Malam kemuncak anugerah tertinggi industri muzik tanah air itu yang berlangsung di Stadium Melawati, di sini, malam tadi, turut menyaksikan Shila Amzah muncul pemenang kategori Lagu Pop Terbaik.
Persembahan Vokal Terbaik Berkumpulan dimenangi Forteen menerusi lagu Seperti Dulu, Video Muzik Terbaik milik Yuna menerusi lagu Sparkle, manakala Kulit Album Tercantik dimenangi Mizz Nina menerusi album Take Over. Mizz Nina yang melebarkan nama pada peringkat antarabangsa turut menerima Anugerah Kembara.
Anugerah Sri Wirama pula mengiktiraf sumbangan kumpulan pemuzik bukan Melayu, Alleycats yang berjaya memikat hati pendengar Melayu sejak 43 tahun lalu. AIM 19 dihoskan Aznil Nawawi dan Adibah Noor, dipancarkan secara langsung jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Mustika HD (saluran 134) bertemakan Black & White Glam Glitz.
Terdahulu segmen istimewa, Karpet Glamor disiarkan jam 8.30 malam, dikendalikan Awal Ashaari bersama peserta On Air, Dahlia Shazwan. Acara berprestij itu turut menyaksikan persembahan istimewa, antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Hafiz, Jaclyn Victor, Shila Amzah, Stacy, Forteen, Mojo, Jimmy Palikat, One Nation Emcees dan Nirwana Band.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan