Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

14.5.09

Najib, Umno dan BN patut malu!

Bashir Ishak
Thu | May 14, 09 | 12:39:10 pm MYT

KANGAR, 14 Mei (Hrkh) - Pemimpin Umno dan BN harus memohon maaf dan bersifat malu dengan perbuatan mereka merampas kuasa pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak Februari lalu.
Iklan

Ketua Penerangan PAS Perlis, Hairy Hashim berkata Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Razak yang bertanggungjawab ke atas peristiwa rampasan kuasa itu perlu menginsafi bahawa perbuatannya itu sebenarnya telah membelakangi undang-undang.

"Beliau menyatakan institusi perundangan itu adalah adil. Kenyataan ini hanyalah mahu membersihkan imejnya yang buruk kerana perbuatan merampas kuasa dulu berselindung di sebalik ugutan dan rasuah.

"Baru-baru ini semasa kekecohan di sidang Dun Perak, Najib mendakwa Adun Pakatan tidak hormati undang-undang, tapi perbuatan merekalah yang sebenarnya membelakangi undang-undang.

"Mereka haruslah malu dengan perbuatan itu kerana ternyata keputusan mahkamah berpihak kepada pihak yang benar," ujarnya.

Hairy berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengumumkan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. - mks._

13.5.09

Zambry diingatkan tidak tambah kekalutan di Perak

Irwan Muhammad Zain
Wed | May 13, 09 | 12:18:23 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Dato' Dr Zambry Abd Kadir diminta supaya tidak menambahkan lagi kebuntuan dan kekalutan yang dihadapi rakyat Perak.
Iklan

Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masih sah dan tidak seharusnya Zambry bertindak berlawanan dengan keputusan tersebut.

"Mahkamah Rayuan hanya menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi bukannya membatalkan.

"Kerana itu Zambry harus ingat bahawa dia bukanlah Menteri Besar yang sah dan untuk itu beliau tidak boleh bertindak di luar dari apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi," tegas Mahfuz.

Zambry, tegas Mahfuz dalam keadaan sekarang tidak boleh meluluskan sebarang projek dan hanya boleh mempengerusikan mesyuarat exco untuk berbincang soal pentadbiran semata-mata.

Mahfuz dalam masa yang sama berpendapat Mahkamah Rayuan sepatutnya memberikan syarat tertentu kepada Zambry bila memutuskan untuk menerima permohonan menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Antara syarat yang boleh diberikan tegas Mahfuz, Zambry tidak dibenarkan melakukan apa-apa yang bertentangan dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau menegaskan, PAS bimbang jika syarat seperti itu tidak diberikan, Zambry akan membuat keputusan yang boleh memberi kesan kepada kewangan Perak.

Semalam Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 11 Mei lepas yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut. - mks. _

Mahkamah dengar rayuan Nizar 18 Mei

Harakahdaily
Wed | May 13, 09 | 9:47:27 pm MYT

KUALA LUMPUR,13 Mei (Hrkh) - Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 18 Mei ini untuk mendengar rayuan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi.
Iklan

Tarikh itu ditetapkan selepas Nizar memfailkan notis usul itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan hari ini melalui firma guaman Tetuan Leong & Tan.

Kelmarin Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Nizar ialah Menteri Besar Perak yang sah.

Turut disertakan bersama notis usul itu ialah sijil supaya kes itu disegerakan.

Bagaimanapun Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Ali membenarkan Dato' Seri Dr. Zamry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dalam afidavit sokongannya, Nizar berkata keputusan Mahkamah Rayuan semalam untuk memberikan perintah penggantungan itu kepada Zambry adalah salah dan beliau (Nizar) mengemukakan permohonan untuk membetulkan perkara itu.

Nizar berkata Mahkamah Tinggi telah membuat takrif yang betul terhadap Perkara 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Beliau berkata sekiranya perintah pelaksanaan itu diberikan ia akan merampas haknya serta membuat keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkannya menteri besar Perak sebagai sia-sia.

Menurutnya perintah yang diperoleh Zambry itu akan mengganggu pelaksanaan secara lancar dan baik pentadbiran kerajaan negeri Perak selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Nizar juga berkata perintah berkenaan akan mengelirukan rakyat negeri itu mengenai siapakah menteri besar yang sah serta menjadikan keadaan politik lebih tegang dan krisis perlembagaan lebih mendalam. - mks. _

12.5.09

PAS curiga keputusan Mahkamah Rayuan

Irwan Muhammad Zain
Tue | May 12, 09 | 3:04:17 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam dikhuatiri dipengaruhi kepentingan politik Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily sebentar tadi menegaskan, PAS sentiasa menghormati keputusan mahkamah namun dalam masa yang sama juga khuatir keputusan tersebut dipengaruhi pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

Mahfuz menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan itu dibimbangi diputuskan bagi membolehkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan di bawah pemerintahan BN.

"Kita melihat keputusan ini dibuat bagi membolehkan Zambry kembali menjadi Menteri Besar dan seterusnya mereka akan memohon untuk dibubarkan Dun.

"Jika Dun dibubarkan, BN akan menjadi kerajaan sementara dalam tempoh tersebut dan inilah yang dimahukan oleh mereka supaya sebarang keputusan atau peruntukan dapat dikawal oleh mereka," tegas Mahfuz.

Beliau juga menegaskan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan itu tidak menyelesaikan kemelut di Perak sebaliknya menambahkan kerumitan dan kebuntuan serta keresahan rakyat Perak.

Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Mohd Ali tegas Mahfuz sepatutnya mempertimbangkan situasi persekitaran dan tidak hanya membuat keputusan berdasarkan undang-undang semata-mata.

"Hakim sepatutnya mengambil kira keresahan rakyat Perak yang mengharapkan penyelesaian total dapat segera dilaksanakan," tegas beliau.

Justeru, PAS tegas Mahfuz mendesak jika pembubaran Dun dilakukan dalam tmpoh terdekat, kerajaan sementara yang mentadbir Perak dalam tempoh tersebut hendaklah diwakili oleh Pakatan Rakyat dan BN.

Hari ini Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengah hari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar.

Hakim Dato' Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dun.

Peguam utamanya, Cecil Abrahim berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan Kerajaan Pusat. - mns_

Krisis di Perak sudah jadi politik kartun

Zuharman MN
Tue | May 12, 09 | 7:19:51 pm MYT

PASIR PUTEH, 12 Mei (Hrkh) - Petang semalam Dato' Seri Nizar Jamaluddin disahkan Menteri Besar Perak. Tiba-tiba petang ini pula Dato' Dr Zambry Abdul Kadir diberi semula jawatan itu.

Tidakkah situasi ini memeningkan. Rakyat di bawah lebih bercelaru lagi apabila mengikuti perkembangan kes di Perak sekarang.

Apakah babak-babak kartun sudah mulai meresap ke dalam politik Malaysia.

Anggota parlimen Pasir Puteh, Mohamad Hussin berkata, krisis politik di Perak tidak akan selesai selagi mandat tidak dikembalikan kepada rakyat.

"Mahkamah bukan jalan terbaik bagi menyelesaikan konflik politik yang berlaku di Perak sekarang. Tengoklah apa yang berlaku hari ini. Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengesahkan kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar.

"Tetapi hari ini Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi. Tidakkah ini seperti kartun yang ditertawakan orang luar," katanya ketika ditemui di sini.

Hari ini Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Mohd Ali yang mendengar permohonan Zambry menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Peguam Zambry berhujah penangguhan keputusan mahkamah semalam penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Mohamad berkata, mahkamah bukan lagi jalan terbaik bagi menyelesaikan isu yang berbangkit di Perak sekarang.

"Ini kerana dari awal lagi krisis di Perak berpunca daripada sikap rakus pemimpin Umno selepas hilang kuasa pada pilihan raya umum lalu," katanya.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, BN terlalu takut kehilangan kuasa yang dirampas Febuari lalu apabila segera membuat rayuan bagi menghalang keputusan dibuat Mahkamah Tinggi.

"BN perlu menyedari keangkuhan dan kerakusan akan membawa padah. Sepatutnya mereka lebih profesional sebelum bertindak merampas Perak dahulu," ujarnya.

Menurutnya impak daripada rampasan kuasa tersebut secara jelas menyebabkan suasana di Perak tidak lagi tenteram.

Bagaimanapun kata beliau peluang untuk kembali landasan asal masih ada sekiranya diberi semula kepada rakyat bagi menentukan hak mereka sebagai pemilih. - mj _

Krisis Perak : Isi hati rakyat Perak hanya mahukan pembubaran Dun!

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | May 12, 09 | 11:34:34 pm MYT

(Analisis) : Krisis di Perak kembali rumit dan sempit, keputusan mahkamah yang umpama di 'remote' oleh Umno/BN mempermainkan semula jiwa dan denyut nadi rakyat.

Dalam masa sehari, mahkamah mudah diskripkan dengan memutar semula wajah demokrasi yang sebenar, rayuan Dr Zambry Kadir dengan pantas diproses dan diterima Mahkamah Rayuan dalam masa satu jam sahaja.

Walhal,secara amalan biasanya rayuan itu juga perlu tempoh tertentu untuk diputuskan perihal lulusnya dengan prosedur yang kepada 'orang biasa' akan menjafdi rumit.

Namun bagi Zambry yang juga proksi kepada Najib Tun Razak di Perak dalam 'program realiti bertajuk rampasan kuasa di Perak' mahkamah akan memudahkan rayuannya tidak seperti rakyat biasa yang lain.

Hanya sejam sahaja diperlukan Zambry yang menerima mandat Presiden Umno untuk mengemudi Umno di Perak untuk memutarkan semula skrip yang sedang bergelandangan di Perak.

Tindakan itu menyebabkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei yang mengesahkan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah 'tergantung' sementara, dan Zambry pula selaku MB 'perampas' kembali mahu duduk dikerusi empuknya dengan bantuan 'jalan pintas'.

Nizar hanya duduk di kerusi MB pada 12 Mei setakat beberapa jam dan sempat hadir dalam Majlis Pengurniaan Pingat di Istana Iskandariah bersama Sultan Perak.

Namun, ketokohan Nizar selaku pejuang rakyat terserlah, tanpa ada rasa 'lokek' kepada kuasa, beliau dengan rendah diri mengosongkan semula pejabat MB yang baharu sahaja dimasuki semula 12 Mei.

Benar kata Adun Titi Serong, Dr Khalil Idham Lim Abdullah bahawa rakyat Perak kini mula curiga dan sangsi mahkamah hanya diperguna untuk kepentingan kuasa BN.

Mahkamah hanya menjadi ladang kepada kerakusan nafsu BN untuk melakukan apa sahaja walau ianya sah bertentangan dengan perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.

Ketegangan kini hanya boleh diselesaikan dengan kembali kepada rakyat, bak kata Nizar dan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang bahawa pembubaran Dun adalah jalan terbaik.

Hal ini juga dipertegaskan Ahli Parlimen BN Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman

Usah dibodohkan kenyataan Ku Li dalam tulisan terbarunya, bekas pemimpin Parti Melayu Semangat 46 berkata kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Zambry Abd Kadir lebih kurang tiga bulan "selama ini haram dan semua keputusan serta kontrak yang dibuat olehnya tanpa asas perundangan."

Ku Li berpendirian sidang DUN Perak minggu lepas yang membawa usul Zambry menggantikan Speaker, V Sivakumar dengan R Ganesan, pemimpin kanan MIC negeri dan bekas ADUN Sungai, juga tidak sah.

"Sultan, dan sistem beraja itu sendiri, menanggung malu dengan babak (politik) ini, termasuk usaha terancang oleh sesetengah pihak untuk menyemarakkan lagi isu menjadi perkauman dan penderhakaan.

"Tindakan seumpama ini hanya merosakkan lagi institusi yang mereka dakwa cuba mempertahankannya, dan (susulan itu) ia mencemarkan Umno dan BN," kata Ku Li.

Pastinya dalam kemelut ini, Sultan Perak adalah jawapan yang paling dekat kepada konflik ini untuk segera ditamatkan.Kuasa yang ada di tangan baginda adalah jalan penyudah, cadangan Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mudah, dua MB ini dipanggil mengadap Sultan Perak.

Tumpuan hanya satu, dua dua perlu akur akan penyelesaian hanya di gelanggang pilihan raya semula dan bukannya intepretasi undang-undang yang berbeza.

Kini rakyat menanti keazaman Sultan Perak untuk menamatkan segera sengketa ini dengan memperkenankan pembubaran Dun bagi membolehkan rakyat memilih semula wakil rakyat dan kerajaan secara sah./wann _

Nizar diisytihar MB

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my




MOHAMMAD Nizar dikerumuni wartawan dan penyokongnya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, semalam

# Pakatan Rakyat mahu bubar DUN Perak
# BN kemuka rayuan hari ini: Najib

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini semalam mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dalam keputusannya berkata, jawatan Menteri Besar tidak boleh dianggap kosong mengikut peruntukan Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) kerana Mohammad Nizar tidak pernah kehilangan kepercayaan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam penghakiman yang dibaca secara lisan selama lebih sejam bermula jam 2.30 petang, hakim itu berkata, undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar hanya boleh dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada sidang DUN.

"Dalam kes ini, tidak dapat dipertikaikan fakta bahawa tiada undi tidak percaya dibuat Adun terhadap pemohon (Mohammad Nizar) di persidangan DUN.

"Malah, beliau menghadap Sultan untuk memohon pembubaran DUN bukannya kerana sudah kehilangan kepercayaan majoriti DUN tetapi sebaliknya memohon pembubaran itu bagi menyelesaikan kebuntuan dalam DUN dan hal pentadbiran Perak," katanya.

Mengulas keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan rayuan hari ini kerana yakin mempunyai kes dan asas yang kukuh.

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang menerima keputusan itu dengan hati dan fikiran terbuka, menegaskan beliau serta enam Ahli Exconya akan mengambil tindakan seterusnya menurut lunas undang-undang.

Mohammad Nizar pula mengumumkan akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya pilihan raya negeri dapat diadakan secepat mungkin untuk menyelesaikan krisis politik di negeri itu.

Kemelut kepemimpinan di Perak berlarutan sejak lebih 100 hari selepas Zambry dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Mohammad Nizar pada 6 Februari lalu apabila kerajaan Pakatan Rakyat kehilangan kepercayaan majoriti di DUN berikutan tiga wakil rakyatnya keluar parti dan menyokong BN.

Abdul Aziz berkata, walaupun BN sudah memenangi 31 kerusi DUN, ia tidak memohon supaya sidang DUN diadakan bagi melakukan undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar.

"Berdasarkan prinsip demokrasi dan undang-undang, undi tidak percaya perlu dilakukan di sidang DUN dan hanya dengan cara itu seseorang Menteri Besar boleh digugurkan atau diminta meletakkan jawatannya," katanya.

Abdul Aziz berkata, Menteri Besar tidak memegang jawatan itu berdasarkan kepada kehendak Sultan.

"Bagaimanapun mahkamah berpendapat, kuasa Sultan untuk meminta Menteri Besar meletakkan jawatan adalah tidak mengikut peruntukan dalam Perkara 16(6) UTKP kerana artikel itu adalah sangat jelas dan bukannya tidak nyata.

"Sungguhpun Sultan mempunyai kuasa prerogatif dalam melantik Menteri besar, tetapi sebaik dilantik Menteri Besar hanya perlu menjawab kepada DUN dan bukannya orang lain," katanya.

Abdul Aziz juga tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai pencelah dalam kes itu dan Zambry, bahawa hanya ada dua keadaan yang membolehkan Menteri Besar memohon pembubaran DUN.

"Abdul Gani menghujahkan bahawa Menteri Besar hanya boleh memohon pembubaran DUN apabila tempoh perkhidmatan DUN berakhir mengikut Perkara 36(2) UTKP atau jika kehilangan kepercayaan majoriti.

"Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan itu kerana mengikut Perkara 36 UTKP, terdapat banyak keadaan yang membolehkan Menteri besar memohon pembubaran DUN daripada Sultan dan ia adalah bergantung kepadanya untuk menentukan bilakah waktu sesuai untuk membuat permohonan itu," katanya.

Abdul Aziz turut tidak bersetuju hujahan Abdul Gani dan Zambry sebelum ini yang menyatakan Mohammad Nizar perlu meletak jawatan walaupun beliau enggan berbuat demikian.

Katanya, Abdul Gani dan Zambry berhujah menyatakan perkataan 'perlu meletak jawatan' dalam Perkara 16 (6) UTKP bermaksud 'mandatori' serta Mohammad Nizar perlu meletak jawatan atau jawatannya itu akan dianggap kosong.

"Bagaimana jika Menteri Besar enggan meletakkan jawatan? Walaupun bermaksud 'mandatori', peruntukan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai Menteri Besar perlu meletakkan jawatannya," katanya sambil mencadangkan supaya artikel itu dipinda bagi memenuhi lacuna (kekosongan) dalam Perkara 16(6) UTKP.

Mengenai afidavit yang diikrarkan Penasihat Undang-Undang Perak, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Abdul Aziz berkata, penasihat undang-undang itu adalah saksi yang tidak neutral dan berat sebelah.

Abdul Aziz berkata, Ahmad Kamal sendiri mengakui beliau diarahkan peguam Zambry untuk mengikrarkan afidavit itu dan perkataan 'diarahkan' mempunyai erti yang mendalam.

"Disebabkan itu mahkamah berpendapat beliau (Ahmad Kamal) adalah saksi yang tidak neutral dan berat sebelah serta keterangannya adalah demi memenuhi yang arahan diterimanya," katanya.

Abdul Aziz berkata, mahkamah tidak mempersoalkan keputusan Sultan untuk tidak membenarkan pembubaran DUN kerana perkara itu tidak boleh diadili.

"Sultan mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak memperkenankan permintaan untuk membubarkan DUN," katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry membuat permohonan secara lisan bagi memohon penangguhan terhadap pelaksanaan keputusan Abdul Aziz itu, sementara menunggu rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.

Abdul Aziz bagaimanapun menolak permohonan itu dan meminta Cecil membuat permohonan secara bertulis berserta ikatan autoriti.

Berita Harian

11.5.09

KENYATAAN MEDIA DATO' SERI ANWAR IBRAHIM BERHUBUNG KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR

11 Mei 2009

Alhamdulillah saya menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang mengistiharkan YAB Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar Perak yang sah. Keputusan tersebut merupakan satu kemenangan buat rakyat dan juga sistem demokrasi di negara ini. Kami menyeru agar YAB Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dengan segera dikembalikan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Perak.

Keputusan hari ini membuktikan bahawa Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi di negara ini. Makanya adalah mustahak bagi semua institusi kerajaan untuk menghormati semangat yang termaktub dalam Perlembagaan. Ini termasuklah sistem pengasingan kuasa yang secara jelas menggariskan pengasingan di antara kuasa eksekutif, kehakiman dan juga perundangan. Sejajar dengan itu adalah penting untuk kita mengiktiraf sidang bawah pokok yang berlangsung pada 3hb Mac 2009 serta segala resolusi yang diluluskan pada hari tersebut.

Bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri Perak, Pakatan Rakyat tuntas dengan tuntutan agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan serta-merta. Ini membolehkan rakyat menentukan kerajaan mana yang memperolehi mandat serta kepercayaan mereka melalui pilihanraya yang bakal diadakan nanti.

Kami yakin rakyat pasti memilih yang terbaik buat masa depan mereka dan negara ini. Sepanjang kemelut di Perak, Pakatan Rakyat menunjukkan iltizam untuk tetap teguh menjunjung Keluhuran Perlembagaan serta konsisten membawa Perubahan.


DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA UMUM, PARTI KEADILAN RAKYAT
KETUA PEMBANGKANG, DEWAN RAKYAT

8.5.09

Terkuburnya Demokrasi kerana Perbuatan Durjana Umno-BN di DUN Perak

08 Mei 2009

Kedurjanaan rampasan kuasa di Dewan Undangan Negeri Perak oleh Umno-BN adalah bersifat keji dan hina.

Kajian rambang mendapati bahawa rakyat Perak dan ramai golongan muda, yang telah mengikuti insiden yang melupuskan tamadun dan kemuliaan itu, meronta-ronta jiwa mereka mencari jalan bagaimana pula untuk menguburkan kedurjanaan Umno-BN itu. Jentera Kerajaan Persekutuan, khususnya Polis Di-Raja Malaysia telah disejarahkan sekali lagi sebagai bersekongkol dengan kedurjanaan ciptaan Umno-BN di Perak. Mereka adalah penyebab kejayaan kesinambungan segala kedurjanaan yang berlaku di Malaysia. Keazliman yang tidak kunjung padam, bahkan semakin menjadi-jadi sejak jawatan Perdana Menteri disandang oleh Najib Razak, akan dirintihkan oleh Rakyat kepada Tuhan mereka sehingga Ia menjatuhkan keputusan terhadap sekelian penzalim.

Penahanan saya di Balai Polis Sungai Senam, Perak adalah tidak sah dan menyanggahi kebebasan dan hak asasi saya sebagai Warga Malaysia, Ahli Parlimen Malaysia dan tetamu undangan ke Dewan Undangan Negeri Perak. Kesemua Ahli-Ahli Yang Berhormat Parlimen, khususnya dari Pakatan Rakyat telah diundang untuk menjadi tetamu di sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei 2009 semalam.

Pihak polis telah mengasari saya dan bertindak di luar batasan dan kewarasan yang dituntut oleh undang-undang. Pegawai-pegawai polis yang bertugas telah bersikap seperti robot yang tiada akal fikiran dan enggan mendengar penjelasan saya. Saya telah dikasari oleh polis ketika ingin memasuki Dun Perak dan telah mengalami kecederaan di tangan saya. Surat jemputan untuk saya ke sidang Dun Perak telah dirampas apabila ditunjukkan kepada pihak polis supaya saya diizinkan masuk ke Dewan persidangan.

Pihak polis telah dilihat dan dilapor menangkap rakyat yang berpakaian serba hitam yang berada berhampiran dengan bangunan yang menempatkan Dewan persidangan. Tindakan tersebut juga adalah menyalahi Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kebebasan dalam soal peribadi kepada rakyat, selagi mana ia tidak mengganggu ketenteraman awam.

Kesangsian rakyat terhadap Umno-BN sudah semakin menebal hasil dari perbuatan durjana Umno-BN di Perak. Keadaan itu boleh diselamatkan dari menjadi lebih parah dengan pembubaran segera Dewan Undangan Negeri Perak dan untuk memulihkan demokrasi di mata rakyat dan dunia seluruhnya.


ZURAIDA KAMARUDDIN
Ketua Wanita KEADILAN
Ahli Parlimen Ampang