Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

20.1.10

Perluas hak undi pos karut, undur ke belakang

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 Jan: PAS menyifatkan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memperluaskan hak pengundi pos kepada mereka yang berada dalam perkhidmatan-perkhidmatan penting sebagai mengarut dan tidak masuk akal serta tindakan undur ke belakang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, langkah itu undur ke belakang kerana sistem undi pos yang ada sudah banyak menimbulkan masalah dan mahu dibuang apatah lagi dengan tindakan mahu menambahkan golongan yang layak mengundi pos.

"Saya mengesyaki ada agenda tersirat dalam langkah ini jika benar SPR bercadang berbuat demikian," kata beliau kepada Harakahdaily.

Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman pula berkata, prinsip PAS jelas untuk memansuhkan undi pos di kalangan anggota polis dan tentera dan tidak akan bersetuju jika ianya mahu diperluaskan kepada pengundi selain mereka.

"Ini cadangan yang mengarut. Pada dasarnya PAS memang tidak bersetuju sebab kita berjuang selama ini untuk hapuskan undi pos di kalangan polis dan tentera, tiba-tiba SPR nak luaskan hak pengundi pos," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, sebentar tadi.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu juga berkata, cadangan itu hanyalah rancangan politik Barisan Nasional (BN) untuk meningkatkan jumlah undi mereka.

"Ini rancangan politik Kerajaan BN untuk mengawal pengundi supaya mengundi mereka, tidak lebih dari itu. Tidak munasabah SPR membuat cadangan itu," katanya.

PAS, katanya akan meminta penjelasan daripada SPR berhubung perkara itu dan bersedia mengadakan pertemuan untuk berdialog.

"Kita akan dapatkan maklumat terperinci dan minta penjelasan dari pihak SPR berkenaan perkara ini. Kalau perlu kepada pertemuan, kita akan bertemu mereka," katanya lagi.

Sementara itu, salah seorang jurucakap Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih), Mohamad Sabu berkata, cadangan itu merupakan satu lagi cara yang membolehkan Umno/BN memanipusi undi pos untuk kemenangan mereka.

"Kita memang tidak setuju. Kalau semua orang boleh mengundi pos, lagi banyak berlaku manipulasi undi pos," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau juga menegaskan, cadangan SPR itu menunjukkan mereka sedang cuba menghapuskan kebebasan para pengundi kerana undi pos memang diragui ketelusannya.

Sebelum ini, salah satu daripada empat tuntutan Bersih ialah menghapuskan undi pos.

"Lagi teruk demokrasi kalau laksanakan cadangan ini. Ini usaha ke arah nak tutup ruang kebebasan dan demokrasi dalam pilihan raya," tegasnya.

Semalam, Pengerusi SPR, Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof berkata, doktor, jururawat dan wartawan mungkin dipertimbang untuk dibenarkan mengundi secara pos pada pilihan raya umum akan datang.

Ia akan dibuat menerusi pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang sedang diteliti oleh SPR.

Tiada ulasan: