Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

15.12.09

Jangan pertaruhkan masa depan Kerajaan PAS Kelantan


| Print | E-mail
Mohd Rashidi Hassan| rashidi@harakah.net.my

Seluruh ahli, pemimpin dan penyokong PAS serta Pakatan Rakyat sama ada yang di dalam atau di luar negeri mempunyai kebimbangan yang sama, iaitu bimbang Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dijatuhkan.

Sehingga ada cakap-cakap di kalangan penganalisis politik yang mengatakan, jika waktu ini, dengan kemelut yang ada, jika Tok Guru tidak lagi memimpin kerajaan, jika diadakan pilihan raya, Kelantan akan tumbang di tangan Umno-Barisan Nasional.

Sudah tentu cakap-cakap ini menakutkan. Tetapi dalam politik kita mesti realistik. Ada masa kita menerajui, ada masanya kita diterajui. Ada masa kita memerintah, ada masanya kita diperintah.

Malah Umno-BN juga merasakan sebegitu. Mereka fikir mereka lebih berpeluang untuk merampas Kelantan daripada PAS, jika Tok Guru tidak lagi memimpin.

Tok Guru adalah ikon terunggul dalam PAS. Juga ikon bagi rakyat Kelantan. Tok Guru juga merupakan idola yang disayangi, oleh ramai kalangan masyarakat berbilang kaum dalam negara.

Maka Umno-BN tiada jalan lain, selain membunuh karektor dan peribadi Tok Guru, anak-beranak. Dengan bantuan media massa dan pihak-pihak tertentu, Umno-BN sedang menjalankan strategi 'character assassination' terhadap Mursyidul Am PAS.

Maka sejak akhir-akhir ini mereka menghalatujukan serangan bertalu-talu ke atas Tok Guru. Dengan harapan Tok Guru akan tertekan dan menjadi lemah. Mereka amat berharap Tok Guru meletakkan jawatan agar mudah mereka 'kilas' PAS di Kelantan.

Cabaran buat PAS di Kelantan


Justeru, cabaran yang paling besar buat PAS di Kelantan, malah di seluruh negara ialah bagaimana kita harus memastikan PAS terus menerajui Kelantan, walaupun ditakdirkan suatu hari nanti Tok Guru tidak lagi memimpin.

Kita harus sedar, kita tidak seharusnya mempunyai perasaan atau sindrom nafi (denial syndrome) bahawa, dengan kekuatan PAS yang ada, Kelantan tidak akan tumbang ke tangan BN.

Sindrom nafi ini juga sebelum ini wujud ketika PAS memimpin Terengganu 1999-2004, sehingga ada yang mengatakan dengan kekuatan yang ada, iaitu PAS memperolehi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri, berbanding BN 4 kerusi ketika itu, Kerajaan PAS tidak mungkin tumbang.

Nah! Kita sudah lihat apa yang sudah terjadi pada PRU 2004. Ia sudah menjadi fakta sejarah yang tidak boleh kita nafikan lagi.

Maka, yang amat kita bimbangi sekarang ini ialah, masa depan Kelantan di bawah PAS. Kita tidak seharusnya mendabik dada, bahawa dengan kekuatan PAS memimpin kerajaan selama 19 tahun, PAS tidak mungkin tumbang.

Kita harus memperhalusi, apakah elemen-elemen yang akan membuatkan kerajaan negeri pimpinan kita, goyah dan dilihat bakal dijatuhkan.

Kebimbangan seumpama ini harus dinyatakan kepada ahli-ahli politik yang memimpin PAS di semua peringkat di Kelantan pada waktu ini, termasuk juga anak menantu Tok Guru, kerana pada tangan merekalah nanti, akan ditentukan masa depan Tok Guru dan kerajaan negeri.

Percaturan politik PAS


Kedudukan dan percaturan politik dalaman PAS di Kelantan memang hebat. Percaturan ini bukan rahsia lagi. Mereka sering bersaing hebat untuk merebut jawatan tertinggi dalam PAS kawasan, melobi untuk menjadi calon dan mendapat kedudukan dalam PAS negeri.

Dalam erti kata lainnya, politiking dalam PAS di Kelantan, sentiasa hebat dan rancak. Tetapi belum wujud perpecahan dalaman yang serius. PAS Kelantan tidak dijangkiti penyakit seperti Umno Kelantan.

Setakat ini Alhamdulillah, sehebat mana pun percaturan politik dalaman PAS, mereka hanya bersaing untuk mendapatkan jawatan, menjadi Adun, Ahli Parlimen atau Exco, tetapi solid ketika berhadapan dengan Umno-BN.

Persoalannya untuk jangka panjang, mampukah pemimpin-pemimpin PAS di Kelantan, sentiasa dalam keadaan solid dalam menghadapi Umno-BN?

Apapun, kedudukan Tok Guru pada waktu ini tidak wajar dipertikaikan sama sekali, selagi rakyat dan parti mahukan beliau memimpin, beliau akan terus kekal sebagai Menteri Besar.

Namun secara realistiknya, kita juga harus memperakui bahawa harus wujud pelapis dan pengganti Tok Guru pada waktu akan datang. Sehingga ada suara-suara dalaman PAS yang mahukan Tok Guru menamakan pengganti beliau.

Soal wajar atau tidak, bila masa dan waktu yang bersesuaian untuk menamakan penggantinya, itu terpulang kepada Tok Guru.

Tetapi, sekali lagi persoalan harus dilontarkan terhadap ahli-ahli politik PAS di Kelantan termasuk dengan anak menantu Tok Guru, apakah mereka boleh menunjukkan solidariti, apakah mereka boleh menjamin, bahawa mereka tidak bertelagah dalam soal pengganti Tok Guru ini?

Apakah pemimpin-pemimpin PAS Kelantan boleh menjamin bahawa, mereka tidak akan berebut untuk menjadi MB? Apakah pemimpin-pemimpin ini boleh memberi jaminan, bahawa mereka tidak akan 'cas keting' sesama sendiri?

Apakah juga pemimpin ini, boleh memberi jaminan bahawa, mereka tidak akan melobi pihak-pihak tertentu, sama ada pucuk pimpinan tertinggi ataupun pihak istana untuk mendapatkan jawatan MB?

Kebimbangan yang wujud

Yang amat kita bimbangi sekarang ini ialah, jika ada atau jika wujud perasaan iri hati dan kalbu kotor di kalangan kepimpinan negeri.

Jangan sesekali ada di kalangan pemimpin yang tergerak dalam hati mereka kata-kata seumpama; "Jika aku tidak dapat (jadi MB) maka aku akan halang si fulan menjadi MB, biarlah parti lawan yang menjadi MB."

Yang amat kita bimbangi sekarang ini ialah, jika tindakan anak menantu Tok Guru yang boleh disalahtafsirkan atau menjadi bahan fitnah yang merosakkan imej Tok Guru dan masa depan kerajaan negeri.

Persoalannya di sini bukan soal hak, bukan soal kelayakan atau seseorang itu merasakan beliau berhak atau layak memegang jawatan di sesuatu tempat. Soalnya ialah, Tok Guru dan seluruh kepimpinan PAS harus mengelakkan perebutan jawatan dan sebarang perlantikan yang boleh menimbulkan fitnah kepada kesucian perjuangan Islam.

Memang sukar menguruskan manusia yang sentiasa terdedah untuk dihidapi penyakit mengutamakan kepentingan diri.

Inilah antara perasaan, penyakit dan sindrom yang amat bahaya, yang boleh dihidapi oleh mana-manapun individu pemimpin politik. Penyakit hubbud dunya' (cintakan dunia) dan hubbul riasah (cinta untuk menjadi pemimpin).

Buat masa ini, tugas utama mereka ialah untuk menggemblengkan sepenuh tenaga dan bersatu mempertahankan Tok Guru. Jangan berbalah, jangan berebut, jangan mengkayakan diri dan berusaha mengelakkan sebarang fitnah.

Jika hati-hati mereka masih dalam keadaan kotor, maka merekalah sebenarnya, yang akan menggadaikan masa depan di PAS Kelantan, tangan-tangan merekalah yang akan menjadi punca jika PAS tumbang di Kelantan.

Ingat, kepimpinan boleh ditukar ganti, tetapi Tok Guru tiada galang gantinya. Jika pun ada, yang beriya-iya hendak menggantikan Tok Guru, mampukah mereka menjadi seperti Tok Guru, yang mengetepikan kemewahan, kepentingan diri dan hidup serba sederhana?

Oleh kerana Tok Guru adalah aset PAS yang amat berharga, maka pada waktu ini, seluruh pemimpin, ahli dan penyokong di seluruh negara bertanggungjawab untuk berikrar taat setia, tsiqah dan berbai'ah dengan kepimpinan beliau.

Maka fokus kita sekarang ini ialah, melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya, untuk mempertahankan kepimpinan kerajaan pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

8.12.09

PANAS: Gambar aksi penyokong gerombolan yang melampau!..sebarkan!

Tuesday, December 8, 2009















[[ Penulis tak mahu komen panjang..sudah berbuih mulut ini bicara mengenai dasar kebangsaan dan semangat asobiyyah penyokong gerombolan..melayu, melayu, melayu dulu kini dan selamanya..lihat sahaja contoh diatas...betapa jelas perjuangan mereka sebenarnya hanya untuk bangsa ditempat pertama, agama ditempat kedua..

Ternyata sikap dan tindak tanduk mereka tidak melambangkan tatasusila dan adab seorang Melayu, jauh sekali bertepatan dengan akhlak dan sahsiah seorang muslim..penulis malu mengaku sebagai orang Melayu jika ini cara fikir dan tindak sebahagian dari umat Melayu (dalam Umno)..terlalu kuat dasar kebangsaannya, terlalu keras semangat asobiyyahnya..sehinggalah terlihat perwatakan sebenar mereka melalui gambar diatas..]]

Ketuanan Melayu: Aduan polis terhadap wakil DAP

...Selepas keluar dari mahkamah, mereka dilihat memegang kain rentang yang bertulis "Jangan bodoh macam lembu, jaga sensitiviti dan perasaan orang Melayu".

Kain rentang tersebut juga turut memaparkan gambar tiga pemimpin DAP Lim Kit Siang, Lim Guan Eng (setiausaha agung) dan Nga Kor Ming (setiausaha Perak).

Ditanya mengenai kain rentang tersebut, Mahayuddin berkata, ia sebagai reaksi kepada pemimpin DAP yang memijak gambar tiga ADUN bebas di Perak baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, bukan mereka yang membawa kain rentang tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, ketika keluar dari mahkamah, mereka ternampak ada oran gyang membawa kain rentang tersebut dan mereka turut memegangnya sama sebagai tanda sokongan.

Sumber, Malaysiakini

[[ Satu sahaja penulis nak cakap..dasar pembohong!..gambar2 diatas jelas menyanggah kata2 sumbang Muhyidin..kononnya mereka tidak tahu kain rentang terbabit wujud..sedangkan dan hakikatnya dari kalangan merekalah yang bertanggungjawab menyediakannya!

Jika sebelum ini, heboh 1Malaysia mengenai isu pemimpin DAP memijak gambar ADUN 'katak' dan ramai menuntut mereka memohon maaf, bahkan kepimpinan tertinggi Pakatan rakyat, Anwar Ibrahim sendiri yang membantah tindakan pemimpin DAP tersebut, sehinggalah mereka memohon maaf..

Tapi untuk kali ini, ternyata pemimpin tertinggi mereka, Muhyidin awal-awal lagi mempertahankan tindakan ahli-ahlinya walaupun jelas ianya perlakuan salah dan biadap..kerana apa? kerana itu bertepatan dengan ciri dan budaya mereka...benar kata Tun Mahathir membenarkan kata seorang bekas pemimpin kanan Umno, "Umno busuk sehingga ke ususnya"..buktinya....







Akhir kalam, inilah yang dikatakan 'asobiyah tidak bertempat'..jauh sekali menepati 'asobiyah terpimpin' yang selari dengan syariat dan nilai2 Islam seperti yang dituntut Ibnu Khaldun...wallahua'lam..]]

Artikel berkaitan (wajib tahu)..
- Isu pijak gambar dijadikan isu perkauman oleh blogger Umno!
- Ini bukan budaya kita..lagi video tunjuk wajah sebenar dalang kecoh majlis dialog !
- Arak kepala lembu: Penduduk tempatan bantah aksi ekstrem! (video inside)

http://ruangbicarapriamalaya.blogspot.com

6.12.09

Mencontohi sikap Tuan Guru


| Print | E-mail
Mohd Rashidi Hassan


TERIMA kasih tuan guru kerana mendengar rintihan kami. Terima kasih tuan guru kerana mengutamakan perjuangan Islam dan parti PAS lebih daripada kepentingan peribadi dan keluarga.

Terima kasih tuan guru kerana atas nasihat dan kebijaksanaan menilai perjuangan jangka panjang, tuan guru menasihatkan menantu mengundurkan diri.

Terima kasih kepada kepimpinan PAS yang diketuai Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang membantu menyelesaikan kemelut ini dengan sempurna dan bijaksana.

Setelah beberapa minggu dilanda pelbagai kontroversi dan persepsi buruk, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat membuktikan kepada kita semua bahawa beliau boleh ditegur dan diperbetulkan.

Bukan Tuan Guru Mursyidul Am sahaja, malah Tuan Guru Presiden PAS juga mempunyai sifat yang sama. Beliau dikritik secara berdepan pada 7 November lalu, dalam Seminar Memperkasakan PAS.

Keterbukaan kedua-dua tokoh PAS ini merupakan suatu teladan yang terbaik pernah ditunjukkan oleh kepimpinan. Mereka membuktikan bahawa perjuangan PAS bukan sekadar retorik sahaja.

Kepimpinan PAS sedia ditegur untuk berubah ke arah yang lebih baik. Kepimpinan PAS sedia dimuhasabah, demi kebaikan perjuangan Islam.

Ini adalah bukti keberkesanan dan ketelusan sistem Islam, pentadbiran Islam dan politik Islam yang dipelopori PAS. Ianya juga merupakan suatu sistem tarbiyah (pendidikan) dalaman, yang harus diteladani dan dicontohi oleh parti-parti politik lain dalam negara.

Bagaimanapun, dengan satu dua perkara yang baik ini sahaja, tidak cukup untuk PAS berbangga. Terlalu banyak halangan dan cabaran menanti PAS. Mungkin lebih berat daripada fitnah yang melanda kepimpinannya pada waktu ini.

Cabaran yang paling besar kepada sebuah perjuangan, ialah bagaimana ia boleh mempunyai suatu bentuk kepimpinan yang mantap, jujur, lengkap dengan ilmu serta telus dalam tindakan dan amalan.

Cabaran yang paling hebat kepada seseorang pemimpin ialah, bagaimana ia boleh mengelak dari dipalitkan dengan persepi penyalahgunaan kuasa, mengamalkan kronisme atau nepotisme.

Masalah kepada sebuah perjuangan parti politik akan wujud, apabila ada di kalangan kepimpinannya, dilihat tidak bersih.

Dalam soal ini tidak harus ditunding jari atau dipersepsi negatifkan urusan antara Tuan Guru Nik Aziz dengan menantunya sahaja. Tidak juga harus dipersalahkan Presiden PAS seorang, jika PAS berada di tahap yang menurun.

PAS dan Pakatan Rakyat punyai cabaran yang lebih besar. Iaitu bagaimana ia boleh mengekalkan momentum sokongan rakyat, yang diterima pada 8 Mac 2008.

Bagaimana Pakatan Rakyat boleh menarik sokongan rakyat dengan mengenengahkan kepimpinan yang bersih, telus, adil dan demokratik.

Sayugia diingatkan seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat, sama ada daripada PAS, KeADILan, mahupun DAP yang memegang jawatan, mesti benar-benar bersih, bukan sahaja dilihat bersih.

Mereka yang memegang jawatan sebagai Menteri Besar, Ketua Menteri, mahupun Exco Kerajaan Negeri, mesti berusaha mengelakkan sebarang elemen yang mengkayakan diri sendiri. Mereka jangan berebut balak, jangan berebut pasir, projek, tender dan sebagainya.

Mereka harus mengelak daripada dikelilingi oleh circle ahli perniagaan atau kroni-kroni tertentu. Mereka mesti mengelak daripada memberikan apa jua anugerah kepada anak beranak, adik beradik ataupun sanak saudara.

Persoalannya di sini, bukan soal sesiapa yang menerima jawatan, anugerah atau projek atau laba, layak atau tidak. Bukan soal layak atau tidak dari segi undang-undang. Tetapi ianya berkait dengan kesalahan moral dan etika.

Dan antara yang paling utama sekali ialah, pemimpin Pakatan Rakyat mesti mengekalkan cara hidup yang mereka jalani sebelum berkuasa, tatkala mereka memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Apabila pemimpin Pakatan Rakyat mula hidup mewah ataupun menunjukkan cara hidup yang mewah, maka rakyat kebanyakan yang miskin, yang susah akan menjauhi mereka, sekali gus mereka akan memalitkan persepi buruk kepada parti yang diwakili.

Ingatlah, bahawa rakyat menolak Umno-Barisan Nasional kerana pemimpin mereka mengamalkan rasuah, menyalahgunakan kuasa, mengamalkan kronisme dan nepotisme.

Umno-BN mencipta jurang besar antara mereka dengan rakyat, kerana kebanyakan pemimpin mereka hidup dengan serba mewah. Mewah bukan kerana keturunan mereka kaya, tetapi mewah selepas memegang dalam Umno dan kerajaan.

Semakin lama Umno-BN berkuasa, menjadikan pemimpinnya semakin tamak. Secara beransur-ansur rakyat semakin sedar dan menjauhi Umno. Maka malang bagi kita, jika rakyat melihat kita (Pakatan Rakyat) sama sahaja dengan mereka (Umno-BN).

Tambahan pula jika kita dari PAS, sebuah parti Islam, memperjuangkan kebenaran Islam, maka barang dijauhkan Allah untuk kita melakukan sebarang tindakan yang dilihat sama dengan Umno. Pemimpin PAS jangan jadi seperti pemimpin Umno.

Justeru, bagi seluruh kepimpinan dan ahli PAS, menjadi cabaran besar bagi mereka untuk berjuang melawan hawa nafsu, melawan godaan pangkat, melawan godaan harta dan kuasa.

Tambahan bagi mereka yang 'bertitle' ustaz, cabaran lebih besar bagi mereka untuk memperlihatkan diri mereka bersih dari rasuah atau menyalahgunakan kuasa. Mereka mesti mengelakkan hidup dengan penuh kemewahan dan kemegahan.

Mereka tidak harus menunjukkan kemewahan dengan memiliki banglo mewah, mempunyai kenderaan mewah atau menaiki kapal terbang dengan menempah tiket business class. Semua ini harus dielakkan kerana ia bakal mencetuskan persepsi buruk terhadap PAS.

Perjuangan PAS yang dipelopori oleh alim ulama mesti dibuktikan dengan menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab dan bersih.

Pemimpin mesti membuktikan bahawa perjuangan dalam PAS bukan diasaskan oleh kekuatan retorik semata-mata, kemurnian dan ketelusan amalan Islam bukan retorik.

Tetapi kemurnian Islam hendaklah dijelmakan dalam bentuk fizikal, iaitu telus dan bersih semasa diberi amanah memegang kuasa.

Buat waktu ini contohilah sikap dan kerendahan jiwa dua tuan guru ini. Merekalah ikon perjuangan kita, kedudukan mereka sebagai pemimpin terlalu tinggi, namun mereka sanggup merendah diri diteguri. Salam perjuangan.

30.11.09

Jangan sampai anda pula dibodohkan


Mohamad Shah


Saya Mohamad Shah berasal daripada Dungun Terengganu, bekas anak tahanan ISA 1984, amat tidak senang dengan berita yang disiarkan oleh Malaysiakini tentang penyataan berikut: "Ayahanda telah tua dan keletihan. Dia telah memberi yang terbaik. Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan," tulis Nik Abduh Nik Aziz dalam blognya semalam.

"Jika tidak, saya akan memanggilnya, 'Wahai si bodoh!'," tulis Nik Abduh Nik Aziz yang juga exco Dewan Pemuda PAS pusat.

Dalam keadaan orang orang Islam dan perjuangan Islam diserang dari segenap penjuru sama ada di negeri Kelantan Malaysia malah dunia, masih adakah orang seperti Nik Abduh, seorang anak ulama besar yang disanjung mengatakan jika seseorang yang meminta bapanya tidak meletakkan jawatan.

Wahai Nik Abduh. Ustaz Nik Aziz itu bukan hak tuan, dia hanya dipinjamkan Allah dilahirkan ke dunia untuk memimpin dan pemimpin bagi umat manusia sama ada Islam atau bukan Islam di atas muka bumi ini. Cuma Ustaz Nik Aziz adalah perantara di alam istillah sunatullah.

Selepas Nabi Besar Muhammad wafat, di sambung oleh para sahabat diikuti para ambia dan berbetulan Ustaz Nik Aziz itu seorang alim, warak serta berpandukan al Quran, Hadis Nabi maka dia adalah hak umat manusia. Bukan hak Nik Abduh sahaja.

Apakah Nik Abduh bersedia apabila dipadang mashyar kelak untuk menjawab bahawa dia adalah penghalang umat Islam meminta Ustaz Nik Aziz berkhidmat untuk umat Islam dan manusia.

Kalau Ustaz Nik Aziz selalu mengambil pengiktibaran daripada kisah Rasullah, adakah di zaman Rasullah anak-anak Baginda melarang Rasullah meneruskan penyebaran dan penyampaian Islam kepada manusia?

Tak pernah pula saya terbaca anak Rasullah melarang ayahnya meneruskan Baginda menyampaikan Islam semasa Baginda sakit. Adalah baik Nik Abduh mengambil pengiktibaran daripada seorang Imam di Kampung Sura Tengah Dungun, Arwah Imam Haji Razali apabila ditanya oleh anaknya,

"Ayah sampai bila ayah akan menjadi imam sedangkan ayah dah tua dan sakit" apakah jawapan seorang imam yang tidak bertaraf ustaz dan ulama kepada anaknya, "Ayah akan terus menjadi Imam sehingga ayah mati"

Apakah pengiktibaran yang Allah berikan kepada umat Islam dikampung itu Imam Haji Razali sempat mengimamkan solat Jumaat terakhir dalam hidupnya dan sebelum beliau meninggal dunia ini pun beliau meneruskan solat walaupun berada di katil hospital.

Oleh itu perkataan "Bodoh" atau tidak cerdik yang diguna pakai oleh Nik Abduh adalah perkataan orang yang tidak cerdik tentang perhitungan hidup mati, ketuhanan dan Islam. Perlu di ingat Nik Aziz hebat bukan kerana nama dia Nik Aziz, tetapi kerana perjuangan, pengucapan, cara hidup, amal ibadatnya mengikut Islam. Mereka yang bakal meminta Ustaz Nik Aziz meneruskan khidmatnya bukannya "Bodoh" tetapi mereka yang bakal meminta Nik Aziz meneruskan khidmatnya adalah mereka yang cerdik serta berpandangan jauh dalam meneruskan perjuangan Islam serta menyambung seruan Rasulullah saw.

Yang demikian Nik Abduh jangan bongkak, kerana sejarah menunjukan anak isteri para nabi ada yang menentang seruan Allah, jangan sampai Nik Abduh tergolong di kalangan mereka itu.

Sekian terima kasih.

Harakah

22.11.09

Safar Jumaat: Dun Kota Siputeh dan Mahathir

Safar Jumaat


SEMINGGU dua ini, media arus perdana memainkan isu beberapa cadangan yang mahukan bekas Perdana Menteri (PM) diberikan jawatan, baik dalam kerajaan mahu pun Umno, khususnya di Negeri Kedah.

Kenapa tiba-tiba cadangan ini timbul, boleh dilihat dari beberapa sudut. Pertama, mereka yang mencadangkan sudah nampak, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terlalu lemah.

Satu lagi pandangan, mengatakan angan-angan Umno mahu merampas kembali Kedah dari Pas hanya menjadi mimpi yang tidak akan menjadi kenyataan, tanpa bantuan Dr. Mahathir.

Seorang blogger terkemuka, yang juga merupakan anak jati Kedah menyindir Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid juga dkatakan gagal mengawal tingkah laku anak buah hingga menyebabkan DUN Kota Siputeh yang diwakili BN tiba-tiba menjadi kosong angkara ‘ponteng’.

Ketika Mahdzir Khalid menjadi Menteri Besar Kedah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden Umno, Dr. Mahathir digagalkan dalam usahanya menjadi salah seorang perwakilan G7 dari Umno Bahagian Kubang Pasu, yang pernah diterajui Dr. Mahathir lebih 20 tahun.

Persoalannya, hebat sangatkah Dr. Mahathir di mata media massa arus perdana hingga mereka tidak segan silu melupakan sejarah silamnya lantas mencadangkan supaya bekas PM ini diberikan jawatan dalam Umno di Kedah?

Lupakah mereka yang mencadangkan ini bahawa ketika Dr. Mahathir menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri, Kedah hampir-hampir tumbang dalam pilihan raya umum 1999 – ketika lapan dari 15 kerusi Parlimen dimenangi Pas dan BN (Umno) hanya menang tujuh?

Jika, ketika masih berkuasa pun Dr. Mahathir nyaris-nyaris membawa Kedah rebah, inikan pula ketika Dr. Mahathir sudah tidak punya apa-apa.

Namun, disebabkan media arus perdana, blogger dari kalangan orang Umno di Kedah dan mereka yang merasakan diri mereka lebih Umno dari Umno sendiri, takut kalau Dr. Mahathir tidak diberikan jawatan, mulutnya akan menyerang Umno.

Cadangan asal datangnya dari bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik yang mahu Dr. Mahathir diberikan jawatan dalam kerajaan, Menteri Kanan.

Cadangan itu mendapat sokongan dari Ahli MT, Datuk Seri Lajim Okin. Kemudian, seorang penulis kanan dari sebuah akhbar arus perdana mencadangkan supaya Dr. Mahathir diberikan jawatan dalam Umno Kedah.

Ini mungkin cadangan yang datangnya dari kalangan ketua-ketua bahagian di Kedah, yang kurang menerima kehadiran Datuk Seri Mohd Shafie Afdal selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah kerana Shafie dilihat baru masuk Umno, ketika Umno ke Sabah sedangkan orang-orang Kedah, yang sudah lama menjadi ahli Umno, tidak diyakini kemampuannya.

Apa yang diharapkan dari kekuatan bekas PM ini, setelah mereka tidak yakin dengan Naib Presiden Umno, Shafie Afdal mengetuai Umno Kedah dengan mencadangkan supaya Dr. Mahathir mengetuai Umno Kedah, sedangkan mereka sebenarnya mahu mencadangkan supaya anak Dr. Mahathir, Datuk Mukhriz sewajarnya mengambil tempat Mohd Shafie.

Cuma, segan silu mahu mencadangkan nama Mukhriz, kerana Mukhriz tidak berjawatan di peringkat bahagian dan kalah sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, masih tebal – menyebabkan mereka ‘kenen’ nama dr. Mahathir dengan harapan, Dr. Mahathir akan menolaknya.

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik pula mencadangkan supaya Dr. Mahathir di lantik sebagai menteri kanan.
Ini kata Abdul Rahim, akan membolehkan kepakaran Dr. Mahathir dalam pentadbiran negara selama 22 tahun perlu dimanfaatkan.

Menurut Abdul Rahim sepanjang tempoh tersebut, Dr. Mahathir telah melaksanakan pelbagai dasar untuk menjadikan negara ini terus berkembang daripada segi ekonomi.

“Pengalaman dan kepakaran beliau harus digunakan dalam membantu negara-negara dunia ketiga serta negara-negara Islam,” katanya.

Abdul Rahim menjelaskan, walaupun tanpa jawatan berkenaan, Dr. Mahathir masih mempunyai pengaruh yang kuat dan sering menerima jemputan menghadiri persidangan antarabangsa terutama di negara-negara dunia ketiga dan negara-negara Islam.

“Jadi untuk memanfaatkan Malaysia kepada negara-negara luar, lebih elok satu jawatan ditimbang oleh kerajaan bagi mengiktiraf beliau sebagai pemimpin terhormat negara ini,” katanya.

Seorang pemerhati politik menyifatkan cadangan Abdul Rahim itu dibuat kerana Abdul Rahim tidak nampak apa-apa perubahan berlaku di Malaysia sejak Dr. Mahathir mengundurkan diri dari jawatan Perdana Menteri.

Hari ini, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menolak cadangan supaya Mukhriz dinamakan sebagai calon BN di DUN Kota Siputeh. Ramai yang terkejut dengan ‘keberanian’ Muhyiddin mendahului Perdana Menteri di dalam soal menentukan calon.

Kata mereka, mungkin Muhyiddin bimbang, jika Dr. Mahathir turut menyokong cadangan beberapa pihak dan khabarnya Mukhriz juga sudah mengeluarkan kenyataan mengatakan dia sudah bersedia dicalonkan di situ jika itu yang dikehendaki Umno/BN.

Setakat ini, Dr. Mahathir belum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai calon di DUN Kota Siputeh. Biasanya, Dr. Mahathir akan turut bercakap, sama ada bersetuju atau tidak seseorang itu dicalonkan di situ, seperti yang pernah berlaku di DUN Bagan Pinang.

Umno sebenarnya cukup takut kalau Dr. Mahathir bersuara. Kata-kata Dr. Mahathir biasanya akan melukakan banyak pihak. Dalam zaman Abdullah menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir secara terus terang mahukan rakyat menolak Abdullah dan jika perlu, kalahkan BN dalam pilihan raya supaya Abdullah tidak terus menjadi Perdana Menteri.

Walaupun kepimpinan Umno hari ini tidak begitu berani menyalahkan Dr. Mahathir sebagai salah seorang penyumbang kepada kekalahan BN dalam PRU 12 yang lalu, namun, hakikat sebenarnya – Dr. Mahathir telah berjaya mengurangkan sokongan pengundi kepada BN.

20.11.09

H Fansuri: Jangan larang orang hadir... haramkan terus BTN!

H Fansuri

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan YB Dr Halimah Ali membangkitkan suatu hal yang sepatutnya disebutkan sejak awal-awal lagi ketika Pakatan Rakyat dapat memerintah Selangor sejak Mac 2008.

Hal itu berkaitan dengan usaha mengelakkan para kakitangan kerajaan negeri, pelajar daripada terus mengikuti kursus anjuran Biro Tata Negara (BTN).

Saranan dan arahan ini amat baik dan sepatutnya semua negeri di bawah naungan PR menguatkuasakan arahan agar para kakitangan kerajaan, para pelajar di negeri masing-masing tidak terlibat dalam upacara rasmi; membasuh otak mereka ini.

Ketika menuntut di Kolej Mara Kulim, 1996, saya terlibat dengan kursus ala tentera dekat Jalan Junjong di Kulim. Ia berhampiran dengan MRSM Polis kalau tidak salah atau mungkin kem tersebut jauh sedikit dari situ. Kem bina semangat itu, kebanyakan penceramahnya tentera atau agamawan dari Kor Agama Tentera (Kagat) yang berpidato dengan suara lantang penuh bersemangat.



Ini zaman sebelum meletusnya reformasi 1998. Keadaannya tentu berubah pada zaman sekarang.

Sekitar 2005, saya dan seorang mahasiswa Soh Sook Hwa hampir menempuh zaman berijazah di USM. Kebetulan, kami tidak memasuki kursus anjuran BTN di Dewan Tunku Syed Putra (DTSP). Kenapa saya tidak masuk kursus sehari itu pun, tidak diketahui kerana hal itu berlangsung sudah lama.

Yang masih saya ingat, mahasiswa diugut, jika tidak masuk kursus BTN itu, maka mereka sukar berijazah dan antara syarat untuk lengkap berijazah, ialah mereka mesti mengikuti kursus BTN.

Bukti sukar dicari, saksi sukar tampil

Saya percaya, akan ada mereka yang terbabit dalam hal ini, akan menafikan semua ini, tapi itu hal biasa. Semua orang akan buat jahat, dan ketika ada pihak mendedahkan, maka orang yang telah berbuat jahat dan serong itu akan segera menafikan. Mereka akan meminta bukti dan saksi.

Masalahnya, ketika mahasiswa mula memasuki DTSP ini, segala alat perakam, alat elektronik seperti hp, telefon bimbit akan diminta dikeluarkan dan diletakkan di satu sudut lain. Selepas berakhirnya ceramah, barulah kesemua alat peranti itu dikembalikan.

Jadi, sangat sulit mendapatkan bukti bersuara dalam bentuk audio dan bukti gambar bergerak, video hp, klip video yang boleh dirakam melalui telefon bimbit. Saudara sedia maklum, zaman itu, blog belum lagi popular termasuklah YouTube dan mahasiswa belum lagi mesra teknologi.

Jika tiada bukti, yang ada hanyalah saksi. Tapi, bagai dimaklum bahawa budaya mahasiswa USM pada zaman itu, mereka enggan tampil ke depan sebagai saksi mata. Manalah ada pelajar yang sanggup mengambil risiko. Jadi, yang terlebih afdal mereka lakukan ialah membuang resah di Restoren Pelita, di Restoren Subaidah USM, di café Bakti, Harapan termasuklah di bilik balai Berita Kampus (BK).



Kisah si 'Pudin'

'Pudin', petang itu memandang tepat ke arah wajah saya lama-lama, seakan-akan ada gelombang besar, membadai di hatinya. Kemudian muncul dua tiga orang lagi rakan-rakan yang baru tiba, lalu mereka pun tercegat memandang saya,seperti mahu memberitahu saya sesuatu hal besar.

Oleh sebab 'Pudin' jarang berbual dengan saya maka kata-katanya lebih diyakini. Apabila seseorang yang jarang berbual dengan kita, tiba-tiba tergerak hatinya untuk berbual, ini bermaksud, dia mahu bercakap sesuatu yang penting dan kemungkinan dia mahu menipu adalah sifar.

"Nama kau naik tadi dalam DTSP," kata Pudin dengan matanya masih bercahaya, tak pernah dia melihat tepat ke dalam anak mata saya dalam-dalam. Ini kerana, sebelum ini kami memang kekok berbual.

Melihatkan saya masih dalam kekaburan, Maimunah menambah, "Dia orang kutuk abang sungguh ni! Mereka kata, inilah wajah pembangkang dalam universiti."

"Muka kau dan muka Soh Sook Hwa ditayangkan dalam 'slide' tadi," tambah Pudin lagi, mengiyakan bicara Maimunah itu. "Terperanjat kami, kalau kau datang tadi, tak tahulah nak jadi macam mana."

Apabila saya memeriksa hal itu dengan Sook Hwa, berita itu rupa-rupanya telah sampai ke pengetahuan beliau. Rakan-rakannya dalam Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) dan Dema USM, siap memaklumkan hal itu kepadanya. Dakwaan penceramah itu adalah seperti yang biasa dibaca dalam Idealis Mahasiswa.

Rakan saya itu dikatakan berfahaman komunis dan akhbar Berita Kampus (BK) pula dikatakan sudah pun menjadi alat pembangkang di universiti sejak saya memimpin akhbar tersebut.

PKPIM haram?

Seorang siswa UIAM yang menganggotai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pernah menelefon saya kerana dia terkejut bercampur geram ketika melihat bagaimana penceramah BTN telah menyatakan dalam ceramahnya, bahawa PKPIM adalah badan pertubuhan pelajar yang haram.

Saya percaya penceramah BTN itu tersilap. Dalam keghairahan menghalalkan GPMS dan mengharamkan badan pertubuhan lain yang tidaklah senada seirama, sehati berdansa dengan fikrah mereka, pemidato itu telah terlanjur menyatakan PKPIM adalah pertubuhan haram walhal pertubuhan itu memang sah.

Penceramah itu muda-muda belaka dan tentu saja tidak arif sejarah bangsa apatah lagi sejarah lembaga, pertubuhan pelajar. Mereka hentam kromo saja --- Gamis, Karisma, Dema, PKPIM adalah haram.

Demikianlah fitnah yang terhambur rentetan daripada kebengapan ekoran kebangangan mereka sendiri adanya. Ketika bahan ini ditulis TPM Muhyiddin Yassin bersinis kepada Lim Kit Siang. Beliau meminta Lim mengikuti acara BTN untuk melihat sendiri jika benar BTN ada unsur-unsur gelapnya.

Kalau Lim, Halimah Ali, Anwar Ibrahim dan lain-lain pimpinan Pakatan Rakyat masuk tentulah pidato lain skripnya, sama keadaannya seperti lawatan YB, menteri di kawasan mundur. Jalan becah yang digenangi air bah, tempat berendamnya bocah-bocah kecil tentu saja akan diturap dengan lenditnya kalau YB tiba.

Muhyiddin mungkin boleh bertanyakan orang kuat BTN sebelum ini seperti Tan Sri Nordin Kardi, untuk meneliti laporan program yang mereka lakukan sebelum ini. Siapakah penceramahnya, siapa yang terlibat dalam usaha 'brain-wash' calon-calon MPP yang berentap merebut jawatan YDP MPP USM sesi 2004/2005?

Pada saat itu, ada dua kumpulan yang saling berselisih; Azimin Zul Izzi Aimi daripada pro-mahasiswa dan Fakhrul Razi Sunip daripada Aspirasi. Jumlah kedudukan yang tidak jauh berbeza itu menyebabkan, menurut ceritanya, BTN terpaksa melibatkan diri dalam usaha 'brain-wash' kesemua siswa yang menang bertanding itu.

Bolehkah Muhyiddin bertanya kepada Nordin bagaimanakah proses 'brain-wash' yang dilakukan hingga menyebabkan calon Aspirasi boleh menjadi Presiden MPP walhal menurut undian, sebenarnya dia tidak boleh memegang jawatan tersebut? Sehingga kini, saya masih mengkaji bagaimana hal ini boleh berlaku.

Teknik 'melarikan' siswa ke kem-kem bina semangat atau kem BTN untuk tujuan 'brain-wash' ini terjadi lama sebelum tindakan melarikan dua, tiga Adun hingga menyebabkan Pakatan Rakyat Perak rebah.

Nampaknya BTN lebih hebat dan cekap dalam hal-hal ini. Masih saya ingat, ketika siswa USM melahirkan protes sulung lewat pertanyaan berganda di DTSP, USM, maka Nordin Kardi sudah mengilas jawapan itu dengan meminta mereka agar tidak menyemakkan kepala Dr Mahathir yang banyak memikirkan hal negara.

"Kita bukan tak boleh berdebat, tapi nampaknya kita masih gemar memilih cara nomad," katanya. Nomad, adalah cara orang gasar, orang kasar suka memilih kaedah berperang, menumpahkan darah berbanding mengadakan debat dan pertemuan.

Saya masih ingat kalimat nomad yang dipertuturkan Nordin ini kerana tertarik dengan gaya penyampaiannya yang memikat. Nordin, dengan penerangannya berhubung Serangan Subuh yang dilancarkan Dr M; menyebabkan Guthrie berpindah milik kepada kita telah memikat mahasiswa USM itu.

Khabarnya, modal Serangan Subuh ini masih laku didendangkan di kampus untuk menaikkan rasa kagum ke atas Dr Mahathir. Dan, baru-baru ini seorang rakan turut mengiyakan hal itu. "Memang ada lagi hujah Serangan Subuh dalam BTN itu," katanya.

Para penceramah, pemidato BTN ini memang terkenal handal dan hebat belaka. Tetapi, sepandai-pandai tupai melompat, akhir jatuh ke tanah juga. Dalam debat minyak antara Anwar Ibrahim melawan Shabery Cheek di TV9, ketika Nordin mengajukan soalan, ada kelemahan juga pada pertanyaan beliau itu ketika Anwar 'argue' Nordin semula.

Dalam keadaan 'si dia' yang mahu membuat silap mata menghilangkan Balasundram ke Chennai, akhirnya pulangnya Bala mengundang bala ke atas 'si dia' itu. Dan, sepandai-pandai kapal selam menyelam, akhirnya ia timbul ke permukaan jua. Bom C4 kalau diletupkan, akhirnya abu mayat Altantuya jugalah yang dikutip orang.

Bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan daun nyiru. Kuman seberang laut nampak, gajah depan mata pula tidak nampak. Eh, banyak sangat pepatah ni, orang tanya juga, siapakah penceramah di DTSP, USM yang tohmah bukan-bukan ke atas kami; pelajar kewartawanan dahulu?

Dia bukannya askar. Dia masih muda, bekas pimpinan siswa di salah sebuah universiti di Malaysia Barat dan kemudaan itu menyebabkan saya tidak fikir beliau arif dalam serba-serbi kehidupan pelajar di USM. Kerana dia BTN, maka undang-undang seperti di bawah mereka saja. Tohmahan apa pun, akhirnya tidak dihakimi dengan jujur dan adil. Dan, sehingga kini saya masih lagi memburu jawapan dan teka-teki.

Seperti yang disebut tadi, dia bukanlah askar, maka oleh kerana itu, namanya bukan Kolonel Mat dan lain-lain pangkat gelaran dalam tentera. Kalau kenal dan terjumpa orang yang bernama Jabdin, haraplah dapat dimaklumkan kepada saya.

Mungkin dengan cara ini, akan memudahkan lagi siasatan kita dan mengukuhkan segala andaian serta pendapat Dr Halimah Ali bahawa BTN memang digunakan sebagai acara 'brain-wash'. Walaupun cerita ini telah lama berlalu, tetapi ia kenangan kelam yang tetap mendekam dalam jiwa raga sesiapa pun yang pernah dimangsakan oleh BTN itu.

Terima kasih kepada Dr Halimah Ali kerana telah mengapungkan isu ini. Semoga setiap negeri di bawah Pakatan Rakyat akan meniru hal yang sama hendaknya.

6:30 p.m, 30 November

Sekolah Pemikiran Kg Baru


Maklumbalas dan sebarang komentar boleh dimajukan ke ibnuamir@yahoo.com This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it .

15.10.09

MENGAPA PAS SERTAI PILIHANRAYA

Oleh Ibnu Hasyim

 Sebagai sebuah parti politik yang jelas bercita-cita untuk menegakkan negara Islam yang mengamalkan Islam secara menyeluruh di dalam setiap aspek kehidupan rakyatnya, PAS menggunakan landasan pilihan raya sebagai salah satu cara untuk mencapai cita-cita tersebut.

PAS menyertainya, berdasarkan kaedah fiqh yang mengatakan:

“Apabila bertemu dua mudharat, maka hendaklah dipilih yang lebih ringan.”

Tanpa menyertai pilihan raya umat Islam akan lebih mudah dikuasai oleh musuh-musuh Islam dan kuncu-kuncunya, yakni ditimpa oleh mudarat yang lebih besar dan berat. Oleh itu PAS akan tetap menyertai pilihan raya samada menang atau kalah dan belum bercadang akan memboikotnya.

Ada juga yang mengatakan tujuan PAS menyertai pilihan raya persekutuan yang pertama pada 27 Julai 1955, dengan harapan mempercepatkan langkah-langkah kemerdekaan Tanah Melayu sebagaimana yang diperjuangkan oleh UMNO pada masa itu. Hal ini juga berlaku hasil usaha PAS bersama National Convention pada 1954, maka British telah bersetuju supaya pilihan raya diadakan pada 27 Julai 1955 iaitu satu tarikh di antara 1954 yang dicadangkan oleh National Convention dan 1956 cadangan National Conference.

PAS pada 23 Januari 1955 telah membentuk Jawatankuasa Khas Pilihanraya dianggotai Dr Haji Abbas (Pengerusi), Abdul Hamid Sharif (Setiausaha), Cikgu Ahmad Awang, Abdullah Akin, Haji Zabidi Ali, Tuan Guru Haji Othman Yunus, Ustaz Abdul Wahab Nor, Ustaz Hassan Adli dan Haji Mansor JP (ahli-ahli) untuk mengendalikan gerak kerja PAS dalam pilihan raya tersebut.

PAS terus terjun mengharungi pilihan raya dengan merebut 11 dari 52 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Iaitu satu di Pulau Pinang, Pahang dan Kedah. Dua di Selangor, tiga di Kelantan dan Perak. Calon PAS yang bertanding ialah Haji Zabidi Ali (Wellesley South atau Seberang Perai Selatan), Hassan Adli (Teluk Anson), Abdul Wahab Nor (Dinding), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (Krian), Zulkifli Mohamed (Selangor Tengah), Othman Abdullah (Kuala Selangor), Mohd Yassin Salleh (Semantan), Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad (Pasir Mas), Mohd Asri Muda (Kelantan Timor), Haji Nor Yusof (Kelantan Selatan) dan Mohd Salleh Shafie (Kedah Selatan).

Tetapi hasilnya, PAS cuma dapat satu kerusi parlimen sahaja, iaitu di kawasan Kerian Perak, melalui calonnya Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin. (Juga satu lagi kerusi Perbandaran, atau Dewan Undangan Negeri Perak, di Parit Buntar atau dalam daerah Kerian. Calonnya yang menang ialah Encik Ahmad Kamal dari Kawasan Kerian Laut.)

Selebihnya di kerusi parlimen, dimenangi oleh Parti Perikatan melalui 34 calon Melayu UMNO, 15 calon Cina MCA dan 2 calon keturunan India MIC (Perikatan adalah gabungan dari 3 parti-parti tersebut). PAS berjaya memperolehi 3.9% undi parlimen dari jumlah 84.46% pengundi yang keluar mengundi. Maka tinggallah Tuan Haji Ahmad Tuan Husin, sebagai satu-satunya wakil pembangkang tunggal di parlimen, atau pada waktu itu disebut Dewan Perundangan Persekutuan.

Beberapa pandangan sebab-sebab kekalahan PAS dalam pilihan raya itu telah dikemukakan.

ibnu hasyim
Posted on Thursday, October 15 @ 06:57:56 MYT by KetamBatu

WAJAH PEMIMPIN

| | Comments (83) | TrackBacks (0)
Bookmark and Share
1. Di zaman pemerintahan Tun Abdullah Badawi seluruh negara disalut dengan sepanduk dan papan tanda besar yang menunjuk wajah Perdana Menteri bersama Menteri-Menteri tertentu, Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri.

2. Seorang Menteri pelancongan mempamerkan sepanduk dan papan tanda yang mempunyai gambarnya bersama Perdana Menteri diseluruh negara seolah-olah pelancong akan tertarik melawat Malaysia untuk melihat sepanduk berkenaan.

3. Setelah Dato Seri Najib menjadi Perdana Menteri semua sepanduk dan iklan yang lama telah diturunkan.

4. Saya harap amalan seperti ini tidak diadakan lagi. Jauh daripada mereka yang menaikkan gambar mereka menjadi popular, rakyat sebenarnya jelak dan bosan melihat sepanduk-sepanduk ini mencemarkan kecantikan alam.

5. Saya akan ditegur bahawa di masa saya dulu ada juga sepanduk seperti ini yang dinaikkan oleh Menteri Besar tetapi tidak oleh Menteri Kabinet. Saya akui saya tidak ambil tindakan yang tegas menghentikan amalan ini. Tetapi tidak semua Menteri Besar yang mencuba tunjuk betapa dekatnya mereka dengan Perdana Menteri melalui cara ini.

6. Saya harap Barisan Nasional tidak memulakan semula amalan ini. Ia hanya akan menimbul kebencian kepada mereka.

Kenyataan Media tentang Tindakan Disiplin terhadap Mahasiswa UM

Ketiga-tiga mahasiswa ini dihadapkan ke perbicaraan oleh Tribunal Universiti. Mereka telah dituduh melakukan kesalahan disiplin dibawah seksyen 16 (c) Kaedah-Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999.
Oleh Nik Nazmi

 Saya kecewa dan sedih apabila dimaklumkan bahawa terdapat beberapa orang mahasiswa Universiti Malaya yang diambil tindakan disiplin kerana melakukan "jenayah" mengundang pimpinan Pakatan Rakyat termasuk saya bagi mengisi undangan mereka di kampus.

3 orang pimpinan mahasiswa yang cuba didakwa melakukan jenayah tersebut adalah Haafizuddin Abirerah, 24 dan Abu Ubaidah Amir Abd Malek daripada Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) serta Chang Keng Fai, 21 daripada Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya (PMCUM).


Dakwaan ini adalah rentetan daripada keputusan PMIUM menjemput saya bagi merasmikan Program Muktamar Tahunan mereka pada Februari lepas, manakala PBCUM telah menjemput Ahli Parlimen Seputeh DAP, YB Teresa Kok sebagai pengadil debat mereka pada Ogos lepas bersama-sama bekas Ahli Parlimen Kota Melaka MCA Wong Nai Chee dan wartawan Koh Kok Wee.

Tindakan yang dilakukan oleh pihak pentadbiran universiti ini adalah amat mengejutkan dan mengecewakan, apatah lagi di ambang peperiksaan universiti. Tindakan ini secara jelas bercanggah dengan kebebasan akademik dan juga hak untuk berpersatuan.Saya secara telus menyatakan bahawa tidak ada yang saya sampaikan dalam ucapan saya yang menggangugugat keselamatan awam dan negara.

Tindakan yang diambil oleh pentadbiran universiti ini adalah mungkin disebabkan pandangan mereka yang merasakan bahawa saya dan YB Teresa tidak layak untuk menyertai program universiti tersebut. Namun demikian sentimen ini adalah meleset apabila universiti lain bersedia untuk menerima kehadiran saya untuk memberi ucapan dengan tangan terbuka termasuklah Universiti California di Berkeley, Universiti Stanford, Universiti Essex dan the School of Oriental and Asian Studies, London, selain IPT UNISEL dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Insiden ini menyentuh saya secara peribadi memandangkan sebelum ini berlaku sabotaj dalam program tersebut dan kini PMIUM berhadapan dengan risiko didakwa jenayah universiti membabitkan saya. Ini secara jelas bercanggah dengan prinsip keadilan.

Saya kemudiaannya terpaksa membuat sidang media dengan harapan umum mengetahuinya dan pada masa yang sama saya telah menulis surat secara peribadi kepada Menteri Pengajian Tinggi dan Naib Canselor Universiti Malaya. Selain dari jawapan daripada Kementerian bahawa mereka akan menyiasat aduan saya, tiada tindakan lanjut. Peristiwa ini membuktikan keadaan pendidikan Malaysia masih tidak banyak berubah di sebalik keyakinan yang digambarkan oleh Kerajaan Persekutuan.


Adalah menjadi sesuatu yang merugikan bagi sebuah universiti seperti UM yang diterima kembali sebagai salah sebuah 200 universiti terbaik dunia dalam senarai pendidikan tinggi Times berkelakuan seperti ini.


Tidak kira apakah perasaan peribadi pihak berkuasa terhadap saya dan rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat dan perjuangan kami, tidak wajar mereka menjejaskan masa depan tiga mahasiswa berpotensi ini.

Saya dengan ini menggesa dan menyeru pihak pentadbiran universiti untuk menggugurkan segala tuduhan terhadap ketiga-tiga mahasiswa ini. Saya juga ingin merayu kepada Menteri Pengajian Tinggi YB Dato’ Seri Khaled Nordin untuk campur tangan dalam hal ini atas nama keadilan dan kebenaran.

NIK NAZMI NIK AHMAD

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor / Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia / Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia