Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

11.5.09

KENYATAAN MEDIA DATO' SERI ANWAR IBRAHIM BERHUBUNG KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR

11 Mei 2009

Alhamdulillah saya menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang mengistiharkan YAB Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar Perak yang sah. Keputusan tersebut merupakan satu kemenangan buat rakyat dan juga sistem demokrasi di negara ini. Kami menyeru agar YAB Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dengan segera dikembalikan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Perak.

Keputusan hari ini membuktikan bahawa Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi di negara ini. Makanya adalah mustahak bagi semua institusi kerajaan untuk menghormati semangat yang termaktub dalam Perlembagaan. Ini termasuklah sistem pengasingan kuasa yang secara jelas menggariskan pengasingan di antara kuasa eksekutif, kehakiman dan juga perundangan. Sejajar dengan itu adalah penting untuk kita mengiktiraf sidang bawah pokok yang berlangsung pada 3hb Mac 2009 serta segala resolusi yang diluluskan pada hari tersebut.

Bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri Perak, Pakatan Rakyat tuntas dengan tuntutan agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan serta-merta. Ini membolehkan rakyat menentukan kerajaan mana yang memperolehi mandat serta kepercayaan mereka melalui pilihanraya yang bakal diadakan nanti.

Kami yakin rakyat pasti memilih yang terbaik buat masa depan mereka dan negara ini. Sepanjang kemelut di Perak, Pakatan Rakyat menunjukkan iltizam untuk tetap teguh menjunjung Keluhuran Perlembagaan serta konsisten membawa Perubahan.


DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA UMUM, PARTI KEADILAN RAKYAT
KETUA PEMBANGKANG, DEWAN RAKYAT

Tiada ulasan: