan pembukaannya berkata, selain keterangan langsung Mohd. Saiful dalam perbicaraan, pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan forensik oleh doktor-doktor dan ahli kimia di samping keterangan mengikut keadaan serta keterangan dokumentar.

Beliau berkata, pihak pendakwaan akan membawa keterangan bahawa pada 26 Jun 2008, pukul 10.30 pagi, semasa di pejabat Anwar, tertuduh telah meminta Mohd. Saiful yang ketika itu pembantu khasnya untuk pergi ke Kondominium Desa Damansara pada pukul 2.30 petang hari yang sama.

Pada pukul 1.45 petang, Mohd. Saiful keluar dari pejabat tertuduh menuju ke Kondominium Desa Damansara dan tiba di kondominium tersebut pada pukul 3 petang.

Di kondominium berkenaan, Mohd. Saiful naik ke Unit 11-5-1 di tingkat 5.

Apabila Mohd. Saiful masuk ke unit tersebut, dia melihat tertuduh duduk di meja makan seorang diri.

"Di unit itu, Mohd. Saiful telah diliwat oleh tertuduh dan mangsa telah meninggalkan unit itu pada pukul 4 petang," jelas Mohd. Yusof.

Dua hari kemudian, pada 28 Jun 2008, Mohd. Saiful membuat laporan polis di Balai Polis Travers mengenai kejadian liwat tersebut.

Pada hari sama, Mohd. Saiful menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Sampel-sampel tisu termasuk dari luar dan dalam dubur Mohd. Saiful diambil oleh doktor yang memeriksanya untuk ujian DNA," kata Mohd. Yusof.

Terdahulu Mohd. Yusof memberitahu, pembukaan tirai perbicaraan itu dimulakan dengan keterangan saksi pertama, Mohd. Saiful.

Katanya, pihaknya juga telah menyenaraikan lebih 20 saksi untuk memberi keterangan.