Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

4.9.09

Kepala Babi di Surau Akademi Islam Universiti Malaya (AIUM)

Kiriman pellepuns

Apakah lagi yang terjadi di Selangor ini?
Krisis demi krisis yang berlaku tidak putus-putus mengundang pelbagai tanggapan dan persepsi terhadap Kerajaan Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Adakah ini disebabkan kelemahan pengurusan ataupun terdapat anasir yang benar-benar bekerja keras untuk menumbangkan Kerajaan Pakatan ini?

Kejadian petang semalam benar-benar mengundang kemarahan terutama saudara yang beragama Hindu. Setakat ini tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku susulan dari kejadian tersebut. Kita sendiri berharap saudara kita yang beragama Hindu dapat bertenang sehingga kes ini dapat diambil tindakan.

Beberapa orang Menteri dan Ketua Komponen Parti telah melahirkan pendapat dan yang pasti arahan PM supaya Ketua Polis Negara menyiasat kejadian itu mengundang seribu tanda tanya. Mengapakah sewaktu perhimpunan tersebut yang jelas berbentuk rasis dan menghina agama itu tidak disekat dari awal-awal lagi? Di manakah perginya Polis dan FRU yang sering lengkap bersedia keatas kemungkinan seperti ini. Kumpulan demonstrasi ini bergerak seolah tiada siapa yang menghalang.

Yang amat memalukan kejadian ini berlaku dia bulan ramadan dan mereka mulai berdemonstrasi selepas selesai solat Jumaat. Apa yang lebih menimbulkan kemarahan adalah motif sebenar mereka berarak membawa kepala lembu, yang mereka sendiri tahu adalah binatang yang suci bagi mereka yang beragama Hindu. Adakah ini salah satu bentuk provokasi secara terang yang dilakukan oleh pihak yang menginginkan berlakunya pertelingkahan kaum seperti peristiwa 13 Mei?

Apa yang dapat saya fikirkan adalah, setelah pelbagai bentuk serangan yang dilemparkan ke atas Kerajaan Negeri Pakatan, dari kes rasuah, kes arak yang melibatkan kaum Cina tidak berhasil, lebih-lebih lagi apabila didapati kes tersebut diselesaikan dengan penuh hikmah, kini mereka beralih untuk menyalakan api kemarahan kepada kaum India pula.

Kalau kita perhati betul-betul video demonstrasi tersebut, kita dapati setiap jawapan kepada wartawan adalah tidak berasas dan merapu. Bila ditanya mengapa perlu ada kepala lembu, mereka menyalahkan individu lain. Ini menunjukkan ada unsur sabotaj oleh pihak yang ingin menghuru-harakan keadaan di negeri Selangor. Laporan yang diterima, terdapat ramai dikalangan mereka yang menyertai demonstrasi tersebut bukanlah penduduk seksyen 23. Persoalannya mengapa mereka juga turut serta?

Apakah reaksi anda yang beragama Islam jika Quran dibakar dan dipijak di hadapan anda? Anda fikirkanlah sendiri.

Apapun kita tunggu reaksi selanjutnya dari Perdana Menteri dalam masa yang terdekat ini.

Kepala Babi di Surau Akademi Islam Universiti Malaya (AIUM)

Pagi ini,saya telah dikejutkan dengan satu sms daripada seorang teman yang berbunyi
“Salam, Kepala khinzir di surau Ai ..Di letak sekitar jam 4-5 pagi tadi.. Namun tak dapat dikesan siapa yang meletaknya. Nastagfirullah ‘ala Khatiatina .. FWD ”

Saya yang ketika itu sedang bersiap, begitu terkejut dengan SMS yang diterima. Perasaan berbaur geram,benci terhadap sikap kurang ajar manusia binatang yang tergamak melakukan perbuatan syaitan ini, mula panas badan. Timbul 2 persoalan di benak saya.

Pertama : Ia adalah satu provokasi terancang yang dilakukan oleh pencacai yang anti PMI dan PAS, tali barut sama ada dikalangan pelajar Universiti Malaya sendiri. Menyebar berita yang tidak benar, terkandung tuduhan berat kepada pelajar Mahasiswa Islam (PMI) supaya disebarkan sedangkan ia adalah satu fitnah. Perkara ini tidak mustahil memandangkan pilihanraya kampus akan diadakan pada hari isnin ini (19hb/1/09) . Ia mungkin satu provokasi terancang untuk mencari modal, sebagai kekuatan untuk menentang Pelajar Mahasiswa Islam (PMI) yang mengfitnah Aspirasi mengenai isu ini. Dan sekiranya ia satu provakasi, memang PMI menjadi mangsa. Dan ia sangat bahaya kepada PMI itu sendiri kerana berita ini tersebar dengan cepat tanpa sebarang pengesahan.

Kedua : Perkara ini betul-betul berlaku. Dan dalang disebalik semua ini adalah mereka yang anti kepada PMI atau ISLAM itu sendiri. Dan sebagai orang Islam, kita wajib membenci dan memusuhi manusia binatang yang tergamak melakukan perbuatan ini, menghina rumah Allah dengan penghinaan yang berat.


Sejurus beberapa minit kemudian, saya menerima satu mesej bergambar . Sah, memang sah.. Ini adalah perbuatan khianat. Dan perbuatan khianat ini tidak bersifat perkauman tetapi bersifat kepartian. Kepala babi yang yang dibelah dua, diletakkan diatas bendera PAS, yang tertera PAS + PMI . Simbolik yang ingin menerangkan bahawa, PMI + PAS = BABI. Rasa seperti ingin mengalir air mata kerana rumah Allah dihina sedemikian rupa.

Siapa yang melakukan perkara ini? Kepada siapa yang kita ingin tuduh? Siapa kambing hitam yang tergamak melakukan perkara ini? Secara teori dan logiknya, tidak lain dan tidak bukan, ia dilakukan oleh mereka yang benci kepada PAS dan juga PMI. Dan logiknya mereka yang benci kepada PAS dan PMI sahaja yang berani melakukan perkara sedemikian rupa. Siapa?? Mungkinkah mereka ini adalah daripada Parti Aspirasi ( parti Pro Kerajaan di peringkat Universiti) dan juga Barisan Nasional ( diperingkat nasional)..? Status pelaku? Adakah daripada kalangan Pelajar UM sendiri, atau orang luar? Yang penting mereka yang melakukan ini adalah sememangnya anti PMI dan PAS..Dan amatlah mustahil jika dilakukan oleh penyokong PMI dan PAS sendiri. Tidak masuk akal. Sangat tidak masuk akal. Saya bukan ingin melakukan tuduhan, tapi inilah kebarangkalian yang cukup besar.

Saya masih teringat, pada tahun 2002, pernah berlaku penghinaan yang sama tetapi tidaklah melampau. Kain rentang sahaja yang diletakkan dan tertera “Ulamak Babi” di depan Surau Ai. Namun perkara yang berlaku pada hari ini adalah perkara yang tidak pernah berlaku di UM, melampau dan tindakan paling bodoh yang berlaku dalam sejarah UM.

2.9.09

'Kami mahu penjelasan'

KOTA BHARU 2 Sept. - Pemimpin Pas diminta terlebih dahulu meyakinkan masyarakat bukan Islam mengenai kesungguhan parti itu mempelawa mereka menyertai Pas termasuk kesediaan mengubah dasar dan perlembagaan parti.

Pengerusi Kelab Penyokong Pas Kebangsaan, Hu Pang Chaw berkata, masyarakat bukan Islam juga ingin mengetahui hak-hak yang akan mereka peroleh termasuk sama ada suara dan pandangan mereka diterima oleh parti itu.

''Kami takut suara kami tidak diambil kira manakala hak lain pula dipinggirkan,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini sebagai mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam bahawa sudah sampai masanya parti itu membuka keahliannya kepada bukan Islam selaras dengan dasar Pas yang tidak berteraskan perkauman.

Hu berkata, kenyataan Nik Aziz itu sebenarnya sudah lama ditunggu masyarakat bukan Islam yang menyokong parti itu memandangkan cadangan membuka keahlian parti sudah lama dibincangkan namun seolah-olah tidak diendahkan parti itu.

''Jika serius, segerakanlah perkara ini dan ubahlah perlembagaan bagi membolehkan kami menyertai Pas,'' katanya.

Hu berkata, kelab itu mempunyai 20,000 orang anggota di seluruh negara. - BERNAMA

Bawah pokok ke hotel

Oleh Ridzuan Yop, Shamsul Kamal Amarudin, Mohd Feroz Abu Bakar, Nurhayati Abllah dan Rosdalilah Zahari
bhnews@bharian.com.my


V SIVAKUMAR bersama 23 Adun Pakatan Rakyat mengadakan sidang DUN di Ballroom Hotel Heritage selepas mereka dilarang memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, semalam.

Adun Pakatan Rakyat Perak terus adakan sidang DUN

POH: Selepas mengadakan 'sidang Dewan Undangan Negeri' (DUN) di bawah pokok pada Mac lalu, Pakatan Rakyat (PR) Perak semalam meneruskan pula mesyuarat sama di sebuah hotel di sini.

Persidangan itu diadakan di Ballroom, Hotel Heritage, Jalan Raja DiHilir Perak, kira-kira jam 11.30 pagi selepas 27 Adun pembangkang dilarang memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan DUN.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh kelmarin menolak permohonan bekas Speaker Perak, S Sivakumar, supaya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim tidak menghalang Pakatan Rakyat mengadakan sidang DUN di bangunan berkenaan.

Pada 3 Mac lalu, Adun Pakatan Rakyat juga cuba memasuki bangunan itu tetapi tidak berjaya menyebabkan mereka mengadakan sidang DUN di bawah pokok kira-kira 100 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Bagaimanapun, kali ini Pakatan Rakyat lebih bersedia dengan menempah hotel bagi mengadakan sidang DUN itu.

Malah, mesyuarat di hotel itu dipercayai sudah diatur lebih awal kerana ballroom berkenaan menyediakan susunan tempat duduk Adun DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Barisan Nasional (BN) yang lengkap dengan tanda nama kawasan DUN masing-masing, kecuali untuk tujuh Adun BN termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang digantung dan tiga Adun Bebas yang didakwa sudah meletak jawatan.

Sivakumar yang mempengerusikan sidang itu duduk di pentas utama, tempat paling tinggi seperti susun letak dalam Sidang DUN sebenar, manakala Adun pakatan pembangkang duduk di sebelah kanan bekas speaker itu yang biasanya dikhaskan untuk wakil rakyat kerajaan.

'Setiausaha DUN', Misbahul Masduki Munir pula duduk di depan Sivakumar, manakala Adun Pasir Panjang (Pas), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin duduk di kerusi paling dekat dengan 'speaker', tempat yang secara tradisinya dikhaskan untuk Menteri Besar.

Hanya 23 Adun Pakatan Rakyat menghadiri sidang berkenaan selepas tiga lagi Adun pembangkang ditahan polis, manakala Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim mengerjakan umrah.

Sebelum ditangguhkan pada jam 1.37 petang, Sivakumar yang juga Adun Tronoh-DAP, mengumumkan sidang meluluskan sebulat suara cadangan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang antara lain menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM500,000 ke atas Speaker, Datuk R Ganesan dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang juga Timbalan Speaker.

Sidang selama dua jam itu juga meluluskan pelantikan anggota tiga jawatankuasa bagi penggal yang baru, iaitu Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam dan Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap serta dan usul tergempar mengutuk tindakan polis menghalang Adun PR memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Terdahulu, kira-kira jam 10 pagi, suasana di hadapan Bangunan Darul Ridzuan tegang apabila Adun pakatan pembangkang tidak menghiraukan amaran polis supaya beredar dari kawasan berkenaan, sebaliknya cuba merempuh barisan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Pertikaman lidah turut berlaku antara Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dengan polis sehingga menyebabkan keadaan menjadi kecoh dan tidak terkawal.

Berikutan itu, polis terpaksa mengambil tindakan tegas dengan menahan Ngeh serta Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai dan Adun Malim Nawar, Keshvinder Sigh kerana berkelakuan agresif.

Ngeh ditahan pada jam 10.04 pagi, diikuti Chan tiga minit kemudian serta Keshvinder. Jurugambar Nanyang Siang Pau, Stanley Tan See Yee turut ditahan kerana cuba melanggar arahan polis yang meminta orang ramai bersurai.

Lebih 100 anggota polis dan FRU mengadakan sekatan laluan ke Bangunan Perak Darul Ridzuan seawal jam 7 pagi bagi mengawal keadaan.

Dua trak FRU dilengkapi meriam air, enam trak polis dan lebih lima unit peronda serta motosikal berkuasa tinggi turut ditempatkan di beberapa lokasi utama sekitar bangunan berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, kira-kira jam 11 pagi Mohammad Nizar dan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming serta beberapa Adun pembangkang kelihatan tiba di bangunan FRU, Kampung Simee dipercayai bagi membebaskan tiga Adun yang ditahan polis.

Keadaan sekitar Bangunan Perak Darul Ridzuan pula kembali tenang sekitar jam 11.30 pagi, namun polis masih meneruskan kawalan bagi menjamin keselamatan awam.

Berita Harian

PAS: Umno dalang demo kepala lembu


Jimadie Shah Othman
Sep 1, 09
2:26pm
kemaskini 3.58pm Pemimpin PAS mengulangi dakwaan bahawa penduduk Seksyen 23 Shah Alam - yang mengadakan demonstrasi dengan mengarakkan kepala lembu bagi membantah pembinaan kuil di kawasan mereka - diupah oleh Umno.

Naib presidennya, Mahfuz Omar berkata, beliau yakin dengan penglibatan Umno berdasarkan kenyataannya sebelum ini yang didakwa mengapi-apikan isu perkauman, antaranya menyifatkan pentadbiran PAS sebagai "orang Islam jadi boneka bukan Islam".

"Saya menganggap bahawa tindakan kumpulan yang memijak kepala lembu itu, atas niat kerana itu lambang agama Hindu, tuhan agama Hindu, (tindakan) itu menyalahi agama Islam dan melanggar perintah Allah.

"Jadi, saya minta pemimpin Umno yang mengupah mereka ini, yang mengupah kumpulan ini, supaya membuat protes sebegitu, seharusnya merujuk kepada mufti (terlebih dahulu)," katanya.

Jumaat lalu, ahli parlimen Shah Alam – yang turut menjadi sasaran kemarahan penduduk Seksyen 23, selain Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim – dilaporkan mendakwa Umno menjadi dalang membantah pembinaan kuil tersebut.

Menjawab tuduhan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagaimanapun menafikan penglibatan Umno.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara pagi tadi, Mahfuz menyatakan kekesalannya terhadap demonstrasi itu yang didakwanya didorong emosi keterlaluan dan perkauman sempit.

"Kita (dalam) negara demokrasi. Kita boleh buat apa protes sekalipun, (terhadap) apa yang kita tidak setuju. Tetapi mesti protes yang bertamadun dan beretika yang tidak melampaui batas agama," katanya.

Ahli parlimen Pokok Sena berkata tindakan Umno itu – yang didakwanya mahu menarik kembali sokongan Melayu – akhirnya memberikan kesan negatif apabila ia menimbulkan kemarahan masyarakat bukan Islam.

Setakat ini, tambah Mahfuz, tiada ahli PAS dikenal pasti terlibat dalam demonstrasi 50 penduduk dan NGO Melayu di depam bangunan setiausaha kerajaan negeri Selangor di Shah Alam.

"Kemuka nombor kad pengenalan, kita boleh semak (keahlian PAS).

"Jadi dia sendiri tidak boleh kemuka. Sesiapa sahaja boleh dakwa ahli PAS. Jadi, Umno upah, dia kena mengakulah," cabarnya.

Peserta demo bantah kuil temui persatuan Hindu


Sep 2, 09 12:39pm
kemaskini 6.35pm Penduduk Seksyen 23 Shah Alam – yang mengarakkan kepala lembu sebagai bantahan isu pemindahan kuil Hindu – akan duduk semeja dengan gabungan terbesar penganut agama itu Malaysia Hindu Sangam bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pertemuan petang esok itu diharapkan dapat membuka jalan penyelesaian kepada kedua-dua pihak.

Bercakap dalam sidang media selepas dikunjungi 10 wakil penduduk seksyen tersebut dan wakil NGO Melayu, Hishammuddin berjanji akan memantau perkembangan isu itu dan bersedia menjadi orang tengah bagi menjernihkan keadaan.

"Kita akan pantau. kalau mereka hendak saya jadi orang tengah, saya akan jadi orang tengah. Memang itu tanggungjawab saya. Tetapi cara mereka laporkan (kepada saya) tadi, mereka boleh selesaikannya sendiri," katanya.

Tambahnya, pertemuan ini perbincangan susulan selepas yang pertama, kelmarin.

Rombongan yang diketuai pengerusi jawatankuasa bertindak membantah pembinaan kuil itu, Mahyuddin Manaf (foto kanan) bertemu Hishammuddin bagi membincangkan penyelesaian kes kontroversi pemindahan kuil Sri Mariaman ke seksyen tersebut dari Seksyen 19.

Rombongan itu turut menjelaskan situasi sebenar yang berlaku dalam demonstrasi di depan bangunan setiausaha kerajaan negeri Selangor di Shah Alam, Jumaat lalu, yang dipertikaikan banyak pihak.

Dalam pertemuan tersebut, tambah Hishammuddin, beliau dimaklumkan bahawa penganjur hanya ingin menyalurkan perasaan tidak puas hati mereka sahaja dan bukan bertujuan membangkitkan kegelisahan antara kaum.

Ditanya sama ada kumpulan tersebut akan dikecualikan daripada tindakan undang-undang, menteri dalam negeri berkata: "Tiada seorang pun mengatasi undang-undang".

Penduduk yang terlibat akan disiasat melalui proses yang sama kerana terdapat laporan polis dibuat, tambahnya.

Menafikan polis lambat bertindak menyuraikan perhimpunan minggu lalu, Hishammuddin meminta semua pihak belajar daripada insiden itu kerana tindakan seumpamanya bukan kali pertama berlaku.

"Dan ada satu insiden, kes kepala babi digunakan pihak yang tidak bertanggungjawab, termasuk meninggalkannya di depan bangunan Umno, dibalut dengan bendera Umno.

"Saya hendak tekankan, jangan main-main dengan isu kaum, agama. Ia isu pokok," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata polis telah mengenal pasti dalang di sebalik demonstrasi berkenaan.

Polis telah mengambil 60 keterangan dalam tempoh tiga hari bagi
mengenal pasti mereka yang terbabit dalam demontrasi yang mencetuskan kontroversi itu.

"Kita tunggulah untuk hadapkan mereka ke mahkamah," katanya.

Mengenai dakwaan pembangkang kononnya polis tidak serius menangani isu tersebut, Musa berkata ia adalah satu dakwaan tidak berasas.

Sidang di hotel: Ganesan dan Hee 'dihukum penjara'


Andrew Ong
Sep 2, 09
12:55pm
Sidang DUN Perak yang dipanggil oleh Speaker Pakatan Rakyat, V Sivakumar mengesahkan keputusan jawatankuasa hak dan kebebasan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM500,000 ke atas Speaker BN, Datuk R Ganesan and ADUN Bebas pro-BN, Hee Yit Foong.

Laporan jawatankuasa tersebut yang dilantik oleh kerajaan negeri Pakatan tahun lalu, dibentangkan dalam sidang DUN hari ini yang berlangsung di Hotel Heritage Ipoh, selepas polis menghalang mereka masuk ke bangunan Sekretariat Kerajaan Negeri (SUK) Perak pagi tadi.
.
Perbahasan hangat berlangsung mengenai tindakan Ganesan mengengkari perintah Sivakumar supaya keluar dari dewan dalam persidangan pada 7 Mei lalu.

Wakil Pakatan berkata, Ganesan, yang bukan ADUN, juga dilihat duduk di meja BN. Pemimpin MIC itu kemudiannya 'dipilih' sebagai speaker dalam suasana yang penuh kontroversi.

Satu lagi ialah tindakan Ganesan yang mengarahkan anggota polis supaya mengalih Sivakumar dari kerusi speaker.

Hee pula dihukum kerana mengambil alih peranan Sivakumar sebagai speaker dan membenarkan wakil rakyat BN mengundi memilih Ganesan sebagai speaker baru.

Selepas laporan jawatankuasa itu disahkan oleh dewan, Sivakumar berkata beliau akan mengarahkan polis untuk mengambil tindakan berdasarkan laporan tersebut.

Pada mulanya, Sivakumar dan ADUN Pakatan cuba mengadakan persidangan di dewan DUN yang terletak di dalam bangunan SUK.

Bagaimanapun, polis mengawal ketat bangunan tersebut dan menghalang mereka masuk. Selepas setengah jam bertegang urat dengan polis, Sivakumar dan ADUN Pakatan beralih ke Hotel Heritage.

Di hotel tersebut, Sivakumar duduk di kerusi yang ditinggikan manakala setiausaha dewan yang dilantik Pakatan, Misbahul Munir Masduki duduk di bawah di depannya.

Hotel tersebut digunakan berdasarkan kepada doktrin keperluan, kata Sivakumar.

Manakala tempat duduk ADUN yang lain disusun dalam bentuk ladam kuda, dengan wakil rakyat Pakatan duduk di sebelah kanan speaker (untuk ADUN kerajaan negeri yang memerintah), manakala kerusi untuk pembangkang kosong.

Empat lagi ADUN Pakatan tidak kelihatan - tiga ditangkap pagi tadi dan seorang lagi sedang mengerjakan umrah.

Tiada tempat duduk disediakan untuk mereka yang diisytiharkan oleh Sivakumar telah meletak jawatan atau digantung semasa 'sidang bawah pokok' 3 Mac lalu.

Mereka yang diisytiharkan oleh Sivakumar telah menyerahkan surat letak jawatan tanpa tarikh adalah tiga ADUN Bebas yang menyokong BN - Hee (Jelapang), Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang).

Manakala mereka yang digantung sewaktu sidang 'bawah pokok' lalu ialah Menteri Besar BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir (Pangkor), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Ramly Zahari (Manong), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Saarani Mohamad (Kota Tampan), Mohammad Zahir Abdul Khalid (Kamunting) and Mah Hang Soon (Chenderiang).

Jawatankuasa DUN dilantik semula

Sementara itu, sidang di hotel itu juga menyaksikan pelantikan semula tiga jawatankuasa DUN - Hak dan Kebebasan, Kira-kira Awam dan Peraturan Tutup.

Berikutan itu, perbahasan menjadi panas berhubung usul tergempar mengecam tindakan polis yang didakwa menjadi “alat BN' untuk menghalang ADUN Pakatan daripada melaksanakan tugas mereka pagi tadi.

Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis) memberi amaran bahawa kesalahan tersebut boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Sivakumar berkata DUN masih kekal menggesa Sultan membubarkan DUN, seperti usul yang diluluskan dalam sidang 'bawah pokok'.

"Memandangkan dewan masih belum dibubarkan, maka kita terpaksa mengadakan sidang hari ini,” katanya.

Mengikut perlembagaan Perak, DUN mesti bersidang setiap enam bulan. Walaupun ia tidak menyatakan apa yang akan berlaku jika DUN tidak bersidang mengikut tempoh tersebut, tetapi pakar-pakar perundangan percaya ia boleh membawa kepada pembubaran dewan secara automatik.

Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin pula menggesa polis supaya menghormati DUN dan menjalankan arahan speaker supaya mereka yang 'dihukum' ditangkap.

"Jika mereka tidak mengambil tindakan tersebut, ia di luar bidangkuasa kita,” katanya, sambil menambah bahawa sebaik sahaja minit persidangan diwartakan, ia akan dikemukakan kepada istana.

Nizar bertegas bahawa sidang pada 7 Mei lalu tidak berlaku dan semua keputusan yang dibuat adalah tidak sah kerana ia tidak mematuhi prosedur yang betul.

1.9.09

Peserta demo kepala lembu jumpa menteri esok


Rahmah Ghazali
Sep 1, 09
2:50pm
Penduduk Seksyen 23 Shah Alam - yang menyertai demonstrasi dan perarakan kepala lembu kerana membantah pemindahan kuil Hindu ke situ - akan menemui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein esok bagi menyuarakan masalah yang mereka hadapi berhubung isu tersebut.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya hari ini, Hishammuddin berkata, penduduk di situ yang membuat temujanji dengannya, terdiri daripada penyokong 'berlainan ideologi politik' walaupun ada spekulasi yang mendakwa mereka semuanya dari Umno.

Hishammuddin juga berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap mereka yang menyertai protes tersebut, berdasarkan kepada 52 laporan polis yang dibuat setakat ini.

Menurutnya, siasatan tersebut perlu diselesaikan terlebih dahulu, sebelum sebarang tangkapan dibuat.

"Tetapi kita tidak akan menyembunyikan apa-apa daripada rakyat... Kita akan ambil tindakan terhadap mereka (yang membangkitkan isu senstif) tetapi pada masa yang sama, kita perlu bersikap adil kepada mereka yang berkaitan (penduduk)," katanya.

28.8.09

PM kesal, arah IGP bertindak segera


Ogos 28, 09 7:23pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kesal dengan tindakan penduduk mengarak kepala lembu sebagai membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Beliau yang juga setiausaha agung MIC memberitahu Malaysiakini bahawa Najib telah menyuarakan kekesalannya itu apabila beliau menghubungi perdana menteri untuk melaporkan kejadian tersebut.

Subramaniam berkata perdana menteri teramat kesal dan berjanji perkara itu akan disiasat secara terperinci.

"Kira-kira 15 minit kemudian, perdana menteri menelefon balik dan berkata beliau telah bercakap dengan Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) dan mengarahkan beliau mengambil tindakan segera," tambahnya.

Samy Vellu kecam arak kepala lembu


Ogos 28, 09 4:46pm
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mengecam tindakan sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan beberapa NGO Melayu mengarak kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah idea membina kuil baru Hindu.

Katanya, lembu merupakan binatang suci kepada penganut Hindu, dan tindakan kumpulan tersebut tidak boleh diterima dan dianggap mencabar kebebasan beragama yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Ia menjadi hak rakyat pelbagai agama, termasuk penganut Hindu untuk membina kuil dan tempat-tempat ibadat.

"Saya amat sedih kerana kumpulan ini telah mengarak kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (Selangor)," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tiada sesiapa pun yang harus dibenarkan untuk mencabar atau mempersendakan sebarang agama di negara ini.

Beliau bimbang tindakan tersebut boleh mengundang tindak balas dari masyarakat Hindu.

"Bagaimanapun, saya menggesa penganut Hindu khususnya supaya bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan," tambahnya.

Samy Vellu berkata, MIC mahu kerajaan dan pihak polis mengambil tindakan terhadap penganjur protes tersebut.

Katanya, mereka mesti dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerana membahayakan keharmonian kaum di negara ini.