Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

3.12.12

Peti besi dilari pencuri

Oleh Isma Ismail
isma@hmetro.com.my

PERMATANG PAUH: “Saya ke rumahnya kerana mahu tutup lampu, tetapi terkejut apabila mendapati pintu depan rumahnya terbuka. Saya masuk dan mendapati pintu belakang juga terbuka sebelum ternampak ada kesan tapak selipar di tepi rumah,” kata Mohd Said Hamid, 70, bapa kepada Ketua Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said, 43.

Mohd Zaidi mengalami kerugian berjumlah RM60,000 hingga RM70,000 apabila rumahnya di Tanjung Putus, di sini, semalam, dipecah masuk.

Dalam kejadian itu, pencuri terbabit melarikan peti besi berukuran 0.6 meter x 0.35 meter berisi tiga jongkong emas setiap satunya seberat 250 gram, barang kemas, dokumen penting termasuk geran tanah dan pasport.
Selain itu, peti besi elektronik berkenaan turut berisi kunci pendua kenderaan dan rumahnya.

Pencuri terbabit turut melarikan motosikal Honda Wave Dash dipercayai digunakan untuk mengangkut peti besi berkenaan dan tiga komputer riba.

Ketika kejadian, Mohd Zaidi dan isterinya, Santanina Salleh, 41, berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2012.

Menurut Mohd Said, dia yang tinggal bersebelahan rumah anaknya itu segera memaklumkan mengenai kejadian itu kepada Mohd Zaidi pada jam 6 pagi.

“Semua barang dalam rumah berselerak digeledah pencuri dan saya hanya mengetahui peti besi dilarikan selepas dia (Mohd Zaidi) tiba jam 7 pagi,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, dia berada di Kuala Lumpur sejak 27 November lalu dan ketika kejadian tiada sesiapa di rumahnya.

Menurutnya, bapanya membuka lampu rumahnya setiap petang dan kembali menutupnya menjelang pagi sepanjang ketiadaannya itu.

“Peti besi dilarikan diletakkan dalam bilik utama rumah saya dan pencuri dipercayai masuk menerusi pintu cermin gelangsar di bahagian belakang.

“Saya percaya suspek yang terbabit lebih seorang kerana peti besi itu agak berat dan mustahil boleh diangkat seorang,” katanya.

Menurutnya, pencuri itu turut meninggalkan kesan tapak kaki di dalam rumah dan sepasang selipar di tepi rumah.

Katanya, dia membuat laporan polis mengenai kejadian itu bagi membolehkan siasatan dapat dijalankan. Sementara itu, jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah mengesahkan kejadian itu dan polis menjalankan siasatan serta memburu suspek terbabit.

Tiada ulasan: