Assalamualaikum Warahmatullah.
Sekadar menambah dan memberi pandangan dari perbincangan sahabat-sahabat di atas.
Di dalam Al-Quran dan al-Hadis tidak dinyatakan bahawa menggugurkan janin dalam kandungan adalah di benarkan oleh Islam. Sebaliknya banyak bukti-bukti yang menunjukkan bahawa janin dalam kandungan adalah sangat mulia. Antara dalil-dalilnya:
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam.
(Surah al-Israa: ayat 70).
Firman Allah Taala bermaksud:
Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.
(Surah al-Maaidah: ayat 32).
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.
(Surah al-Israa: ayat 31).
Firman Allah Taala bermaksud:
Kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan beransur-ansur) kamu sampailah kepada kedewasaan dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (ada pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai nyanyok.
(Surah al-Hajj: ayat 5).
Dari Rasulullah S.A.W. seperti dinukilkankan pada kitab al-Hudud:
Rasulullah S.A.W. tidak memerintahkan seorang wanita yang hamil di luar nikah untuk menggugurkan kandungannya: Datanglah kepadanya (Rasulullah S.A.W.) seorang wanita dari Ghamid dan berkata: Utusan Allah, aku telah berzina, sucikanlah aku. Dia (Rasulullah S.A.W.) meminta dia pulang dahulu. Esok hari dia datang lagi dan berkata: Utusan Allah, mengapa engkau meminta aku pulang? Demi Allah, aku telah hamil. Rasulullah S.A.W. bersabda: Baiklah jika kamu berkeras, maka pergilah sampai anak itu lahir. Ketika wanita itu melahirkan datang bersama anaknya (terbungkus) kain buruk dan berkata: Inilah anak yang kulahirkan.
Sebahagian orang beranggapan bahawa menggugurkan janin dalam kandungan dibolehkan asalkan janin belum berusia tiga bulan atau tidak terbentuk manusia lagi. Apakah pendapat ini benar? Saya mengatakan:
Sememangnya terdapat di sana pandangan sebilangan kecil ulama-ulama yang menyatakan boleh menggugurkan janin di dalam kandungan (perselisihan ulama pada tempoh dibolehkan menggugur janin kandungan dan pendapat yang terkuat adalah sebelum 120hari) atas alasan uzur atau mudharat yang bersangatan pada bayi. Namun saya cenderung pada pendapat yang terkuat menyatakan bahawa tidak boleh menggugurkan janin di dalam kandungan. Ini dapat di jelaskan berdasarkan dalil-dalil yang saya bawakan seperti di atas.
Adapun hukuman bagi yang menggugurkan kandungan:
Saya tidak pasti hukuman yang akan dijatuhkan oleh Hakim bagi sesebuah negeri itu. Namun saya cenderung untuk menyatakan bahawa hukumannya adalah sama seperti membunah seseorang yang tidak bersalah.
Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah Taala dan rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi hanyalah mereka dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia, dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar.
(Surah al-Maaidah: ayat 33).
Kesimpulan:
Anak yang bakal lahir dari kandungan seseorang perempuan itu adalah amanah Allah Taala kepada manusia. Samaada bayi yang bakal lahir itu dari hubungan yang sah atau tidak sah atau terpaksa dilahirkan – bayi itu tidaklah berdosa sedikitpun di sisi Allah Taala. Jika kandungan yang lahir adalah anak luar nikah maka orang yang membuat perbuatan keji itulah yang bersalah dan patut dikenakan hukuman. Janganlah kita menjadi hamba-Nya yang derhaka terhadap ketentuan-Nya. Sesungguhnya fikiran kita tidaklah dapat menandingi ilmu Allah Taala yang Maha Besar walaupun sebesar zarah.
Segala kesalahan dan kecacatan dari penulisan saya ini harap dapat diperbetulkan segera oleh sahabat-sahabat sekalian.
Wallahualam...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan