Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

8.1.12

Surat terbuka PKR S'gor pada Hasan Ali


Penerangan PKR Selangor terpanggil untuk memberikan sedikit kenyataan terhadap YBhg Datuk Dr Hasan Mohd Ali dalam beberapa liputan media kebelakangan ini.

Kenyataan ini pastinya adalah pendirian yang dilahirkan setelah sekian lamanya tersimpan hingga "senak" terasa di perut! Hendak dibuang angin bimbang berbau busuk, hendak di tahan sakit sudah melata ke dada.

Saya percaya Datuk adalah seorang yang istimewa. Saya sendiri, malah ramai rakan-rakan saya bersetuju bahawa Datuk mempunyai kelebihan dan perwatakan yang menarik, petah dan tegas.

Namun saya juga mempercayai bahawa Datuk, dengan sesungguhnya tanpa ragu-ragu, mempercayai bahawa Datuk sendiri terlebih-lebih istimewa.

Perkara ini dapat disimpulkan dalam pelbagai tindakan, ulasan dan gaya Datuk sehingga kini, terutamanya apabila melihat isu pertelagahan ‘dalam kain' antara pimpinan PAS di Selangor.

Saya tidak begitu ‘berani' mempersoalkan pentadbiran dalaman sahabat seperjuangan PAS dalam menangani isu ini kerana amat hormatkan 'saudra tua'.

Namun apabila saya terlihat temubual Datuk agar adik-adik siswa dan siswi menjauhkan diri daripada menghadiri hari penultimate Datuk Seri Anwar Ibrahim, penerangan PKR Selangor tidak terdaya lagi menahan jari untuk menulis kenyataan ini dengan menyatakan ‘perasaan menyampah sangat' dengan tindakan Datuk.

Apakah siswa dan siswi akan secara automatisnya gagal dan mencapai CGPA yang rendah apabila memperjuangkan kebenaran dan PKR? Apakah perjuangan hanya digalas oleh mereka yang berintelek dan berijazah daripada Universiti Pittsburgh?

Secara tidak langsungnya Datuk telah menghina mereka yang turut merasakan kezaliman rejim Umno dan BN dan mereka yang dianiaya tanpa pembelaan sewajarnya. Umum mengetahui bahawa di Malaysia ini, "justice is only available to those who could afford it".

Dan sekiranya manusia Anwar Ibrahim ini dapat menyatukan rakyat untuk menyatakan tidak kepada kes fitnah kedua tanpa bukti kukuh, dan membelakangi undang-undang syariah kepada kedudukan second-tier, apakah salahnya mereka hadir untuk menyatakan dan menzahirkan sokongan mereka?

Sekurang kurangnya sebagai sokongan moral kepada Anwar - simbol kepada mangsa fitnah berterusan!

Pencapaian akademik tidak selama-lamanya merupakan pre-requisite kejayaan kerana ‘otak tanpa ruh Islam' akan menyebabkan keruntuhan akhlak para genius Melayu sepertimana berlaku sekarang di United Kingdom dan Eropah.

PKR Selangor hairan, Datuk seolah-olah terperangkap dengan hujah counter-intelligence UMNO bahawa isu ini hanyalah isu peribadi. Sebenarnya Datuk, isu ini adalah isu nasional.

Buktinya adalah perjuangan beliau dan rakan-rakan semuanya berlandaskan kepentingan rakyat. Polisi Pakatan Rakyat dimodelkan atas premis primer ini dan kini Rakyat dapat merasakan hasil titik peluh mereka sendiri walau dinafikan oleh Umno selama ini.

Sedangkan Umno dan PDRM sendiri menyatakan bahawa ini melibatkan keselamatan persekutuan! Bagaimana Datuk boleh mengatakan ia peribadi?

PKR telah menunjukkan solidaritinya bersama PAS dan Pakatan apabila mengheret ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dan menyingkirkannya walaupun dalam keadaan genting.

Namun tindakan Datuk cuma menambahkan derita dengan tidak menggalakkan secara terbuka (melalui RTM dan TV3 juga) agar tidak hadir ke mahkamah.

Apakah Datuk sebegitu buta hati terhadap masalah Anwar? Apakah sebegitu gelap dan jijik pandangan Datuk terhadap Anwar? Bukankah isu Anwar itu sendiri membantu Datuk mendapat kemenangan dalam pilihan raya yang akhirnya menjayakan Datuk menduduki kerusi empuk di Bangunan SSAAS Shah Alam?

Inilah padahnya jika ‘terlalu kerap terlewat hadir di taklimat dan mesyuarat yang diadakan'. Saya percaya Datuk tertinggal semua taklimat penting hingga Datuk tenggelam punca.

Tindakan Datuk seolah-olah menyatakan bahawa sesiapa sahaja boleh menuduh zina kepada mana-mana Rakyat dan kita harus mendiamkan diri. Tindakan ini adalah tindakan pengecut, pentingkan diri sendiri dan kebas terhadap penderitaan mereka yang difitnah.

Datuk juga sebegitu pasif dan naïf dalam membuat kenyataan. Datuk sehingga hari ini gagal menjawab Harakah berkenaan dakwaan Datuk bahawa pertemuan Datuk bersama Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di Kelantan adalah berkenaan permohonan maaf.

Apabila kes diumumkan tutup, Datuk tanpa segan silu menggunakan media Umno lagi untuk membuat serangan selanjutnya. Apakah sebegitu dendam Datuk sehingga sanggup membakar rumah sendiri? PKR Selangor yakin Datuk sudah ‘terkena sesuatu'.

Datuk Hasan, sama ada setuju atau tidak Datuk kini merupakan liabiliti kepada Pakatan. Datuk mungkin merasakan Datuk berjuang berlandaskan jalan Allah SWT namun saya ingin Datuk bermuhasabah diri sendiri dan bertanya sama ada Datuk benar-benar dipihak yang benar atau benar-benar keliru.

Kedua-duanya lain dan melihat tindakan Datuk yang terkini, seolah-oleh Datuk menyatakan bahawa Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tersilap dan tersasar. Apakah Datuk sebegitu fasih, khatam dalam agama sehingga sanggup menyatakan sedemikian?

Sejak bila Islam dan Melayu itu satu Datuk? Islam tidak memerlukan Melayu malah Melayu dan manusia amnya yang memerlukan Islam.

Menyatukan keduanya adalah sesuatu yang jahil melihatkan kepada kes perkahwinan jantina sejenis bersongkok dan keruntuhan moral anak bangsa diluar negara kini.

Saya menyeru agar Datuk jangan terlalu mengikut perasaan. Masa Datuk untuk menjadi menteri besar masih ada. Jangan kita merajuk sampai terlupa kita sebenarnya membakar rumah kita sendiri.

Masih ada ruang ‘untuk berjiwa besar' dengan menoleh sejenak ke belakang. Apakah langkah Datuk sederap dengan pimpinan, atau ia semakin sumbang? Datuk lebih mengerti dengan maksud ‘kura kura dalam perahu'.

Saya memohon maaf sekiranya tulisan saya menyakiti hati dan perasaan Datuk. Sesungguhnya tulisan, ucapan dan tindakan Datuk telah melukakan hati saya dan ramai teman seperjuangan yang lain termasuk Anwar dan keluarganya.

Dalam keadaan mereka memerlukan, sekurang-kurangnya janganlah kita merendahkan moral dan menjatuhkan lagi semangat mereka yang mungkin perlu dipaksa berpisah lagi sekali dan berhubung hanya melalui jeriji besi. Sila bayangkan sekiranya perkara yang sama berlaku kepada Datuk.


Penulis merupakan ketua penerangan PKR Selangor dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda. Tulisan ini disediakan sebelum Dr Hasan dipecat sebagai anggota PAS dan tidak melambangkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Tiada ulasan: