SEMINGGU dua ini, media arus perdana memainkan isu beberapa cadangan yang mahukan bekas Perdana Menteri (PM) diberikan jawatan, baik dalam kerajaan mahu pun Umno, khususnya di Negeri Kedah.
Kenapa tiba-tiba cadangan ini timbul, boleh dilihat dari beberapa sudut. Pertama, mereka yang mencadangkan sudah nampak, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terlalu lemah.
Satu lagi pandangan, mengatakan angan-angan Umno mahu merampas kembali Kedah dari Pas hanya menjadi mimpi yang tidak akan menjadi kenyataan, tanpa bantuan Dr. Mahathir.
Seorang blogger terkemuka, yang juga merupakan anak jati Kedah menyindir Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid juga dkatakan gagal mengawal tingkah laku anak buah hingga menyebabkan DUN Kota Siputeh yang diwakili BN tiba-tiba menjadi kosong angkara ‘ponteng’.
Ketika Mahdzir Khalid menjadi Menteri Besar Kedah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden Umno, Dr. Mahathir digagalkan dalam usahanya menjadi salah seorang perwakilan G7 dari Umno Bahagian Kubang Pasu, yang pernah diterajui Dr. Mahathir lebih 20 tahun.
Persoalannya, hebat sangatkah Dr. Mahathir di mata media massa arus perdana hingga mereka tidak segan silu melupakan sejarah silamnya lantas mencadangkan supaya bekas PM ini diberikan jawatan dalam Umno di Kedah?
Lupakah mereka yang mencadangkan ini bahawa ketika Dr. Mahathir menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri, Kedah hampir-hampir tumbang dalam pilihan raya umum 1999 – ketika lapan dari 15 kerusi Parlimen dimenangi Pas dan BN (Umno) hanya menang tujuh?
Jika, ketika masih berkuasa pun Dr. Mahathir nyaris-nyaris membawa Kedah rebah, inikan pula ketika Dr. Mahathir sudah tidak punya apa-apa.
Namun, disebabkan media arus perdana, blogger dari kalangan orang Umno di Kedah dan mereka yang merasakan diri mereka lebih Umno dari Umno sendiri, takut kalau Dr. Mahathir tidak diberikan jawatan, mulutnya akan menyerang Umno.
Cadangan asal datangnya dari bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik yang mahu Dr. Mahathir diberikan jawatan dalam kerajaan, Menteri Kanan.
Cadangan itu mendapat sokongan dari Ahli MT, Datuk Seri Lajim Okin. Kemudian, seorang penulis kanan dari sebuah akhbar arus perdana mencadangkan supaya Dr. Mahathir diberikan jawatan dalam Umno Kedah.
Ini mungkin cadangan yang datangnya dari kalangan ketua-ketua bahagian di Kedah, yang kurang menerima kehadiran Datuk Seri Mohd Shafie Afdal selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah kerana Shafie dilihat baru masuk Umno, ketika Umno ke Sabah sedangkan orang-orang Kedah, yang sudah lama menjadi ahli Umno, tidak diyakini kemampuannya.
Apa yang diharapkan dari kekuatan bekas PM ini, setelah mereka tidak yakin dengan Naib Presiden Umno, Shafie Afdal mengetuai Umno Kedah dengan mencadangkan supaya Dr. Mahathir mengetuai Umno Kedah, sedangkan mereka sebenarnya mahu mencadangkan supaya anak Dr. Mahathir, Datuk Mukhriz sewajarnya mengambil tempat Mohd Shafie.
Cuma, segan silu mahu mencadangkan nama Mukhriz, kerana Mukhriz tidak berjawatan di peringkat bahagian dan kalah sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, masih tebal – menyebabkan mereka ‘kenen’ nama dr. Mahathir dengan harapan, Dr. Mahathir akan menolaknya.
Bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik pula mencadangkan supaya Dr. Mahathir di lantik sebagai menteri kanan. Ini kata Abdul Rahim, akan membolehkan kepakaran Dr. Mahathir dalam pentadbiran negara selama 22 tahun perlu dimanfaatkan.
Menurut Abdul Rahim sepanjang tempoh tersebut, Dr. Mahathir telah melaksanakan pelbagai dasar untuk menjadikan negara ini terus berkembang daripada segi ekonomi.
“Pengalaman dan kepakaran beliau harus digunakan dalam membantu negara-negara dunia ketiga serta negara-negara Islam,” katanya.
Abdul Rahim menjelaskan, walaupun tanpa jawatan berkenaan, Dr. Mahathir masih mempunyai pengaruh yang kuat dan sering menerima jemputan menghadiri persidangan antarabangsa terutama di negara-negara dunia ketiga dan negara-negara Islam.
“Jadi untuk memanfaatkan Malaysia kepada negara-negara luar, lebih elok satu jawatan ditimbang oleh kerajaan bagi mengiktiraf beliau sebagai pemimpin terhormat negara ini,” katanya.
Seorang pemerhati politik menyifatkan cadangan Abdul Rahim itu dibuat kerana Abdul Rahim tidak nampak apa-apa perubahan berlaku di Malaysia sejak Dr. Mahathir mengundurkan diri dari jawatan Perdana Menteri.
Hari ini, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menolak cadangan supaya Mukhriz dinamakan sebagai calon BN di DUN Kota Siputeh. Ramai yang terkejut dengan ‘keberanian’ Muhyiddin mendahului Perdana Menteri di dalam soal menentukan calon.
Kata mereka, mungkin Muhyiddin bimbang, jika Dr. Mahathir turut menyokong cadangan beberapa pihak dan khabarnya Mukhriz juga sudah mengeluarkan kenyataan mengatakan dia sudah bersedia dicalonkan di situ jika itu yang dikehendaki Umno/BN.
Setakat ini, Dr. Mahathir belum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai calon di DUN Kota Siputeh. Biasanya, Dr. Mahathir akan turut bercakap, sama ada bersetuju atau tidak seseorang itu dicalonkan di situ, seperti yang pernah berlaku di DUN Bagan Pinang.
Umno sebenarnya cukup takut kalau Dr. Mahathir bersuara. Kata-kata Dr. Mahathir biasanya akan melukakan banyak pihak. Dalam zaman Abdullah menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir secara terus terang mahukan rakyat menolak Abdullah dan jika perlu, kalahkan BN dalam pilihan raya supaya Abdullah tidak terus menjadi Perdana Menteri.
Walaupun kepimpinan Umno hari ini tidak begitu berani menyalahkan Dr. Mahathir sebagai salah seorang penyumbang kepada kekalahan BN dalam PRU 12 yang lalu, namun, hakikat sebenarnya – Dr. Mahathir telah berjaya mengurangkan sokongan pengundi kepada BN.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan