Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

4.12.12

Amah diminta jauhi Malaysia






KUALA LUMPUR

– Pembantu rumah Indonesia perlu mengelak daripada bekerja di Malaysia, kata Kedutaan Indonesia di sini semalam sebagaimana dipetik daripada laporan agensi berita asing AFP.

Ia berikutan skandal terbaharu yang menyaksikan 105 wanita asing dikurung dan dipaksa bekerja tanpa dibayar gaji di Klang, Selangor baru-baru ini.

Kes terbaharu pada Sabtu lepas itu susulan serbuan oleh pihak berkuasa menunjukkan amah Indonesia masih berdepan risiko terutamanya mereka yang memasuki Malaysia secara haram berbanding saluran sah.
“Pihak berkuasa Malaysia perlu mengambil tindakan keras. Adalah lebih baik untuk pembantu rumah Indonesia tidak bekerja di Malaysia.

“Mereka (Malaysia) meminta pembantu rumah Indonesia tetapi mereka tidak dapat melindungi golongan tersebut dengan baik, kata jurucakap berkenaan, Suryana Sastradiredja.

Malaysia miliki peluang


BARISAN pemain yang akan menggalas cabaran negara pada pusingan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012.


HARIMAU Malaya masih mempunyai peluang untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2012 biarpun Thailand menjadi penghalang paling besar buat skuad negara mengekalkan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu.

Bagaiamanapun, ranjau yang terpaksa dilalui sudah pastinya tidak mudah berikutan Thailand dilihat cukup konsisten selepas berjaya menjadi juara peringkat kumpulan selain mencatat tiga kemenangan berturut-turut.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa memberitahu, perlawanan separuh akhir kali ini secara keseluruhannya adalah berlainan berbanding perlawanan pada peringkat kumpulan menentang Indonesia dan Singapura.

“Thailand bukan Indonesia, bukan Singapura. Tahap permainan mereka jauh lebih baik daripada pasukan yang berada dalam kumpulan kita. Mereka juara kumpulan, kita ada peluang yang baik tetapi sudah pasti laluannya bukan mudah.

“Saya ingat peluang kita adalah cerah, cuma kebimbangan ialah kita bermain di laman sendiri terlebih dulu. Bila macam ini, kita kena main habis-habisan untuk mendapatkan keputusan yang baik dan selesa,” katanya.
Tambahnya, pasukan kebangsaan mampu melakukan kejutan tetapi perlu mendapat margin gol yang selesa terutama apabila beraksi di laman sendiri kerana cabaran ketika beraksi di gelanggang lawan sudah tentunya sukar.

Namun, beliau tidak mahu pemain berasa terlalu yakin kerana ia boleh memakan diri sendiri.

“Semua pemain lebih tenang menahan asakan selain berusaha memburu gol dan tidak mensia-siakan peluang yang terhidang.

“Jangan kita bayangkan mudah untuk kita tewaskan mereka (Thailand) dengan margin yang selesa walaupun main di laman sendiri. Kalau kita tidak menyusun strategi yang betul keputusan sebaliknya mungkin berlaku.

“Macam saya tengok baru-baru ini, jentera tengah sudah diperbaiki dan berjaya mengawal permainan. Apa yang penting, pemain hendaklah memberi komitmen seratus peratus. Kesemuanya bergantung kepada pemain dan taktikal jurulatih.

“Secara jujurnya, Thailand tidak sama corak permainan dengan Indonesia kerana mereka cukup seimbang di semua posisi. Saya lihat Indonesia tempoh hari cuba bermain laju tetapi rentak mereka terjejas kerana hari hujan dan padang pula licin. Kalau padang kering mungkin kita akan tengok corak permainan yang berbeza daripada Indonesia,” ujarnya.

Jelasnya, Thailand bermain dengan lebih teratur terutama apabila mereka dilihat kerap menggunakan hantaran pendek dan skuad kebangsaan berada dalam bahaya terutama pada aksi separuh masa kedua sekiranya tidak mempunyai keupayaan dari segi mental dan fizikal untuk bertahan.

Untuk rekod, Harimau Malaya melangkah ke pusingan separuh akhir selepas muncul naib juara kumpulan di belakang Singapura.

Meskipun berkongsi enam mata dengan Singapura tetapi skuad negara dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

Pada aksi peringkat kumpulan, Harimau Malaya tewas 0-3 kepada Singapura sebelum menewaskan Laos 4-1 dan Indonesia 2-0.

Safee milik Johor

SAFEE (kanan) menyerahkan dokumen kontrak kepada presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas menandatanganinya di Wisma FAM, Kelana Jaya malam tadi.


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) terus berbelanja besar dalam persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Semalam, Setiausaha PBNJ, Suhairi Hashim mengesahkan telah mendapat surat pelepasan daripada kelab Liga Super Indonesia (ISL), Arema Indonesia bagi mendapatkan khidmat penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali secara pinjaman musim depan.

Suhairi berkata, surat yang ditandatangani oleh Pengarah Arema, Ruddy Widodo menyatakan, Safee akan menyarung jersi Johor selama setahun bermula dari 1 Disember 2012 hingga 30 November 2013.
“Safee sepatutnya hadir malam ini (semalam) untuk menandatangani kontrak tetapi tidak dapat berbuat demikian disebabkan terikat dengan peraturan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang tidak membenarkan pemain kebangsaan keluar daripada kem latihan mereka sepanjang kempen Piala Suzuki AFF 2012.

“Namun, kami (PBNJ) telah mendapat pelepasan daripada Arema yang membenarkan Safee beraksi bersama Johor. Saya ada bukti dan saya boleh tunjuk kepada umum.

“Jika segalanya berjalan seperti yang dirancang, Safee akan beraksi bersama Johor. Kami memang bersungguh-sungguh untuk membawa masuk Safee dan mahu menyelesaikan perkara ini dalam tempoh dua hari sebab tarikh tutup pendaftaran pemain akan tutup pada 6 Disember (esok),” kata Suhairi ketika ditemui pemberita di Hotel Prince Kuala Lumpur malam tadi.

Terdahulu, sidang akhbar yang dirancang PBNJ untuk majlis menandatangani kontrak Safee tidak dapat diteruskan kerana pemain berusia 28 tahun itu tidak dapat hadir kerana terikat dengan peraturan FAM.
Situasi itu menyaksikan Suhairi bersama Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bergegas ke Wisma FAM, Kelana Jaya malam tadi bagi mendapatkan tandatangan Safee.

Mengulas mengenai yuran pinjaman dan gaji Safee, Suhairi berkata: “Berhubung perkara itu, kami tidak boleh dedahkan dan ia adalah rahsia,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau memberi gambaran bahawa Safee akan mendapat gaji yang lebih baik daripada apa yang diterimanya bersama Arema.

Kosmo! difahamkan Safee ketika ini menerima gaji sebanyak RM90,000 sebulan daripada Arema dan ia memberi bayangan bahawa dia akan menerima gaji sekurang-kurangnya RM100,000 sebulan bersama Johor.

Pada 1 Februari lalu, Safee telah menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun bersama kelab Indonesia itu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2 juta. Kontrak dua tahun itu termasuk pelbagai kemudahan seperti bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi, cukai yang dibayar oleh kelab, tiket pergi balik ke Kuala Lumpur yang disediakan oleh kelab dan penghormatan sebagai kapten pasukan.

Kontrak Safee bersama Arema akan tamat pada 2014.

Sebelum ini, lima pemain kebangsaan iaitu Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak dan Azmi Muslim serta bekas pertahanan Terengganu dan Harimau Muda A, Muslim Ahmad telah menandatangani kontrak untuk beraksi bersama Johor musim depan.

Kosmo

Mahathir: Mengundi ikut perasaan hancurkan negara



Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat Malaysia perlu mengambil pengajaran daripada negara yang tidak dapat melaksanakan pemerintahan secara demokratik kerana rakyat taksub kepada pemimpin.

Keadaan itu, katanya berlaku kerana rakyat mengundi semata-mata berdasarkan perasaan tanpa menggunakan pemikiran sehingga negara menuju kehancuran.

"Sebagaimana penyokong parti PAS, walaupun pemimpin mereka jelas menyatakan sesuatu yang bertentangan dengan agama, tetapi kerana PAS parti dia, dia sokong kerana emosi dan taksub," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Ketahanan Nasional kali ketiga yang dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia di Ayer Keroh di Melaka hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Dr Mahathir berkata parti pembangkang di negara ini tidak mempunyai haluan dalam gabungan mereka berbanding BN yang bersepakat dan mempunyai organisasi serta matlamat dalam membentuk kerajaan.

Beliau berkata pakatan tiga parti iaitu PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak ada satu haluan dan kesepakatan, misalnya PAS yang mahu melaksanakan kerajaan Islam dan PKR yang mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Ketika ditanya sama ada kini adalah waktu yang terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum, beliau berkata ia bergantung kepada penilaian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya nampak semangat baik sekarang ini, kita perlu rapatkan barisan kita supaya kita dirikan sebuah kerajaan yang kuat dengan majoriti dua pertiga," katanya.

- Bernama

Khidmat peguam percuma bantu pelabur emas Genneva



Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno menyediakan 10 peguam kepada 8,000 pelabur, yang membuat pelaburan emas mereka melalui Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva Malaysia), untuk menuntut kembali pelaburan mereka daripada syarikat terbabit.
  
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno, Datuk Khairun Aseh berkata pihaknya menyediakan perkhidmatan itu secara percuma dan meminta pelabur terbabit tampil memberikan keterangan mereka.

Beliau berkata 8,000 pelabur itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu mereka yang telah membayar duit kepada syarikat itu tetapi belum mendapat emas dan mereka yang menyerahkan emas kepada syarikat itu tetapi belum menerima bayaran.
    
"Kita akan membuat tuntutan kepada syarikat terbabit dan bukannya kepada Bank Negara Malaysia (BNM). Ini adalah tindakan sivil agar para pelabur dapat menerima pelaburan mereka dengan segera," katanya kepada pemberita selepas sejam bertemu dengan pegawai Unit Siasatan Khas BNM, semalam.
  
Laporan awal perakaunan menunjukkan operasi Genneva Malaysia mengalami kerugian besar tahun ini dan mempunyai liabiliti melebihi 10 kali asetnya.
  
Mengenai pertemuan beliau dengan BNM, Khairun berkata beliau diberitahu siasatan pihak berkuasa berjalan dengan lancar dan menafikan ada orang kenamaan yang cuba mengganggu siasatan itu.
  
- Bernama

Penyokong PKR didakwa ditikam di ceramah Anwar


9:38AM Dis 5 2012  
Seorang penyokong Pakatan Rakyat didakwa ditikam oleh seorang penyokong Umno di Gombak dalam satu kejadian di ceramah yang dihadiri ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam tadi.
NONELidah parti PKR Keadilan Daily melaporkan, individu berkenaan mengalami kecederaan di bahu kiri yang dipercayai akibat satu senjata tajam.

“Ia berlaku ketika sekumpulan samseng Umno yang sebahagiannya membawa bendera BN mengganggu ceramah di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2 di sini.

“Kumpulan samseng Umno yang sebahagiannya didakwa sebagai pesilat, selain berbuat bising menggunakan kata kesat turut melempar batu ke tapak ceramah,” laporan itu dipetik.

Menurut laporan itu lagi, Anwar dalam ucapannya dalam ceramah tersebut mengutuk insiden berkenaan yang disifatkan sebagai perbuatan golongan “jahiliah”.

Beliau juga mahu polis mengambil tindakan segera ke atas kejadian tersebut.

3.12.12

Seramai 241,740 individu diisytihar bankrap setakat April lepas

KUALA LUMPUR: Seramai 241,740 individu diisytihar bankrap di negara ini setakat April lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 52,917 kes berlaku di Selangor dan 42,843 di Wilayah Persekutuan, manakala 70 peratus adalah lelaki dan selebihnya wanita.


"Pinjaman kenderaan menunjukkan kes kebankrapan yang paling tinggi iaitu 25.21 peratus, diikuti pinjaman persendirian 13.15 peratus, pinjaman perumahan 12.31 peratus, pinjaman perniagaan 11.26 peratus dan kad kredit 4.9 peratus,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Lim berkata pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini bahawa kerajaan akan mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967, yang dilihat terlalu ketat dan membebankan rakyat, adalah tepat pada masanya.

"Saya menyokong pindaan Akta Kebankrapan ini. Saya berharap pada pindaan kali ini, bank atau institusi kewangan hendaklah mencari peminjam dahulu dan bukannya seperti sekarang ini yang meletakkan bebanan ke atas penjamin sehingga mereka diisytiharkan muflis," katanya.

Lim berkata kajian juga perlu dibuat ke atas peningkatan kes bankrap bagi pinjaman kenderaan selain memberi perhatian terhadap golongan muda yang diistihar bankrap.

"Kes bankrap individu di bawah umur 25 tahun semakin meningkat, dan kita tidak mahu mereka baru dua tiga tahun kerja sudah bankrap.

"Perlepasan dari kebankrapan juga perlu dilonggarkan supaya orang muda yang sudah bankrap diberi peluang kedua, terutama dalam bidang perniagaan," katanya. - Bernama

Remaja pukul abang hingga mati direman

GEORGETOWN: Remaja lelaki yang memukul abangnya sehingga maut di kediaman kelamin warga tentera di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas, di sini, dua hari lalu direman sehingga Khamis ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin berkata setakat ini kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun ia akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.


"Walaupun kejadian itu seperti tidak disengajakan, kita tetap siasat menurut Seksyen 302 iaitu membunuh. Tetapi keputusan sama ada remaja berusia 16 tahun itu akan didakwa menurut Seksyen 302 atau seksyen lain bergantung kepada Pejabat Pendakwa Raya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hatta berkata polis telah mengambil keterangan daripada beberapa saksi di tempat kejadian termasuk ibu mangsa.

"Kes itu kita anggap telah selesai kerana suspek ditahan dan polis juga telah merekodkan keterangan daripada mereka yang menyaksikan kejadian berkenaan. Laporan lengkap sedang dibuat dan akan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat," katanya. - Bernama

Peti besi dilari pencuri

Oleh Isma Ismail
isma@hmetro.com.my

PERMATANG PAUH: “Saya ke rumahnya kerana mahu tutup lampu, tetapi terkejut apabila mendapati pintu depan rumahnya terbuka. Saya masuk dan mendapati pintu belakang juga terbuka sebelum ternampak ada kesan tapak selipar di tepi rumah,” kata Mohd Said Hamid, 70, bapa kepada Ketua Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said, 43.

Mohd Zaidi mengalami kerugian berjumlah RM60,000 hingga RM70,000 apabila rumahnya di Tanjung Putus, di sini, semalam, dipecah masuk.

Dalam kejadian itu, pencuri terbabit melarikan peti besi berukuran 0.6 meter x 0.35 meter berisi tiga jongkong emas setiap satunya seberat 250 gram, barang kemas, dokumen penting termasuk geran tanah dan pasport.
Selain itu, peti besi elektronik berkenaan turut berisi kunci pendua kenderaan dan rumahnya.

Pencuri terbabit turut melarikan motosikal Honda Wave Dash dipercayai digunakan untuk mengangkut peti besi berkenaan dan tiga komputer riba.

Ketika kejadian, Mohd Zaidi dan isterinya, Santanina Salleh, 41, berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2012.

Menurut Mohd Said, dia yang tinggal bersebelahan rumah anaknya itu segera memaklumkan mengenai kejadian itu kepada Mohd Zaidi pada jam 6 pagi.

“Semua barang dalam rumah berselerak digeledah pencuri dan saya hanya mengetahui peti besi dilarikan selepas dia (Mohd Zaidi) tiba jam 7 pagi,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, dia berada di Kuala Lumpur sejak 27 November lalu dan ketika kejadian tiada sesiapa di rumahnya.

Menurutnya, bapanya membuka lampu rumahnya setiap petang dan kembali menutupnya menjelang pagi sepanjang ketiadaannya itu.

“Peti besi dilarikan diletakkan dalam bilik utama rumah saya dan pencuri dipercayai masuk menerusi pintu cermin gelangsar di bahagian belakang.

“Saya percaya suspek yang terbabit lebih seorang kerana peti besi itu agak berat dan mustahil boleh diangkat seorang,” katanya.

Menurutnya, pencuri itu turut meninggalkan kesan tapak kaki di dalam rumah dan sepasang selipar di tepi rumah.

Katanya, dia membuat laporan polis mengenai kejadian itu bagi membolehkan siasatan dapat dijalankan. Sementara itu, jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah mengesahkan kejadian itu dan polis menjalankan siasatan serta memburu suspek terbabit.

Dua mayat lelaki ditemui terapung di lombong

KAMPAR: Mayat dua lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan di sebuah lombong di Kampung Labu Kuchi di sini, Sabtu lepas, ditemui terapung di lombong itu, malam tadi dan pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Ng Kong Soon berkata mayat G Murugiah, 47, ditemui pada 11.13 malam manakala mayat rakanya, M Munusamy, 51, ditemui pada 7.20 pagi.


Mayat kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit itu ditemui pasukan Bomba dan Penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat sejak dua hari lepas, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mayat dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat.

Dalam kejadian pada 4.20 petang Isnin lepas, kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan menjala ikan di lombong itu yang terletak 300 meter dari rumah mereka, sebelum dilaporkan tenggelam dan dibawa arus.

Seramai 14 anggota Bomba dan Penyelamat dibantu anggota Jabatan Perkhidmatan Awam, Rela dan polis, terlibat dalam operasi menyelamat itu. - Bernama

RangBul@n: Tak jauh dari kampung saya ni.

MAHA sukses

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my
REKOD...Noh (tengah) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah  (kiri) memegang anugerah MBOR.
REKOD...Noh (tengah) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah (kiri) memegang anugerah MBOR. 
PAMERAN Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha 2012) yang berakhir semalam disifatkan sebagai berjaya dengan transaksi melepasi sasaran RM200 juta.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, sehingga 1 Disember kelmarin, transaksi jualan yang dicatatkan adalah sebanyak RM24 juta, manakala RM160 juta lagi dijana daripada padanan perniagaan pada sepanjang 10 hari pameran berlangsung.

Menurutnya, jumlah pengunjung juga mencatatkan peningkatan apabila sehingga jam 1 tengah hari semalam, seramai 3.137 juta orang dicatatkan yang seterusnya memasuki Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pencapaian jumlah pengunjung paling ramai untuk pameran pertanian, hortikultur dan agro pelancongan.

“Jumlah berkenaan melebihi sasaran tiga juta pengunjung yang ditetapkan sebelum pameran ini berlangsung dan ia lebih tinggi berbanding penganjuran sebelum ini iaitu sekitar 2.6 juta,” katanya selepas majlis penutup Maha 2012 di Serdang, semalam.

Menurutnya, secara keseluruhan Maha 2012 juga mendapat maklum balas positif di kalangan pengunjung khususnya selepas beberapa penambahbaikan yang dilakukan penganjur.

“Tahun ini, kebanyakan pengunjung berpuas hati dengan persiapan dan kemudahan yang disediakan untuk pengunjung dengan rata-rata memberikan komen positif.

“Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu ditambah baik untuk penganjuran akan datang khususnya dari aspek aliran trafik dan kemudahan pengangkutan,” katanya. Noh berkata, pihaknya akan menjadikan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) sebagai tapak tetap bagi penganjuran Maha dan merancang untuk menjadikan lokasi berkenaan sebagai tempat tarikan pelancong.

“Selepas penganjuran Maha 2010, kami memperoleh peruntukan sehingga RM70 juta untuk menaik taraf kawasan Maeps dan dengan jumlah yang diperoleh itu kami akan pastikan lokasi ini terus mendapat perhatian khususnya di kalangan penggemar dan usahawan pertanian,” katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata, pihaknya akan membawa cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai jumlah pinjaman mikro kredit yang ditawarkan kepada golongan petani ke Kabinet.

“Perdana Menteri ada mencadangkan supaya pinjaman yang ditawarkan Agro Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tabung Ekonomi Usahawan Niaga (Tekun) untuk golongan ini dinaikkan ke RM100,000 dan kami akan akan mengusulkan perkara ini ke kabinet untuk kelulusan,” katanya.

Ajaran Syiah dilarang disebar tetapi bebas diamal

3:19PM Mac 9, 2011

Pengikut ajaran Syiah di negara ini adalah dilarang sama sekali menyebarkan fahaman tersebut kepada pengikut ahli Sunnah wal-Jamaah tetapi bebas untuk terus mengamalkannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

NONEBeliau berkata, mereka dibenarkan berbuat demikian selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Negara yang memberi kebebasan hak beragama kepada rakyat negara ini.

"Kita tidak melarang pengikut ajaran ini untuk terus beramal, tetapi terdapat akta yang diperuntukkan dalam undang-undang syariah di negeri-negeri yang tidak membenarkan ajaran ini disebarkan kepada penganut ahli Sunnah wal-Jamaah yang sedia ada," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ismail mahu tahu sama ada Syiah adalah satu ajaran baru atau mazhab baru dan tindakan yang dikenakan terhadap pengikut Syiah.

Jamil Khir berkata, walaupun Syiah telah dikategorikan sebagai ajaran menyeleweng oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi tidak semua ajaran fahaman itu yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah seperti yang diamalkan oleh umat Islam di negara ini.

"Oleh sebab itu mereka (pengikut Syiah) tidak boleh ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA)," katanya ketika menjawab soalan tambahan Nasharuddin Mat Isa (PAS-Bachok) yang mahu tahu mengapa pengikut Syiah tidak ditahan di bawah ISA.

NONEMenjawab soalan asal Ismail, Jamil Khir berkata, pelbagai usaha dilakukan kerajaan dalam membanteras fahaman Syiah daripada terus menular.

Ia termasuk menyebarkan fatwa yang sudah dibuat tentang larangan penyebaran fahaman tersebut, sesi penerangan kepada masyarakat menerusi ceramah dan media massa, pemantauan dan mengawal bahan-bahan media yang cenderung dalam menyebarkan fahaman Syiah.

Selain itu, kerjasama antara agensi-agensi agama turut ditingkatkan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar peruntukan negeri-negeri yang mewartakan kesalahan penyebaran ajaran Syiah.

- Bernama

Najib isytihar perang habis-habisan terhadap Pakatan


 

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap Pakatan Rakyat dengan laungan slogan anti-Pakatan dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno hari ini.
"Satu undi untuk PKR satu undi untuk kerosakan akidah dan sosial!," laung Najib di hadapan perwakilan perhimpunan yang berdiri sebagai tanda penghormatan kepada.

Laungan anti-Pakatan itu diteruskan lagi dengan menyamakan tindakan mengundi PAS dengan kemerosotan Islam, dan undi DAP dengan penindasan bangsa Melayu.
"Satu undi untuk PAS bermakna satu undi untuk kehancuran Islam!

"Satu undi untuk DAP maksudnya satu undi untuk penindasan bangsa tercinta!," laung Najib lagi disambut sorakan dari para perwakilan.

Sebelum itu, Najib turut merakamkan penghargaannya kepada pejuang siber Umno yang bertungkus-lumus melawan perkara yang disifatkannya sebagai fitnah di laman sosial.

"Segala fitnah ini dalam laman sosial, jadi kita kena menguasai laman sosial," katanya.

Dalam ucapannya, Najib turut menegaskan bahawa beliau sentiasa bersedia mendengar suara orang muda yang membentuk 20 peratus daripada pengundi baru.

"Orang muda turun ke jalan, saya pun turun duduk di jalan... tengok bola," katanya.

Najib turut bersetuju dengan cadangan sayap Pemuda dan Puteri agar Umno menubuhkan akademi kepimpinan.

Bagaimanapun, akademi itu perlu memberikan lebih tumpuan kepada pengisian berbanding kemudahan latihan untuk melatih pemimpin masa akan datang, tegasnya.

"Kita boleh gunakan pusat latihan yang sedia ada yang pentingnya pengisian yang ada.

"Dengan ini kita akan sediakan barisan lebih ampuh untuk hadapi cabaran akan datang," katanya.

25.11.12

Najib: Lima sebab Umno/BN perlu diberi mandat besar



Visi, wawasan dan hala tuju BN, termasuk Umno, yang jelas dalam membangunkan negara adalah antara lima sebab yang digariskan oleh Perdana Menteri mengapa parti komponen itu perlu diberi mandat besar dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno berkata sebagai sebuah parti berpengalaman, Umno selaku parti tunjang dalam BN sentiasa memacu dan menggerakkan pelbagai idea dan transformasi ke arah masa depan negara yang gemilang berbanding pakatan pembangkang yang masih kabur mengenai perkara itu.

Selain itu, Umno dan BN turut merupakan satu pakatan yang terikat kepada dasar-dasar yang disokong secara bersama dan tidak ada percanggahan sama ada dari segi dasar mahupun ideologi, dan ini berbeza dengan parti lawan yang seringkali mengeluarkan pendapat yang bertentangan walaupun atas soal-soal asas dan fundamental, katanya.

"Ketiga, kita mempunyai 'track record' pencapaian yang terbukti dan tidak boleh disangkal dalam mengurus negara di mana kita juga telah dapat meyakinkan rakyat bahawa peta jalan ke hadapan adalah berdasarkan kemampuan kita untuk melaksanakannya selama ini.

"Maknanya, keyakinan rakyat bahawa kemampuan kita untuk melaksanakan agenda negara iaitu transformasi besar yang ingin kita perlihatkan," katanya dalam temubual eksklusif bersama para pengarang Bernama dan Utusan Malaysia sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 di pejabatnya di Parlimen baru-baru ini.

Najib berkata sebagai sebuah kerajaan, Umno dan BN memiliki kekuatan moral yang kukuh dan sentiasa berpegang kepada janji di mana setiap janji yang dibuat dipastikan supaya ditunaikan serta tidak akan membuat janji yang tidak mampu dipenuhi.

Beliau berkata janji kerajaan BN adalah jelas untuk kepentingan rakyat dan sentiasa ditunaikan berdasarkan prinsip janji ditepati berbanding janji pakatan pembangkang yang bertujuan memperdaya pengundi demi memenuhi matlamat untuk menakluki Putrajaya.

Pengerusi BN berkata sebab terakhir yang perlu diberi perhatian ialah rakyat tidak perlu menggadai masa depan dengan menyerahkan negara kepada parti yang tidak boleh menjanjikan masa depan lebih baik ketika kredibiliti mereka juga dipertikaikan.

"Masa depan kita, masa depan anak-anak kita terlalu mahal untuk diperjudikan, sebaliknya dengan BN tahap keyakinan lebih tinggi... ini dapat dilihat dari segi prestasi pasaran dengan kemasukan pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara," katanya.

Mengenai mengapa orang Melayu tidak menggunakan agama sebagai asas penyatuan seperti yang dilakukan kaum lain, Najib berkata: "Orang Melayu telah dikelirukan dengan hasutan dan fitnah yang bertalu-talu terhadap pemimpin Umno dan Umno itu sendiri, walaupun dakyah-dakyah tersebut merupakan serangan politik dan tidak ada asasnya."

Najib berpendapat orang Melayu juga terpedaya dengan imej luaran seperti label parti yang dikatakan parti Islam dan rupa pemimpin yang mereka anggap lebih Islamik.

Beliau berkata sepatutnya sesebuah parti itu dinilai dari segi pengisian dan agenda yang boleh meninggikan perjuangan dan syiar Islam, dan Umno telah membuktikan parti itu dapat memperjuangkan tuntutan Islam berdasarkan Maqasid Syariah.

"Sejak dulu lagi kita perjuangkan Islam, bermula dengan Perlembagaan, pembentukan institusi-institusi Islam serta program-program Islam yang kita telah wujudkan dan martabatkan seperti perbankan Islam," katanya.

Ditanya harapan beliau kepada para perwakilan selepas tamat perhimpunan kali ini, Najib berharap seluruh warga Umno yang hadir dapat menghayati mesej yang diterapkan seterusnya menterjemahkan dalam bentuk tindakan serta sikap masing-masing.

"Umpamanya, banyak penegasan akan dibuat tentang bagaimana mereka harus mendepani cabaran PRU-13 dan bagaimana kita harus meletakkan persediaan kita secara mantap bukan sahaja dari segi persiapan fizikal seperti bilik gerakan, bantuan material dan sebagainya tetapi juga dari segi semangat dan sikap untuk meletakkan kemenangan pilihan raya sebagai yang perlu diutamakan dan tidak ada apa-apa perhitungan yang lain meskipun sesuatu itu memang sangat dihajati oleh kita," katanya.

Beliau juga berharap perwakilan yang berbahas mampu mengupas, menjawab dan menangkis sebarang isu nasional serta tohmahan yang dihalakan kepada parti.

- Bernama

23.11.12

Hadi mungkin disokong syaitan, kata Dr Mahathir


 
Bagaimana rakyat boleh tahu bahawa pembangkang tidak disokong oleh syaitan, tanya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (bawah) boleh tahu yang BN disokong oleh syaitan. Dan, Mahathir seterusnya membayangkan yang pemimpin parti Islam itu sendiri mungkin disokong oleh syaitan.

NONE"Beliau (Hadi) dan pembangkang mungkin disokong oleh syaitan sendiri. Beliau sendiri bersama dengan syaitan. Itulah syaitan yang saya tahu.

"Dia sendiri bersama dengan syaitan itu," ulang Mahathir lagi.

Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai komen Hadi, semasa muktamar PAS baru-baru ini di Kota Bharu, bahawa parti yang disokong oleh syaitan tidak mampu menegakkan kebajikan yang "adil terhadap semua".

Walaupun presiden PAS itu tidak menamakan parti tersebut, tetapi ramai percaya beliau merujuk kepada BN dan Umno, terutamanya selepas tulisan di blog Mahathir yang menyentuh mengenai perkara itu.

Dalam tulisan itu Ogos beliau, Mahathir telah mencadangkan adalah lebih baik bagi rakyat memilih syaitan yang mereka tahu, daripada malaikat yang rakyat mungkin tidak tahu.

Diminta mengulas syor supaya Abdul Hadi untuk menjadi perdana menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang, Dr Mahathir berkata presiden PAS itu bebas menjadi PM jika beliau dan mereka boleh menang.

"Beliau (Abdul Hadi) lebih layak daripada (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), kerana beliau tidak membawa beban sejarah. Tetapi beliau perlu menang dulu, "katanya.

Mengenai sama ada kemenangan Abdul Hadi akan mendapat sokongan orang Melayu, Dr Mahathir menyindir Karpal Singh, dengan mengatakan jika pengerusi DAP itu memakai turban, beliau juga akan berkelayakan sebagaimana Nik Aziz (Nik Mat, mursyidul am PAS).

"Sama serban pun ada, janggut pun ada, apa lagi yang kita mahu?" katanya berseloroh.

Mahathir berkata demikian kepada pemberita di akhir Persidangan Antarabangsa mengenai Kanak-kanak Mangsa Perang anjuran Yayasan Keamanan Global Perdana.

Najib takut 'kekebalan' Dr M, dakwa PAS


4:06PM Nov 23 2012
PAS mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak takut dengan 'kekebalan' mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa parti itu terus menerus membelasah musuh politiknya 'tidak kira masa dan tempat'.

pas muktamar 130610 idris ahmad"Datuk Seri Najib mesti ikut apa kemahuannya dan tidak berani
menyanggah apa yang beliau kata, takut banyak pula fail-fail beliau timbulkan," dakwa ahli jawatankuasa pusat PAS, Idris Ahmad.

Siapa yang berani sanggah, alamat gelap masa depan di dalam politik, dakwa Idris dalam satu kenyataan hari ini.

"Contohnya, Tun Abdullah Badwi yang berani membatal projek Jambatan Bengkok, sampai hari ini beliau dendam dan membelasah Tun Abdullah tidak kira masa dan tempat," dakwanya lagi.

Kekebalan tersebut, dakwa Idris lagi, membolehkan Dr Mahathir terlepas selepas mendakwa Umno adalah syaitan yang dikenali dan menggelar pembangkang 'Malaikat yang tidak dikenali' dan malah membuat kenyataan bahawa Malaikat juga membuat salah.

Malangnya, dakwa Idris lagi, 3.5 juta ahli Umno tidak menyanggah kenyataan Dr Mahathir itu, dan juga tidak kedengaran ulama Umno menegur kenyataannya itu.

Setakat hari ini, tambahnya, yang berani menyanggah beliau adalah pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat sahaja.

Cinta tiga segi disyaki punca pasangan kekasih dibunuh


 
Cinta tiga segi disyaki menjadi punca pasangan kekasih kaum Madura, Indonesia ditemui mati dibunuh di sebuah rumah di kawasan perumahan Kampung Changkat, Gombak, dekat ibunegara hari ini.
  
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Rosly Hassan berkata polis mengesyaki suami kepada wanita pasangan kekasih itu telah menyerang kedua-dua mereka dengan sebatang kayu dalam kejadian antara 3 dan 4 pagi.

"Mangsa lelaki dikenali sebagai Kusnul manakala polis belum mengenali identiti mangsa wanita dan kedua mereka berumur dalam lingkungan 30-an," katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.
  
Siasatan awal polis mendapati mayat lelaki itu ditemui di bahagian dapur manakala mayat wanita berkenaan ditemui di dalam salah satu bilik dalam rumah itu dan tiada kesan pecah masuk.  
  
Kedua-dua mayat itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan polis sedang memburu suami wanita itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
  
Sementara itu menurut jiran mangsa, yang mahu dikenali sebagai Zainal berkata beliau sebelum ini mengenali kedua-dua mangsa sejak tahun lepas dan mangsa wanita itu mendakwa lelaki yang tinggal bersamanya adalah saudaranya.
  
"Saya pernah bertemu dengan suami wanita itu dan saya tidak mengesyaki apa-apa kerana wanita itu memberitahu mereka ada pertalian saudara untuk tinggal sekali.

"Beberapa hari lepas saya ada lihat kelibat suami mangsa yang datang ke rumah itu tetapi saya tidak mendengar sebarang pertengkaran," katanya.
  
- Bernama

Isu pendandan rambut cetus desak DAP keluar Pakatan


8:06PM Nov 23 2012
MCA telah menggesa DAP keluar daripada Pakatan Rakyat ekoran "provokasi berterusan" PAS, demi "memelihara maruah" masyarakat Cina dan bukan Islam.

malaysiakini interview loh seng kok 061108 05"Saya menggesa DAP menarik diri daripada Pakatan kerana DAP tidak mempunyai kekuatan untuk menangkis provokasi berterusan dan penindasan dari PAS yang membabitkan maruah pengundi Cina dan bukan Islam," kata ahli jawatankuasa pusat MCA, Loh Seng Kok dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau dirasakan merujuk kepada laporan media mengenai seorang pendandan rambut wanita bukan Islam di Kota Bharu yang didakwa telah disaman oleh majlis perbandaran kerana memotong rambut pelanggan lelaki.

"Walaupun Lim Guan Eng dan PAS mendakwa bahawa dasar tegas PAS itu tidak akan menimbulkan ancaman kepada amalan budaya bukan Islam, tetapi jika DAP tidak mahu menggadai hak masyarakat Cina dan bukan Islam, maka DAP perlu menarik diri daripada Pakatan dan mengisytiharkan dengan tegas bahawa mereka tidak menyokong undang-undang hudud PAS bagi memadamkan kebimbangan masyarakat Cina dan bukan Islam tentang kesan hudud PAS ke atas mereka," kata Loh (di atas).

Loh membuat gesaan itu selepas Setiausaha Agung MCA, Chew Lee Giok mengaitkan laporan itu kepada isu hudud, yang menjadi bahan kempen utama MCA terhadap pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-13.

NONESementara itu, Pengerusi Wanita MCA Pulau Pinang , Tan Cheng
Liang (kanan) dalam satu kenyataan berasingan berkata PAS 'bohong' apabila mengatakan orang bukan Islam tidak akan terjejas dengan undang-undang hudud.

"Penipuan ini direka untuk kelihatan sederhana dan memenangi undi bukan Islam. Kes pendandan rambut di Kota Bharu itu hanyalah satu lagi contoh bagaimana dasar PAS menyebabkan kehilangan pendapatan secara tidak adil terhadap usahawan bukan Islam yang mahu hidup secara yang jujur," katanya.

Nurul Izzah fail saman fitnah terhadap Utusan


 
Naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Utusan Melayu (M) Bhd - penerbit akhbar milik Umno Utusan Malaysia - kerana didakwa memutarbelit apa yang diucapkannya di sebuah ceramah di Geraja Full Gospel Tabernacle di Subang Jaya, awal bulan ini.

Nurul Izzah, yang hadir bersama dengan peguamnya yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS, Mohd Hanipa Maidin, mendakwa bahawa laporan berikutnya yang disiarkan oleh akhbar tersebut juga memfitnahnya.

Beliau menuntut akhbar tersebut memohon maaf, mendapat perintah menghalang defendan menerbitkan kenyataan yang berunsur fitnah, gantirugi am, gantirugi teladan, gantirugi melampau serta kos mahkamah.

Turut hadir ialah Pengerusi jawatankuasa disilpin PKR, Dr Tan Kee Kwong.
Sementara itu, Bernama melaporkan, ahli parlimen Lembah itu menyaman Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Aziz Ishak danUtusan Melayu (Malaysia) Berhad berhubung kenyataannya dalam satu forum mengenai kebebasan beragama untuk orang Melayu yang didakwa diputarbelitkan.   

Dalam pernyataannya, Nurul Izzah mendakwa, empat artikel yang mengandungi perkataan fitnah terhadapnya diterbitkan oleh akhbar tersebut pada 6 November dan 7 November lalu.
   
Beliau berkata, kata-kata fitnah tesebut jika difahamkan dalam maksud semulajadi antaranya bermaksud beliau (Nurul Izzah) menganjurkan orang Melayu untuk murtad dari agama Islam dan menggalakkan orang Melayu untuk tidak beramal dengan cara Islam.
   
Plaintif berkata ia bermaksud, beliau dikatakan berpendirian bahawa orang Melayu adalah bebas untuk memilih agama lain selain Islam sebagai agama mereka, selain beliau dikatakan seorang pemimpin yang hipokrit dan tidak boleh dipercayai.
   
Sehubungan itu, beliau yang diwakili peguam Mohamed Hanifa Maidin memohon perintah supaya kedua-dua defendan mengemukakan minta maaf dan menarik balik tuduhan fitnah ke atasnya yang hendaklah dibuat dalam masa 24 jam dari tarikh perintah tersebut.
   
Nurul Izzah juga menuntut gantirugi am, gantirugi teladan dan gantirugi melampau dan kos yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
   
Selain itu, anggota Parlimen Lembah Pantai itu juga berkata, tindakan defendan menerbitkan kata-kata fitnah tersebut bertujuan untuk mensensasikan berita dengan tujuan keuntungan semata-mata tanpa mengambil berat reputasi, maruah dan harga dirinya.
   
Ketika ditemui pemberita, Nurul Izzah berkata beliau bersedia untuk menghadap Sultan Selangor bagi memberi penjelasan mengenai isu tersebut.

17.11.12

Kes kemalangan pergi kerja naik 40 peratus

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
Kuala Lumpur: Kes kemalangan ketika perjalanan ke tempat kerja meningkat 40 peratus dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini daripada 17,704 pada 2006 kepada 28,809 tahun lalu.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata punca utama peningkatan kes adalah kurang kesedaran terhadap pemanduan yang selamat di kalangan mangsa.
Peningkatan ini juga dikesan akibat kurang elemen keselamatan dalam sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Lam Thye berkata, kajian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan beberapa universiti tempatan mendapati 88 peratus kes kemalangan berlaku semasa perjalanan pergi ke tempat kerja atau selepas bekerja.

Katanya, daripada jumlah itu 52 peratus kemalangan semasa pergi ke tempat kerja, manakala 36 peratus lagi semasa balik ke rumah selepas tamat waktu bekerja.

Beliau berkata, hasil kajian juga mendapati 68.8 peratus kemalangan membabitkan pekerja waktu pagi, manakala 55 peratus pula berlaku dalam lingkungan kurang lima kilometer dari tempat kerja.

Katanya, kes kemalangan maut di jalan raya di negara ini juga pada tahap membimbangkan dengan lebih 6,000 kes setiap tahun atau 18 hingga 20 orang sehari dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, daripada jumlah itu 60 peratus membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal yang kebanyakannya generasi muda.

Sehubungan itu, katanya, PERKESO memperkenalkan Pelan Pencegahan Kemalangan Semasa Perjalanan, tahun lalu untuk mengatasi kemalangan semasa perjalanan membabitkan empat program pencegahan.

Antara pendekatan itu adalah program outreach kemalangan semasa perjalanan untuk majikan dan pekerja, program menunggang motosikal dengan selamat dan program pemanduan berhemah.

Menubuhkan sistem pengurusan keselamatan perjalanan atau elemen keselamatan jalan raya dalam sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, katanya.

Anwar bidas DAP isu roboh rumah, kedai

 
 
Georgetown: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membidas kerajaan DAP Pulau Pinang berikutan beberapa insiden merobohkan premis kediaman dan kedai di negeri ini.

Sambil menyifatkan kerajaan pimpinan Lim Guan Eng cuai, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku kerana ia membangkitkan kemarahan orang ramai.

Saya kurang puas hati dengan tindakan pihak berkuasa merobohkan beberapa rumah atau kedai walaupun ada beberapa isu teknikal. Saya sudah kemukakan perkara ini kepada Ketua Menteri (Guan Eng) dan Timbalan Ketua Menteri I (Datuk Mansor Othman).

Difahamkan, Ketua Menteri mengeluarkan arahan supaya jangan robohkan tapi masih juga dibuat. Jadi, saya minta kerajaan negeri cari puncanya, siapa ambil tindakan dan mengapa ada kecuaian di peringkat pegawai atau ahli majlis, katanya.

Bercakap pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Wacana Buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat di Bayan Lepas, dekat sini semalam, Anwar berkata, kerajaan negeri pimpinan DAP tidak peka serta prihatin dengan sensitiviti rakyat berhubung isu itu terutama premis milik orang Melayu.

Ku Li yakin BN kekal mandat

Oleh Ramli Ibrahim 
 
Gua Musang: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yakin Barisan Nasional (BN) akan terus memerintah negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, kemenangan berkenaan berdasarkan transformasi diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membawa perubahan kepada rakyat.
Beliau berkata, walaupun sebelum ini ada rakyat tidak faham dasar transformasi, sekarang mereka menerima dengan hati terbuka kerana jelas ia membawa kemajuan dan perubahan.


Melihat kepada transformasi yang dilakukan Perdana Menteri, BN tiada masalah menang PRU-13 kerana rakyat menerimanya dengan baik, katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Titik Sentuhan kepada Masyarakat Orang Asli di Pos Hendrop, di sini, kelmarin.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusof; Pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) Daerah Gua Musang, Muhammad Shukri Abdul Aziz dan Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah, Azman Ngadiron.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, mengakui setiap perkara baru berkaitan dasar pemerintahan negara termasuk transformasi kerajaan mengambil masa untuk diterima semua.

Keadaan sekarang banyak berubah selepas pelaksanaan pelbagai kemajuan menerusi transformasi itu dan saya rasa BN tiada halangan menang PRU-13, katanya.
Mengenai persiapan UMNO bahagian berkenaan, beliau berkata, mereka tidak berdepan sebarang masalah dan sudah bersiap sedia menghadapi PRU-13 pada bila-bila masa.

InsyaAllah, kita di Gua Musang juga boleh menang kerana rakyat turut diberi pelbagai kemajuan dan bantuan. Jadi, mereka terus setia menyokong BN, katanya.

Bersikap adil terhadap Mat Yo

Kota Bharu: Kerajaan negeri berharap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersikap adil terhadap Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang berhasrat menyertai Johor pada Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

EXCO Kanan Kerajaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata sebagai pemain profesional, Mat Yo harus diberi peluang bagi memastikan masa depannya sebagai pemain bola sepak lebih terjamin.
Sekiranya Mat Yo merasakan masa depannya lebih cerah di tempat lain, KAFA kena beri peluang kerana itu adalah haknya.

Mat Yo harus diberi keadilan dan sebagai kerajaan yang memayungi rakyat Kelantan, kita berharap semua pihak diberi keadilan dalam isu ini, katanya kepada BH Sukan, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar Khamis lalu mengenai KAFA dikatakan menetapkan nilai Mat Yo RM6 juta sekiranya ada mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan khidmat pemain berkenaan.

Bagaimanapun Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa menegaskan pihaknya tidak meletakkan nilai setinggi itu kepada PBNJ dan pihaknya sudah membuat keputusan melepaskan Mat Yo menggunakan pendekatan lain yang munasabah.

Takiyuddin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) berkata, dalam isu ini juga, KAFA harus diberi keadilan oleh pihak yang ingin mendapatkan khidmat Mat Yo.

Pasangan bercerai gaduh hal remeh

 
London: Pasangan bercerai cenderung berebut dan bertelagah mengenai benda remeh, kata satu kajian firma guaman Pannone, yang mendapati satu dalam lima perceraian membabitkan pergaduhan berhubung hak milik barangan murah.

Malah, perceraian yang menelan belanja tujuh angka juga ditangguhkan kerana pergaduhan mengenai pemilikan barangan yang tidak seberapa nilainya.

Akibat pergaduhan selalunya sukar kerana mereka akhirnya meningkatkan bayaran peguam jauh lebih tinggi daripada kos membeli barang gantian, kata peguam.

Antara kes paling aneh membabitkan seorang lelaki tidak dinamakan yang menunjukkan emosi melampau apabila kuali kegemarannya diambil bekas isterinya.

Isterinya mengambil kuali itu ketika berpindah, jadi beliau mengambil cincin pertunangan wanita itu sebagai membalas dendam. Apabila semuanya sudah selesai, mereka bertemu di lebuh raya untuk bertukar barangan, lapor akhbar Daily Mail memetik peguam lelaki berkenaan, David Milburn, sebagai berkata.

Seorang lagi anak guamnya meminta bantuan mendapatkan hak penjagaan juadah yang diambil bekas suaminya daripada rumah dapur rumah mereka.

Saya juga diarahkan oleh seorang anak guam menulis surat kepada bekas suaminya untuk mengembalikan ikan salmon salai dan sawi mahal yang diambil dari peti sejuk.

Saya menjelaskan bayaran guaman membolehkan beliau membeli lebih banyak salmon salai tetapi beliau bertegas mahu kami berbuat demikian, katanya.
Agensi

72 tan bantuan makanan mula dihantar untuk mangsa gempa Guatemala

 
GUATEMALA CITY: Program Makanan Sedunia mula menyerahkan sebahagian daripada 72 tan bantuan makanan bagi membantu mangsa gempa bumi di Guatemala minggu lalu, kata pegawai agensi itu.

"Kami bekerja keras untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa di khemah perlindungan," kata pegawai, Anne Valand.
Program Makanan Sedunia berkata, makanan itu bertujuan membantu mangsa gempa bumi seramai 13,000 di negara Amerika Tengah berkenaan yang kehilangan tempat tinggal dan kini berdepan masalah sejak bencana pada 7 November lalu melanda pantai barat Guatemala.


Seramai 40 orang mati akibat gempa bumi 7.4 magnitud berkenaan sekali gus menjadi bencana paling teruk sejak 1976 apabila kira-kira 23,000 orang maut dalam gempa bumi. - AFP

Shila Amzah ungguli dua kategori


Oleh Zaidi Mohamad 
 
Terbaik dan Lagu Terbaik pada AIM 2012 di Stadium Melawati, malam tadi. - Foto Rosela Ismail
Shah Alam: Kumpulan Salam Musik menerusi album Salam mengungguli Album Terbaik, manakala Patah Seribu nyanyian Shila Amzah pula meraih gelaran kategori Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-19.

Malam kemuncak anugerah tertinggi industri muzik tanah air itu yang berlangsung di Stadium Melawati, di sini, malam tadi, turut menyaksikan Shila Amzah muncul pemenang kategori Lagu Pop Terbaik.
Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki) dimenangi Jamal Abdillah menerusi lagu Bahagia Sementara, manakala kategori sama untuk wanita dimenangi Jaclyn Victor menerusi lagu Counting Days yang turut meraih kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.


Persembahan Vokal Terbaik Berkumpulan dimenangi Forteen menerusi lagu Seperti Dulu, Video Muzik Terbaik milik Yuna menerusi lagu Sparkle, manakala Kulit Album Tercantik dimenangi Mizz Nina menerusi album Take Over. Mizz Nina yang melebarkan nama pada peringkat antarabangsa turut menerima Anugerah Kembara.

Anugerah Sri Wirama pula mengiktiraf sumbangan kumpulan pemuzik bukan Melayu, Alleycats yang berjaya memikat hati pendengar Melayu sejak 43 tahun lalu. AIM 19 dihoskan Aznil Nawawi dan Adibah Noor, dipancarkan secara langsung jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Mustika HD (saluran 134) bertemakan Black & White Glam Glitz.

Terdahulu segmen istimewa, Karpet Glamor disiarkan jam 8.30 malam, dikendalikan Awal Ashaari bersama peserta On Air, Dahlia Shazwan. Acara berprestij itu turut menyaksikan persembahan istimewa, antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Hafiz, Jaclyn Victor, Shila Amzah, Stacy, Forteen, Mojo, Jimmy Palikat, One Nation Emcees dan Nirwana Band.

PAS doa UMNO hancur

Oleh Norakmah Mat Youb dan Fariza Ramlan Cetak
Kota Bharu: Ketika umat Islam di seluruh dunia mengutuk kekejaman rejim Israel dan mendoakan keamanan serta keselamatan rakyat Palestin, PAS mengadakan solat hajat dan berdoa supaya UMNO dihancurkan.

Solat hajat di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam kelmarin diimamkan adik Mursyidul Am PAS, Nik Razi Nik Mat sempena perhimpunan anjuran parti pembangkang berkenaan.

Antara kandungan doa yang dipimpin oleh Nik Razi ialah meminta UMNO dan Barisan Nasional (BN) dijahanamkan seperti Firaun ditenggelamkan ke laut, Qarun ditelan bumi dan Namrud serta Abu Lahab dilaknati.

Doa juga memohon supaya pembangkang mendapat jalan mudah ke Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, tindakan itu dikritik pelbagai pihak yang disifatkan tidak wajar, termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mereka berpendapat ia jelas bertentangan dengan nilai murni dan ajaran Islam.

Harussani berkata, perbuatan memohon doa keburukan kepada orang Islam lain ditegah oleh agama.
Beliau berkata, umat Islam sepatutnya berdoa supaya dihapuskan musuh agama dan bukan meminta supaya dihancurkan sesama Islam.

Perbuatan itu tidak bagus kerana ahli UMNO adalah Islam. Sepatutnya kita mendoakan yang baik untuk sesama Islam, katanya.

Dr Mohd Asri pula berkata, umat Islam sepatutnya berdoa supaya menghancurkan orang yang zalim tanpa mengira parti.

Janganlah berdoa menghancurkan UMNO kerana mereka juga umat Islam. Mungkin mereka ada kesilapan tetapi ahli PAS juga ada melakukan kesilapan, katanya.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ismail Mina Ahmad berkata berdoa untuk menjahanamkan sesama Islam tidak dibenarkan.

Kita semua ada kekurangan masing-masing tetapi tindakan PAS itu agak keterlaluan. Parti itu sering melaungkan perpaduan ummah tetapi pada masa sama mereka yang sebenarnya menghancurkannya, katanya.

PRU13 dan ayat songsang


  • Hishamuddin Rais
  • 5:18PM Okt 27 2012
 
Dalam tulisan kali ini saya ingin membawa ayat-ayat songsang. Saya ingin membuka surah yang telah dihafal tetapi tidak difahami. Saya ingin membuka bait-bait yang sering dilaungkan tetapi tidak dihayati. Saya ingin melagukan syair kasar yang tidak akan menenteramkan jiwa. Surah dan bait-bait ini telah menjadi beban sejarah jika tidak saya dendangkan kepada orang ramai.

Surah dan ayat songsang ini ialah tentang PRU13 yang akan dijalankan tidak lama lagi. Bila PRU13 ini akan diadakan saya tidak tahu. Saya bukan nujum. Malah tarikh dan saat PRU13 ini untuk saya tidak begitu penting. Untuk saya tarikh PRU13 bukan surah yang akan membawa kita semua ke jambatan yang lurus.

Apa yang sahih, tarikh PRU13 ini hanya akan dijalankan apabila semua persediaan untuk memastikan United Malays National Organisation kembali berkuasa telah tersedia. Semua perancangan telah diatur. Logistik telah tersusun rapi. Semua yang wajib dilakukan untuk mengembalikan kuasa kepada BN telah dilakukan.

Pada hemat saya keputusan PRU13 akan menafikan Pakatan Rakyat ke Putrajaya. Pada pemerhatian saya kerajaan Pakatan di Selangor akan jatuh ke tangan United Malays National Organisation. Jelas apa yang saya tulis ini adalah ayat-ayat songsang. Ayat-ayat ‘potong stim' yang ramai penyokong Pakatan tidak akan bersetuju. Bunyi surah ini amat kasar tetapi inilah hakikat realpolitik dalam negara Dunia Ketiga.

Ayat-ayat songsang dalam tulisan saya ini bukan saya pungut dari mimpi. Ayat ini tidak saya terima melalui saka. Ayat-ayat ini berasaskan realpolitik yang sedang berlaku di hadapan mata saya. Ayat-ayat ini datang dari laporan demi laporan yang saya terima sebagai ahli jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0.

Minggu lalu Dr Ong Kian Meng dari Malaysian Electoral Roll Analysis Project (MERAP) bersama 2.0 telah membentangkan laporan terakhir ke Parlimen. MERAP ialah satu badan ilmiah yang membuat kajian tentang daftar pengundi. Laporan dari MERAP ini cukup memeranjatkan. Justeru, dari laporan MERAP inilah munculnya sebahagian dari ayat-ayat songsang yang saya tuliskan di sini.

MERAP telah bertemu dengan 59,000 nama pengundi - saya ulangi lima puluh sembilan ribu - pengundi luar negara. Jumlah ini dikenal pasti kerana dalam senarai daftar nama-nama 59,000 ini menggunakan kod 71. Kod 71 ini bermakna bakal pengundi ini lahir di luar negara. Ada dari Afrika, dari Eropah, Vietnam, India dan dan dan.... Awas, Mat Indon dan Mat Bangla bukan di sini nama mereka tercatit.

Nama 59,000 pengundi dengan Kod 71 ini adalah warga negara Malaysia yang lahir di luar negara. Maka Hairan bin Takjublah kita semua. Tidak disangka-sangka rupa-rupanya ramai orang Malaysia lahir di Uganda, Kenya, Sweden , Jerman, Qatar dan di Itali.

Kita juga telah membaca dan mendengar surah bagaimana nama-nama pengundi yang amat pelik lagi memelikkan telah ditemui dalam senarai pengundi. Bukit bin Batu. Harimau binti Buaya. Kijang anak lelaki Ular. Jintan binti Bawang. Dubai bin Abu Dhabi. Ini hanyalah contoh nama-nama pelik di mana si ayah atau si ibu ketika mendaftar telah hilang akal lalu menamakan bayi yang baru lahir ini Sungai binti Laut.

Untuk pembaca yang tersenyum membaca nama Ular bin Lipan pasti akan terbahak bahak ketawa apabila diberitahu ada juga pengundi yang namanya "bin". Dan menjadi lawak seram kerana nama ini bukan ditulis dengan ejaan Koma bin Noktah tetapi dengan simbol ‘.

Lebih memeranjatkan apabila MERAP membuktikan bagaimana satu alamat di Jalan Papan Klang telah didiami oleh 46 orang pengundi. Pelik bin hairan - bagaimana rumah teres ini dapat menampung 46 orang penghuni?

Kalau pun setiap bilik ini ada katil bertingkat-tingkat saya masih musykil dan ingin bertanya ada berapa buah bilik mandi dan tandas dalam rumah teres ini? Justeru saya membuat kesimpulan 46 orang penghuni rumah ini akan tidur tegak berdiri untuk memastikan ada ruang untuk kesemua 46 orang. Untuk berak mereka ke belukar.

Awas! Sikap silaturahim penghuni amat membanggakan. Dalam rumah ini ada Muthusamy, Abdullah, Lim Ah Seng, Gobala, ada Jebeng Bibik, Fatimah dan Maureen Pillay. Inilah contoh rumah Satu Malaysia.

Kes klasik sebuah rumah dengan berpuluh-puluh penghuni ini terjadi juga di Lembah Pantai. Sebuah rumah telah ditemui diduduki lebih dari 20 warga. Alhamdulillah, satu lagi contoh Malaysia yang aman permai. Tetapi apabila ditemui lot alamat rumah ini - yang tersergam ialah Plaza Tol Lebuh Raya Pantai Baru. Ada 20 pengundi tinggal dalam bilik tol.

Pembaca sering mendengar ‘tuduhan' tentang Mat Bangla, Mat Filipina dan Mat Indon telah diberi kad pengenalan untuk membolehkan mereka mengundi. Apakah ini ayat-ayat setan? Atau ini surah yang saharah? Mengikut MERAP telah ditemui 170,000 nama pengundi yang berdaftar. Kesemua 170,000 ini adalah pengundi yang dilahirkan di luar negara. Di sini kita temui Bibik, Embak, Jebeng dan Suhail. Mereka semuanya mendaftar dengan kod 71 yang mensahehkan mereka tidak dilahirkan di Malaysia.

Untuk memedaskan lagi tempoyak masam ini - banyak nama-nama ini tidak ada bin atau binti. Hanya ada satu nama sahaja. Tidak diketahui jantan betinanya. Malah banyak nama-nama ini tidak memiliki alamat rumah yang penuh. Contoh yang diberikan oleh MERAP ialah kajian terperinci di Kampung Melayu Majidee Johor Bahru. Dalam kompang ini ramai Jebeng, Bibik dan Embak yang mendaftar tetapi tanpa alamat rumah dan nama jalan. Yang ditulis hanya Suharto Kampong Majidee.

Surah- surah di atas ini hanyalah sebahagian dari bukti yang telah ditemui oleh MERAP. Ini bukan lagi dongeng atau kesah Haji Desas bin Lebai Desus. Ini sahih dengan fakta dan kajian yang membuktikan ada perancangan untuk menipu dalam PRU13 ini.

Biar saya jelaskan sejelas mungkin. Untuk semua ahli dan penyokong Pakatan mereka wajib sedar bahawa yang mereka lawan bukan parti United Malays National Organisation. Mereka bukan berlawan dengan MIC, MCA atau BN. Penyokong dan bakal pengundi Pakatan bukan melawan polis, raja, Islam atau Perlembagaan Malaysia.

Apa yang dilawan oleh Pakatan ialah satu sistem pemilihan calon yang telah direka khusus untuk menipu. Melawan sistem tipu.

United Malays National Organisation dan konco-konconya telah tidak lagi mendapat sokongan pengundi. Parti ketuanan Melayu ini telah ditinggalkan oleh Melayu sendiri. Tetapi awas. Dalam PRU13 ini nanti United Malays National Organisation akan kembali berkuasa. Hairan?

United Malays National Organisation akan menang dalam PRU13 bukan kerana sokongan rakyat tetapi kerana sistem pemilihan ini telah diatur untuk menipu. Sistem pengundian ini telah disusun khas untuk memastikan penipuan berjalan licin tanpa disedari oleh orang ramai.

Memang betul semua pengundian akan dijalankan dengan mengikut prosedur. Memang tepat semua pengundian dijalankan mengikut peraturan. Tetapi prosedur dan peraturan ini semuanya disusun, semuanya dibuat untuk tujuan menipu.

Contohnya mesin ATM akan mengeluarkan duit sebanyak mana yang kita minta - jika kita memiliki wang simpan dalam bank. Tetapi mesin ATM yang dibuat oleh SPR ini akan memastikan jika kita meminta RM20 maka hanya RM15 akan keluar dan RM25 akan ditolak dari jumlah simpanan kita. Ini bukan satu yang mustahil. Ini penipuan. Sistem penipuanlah yang didakwa sedang disusun oleh SPR.

SPR ini bukan hanya dikepali oleh anggota ahli parti United Malays National Organisation. Sistem pengudian tipu yang disusun SPR ini telah mendapat kerjasama dengan Jabatan Pendaftran Negara, PDRM, Majlis Keselamatan Negara dan United Malays National Organisation.

Contoh penipuan yang paling senang untuk difahami ialah pengunaan dakwat kekal. Di negara-negara lain, biasanya sesudah mengundi maka si pengundi akan mencelupkan jari ke dalam botol dakwat.

Kunci ayat songsang ini ialah - SESUDAH. Tetapi dalam sistem SPR Malaysia jari tidak dicelup ke dakwat kekal tapi hanya dicalit halus. Untuk terus menipu calitan halus ini dibuat SEBELUM memangkah.

Kenapa calit dakwat sebelum memangkah? Ini untuk memastikan akan banyak undi rosak terpalit dakwat hitam. Undi rosak ini pastilah undian untuk Pakatan. Penipuan guna dakwat hitam ini diteruskan untuk apa yang dikenali sebagai pengundi awal. Sebelum ini tidak wujud pengundi awal ini. Siapa pengundi awal ini?

Pengundi awal ialah pekerja SPR di hari membuang undi. Dulu ada 100,000 - kini ditambah untuk menjadi 240,000 - saya ulangi dua ratus empat puluh ribu pengundi. Di katakan mereka akan mengundi awal tetapi tidak diketahui seawal mana? Lima hari? Tujuh hari atau tiga hari? Lagi awal mengundi lagi baik kerana tanda telah lama hilang. Mereka boleh mengundi beberapa kali lagi.

Surah dan ayat-ayat syaitan di atas membuktikan bahawa apa yang dilawan oleh Pakatan bukan parti politik. Yang dilawan ialah satu sistem pemilihan yang dibentuk dan direka khas untuk menipu. Sistem penipuan ini diwujudkan untuk memastikan United Malays National Organisation akan kembali berkuasa. Itu saja ayat songsang? Tidak ada lagi minggu depan.

Menteri dalam negeri tidak akan letak jawatan berkaitan kes rogol



  • Zulaikha Zulkifli
  • 5:12PM Nov 17 2012
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan berhubung kes tiga anggota polis yang didakwa merogol seorang wanita Indonesia di Pulau Pinang.

"Kita dah pastikan mereka dihadapkan ke mahkamah. Itu sistem negara yang kita ada dan membawa mereka ke mahkamah dengan dakwaan yang setimpal dan kutuk sekerasnya tindakan sebegini sekiranya didapati salah. Itu pendirian yang kita boleh lakukan," katanya dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerjaya Pemuda BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

hishammuddin hussein BN Youth Job Fair 2012 at PWTCBeliau berkata demikian ketika ditanya pemberita adakah beliau akan
meletakkan jawatan bagi bertanggungjawab terhadap isu tersebut.

Semalam tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pulau Pinang atas dakwaan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang wanita warga Indonesia.

Hishammuddin juga "mengelak" soalan berhubung cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC) dengan mengatakan bahawa tiada formula yang boleh menyelesaikan semua masalah.

Sehubungan itu, Hishammuddin berkata, apa yang penting kini ialah memastikan mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal.

"Tak ada satu formula yang boleh selesaikan semua masalah . Dan saya tengok yang penting sekarang kita telus dan kita pastikan mereka yang salah dibawa ke muka pengadilan dan hukuman setimpal dikenakan pada mereka.

"Sebab kes sebegini tidak monopoli kepada pihak-pihak tertentu (seperti) polis atau agensi-agensi kerajaan sahaja," katanya.

Selain itu, ketika ditanya adakah penubuhan IPCMC tidak diperlukan, beliau berkata: "Setakat ini saya nak tengok apa yang berlaku di mahkamah dan akan ikuti kes ini secara dekat dan secara peribadi.

"Saya dah jumpa IGP (Ketua Polis Negara) dan DIGP (Timbalan Ketua Polis Negara) dan saya tak benarkan PDRM (Polis Diraja Malaysia) menyembunyikan perkara ini dari orang ramai dan sekiranya ada perkara yang perlu ditimbulkan, bawalah ke mahkamah supaya orang ramai tahu," katanya lagi.

IPCMC merupakan salah satu daripada 125 cadangan pembaikan pasukan polis yang dikemukakan Suruhanjaya Diraja Untuk Mempertingkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005.

Suruhanjaya itu dipengerusikan mantan ketua hakim negara, Tun Mohamed Dzaidin yang mencadangkan IPCMC ditubuhkan sebelum 31 Mei 2007.

Bagaimanapun cadangan penubuhan suruhanjaya itu mendapat bantahan antaranya daripada mantan ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan yang mendakwa IPCMC tidak sepenuhnya adil kepada polis.

Tiga anggota polis didakwa atas tuduhan rogol


  • Susan Loone
  • 9:24AM Nov 16 2012
 
dikemaskini Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang wanita warga Indonesia di Berek Balai Polis Perai, Jumaat lepas.
  
Konstabel Remmy Anak Dana, 25, Kpl Nik Sin Mat Lazin, 33, dan konstabel Syahiran Romli, 21, didakwa merogol wanita Indonesia berumur 25 tahun itu di Bilik 4, Berek Balai Polis Perai di antara jam 6.40 pagi hingga jam 7.30 pagi 9 November lepas.
  
Ketiga-tiga mereka juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan rogol, mereka dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan manakala pertuduhan persetubuhan luar tabii mengikut Seksyen 376 (1) kanun sama yang memperuntukkan
hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Hakim Nabishah Ibrahim menetapkan 12 Disember ini untuk mengambil kenyataan daripada saksi-saksi, manakala Timbalan Pendakwa Raya adalah Suhaimi Ibrahim dan Nurashikin Mokhtar.

NONEPeguam Rosli Ismail bertindak sebagai peguam pemerhati. Peguam S Anthonysamy mewakili Remmy manakala peguam Parmjit Singh pula mewakili Nik Sim dan Syahiran.

Suhaimi memohon supaya tertuduh ditahan sementara menunggu perbicaraan kerana menurutnya, jika mereka telah dibebaskan dengan ikatjamin, ketiga-tiganya mungkin mengganggu saksi kerana mereka dikenali tertuduh.

Beliau juga memohon supaya kenyataan mangsa diambil di bawah Seksyen 396 Kanun Tatacara Jenayah pada tarikh yang lebih awal daripada tarikh perbicaraan supaya dia boleh kembali ke negaranya.
Nabishah kemudian menetapkan ikat jamin RM25,000 tiap seorang, dan memberi amaran kepada mereka supaya tidak mengganggu saksi.
Sejak jam 8 pagi tadi, ramai wartawan telah berkumpul di bangunan mahkamah, menunggu ketibaan suspek.

Mereka akhirnya tiba pada jam 2.15 petang, dan diiringi tiga anggota polis. Ketiga-tiganya memakai pakaian lokap berwarna oren dan menutup muka mereka dengan baju mereka.

Sebaik sahaja ternampak ketiga-tiga mereka, kumpulan jurukamera bergegas untuk merakam gambar.

Pemangku Ketua Pengarah Konsulat Indonesia di Pulau Pinang, Sofiana Mufidah turut hadir di mahkamah. Kira-kira 30 'penyokong' dalam uniform polis dan pakaian biasa turut hadir.

Gaza rayu bantuan bekalan perubatan


  • Bernama
  • 7:34AM Nov 17 2012
 
Gaza sangat memerlukan bekalan perubatan asas yang telah berkurangan sejak serangan udara dipergiatkan tentera Israel baru-baru ini, membunuh sekurang-kurangnya 20 orang dan mencederakan 200 individu, termasuk kanak-kanak.
  
Hatem Shurrab, Pengurus Media di Islamic Relief Palestine (IRP), berkata bantuan perubatan telah menjadi keutamaan tertinggi organisasi bantuan kemanusiaan. Terdapat kekurangan bekalan perubatan di Gaza dan ia semakin teruk selepas serangan.
  
"Hospital menghadapi masalah kekurangan bekalan perubatan antara tiga hingga empat tahun yang lalu. Namun, kini dengan serangan yang dipergiatkan, hospital tidak dapat memenuhi keperluan mangsa yang cedera yang datang dalam setiap beberapa minit," katanya dari Gaza dalam sidang video yang diatur oleh Islamic Relief Malaysia (IRM), di Bangi semalam.
  
Shurrab berkata ketika IRP melawat ke Gaza Central Hospital, mereka
mendapati banyak mangsa, kebanyakannya kanak-kanak. IRP bimbang kemmungkinan akan berlaku serangan di darat dalam beberapa hari akan datang.
  
Katanya, hampir separuh daripada mangsa yang cedera adalah kanak-kanak dan sebilangan mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi.

Laporan mengatakan bahawa Ahmad Jabari, komander sayap tentera Hamas, telah terbunuh dalam beberapa serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza pada Rabu. Beberapa serangan udara terus berlaku selepas ini dan membunuh lebih 19 orang, termasuk enam kanak-kanak.
  
Ini merupakan serangan terhebat ke atas wilayah Palestin dalam tempoh empat tahun sebagai tindakan balas ekoran serangan semula roket di selatan Israel, menurut laporan itu.
  
Shurrab berkata, menurut seorang pegawai dari Kementerian Kesihatan, hospital memerlukan ubat-ubatan asas, sebahagian daripada 100 barangan yang semakin cepat berkurangan.
  
"Ubat-ubatan penting adalah kritikal pada masa ini dan kami menggesa negara-negara di seluruh dunia untuk menyokong kami supaya kami dapat menyediakan keperluan penjagaan kesihatan asas kepada mangsa yang cedera," katanya.
  
Menurut IRP, serangan udara disasarkan di kawasan berbeza di seluruh Semenajung Gaza pada hari Khamis, dengan serangan roket dilancarkan dari Gaza ke arah Israel.
  
Beliau berkata Gaza kini musnah akibat serangan yang dipergiat sekaligus memberi kesan kepada rakyatnya.
  
"Ia adalah amat sukar untuk hidup di Gaza kerana setiap beberapa minit, terdapat letupan baru. Hanya beberapa minit lalu, satu letupan besar berlaku berhampiran rumah saya dan saya dapat melihat kerosakan melalui tingkap," katanya.
  
Menjawab soalan mengenai pengagihan bantuan makanan dan bukan makanan, beliau berkata sejak serangan udara berlaku, tiada lagi keperluan sebenar untuk bekalan makanan. Bagaimanapun, kekurangan makanan mungkin berlaku jika 'pencerobohan tanah' bermula.
  
Katanya, sekiranya ini berlaku barangan makanan dan bukan makanan boleh dibawa masuk melalui koordinasi dengan rakan kemanusiaan seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Program Makanan Sedunia (WFP) sama ada melalui Mesir atau sempadan Israel. Menurut Shurrab, Israel telah membuka sempadannya untuk bantuan kemanusiaan, ketika perang sebelum ini.
  
Beliau juga berharap agar rakyat Malaysia akan menyokong usaha kemanusiaan, rakyat Palestin dan IRM supaya bantuan boleh disampaikan kepada mangsa.
  
Sementara itu, Pengarah Negara IRM, Dr Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata pada masa ini terdapat bekalan mencukupi untuk 500 keluarga.
  
"Bagaimanapun, sekiranya serangan diperhebatkan pada hari-hari akan datang, termasuk pencerobohan tanah, krisis kemanusiaan akan meningkat kerana akan terdapat anjakan. Apabila ini berlaku, kita perlu memberikan bantuan makanan dan bukan makanan untuk sekurang-kurangnya 10,000 keluarga," tambahnya.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima panggilan daripada Presiden Mesir Mohamed Morsi malam tadi membincangkan serangan terbaru tentera Israel dan serangan udara di Gaza.
   
Dalam panggilan telefon selama 15-minit, kedua-dua pemimpin melahirkan asrat untuk bekerjasama menamatkan keganasan semasa di Gaza.
   
Satu kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri menyatakan bahawa kedua-dua egara bersetuju mendapatkan broker kuasa antarabangsa untuk mempengaruhi Israel menghentikan pencerobohan tenteranya terhadap rakyat Palestin.
   
Najib dan Mohamed juga menggesa Hamas untuk mengelak daripada tindakan yang akan meningkat konflik ke dalam konfrontasi lebih besar.
Serangan udara Israel sejak dua hari lalu telah mengorbankan 19 penduduk alestin termasuk enam kanak-kanak dan seorang wanita mengandung.   
   
- Bernama

Anwar dakwa Umno kini 'sasau, meroyan, nyanyuk'



  • Abdul Rahim Sabri
  • 6:49AM Nov 17 2012
Dikemaskini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno kini berada dalam keadaan "sasau, meroyan dan nyanyuk" sehingga sanggup memainkan pelbagai dakwaan termasuk hubungan dengan Yahudi dan Israel serta kenyataan anaknya, Nurul Izzah yang didakwa menyokong murtad.

anwar in kota bharu"Umno kini sasau, meroyan dan nyanyuk... Sebabnya (mereka) tidak ada benda yang hendak dipertahankan. Kalau ikut negeri dan pembangunan, negeri Pakatan Rakyat lebih membangun. Bersih lagi (pentadbiran) kita.

"Yang ada (pada mereka) fitnah. Kalau rakyat sudah termakan fitnah, padahnya punah-ranahlah negara kita. Kita (kena) selamatkan negara kita, umat dan negeri Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang," kata Anwar yang juga ketua umum PKR.

Apatah lagi, katanya, rakyat kini memberi sambutan pada janji Pakatan yang ditawarkan termasuk pendidikan percuma, mengembalikan royalti kepada negeri yang berhak dan menurunkan harga kereta, sekiranya gabungan itu berjaya menguasai Putrajaya.

Berucap di hadapan kira-kira 50,000 hadirin dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Mohamad ke-IV di Kota Bharu malam tadi, Anwar menempelak pemimpin BN yang mendakwa negara akan muflis jika Pakatan Rakyat mentadbir negara ini.

Ketua pembangkang itu menegaskan dakwaan tersebut tidak benar memandangkan terbukti sebelum ini hutang negeri Kelantan yang ditinggalkan oleh Umno sebelum ini, dibayar oleh Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Malah, terkini berlakunya lebihan pendapatan kerajaan negeri Selangor sebanyak RM2.4 bilion dan Pulau Pinang sebanyak RM2 bilion kerana dipimpin oleh Pakatan Rakyat.

NONE"Jadi MB tak pandai sebab lebihan pendapatan?" soal Anwar sambil menjelaskan hutang kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Najib Tun Razak kini mencecah RM538bilion.

Merujuk ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum itu yang menekan soal etika, sistem nilai dan tatakelola kerajaan, Anwar yakin Pakatan Rakyat akan menawan Putrajaya sekalipun pilihan raya umum diadakan pada Disember atau Januari tahun depan.

Sementara itu, Abdul Hadi pula cuba meyakinkan puluhan ribu penonton di stadium itu mengenai kemampuan PAS dan Pakatan Rakyat jika mentadbir Putrajaya dengan adil, amanah dan bersih.

"Kalau ada rasuah, tolong tangkap, ambil tindakan. Kami tidak mahu pemimpin kerajaan yang rasuah," katanya sambil menegaskan rakyat, harta negara dan pentadbiran adalah amanah dan Allah melaknat orang yang mengamalkan rasuah.

Mengulas mengenai kerajaan yang adil, Abdul Hadi memberi contoh pentadiran Khalifah Umar Abdul Aziz yang menulis surat kepada gabenornya yang gagal bersikap adil atau berdepan risiko dipecat.

"Negara lain, kalau pemimpin mereka silap, akan dipecat. Seluruh dunia berlaku, kita bila lagi. Pecat kerajaan yang ada, gantikan dengan kami, Pakatan Rakyat. Kita laksana pentadbiran yang baik," katanya.

Turut hadir dalam himpunan tersebut, Mursyidul AM PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang serta wakil NGO BERSIH, ANAK, Lynas dan Royalti.