Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

31.1.13

Antara Malaysiakini dan Berita Harian

31/01/13




Syabas penulis ucapkan kepada akhbar Berita Harian yang menyiarkan kajian populariti yang dijalankan oleh Yayasan Hal Ehwal Siswazah (YES).

Kajian tersebut menyebut bahawa akhbar tersebut dan New Straits Times menjadi pilihan utama mahasiswa sebagai sumber maklumat politik media cetak.

Bahkan ia turut menyiarkan tentang populariti Datuk Seri Najib dalam kalangan mahasiswa yang kini menurut kajian tersebut ia diterajui oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 75.1%, diikuti dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) 67.4% dan Universiti Malaya (UM) 41.4%.

Keadaan ini seolah-olah memberi peluang kepada Najib untuk menyatakan kepada rakyat bahawa beliau masih lagi popular dan menjadi calon pilihan untuk PRU nanti.

Berbeza dengan laporan portal berita Malaysiakini di mana ia menjadi pilihan dalam kalangan mahasiswa  di mana kajian oleh Yayasan Hal Ehwal Siswazah (YES) itu juga menunjukkan Malaysiakini merupakan portal berita dan paling kerap dilayari mahasiswa Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kajian berkenaan membanding kewibawaan Malaysiakini berbanding laman web politik dan blog lain di kalangan pembaca berkenaan.

Seramai 66.4 peratus dari kalangan 1,009 siswa di UM berpendapat demikian berbanding laman berita lain – The Malaysian Insider (30.6 peratus) dan laman milik Umno, Utusan Online (23.6 peratus).

Malaysiakini juga merupakan laman berita paling popular di kalangan siswa berkenaan (71.1 peratus) berbanding Utusan Online (24 peratus), The Malaysian Insider (21.2 peratus) dan laman berita milik MCA, MStar (19.7 peratus).

Trend sama juga dilihat di UKM – seramai 39.4 peratus daripada 1,006 siswa yang dikaji memilih Malaysiakini sebagai sumber maklumat politik yang paling dipercayai berbanding laman lain.

Utusan Online juga menjadi sumber kedua yang paling dipercayai di kalangan siswa UKM (31.5%), diikuti Mstar (19.4%) dan lidah parti PAS Harakahdaily (15 peratus).

Itu perbezaan antara media cetak dan portal, tetapi bagi penulis ia langsung tidak melambangkan kewibawaan media cetak berkenaan. Umum mengetahui bahawa dalam dunia media portal, terlalu banyak rangkaian portal berita baik pro-kerajaan mahupun pro-pembangkang.

Ini kerana media portal adalah tidak terikat dengan mana-mana aturan ketat yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Berbeza dengan media cetak yang penerbitannya banyak dimonopoli oleh KDN seperti pengeluaran permit dan sebagainya.

Andaikata KDN memberi pelepasan kepada mana-mana media bebas untuk menerbitkan akhbar harian mereka sendiri tanpa sebarang sekatan seperti mana yang dialami oleh akhbar pro-pembangkang, ada atau tidak kemungkinan bahawa media cetak mereka akan terus menjadi pilihan?

Jika KDN memberi kebenaran, jadi kajian yang dibuat oileh YES ini dikira Valid dan adil bagi penulis. Jika dalam keadaan kini dibuat perbandingan sebegini ibarat kata MASUK BAKUL ANGKAT SENDIRI..!!!!!

9.1.13

Pelakon Zarina Anjoulie dijamin adik tiri


 
Pelakon dan model Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, 27, lebih dikenali sebagai Zarina Anjoulie dijamin adik perempuan tirinya hari ini selepas dua hari berada dalam Penjara Kajang.
  
Pelakon berkenaan yang dijamin adik tirinya itu keluar dari bilik lokap  kompleks mahkamah Petaling Jaya kira-kira pukul 10 pagi kelihatan tenang, memakai baju-T warna kelabu dan bercermin mata gelap.
  
Zarina bersama rakan lelakinya, Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, 27, didakwa di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya Rabu lepas memiliki dua biji pil Eramin 5 anggaran seberat 0.6 gram, di sebuah kediaman di Jalan PJU 10/1C Damansara Damai, pukul 5.30 petang pada 30 Dis lalu. 
 

  
Kedua-duanya pelajar sebuah kolej swasta, dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
  
Majistret Nazri Omran membenarkan kedua-dua tertuduh, yang mengaku tidak bersalah, dijamin RM2,000 sementara menunggu sebutan semula kes pada 8 Feb depan.
  
Hanya Mohamad Fakhruzaim dapat mengemukakan penjamin manakala Zarina Anjoulie terpaksa dihantar ke penjara kerana tiada ahli keluarga yang hadir untuk menjaminnya.
  
Nazri memerintahkan kedua-dua tertuduh hanya boleh dijamin oleh ahli keluarga sahaja.

- Bernama

Bunuh diri bukan kerana ambil alih tanah, kata adik


11:53PM Jan 3 2013  
Adik kepada seorang lelaki yang membunuh diri bersama isteri dan anaknya di Pengerang pada hari pertama tahun 2013, telah menafikan bahawa ia disebabkan oleh pengambilan tanah untuk projek Pembangunan Bersepadu Petrokimia (Rapid).

Pang Mao Fong, 55, mengadakan sidang akhbar bersama dengan Naib Pengerusi MCA Johor, Jason Teoh semalam selepas memberi penghormatan terakhir kepada abangnya, Jing Rong, 64, kakak iparnya, Wang Ya Yee, 58, dan anak lelaki mereka, Qi Hao, 20, yang mengalami down sindrom.

Menurut laporan China Press, Mao Fong percaya kematian tersebut tidak ada sebarang kaitan dengan pengambilan tanah kerana kerajaan masih belum memulakan proses pengambilalihan tersebut.

azlanSemalam, Chua Peng Sian, bendahari bagi Gabungan NGO Pengerang  yang mengetuai gerakan anti-Rapid, mendakwa, kerana terpaksa berpindah mungkin menjadi salah satu sebab di sebalik tragedi tersebut kerana keluarga berkenaan telah menyewa tanah terbabit, dan oleh itu hanya boleh menerima pampasan sekitar RM20,000.

Fong Mao percaya bahawa Jing Rong, seorang pesakit yang didiagnos dengan kemurungan dan tekanan darah tinggi, tidak dapat menanggung beban yang berat menjaga isterinya kurang upaya kerana angin ahmar dan keadaan anaknya itu.

"Rumah di Kampung Jawa, Pengerang itu dibeli bersama oleh adik-beradik yang lain yang lebih muda untuk keluarga Jing Rong. Kami menolongnya dengan bantuan kewangan setiap bulan.

"Abang saya tidak membunuh diri kerana wang. Beliau tidak pernah mengadu kepada kami," katanya dipetik sebagai berkata.

Mao Fong berkata polis menyoal beliau selama lebih satu jam selepas media melaporkan bahawa Jing Rong membunuh diri berkaitan isu pengambilan tanah.

Oleh itu, beliau menuntut Gabungan NGO Pengerang yang bertanggungjawab atas spekulasi tersebut, dan pihak media supaya menjelaskan isu itu dan meminta maaf.

China Press melaporkan bahawa beberapa penduduk tempatan masih bertanggapan bahawa pengambilalihan tanah mungkin menjadi antara faktor yang membawa kepada tragedi tersebut.

Teoh, yang juga ketua MCA bahagian Gelang Patah, menuntut agar individu dan organisasi yang membuat tuduhan tersebut, membuat permohonan maaf secara terbuka, dan menggesa semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu tersebut.
Beliau berkata sesiapa yang membuat kenyataan yang tidak berasas boleh menghadapi tindakan di bawah tuduhan menghasut.

Bagaimanapun, Naib Pengerusi Gabungan NGO Pengerang, Sim Seng San menyangkal dakwaan Mao Fong dan Teoh, dengan berhujah bahawa kedua-duanya tidak dapat memahami kesusahan yang dihadapi oleh keluarga Jing Rong kerana mereka bukan penduduk tempatan.

"Mengapa menuntut kita memohon maaf? Kami tidak akan memohon maaf! Kami hanya berkata bahawa faktor pengambilalihan tanah tidak harus dikesampingkan.

pengerang resident suicide 010113 01"Teoh terlalu sensitif," katanya, sambil menambah bahawa satu-satunya cara untuk Mao Fong dan Teoh mengetahui kebenarannya ialah untuk 'berdepan dengan kebenaran tentang si mati'.

Bendahari organisasi itu, Chua juga mengulangi bahawa Jing Rong pernah memberitahunya bahawa hanya RM20,000 pampasan akan dibayar kepada keluarga tersebut.

Menurut Chua, Jing Rong tidak selesa tentang masa depan mereka.

Ketua MCA Pengerang, Tan Yong Seng juga mengesahkan laporan China Press bahawa Jing Rong telah meminta bantuan dari MCA kerana bimbang keluarganya akan kehilangan rumah mereka jika tanah itu diambilalih.

Beliau berkata Jing Rong menangis dan berkata dia akan membunuh dirinya dan keluarganya.

"Kami berjanji kepadanya bahawa MCA akan membantunya. Jika mereka terpaksa berpindah, kita akan membantu keluarga itu mendapat sebuah rumah baru, "kata Tan.

Seorang lagi pemimpin MCA tempatan juga memberitahu Sin Chew Daily bahawa parti itu telah membantu keluarga tersebut mendapatkan bantuan RM450 bulanan dari jabatan kebajikan sejak Jun tahun lepas.

Sebaliknya, Johor ketua CID, Hashim Haron menjelaskan dalam satu kenyataan semalam bahawa motif Jing Rong membunuh diri ialah kerana tertekan oleh beban kehidupan untuk mengurus isteri yang telah uzur serta anak yang cacat dengan 'down sindrom'.

Beliau juga berkata bahawa Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Che Mahazan Che Aik telah menafikan kenyataan sesetengah pihak yang menyatakan "mangsa membunuh diri" bersama keluarga kerana hidup dalam kemiskinan seperti yang dilaporkan dalam sebuah sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris.

"Pihak polis meminta orang ramai supaya tidak memutar belitkan fakta dalam kejadian ini," kata Hashim.

'Nota bunuh diri tunjuk tiada kaitan ambil alih tanah'


3:42PM Jan 4 2013  
Sepucuk surat yang dikatakan ditinggalkan oleh penduduk Pengerang, Pang Jing Rong yang membunuh diri bersama isteri dan anaknya pada hari pertama tahun 2013, menunjukkan kejadian itu tidak ada berkaitan dengan pengambilan tanah untuk Projek Pembangunan Bersepadu Petrokimia (Rapid) bernilai RM60 bilion.
Menurut China Press, adik Jing Rong, Mao Fong, mengadakan satu sidang akhbar semalam di Pengerang untuk mendedahkan kandungan surat itu yang ditemui oleh anak perempuan Jing Ron dalam laci di biliknya.

pengerang resident suicide 010113 03Surat yang bertarikh 27 Disember itu - empat hari sebelum tragedi itu - adalah untuk Mao Fong.

Surat itu dalam bahasa Cina itu bermaksud: "Apabila anda membaca surat ini, saya sudah tiada lagi. Kematian saya tidak ada kena mengena dengan sesiapa. Janganlah bersedih.

"Saya letih. Saya tidak mempunyai tenaga untuk menjaga kedua-dua pesakit. Lebih baik mati cepat daripada penderitaan yang panjang...," bunyi surat yang disimpan di dalam sampul surat.

Penulisnya mengulangi di belakang sampul surat itu bahawa "ia tiada kaitan dengan sesiapa, jangan membabitkan mereka. Terlalu letih, terlalu letih."

Surat tersebut tidak menyebut tentang kemiskinan atau pengambilalihan tanah.

Jing Rong, 62, isterinya yang berusia 57 tahun yang mengalami angin ahmar dan anak lelaki berusia 20 tahun yang mengalami 'Down Sindrom", ditemui mati di rumah mereka di Kampung Jawa, Pengerang pada 1 Januari.

Punca mereka membunuh diri telah menjadi percakapan di bandar tersebut.
Beberapa spekulasi tersebar bahawa ia disebabkan oleh kemiskinan manakala Mao Fong dan pihak polis berkata ia berpunca daripada tekanan dan kemurungan kerana terpaksa menjaga isteri dan anak.

PM: Siapa boleh jamin askar Melayu tanpa k'jaan ini?


9:26AM Jan 5 2013
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata masa depan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bekas-bekas perajurit dan kesinambungan perjuangan pahlawan terdahulu akan terus dipertahankan demi kelangsungan pembinaan negara bangsa.

Perdana Menteri berkata perjuangan kerajaan membangunkan negara menjadi lebih mudah kerana bekas anggota tentera bijak menilai dengan terus meletakkan kepimpinan kerajaan yang telah terbukti berjaya pada tempat sewajarnya.

Sambil menempelak pihak yang disebutkan sebagai 'puak sebelah sana', Najib berkata beliau tidak boleh memberi jaminan nikmat dan penghargaan yang diterima ATM dan bekas perajurit yang diterima ketika ini berkelangsungan sekiranya kerajaan yang ada ditukar.

"Sudah tentu perjuangan kerajaan ialah untuk membina sebuah negara bangsa yang dihormati, disegani, berjaya yang kejayaannya dilihat kerana perjuangan tentera mempertahankan kemerdekaan.

"Kita berjaya kerana anda meletakkan kepimpinan negara pada tempat yang sewajarnya yang tahu mengurus negara, yang tahu menilai pengorbanan para perajurit, yang ada agenda untuk membangunkan ATM akan mempertahankan maruah ATM," katanya.

Hadir sama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Muhammad Abdul Ghani.

Berucap ketika merasmikan persidangan perwakilan PBTM ke-87 dan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini, Perdana Menteri berkata semangat 'Harimau Malaya' dan Force 136, yang tidak ingin melihat kuasa berpindah ke tangan yang lain dan ikrar untuk mempertahankan kerajaan yang ada perlu diteruskan walaupun mereka kini bergelar bekas tentera.

Najib juga berterima kasih kepada perajurit dan bekas anggota tentera yang terus meletakkan kepercayaan kepada kerajaan dengan kesedaran bahawa masa depan negara, ATM dan PBTM tidak boleh dipisahkan dengan kerajaan sedia ada.

"Siapa boleh jamin masa depan kita, siapa boleh menjamin kelangsungan Rejimen Askar Melayu Diraja tanpa kerajaan yang ada hari ini, tepuk dada tanya selera.

"... Dan inilah sebenarnya mengapa kita berjuang, mengapa kita meletakkan 'nyawa kita dihujung tanduk' sebagai para perajurit yang telah berjuang selama ini, sebab itulah negara terhutang budi pada anda semua," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengajak para perajurit dan PBTM yang dianggotai oleh lebih 200,000 untuk memperbaharui ikrar melangsung dan meneruskan perjuangan untuk membina negara kerana kini bukan masa untuk membuat percubaan atau bermain-main, kerana tindakan itu bakal memberi sesuatu kesan yang besar kepada negara.

"Kalau sebelum ini sebahagian daripada rakan-rakan kita telah terkorban di medan perang, mengenang mereka satu bab, tapi yang lebih penting ialah perjuangan mereka itu belum lagi berkesudahan dan perlu diteruskan walau kita telah menjadi bekas tentera," katanya.

Pada majlis itu Najib menyerahkan replika cek berjumlah RM224 juta kepada Ahmad Zahid yang kemudiannya menyampaikannya kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan, sebagai simbolik pelancaran penyerahan sumbangan RM1,000 secara sekaligus kepada 224,000 orang veteran ATM tidak berpencen.

- Bernama

Deepak dakwa nilai tanah Bukit Raja RM400j



Ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan berkata beliau sanggup membeli semula sebidang tanah di Bukit Raja yang dibeli Boustead Holdings Bhd dengan harga RM160 juta memandangkan tanah berkenaan kini didakwanya bernilai RM400 juta.

"Saya sanggup membeli semula syarikat dan tanah tersebut. Mereka bayar RM160 juta... Tanah itu bernilai RM400 juta," kata Deepak dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Deepak berkata beliau sanggup berbuat demikian memandangkan beliau boleh menjual semula tanah tersebut dengan harga RM400 juta, mengikut harga pasaran semasa tanah di kawasan itu.

"Jika saya letakkan tanah itu di pasaran dengan harga RM350 juta, saya masih boleh menjualnyna semula, dan bawa semua orang untuk cuti panjang di Maldives.

"Saya cuma mahu pastikan kerajaan Selangor akan memberi hakmilik tanah berkenaan kepada saya," katanya.

Kes rogol Delhi: Tak siapa pun berhenti, kata saksi




Memecahkan kesunyian, saksi tunggal dan kekasih kepada mangsa rogol berkumpulan di Delhi mendedahkan, tiada sesiapa pun berhenti membantu dan ketibaan polis hanya membuang masa untuk memutuskan kes itu bawah bidang kuasa balai yang mana.

delhi gang rape victim student strike"Kami tidak berpakaian. Kami cuba hentikan orang yang lalu lalang. Beberapa beca bermotor, kereta dan motosikal memperlahankan kenderaan tetapi tiada siapa pun berhenti kira-kira 25 minit.

"Kemudian, seseorang yang sedang meronda berhenti dan panggil polis," katanya dalam wawancara dengan Zee News yang berpangkalan di India pada Jumaat malam.

Menurut Bernama dan Reuters pula, beliau memberitahu pihak yang menemuramahnya bahawa tiada sesiapa, termasuk polis memberikan mereka pakaian atau menelefon ambulans.

"Mereka hanya memerhatikan kami," beliau dipetik sebagai berkata.

Menurutnya lagi, selepas mengulang minta, seseorang tampil memberikannya sebahagian alas tilam untuk menutup badan temannya.

"Jika kamu dapat bantu seseorang, bantulah. Jika ada seorang tampil tolong saya pada malam itu, keadaan mungkin akan berbeza," katanya.

Polis: Tarian bertentangan budaya, Islam


 
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob berkata beliau terkejut dengan bentuk persembahan tarian oleh sekumpulan penari dalam majlis makan malam ketika meraikan anggotanya pada 4 Januari lalu.
NONEKetua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayob menjelaskan tarian itu tidak ditempah pihaknya dan ia dipersembahkan secara mengejut.

"Tarian yang dipamerkan itu bukanlah yang ditempah dan unsur ini tidak timbul semasa raptai.

"Perkara yang berlaku adalah secara mengejut tanpa izin penganjur," katanya.

Tambahnya lagi, penganjur telah membuat aduan dan meminta penjelasan secara peribadi berhubung isu berkenaan daripada pihak hotel tersebut.
NONEZahedi mengulas rakaman gambar tarian pada majlis 'Sekalung Budi Segunung Intan' anjuran Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Shah Alam, yang dikesan berlegar di laman sosial.

Menurutnya juga, majlis itu dijalankan secara tertutup untuk meraikan bakal pesara, pegawai dan anggota pangkat rendah dan dihadiri anggota dan pegawai JSJ Shah Alam sahaja.

"Saya ingin tegaskan bahawa PDRM sejak kewujudannya tidak pernah menganjurkan majlis sebegini kerana ia bertentangan dengan teras budaya PDRM dan agama Islam," katanya.

Mat Sabu: Tiada perarakan untuk himpunan 12 Jan



Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa penganjur tidak akan mengadakan perarakan ke Stadium Merdeka bagi perhimpunan 12 Januari.

"Tidak ada perarakan, cuma berjalan lenggang lenggok secara bersantai ke sana," katanya sambil diiringi ketawa kecil wartawan.

Tambahnya, penganjur akan memaklumkan kepada ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar mengenai kesediaan Stadium Merdeka untuk membenarkan lokasi itu digunakan bagi perhimpunan tersebut.

Selain itu, penganjur juga akan menghantar wakil untuk bertemu ketua polis daerah Dang Wangi Zainuddin Ahmad esok bagi menyelaras kerjasama berhubung perhimpunan tersebut.

 "Hasrat IGP mahukan perhimpunan ini himpunan yang bersejarah, aman, teratur sebelum pilihan raya umum kerana selepas ini Pakatan Rakyat akan mengambil alih melalui proses demokrasi.

"Himpunan ini akan menjadi rekod kepada negara dunia ketiga dengan memberi isyarat kepada SPR dan pengamal media kerajaan supaya menunaikan tuntutan rakyat.

"Kita tak mahu ambil alih (negara) melalui pertumpahan darah," katanya.

Selain itu, pihaknya akan menghantar delegasi itu bertemu dengan OCPD Dang Wangi Zainuddin Ahmad esok untuk menyelaraskan kerjasama bagi menjaya perhimpunan tersebut, katanya.

Seorang lagi anggota jawatankuasa penganjur, Tian Chua berkata beliau tidak melihat bahawa kekacauan akan berlaku dalam perhimpunan berkenaan.

"Pihak penganjur dan polis sentiasa mengadakan perbincangan dan dialog untuk memastikan ia berjalan dengan lancar," kata Tian.

Polis juga tidak meletakkan syarat yang melarang orang membawa kain rentang pada perhimpunan tersebut dan pihaknya memberi jaminan akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan pada hari tersebut.

"Polis tidak akan membuat sekatan jalan raya. Polis memberi jaminan tidak akan ada halangan. Dan kita ada wakil untuk bantu orang ramai ke stadium.

Seorang lagi anggota jawatankuasanya, Hishamuddin Rais berkata, perhimpinan berkenaan antara lainnya akan diisi dengan ucapan pemimpin parti politik, NGO dan diselang seli dengan lagu dan bacaan puisi oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Pihak penganjut juga akan membaca deklarasi Himpunan Kebangkitan Rakyat dan diakhiri dengan bacaan doa oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, katanya.

Mat Sabu: Pengurusan benar guna Stadium Merdeka


 
Penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat hari ini mengumumkan bahawa pengurusan Stadium Merdeka membenarkan mereka menggunakan tempat bersejarah berkenaan bagi perhimpunan 12 Januari.

Pengerusi penganjur himpunan itu Mohamad Sabu berkata pihaknya menerima surat keizinan bagi menggunakan stadium pada kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Dalam surat berkenaan, pihak stadium juga menetapkan syarat agar penganjur membayar RM75,000 sebagai wang pendahuluan untuk menggunakan stadium berkenaan, katanya.

"Kita akan tunaikan," kata timbalan presiden PAS yang menambah, pihaknya akan menghantar delegasi untuk berbincang dengan pengurusan stadium mengenai aspek keselamatan dan persiapan perhimpunan tersebut.

"Kita akan menghantar jawatankuasa untuk berunding dengan pengurusan stadium mengenai apa yang boleh dan apa yang tidak boleh (dilakukan), yang dikenakan oleh pihak stadium," katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Stadium Merdeka.
Dalam sidang media hari ini, Mohamad berkata seramai 5,000 orang anggota unit amal akan dikerahkan untuk menjaga keselamatan sepanjang perhimpunan berkenaan.

Sementara itu, naib presiden PKR Tian Chua pula berkata, penganjur juga akan membincangkan dengan pihak stadium mengenai kapasiti hadirin bagi perhimpunan tersebut.

Pakatan Rakyat Selangor pada hari Isnin lalu dilaporkan akan membawa seramai 300,000 orang terdiri daripada aktivis dan penyokong parti bagi menjadikan jumlah keseluruhan peserta seramai 1 juta orang.

Satu laporan Sin Chew Daily hari ini bagaimanapun menyatakan bahawa pengurusan stadium menetapkan bahwa jumlah peserta tidak boleh melebihi jumlah 30,000 – yang merupakan kapasiti maksimum stadium berkenaan.

Laporan itu menyebut, syarat berkenaan bagi memastikan struktur stadium berkenaan, yang dikategorikan sebagai bangunan warisan, akan terpelihara.

Ketika dihubungi lewat petang ini, Mohamad Sabu berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu dan akan membincangkannya dengan pengurusan stadium, esok.