|
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pertemuan petang esok itu diharapkan dapat membuka jalan penyelesaian kepada kedua-dua pihak.
Bercakap dalam sidang media selepas dikunjungi 10 wakil penduduk seksyen tersebut dan wakil NGO Melayu, Hishammuddin berjanji akan memantau perkembangan isu itu dan bersedia menjadi orang tengah bagi menjernihkan keadaan.
"Kita akan pantau. kalau mereka hendak saya jadi orang tengah, saya akan jadi orang tengah. Memang itu tanggungjawab saya. Tetapi cara mereka laporkan (kepada saya) tadi, mereka boleh selesaikannya sendiri," katanya.
Tambahnya, pertemuan ini perbincangan susulan selepas yang pertama, kelmarin.
Rombongan itu turut menjelaskan situasi sebenar yang berlaku dalam demonstrasi di depan bangunan setiausaha kerajaan negeri Selangor di Shah Alam, Jumaat lalu, yang dipertikaikan banyak pihak.
Dalam pertemuan tersebut, tambah Hishammuddin, beliau dimaklumkan bahawa penganjur hanya ingin menyalurkan perasaan tidak puas hati mereka sahaja dan bukan bertujuan membangkitkan kegelisahan antara kaum.
Ditanya sama ada kumpulan tersebut akan dikecualikan daripada tindakan undang-undang, menteri dalam negeri berkata: "Tiada seorang pun mengatasi undang-undang".
Penduduk yang terlibat akan disiasat melalui proses yang sama kerana terdapat laporan polis dibuat, tambahnya.
Menafikan polis lambat bertindak menyuraikan perhimpunan minggu lalu, Hishammuddin meminta semua pihak belajar daripada insiden itu kerana tindakan seumpamanya bukan kali pertama berlaku.
"Dan ada satu insiden, kes kepala babi digunakan pihak yang tidak bertanggungjawab, termasuk meninggalkannya di depan bangunan Umno, dibalut dengan bendera Umno.
"Saya hendak tekankan, jangan main-main dengan isu kaum, agama. Ia isu pokok," katanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata polis telah mengenal pasti dalang di sebalik demonstrasi berkenaan.
Polis telah mengambil 60 keterangan dalam tempoh tiga hari bagi
mengenal pasti mereka yang terbabit dalam demontrasi yang mencetuskan kontroversi itu.
"Kita tunggulah untuk hadapkan mereka ke mahkamah," katanya.
Mengenai dakwaan pembangkang kononnya polis tidak serius menangani isu tersebut, Musa berkata ia adalah satu dakwaan tidak berasas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan