Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my
SAFEE (kanan) menyerahkan dokumen
kontrak kepada presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas
menandatanganinya di Wisma FAM, Kelana Jaya malam tadi.
|
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) terus berbelanja besar dalam
persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Semalam, Setiausaha PBNJ, Suhairi Hashim mengesahkan telah mendapat
surat pelepasan daripada kelab Liga Super Indonesia (ISL), Arema
Indonesia bagi mendapatkan khidmat penyerang sensasi Harimau Malaya,
Mohd. Safee Sali secara pinjaman musim depan.
Suhairi berkata, surat yang ditandatangani oleh Pengarah Arema, Ruddy
Widodo menyatakan, Safee akan menyarung jersi Johor selama setahun
bermula dari 1 Disember 2012 hingga 30 November 2013.
“Safee sepatutnya hadir malam ini (semalam) untuk menandatangani
kontrak tetapi tidak dapat berbuat demikian disebabkan terikat dengan
peraturan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang tidak membenarkan
pemain kebangsaan keluar daripada kem latihan mereka sepanjang kempen
Piala Suzuki AFF 2012.
“Namun, kami (PBNJ) telah mendapat pelepasan daripada Arema yang
membenarkan Safee beraksi bersama Johor. Saya ada bukti dan saya boleh
tunjuk kepada umum.
“Jika segalanya berjalan seperti yang dirancang, Safee akan beraksi
bersama Johor. Kami memang bersungguh-sungguh untuk membawa masuk Safee
dan mahu menyelesaikan perkara ini dalam tempoh dua hari sebab tarikh
tutup pendaftaran pemain akan tutup pada 6 Disember (esok),” kata
Suhairi ketika ditemui pemberita di Hotel Prince Kuala Lumpur malam
tadi.
Terdahulu, sidang akhbar yang dirancang PBNJ untuk majlis
menandatangani kontrak Safee tidak dapat diteruskan kerana pemain
berusia 28 tahun itu tidak dapat hadir kerana terikat dengan peraturan
FAM.
Situasi itu menyaksikan Suhairi bersama Presiden PBNJ, Tunku Mahkota
Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bergegas ke Wisma FAM, Kelana Jaya
malam tadi bagi mendapatkan tandatangan Safee.
Mengulas mengenai yuran pinjaman dan gaji Safee, Suhairi berkata:
“Berhubung perkara itu, kami tidak boleh dedahkan dan ia adalah rahsia,”
ujarnya.
Bagaimanapun, beliau memberi gambaran bahawa Safee akan mendapat gaji
yang lebih baik daripada apa yang diterimanya bersama Arema.
Kosmo! difahamkan Safee ketika ini menerima gaji sebanyak
RM90,000
sebulan daripada Arema dan ia memberi bayangan bahawa dia akan
menerima
gaji sekurang-kurangnya RM100,000 sebulan bersama Johor.
Pada 1 Februari lalu, Safee telah menandatangani kontrak lanjutan
selama dua tahun bersama kelab Indonesia itu dengan nilai keseluruhan
berjumlah
RM2 juta. Kontrak dua tahun itu termasuk pelbagai kemudahan
seperti bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi,
cukai yang dibayar oleh kelab, tiket pergi balik ke Kuala Lumpur yang
disediakan oleh kelab dan penghormatan sebagai kapten pasukan.
Kontrak Safee bersama Arema akan tamat pada
2014.
Sebelum ini, lima pemain kebangsaan iaitu Safiq Rahim, Norshahrul
Idlan Talaha, Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak dan Azmi Muslim
serta bekas pertahanan Terengganu dan Harimau Muda A, Muslim Ahmad telah
menandatangani kontrak untuk beraksi bersama Johor musim depan.
Kosmo