May 24, 08 3:04pm
Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menyerahkan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, adalah sesuatu yang mengecewakan, kata pengerusi DAP, Karpal Singh.Katanya, keputusan ICJ itu bercanggah dengan kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim yang menyifatkannya sebagai situasi "menang-menang". Sebaliknya, kata ahli Parlimen Bukit Gelugor itu, keputusan ICJ mengenai kedaulatan Pulau Puteh itu jelas lebih menguntungkan Singapura.
Karpal berkata, pertikaian pokok adalah mengenai kedaulatan Pulau Batu Puteh dan bukannya sangat mengenai Terumbu Karang Tengah atau yang juga dikenali sebagai Middle Rocks.Oleh itu, katanya, Malaysia harus menerima hakikat bahawa ia telah kalah kepada Singapura, dari segi maruah dan pulau tersebut.
Karpal berkata, dalam sesuatu penghakiman, memang akan ada pihak yang kalah dan pihak yang menang.Bagaimanapun, beliau tertanya-tanya sama ada kerajaan Malaysia telah mendapatkan nasihat perundangan yang secukupnya - dari segi politik dan psikologi - berhubung perkara tersebut."Malaysia tidak sepatutnya bersetuju membawa perkara itu kepada ICJ kecuali jika ia benar-benar yakin boleh menang," katanya.
Sebaliknya, kata beliau, keputusan ICJ itu boleh membawa kepada pertikaian lain yang membabitkan soal maritim antara Malaysia dan Singapura.Karpal berharap, Singapura tidak akan mengeksploitasi kemenananganya dengan menjadi angkuh.
Dalam penghakimannya semalam, ICJ memutuskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura manakala Terumbu Karang Tengah milik Malaysia.Mahkamah itu juga menetapkan bahawa Terumbu Karang Selatan pula tertakluk kepada wilayah perairan di mana ia berada.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan