Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

24.1.12

Kanak-kanak jadi tebusan 6 jam di Kg Baru

10:08PM Jan 23, 2012

Polis bertindak melepaskan empat das tembakan ke arah seorang lelaki setelah berunding selama enam jam bagi membebaskan seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang dijadikan tebusan di sebuah rumah di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata langkah itu terpaksa diambil setelah lelaki terbabit, yang berumur 34 tahun, bertindak agresif ketika proses rundingan.

"Tembakan tersebut telah terkena pada rusuk kiri suspek, bagaimanapun, mangsa berjaya diselamatkan dan kedua-dua mereka dibawa ke HKL (Hospital Kuala Lumpur) untuk rawatan lanjut, manakala mangsa dirawat bagi mengenal pasti sama ada berlaku sebarang kecederaan fizikal semasa dikurung," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata dalam kejadian 10 pagi itu, polis menjalankan rundingan dengan turut memanggil pakar psikiatri HKL dan seorang rakan suspek untuk memujuk lelaki berkenaan, namun dia bertindak lebih agresif.

"Suspek sebelum itu secara tiba-tiba meluru masuk ke dalam rumah terbabit dan mengambil pisau siang ikan di dapur sebelum menahan mangsa dan mengacukan pisau itu ke leher mangsa yang ketika itu sedang menonton televisyen bersama ibu, adik serta dua lagi sepupunya.

"Suspek kemudian mengugut untuk mencederakan mangsa sekiranya ada yang cuba menghampirinya, sebelum membawa mangsa masuk ke dalam bilik serta mengurungnya dan menutup bilik itu dari dalam," katanya.

Zulkarnain berkata ruang bilik yang agak kecil menyukarkan anggota polis kerana suspek boleh bertindak dengan pantas jika berasa dirinya terancam.

Beliau berkata semasa proses rundingan, suspek tidak menuntut sebarang wang tebusan sebaliknya hanya meminta agar dia tidak diapa-apakan, selain air dan dadah.

"Dia minta air, kita bagi air tapi dia minta dadah memang kita tidak bagi," katanya sambil menambah suspek tidak mempunyai sebarang rekod rawatan psikiatri namun pernah memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes samun.

Beliau berkata polis masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961.

Bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Syafrudin, 47, berkata ketika kejadian, dia berada dalam satu daripada dua bilik di rumah itu manakala isteri, anak serta anak saudaranya di ruang tamu menonton televisyen.

"Pintu rumah ketika itu tidak berkunci, lelaki itu kemudian meluru masuk dan terus menangkap anak saya serta mengacukan pisau ke lehernya sambil mengugut sekiranya ada yang menghampiri, dia akan mencederakan anak saya," katanya.

Dalam pada itu, jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Ramli berkata beliau yakin suspek bukan penduduk di kawasan itu (Kampung Baru) kerana kelibat suspek tidak pernah dilihat sebelum ini.

Katanya, suspek mungkin datang dari kawasan lain sebelum masuk ke rumah itu dan menjadikan kanak-kanak perempuan tersebut sebagai tebusan.

Pendapat beliau turut disokong Suhardi Osman, 45, yang memaklumkan sebelum ini, suspek pernah membuat kecoh di sebuah pasar berdekatan.

"Saya dapat tahu suspek terlebih dahulu telah membuat kecoh di pasar pada waktu pagi sebelum dihalau oleh orang ramai, dan ini mungkin punca mengapa beliau menjadikan kanak-kanak tersebut sebagai tebusan," katanya ketika ditemui Bernama.

- Bernama

'Rayuan kes liwat untuk penjarakan Anwar'

1:34PM Jan 22, 2012

Tindakan Jabatan Peguam Negara membuat rayuan terhadap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan kes liwatnya bertujuan memenjara tokoh pembangkang itu, kata PKR dan ALIRAN.

NONE"Motif rayuan itu adalah untuk memenjarakan Anwar dan menghalang Pakatan Rakyat daripada menguasai kuasa kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum akan datang," kata Naib Presiden PKR N Surendran.

Beliau juga mendakwa rayuan itu menunjukkan slogan pembaharuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak hanyalah sekadar janji-janji penuh kemunafikan dan penipuan.

Mengulas pembebasan Anwar awal bulan ini, Najib dalam satu wawancara dengan harian perniagaan berpengaruh Wall Street Journal pernah mengatakan keputusan itu boleh memberikan tanggapan umum bahawa sistem kehakiman kita tidak dipengaruhi kerajaan.

Dalam kenyataan berasingan, badan bukan kerajaan yang berpangkalan di Pulau Pinang itu juga mendakwa rayuan kes tersebut bertujuan menghalang kebebasan bergerak pemimpin PKR berkenaan demi "kelangsungan hidup BN."

"Satu-satunya individu yang boleh menggegarkan dan memusnahkan teras kuasa BN melalui Pakatan hanyalah Anwar dan oleh itu beliau mesti disisihkan (dipenjarakan)," kata presiden ALIRAN P Ramakrishnan hari ini.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilaporkan berkata, tindakan Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan "satu tindakan yang tepat".

"Bagi saya rayuan itu bukan satu isu kerana sesiapa sahaja yang dalam keadaan seperti itu, Anwar pun tetap akan merayu," naib presiden Umno itu dipetik sebagai berkata.

Kolumnis pertahan dakwaan Rosmah belanja RM325,000

S Pathmawathy
5:04PM Jan 24, 2012

Kolumnis Sydney Morning Herald Andrew Hornery mempertahankan dakwaannya bahawa isteri perdana menteri Rosmah Mansor membelanjakan lebih RM300,000 semasa lawatannya ke Australia.

"FLOM (wanita pertama Malaysia) dakwa saya membesar-besarkan secara liar lawatan sambil membeli-belahnya di Sydney?

"Saya tetap pertahankan setiap kata-kata saya. Sumber saya amat kukuh," kata Hornery dalam Twitternya kira-kira sejam lalu.

Isteri Datuk Seri Najib Razak semalam menyangkal dakwaan Hornery yang dibuat dalam seksyen 'Private Sydney' harian itu dengan menyifatkannya sebagai "karut, dibesar-besarkan secara liar dan tidak benar".

Selain perbelanjaan A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik, Hornery juga mendakwa Rosmah dan suami menginap di emper (penthouse) bernilai A$20,000 (RM65,100) semalam, meminta "parkir valet untuk limousinnya" dan menerbangkan pereka fesyen ke Malaysia untuk mengenakan pakaian yang ditempahnya.


Rosmah sangkal dakwaan berbelanja mewah

S Pathmawathy
12:10PM Jan 23, 2012

Isteri perdana menteri Rosmah Mansor hari ini menyangkal dakwaan bahawa beliau berbelanja mewah dalam percutiannya di Sydney, Australia sebelum ini.

"Semua itu karut, dibesar-besarkan secara liar dan tidak benar," katanya kepada Malaysiakini dan The Sun ketika ditemui dalam sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA di Kuala Lumpur.

"Saya selalu menjadi mangsa," katanya ketika ditanya tentang dakwaan yang dibuat dalam harian Australia Sydney Morning Herald.

Dalam seksyen 'Private Sydney' akhbar itu, kolumnis Andrew Hornery menggelar Rosmah sebagai "first lady of shopping' (wanita pertama membeli belah), kerana didakwa membelanjakan A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik di Sydney.

Rosmah dan suaminya juga didakwa menginap di penthouse bernilai A$20,000 (RM65,100) semalam, meminta "parkir valet untuk limousinnya" dan menerbangkan pereka fesyen negara itu ke Malaysia untuk mengenakan pakaian yang ditempahnya.

11.1.12

Bapa Saiful mohon Peguam Negara rayu kes liwat II


Salhan K Ahmad
5:43PM Jan 11, 2012

Azlan Mohd Lazim, bapa kepada pengadu kes liwat II, Mohd Saiful Bukhari berkata beliau akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan sivil susulan keputusan Mahkamah Tinggi Isnin lalu yang memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NONEKatanya, buat masa ini beliau masih menunggu langkah yang akan diambil peguam negara -- sama ada akan merayu keputusan tersebut.

Peguam Negara juga masih belum menghubungi beliau berhubung tindakan itu, kata Azlan, 58, ketika ditanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Azlan turut menyelar Majlis Peguam yang sebelum ini membuat saranan kepada Peguam Negara untuk tidak merayu kes berkenaan.

"Pada hemat saya, tindakan majlis peguam itu... langkah untuk menidakkan hak seseorang warganegara untuk diadili dan didengar rayuannya ke peringkat tertinggi," katanya.

Badan itu sebaliknya perlu bersikap neutral dan tidak menghalang proses keadilan, kata Azlan lagi.

"Adakah gesaan itu melambangkan pendirian semua peguam atau hanya pendirian individu tertentu yang menduduki kerusi Majlis Peguam yang berkepentingan politik?

"Diharap pihak Peguam Negara tidak terpengaruh," katanya lagi yang menambah anggota keluarga itu juga menerima keputusan mahkamah dengan tenang.

saiful bukhari azlan images 300608 01Katanya, masih ramai yang masih bersimpati dengan Saiful dan juga keluarga beliau atas keputusan tersebut.
"Tapi apa boleh buat itu keputusan mahkamah," katanya lagi dalam sidang media di kediamannya di Petaling Jaya.

"Sebagai bapa saya akan terus bersama anak saya untuk dapatkan keadilan,

Katanya lagi, Mohd Saiful, 26, kini berada di dalam negara dan bekerja di Kuala Lumpur.

Azlan berkata anaknya itu juga kini masih bujang, seperti dirinya.

Muslimah PAS pertahan `gelagat’ ahli ketika menyokong Anwar

Muda Mohd. Noor | January 11, 2012

"Apalah “kesilapan” yang sedikit ini dibandingkan dengan dosa rasuah, penyelewengan, kezaliman, penolakan hukum Hudud yang dilakukan pimpinan Umno/BN serta fitnah I dan II terhadap Anwar? " katanya.


PETALING JAYA: Muslimah PAS mempertahankan tindakan ahli dan penyokongnya ketika menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di perkarangan mahkamah tinggi Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Timbalan ketuanya, Dr Mariah Mahmud berkata, tidak ada apa salahnya bernyanyi beramai-ramai dengan bersemangat.

Beliau berkata, amalan ini berlaku di negara-negara Islam lain termasuk di Timur Tengah dan Indonesia.

Menurutnya, Muslimah yakin yang apa yang berlaku bukan satu kesalahan dan dosa dan bukan kayu ukur akhlak dan moral muslimat.

Dr Mariah berkata, tidak ada percampuran dengan lelaki dan perempuan, tidak ada pendedahan aurat, tidak ada lenggang lengguk yang mengiurkan, intonasi suara bukan intonasi yang jatuh kepada haram dan perkataan yang digunakan tidaklah lucah.

“Apalah “kesilapan” yang sedikit ini dibandingkan dengan dosa rasuah, penyelewengan, kezaliman, penolakan hukum Hudud yang dilakukan pimpinan Umno/BN serta fitnah I dan II terhadap Anwar? ” katanya.

Terlalu gembira

Menurut Dr Mariah, nyanyian pun dalam sekitar 10 minit kerana yang hadir dari sebelum Subuh lagi terlalu gembira dengan pembebasan Anwar.

Ahli Parlimen PAS Kota Raja itu berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar akhbar Utusan Malaysia dan rakaman You Tube yang memaparkan kegembiraan sebahagian Muslimat PAS selepas pengumuman pembebasan Anwar.

Dr Mariah mendakwa, kegembiraan yang dizahirkan secara nyayian beramai-ramai dan senikata yang zahir secara spontan telah menaikkan kemarahan penyokong Umno dan BN.

“Ini membuka peluang mereka untuk membina persepsi negatif terhadap PAS. Satu kesinambungan usaha Umno/BN untuk memburukkan PAS.

“Maka mereka cuba menggambarkan yang akhlak muslimat buruk dan mempersoalkan moral muslimat,” katanya lagi.

Lelaki Y = Anwar? Atau orang lain?

Sebagai bekas orang kanan reformasi sekitar 1998-2001, penulis mengucapkan setinggi tahniah di atas kejayaan team guaman Anwar yang mampu menampilkan keraguan munasabah kepada kes. Semua taktik mereka berjaya. Penangguhan. Political pressure. Cubaan merasuah. Taktik serangan peribadi. Semua mereka guna. Kita mesti mengucapkan tahniah di atas kerja keras mereka selama ini.

Memang Anwar bukan manusia biasa. Bukan. Percayalah, kalau anda dan saya berhadapan dengan kes sama – kita akan disabitkan kesalahan dalam masa 3 bulan (maksima). Tapi kita mesti muhasabah diri dan ingat bahawa kita bukan Anwar.

Kata seorang orang kuat PKR; 09 Januari 2012 – adalah ‘hari lahir’ baru buat Anwar. Anwar sudah kembali kepada fitrah. Seorang bayi yang bersih dan tidak mempunyai dosa. Demikian tahap ‘pengagungan’ yang ada di dalam PKR. Kepada mereka, hati dan kalbu Anwar sudah bersih bagai dicuci dengan air zam zam. Anwar sudah tidak ada liabiliti dan masalah politik lagi.

Tapi, enam/tujuh orang mantan peserta reformasi tidak berfikir begitu. Anwar hanya bernasib baik. Sangat bernasib baik.

Kredibiliti dan kemampuan PDRM dalam menguruskan kes bersifat ‘high profile’ memang wajar selalu diragui. Sebagai seorang anggota yang berpengalaman, tidak ada sesiapa yang mampu menyangka bahawa IO Jude Pereira boleh menyimpan DNA di dalam kabinet besi di pejabat; berbanding keperluan meletakkannya di dalam peti ais. Jude nampak macam seorang anggota yang sudah mempunyai agenda sejak awal. Tapi, semua ini tidak mampu kita buktikan.

DNA Lelaki Y yang mencecahkan kemaluan di dubur Saiful masih belum mampu ditentukan. Mahkamah tidak mahu membuat sabitan, di atas contoh DNA yang disimpan dengan begitu cuai.

Kepada bekas penggerak reformasi, kami hanya mengharapkan Anwar dapat melakukan perkara-perkara berikut:-

Hentikanlah segala macam aktiviti songsang yang selama ini menjadi MINAT erotik Pak Sheikh;
Berhati-hatilah dengan insan sekeliling yang selalu memuji dan mengharapkan pujian;
Kurangkanlah berkawan dengan tokoh korporat yang mempunyai minat yang tidak masuk akal dan gila;
Sayangilah keluarga dan Kak Wan dengan sepenuh hati;
Jagalah diri, dan jangan terperosok lagi dengan masalah moral.
Jangan mudah mengambil ‘Pegawai Khas’ yang berwajah manis dan menggoda;
Berikan Kak Wan ruang untuk menjaga ‘Pejabat Peribadi’ Pak Sheikh dengan sepenuh hati;
Renunglah wajah cucu di setiap hari – taubat nasuha dan tidak lagi mengamalkan maksiat. Anda bukannya semakin ‘muda’.
Hargailah pengorbanan Kak Wan dan anak2.
Jodoh kami dengan Anwar memang tidak panjang. Kepada kami, bekas penggerak reformasi (yang masih mempunyai ramai rakan di dalam PKR) mendoakan yang terbaik buat Anwar.

Kami sentiasa memerhati – dan jangan sesekali menganggap kami sebagai alat kerajaan. Kami akan kekal neutral.

8.1.12

Surat terbuka PKR S'gor pada Hasan Ali


Penerangan PKR Selangor terpanggil untuk memberikan sedikit kenyataan terhadap YBhg Datuk Dr Hasan Mohd Ali dalam beberapa liputan media kebelakangan ini.

Kenyataan ini pastinya adalah pendirian yang dilahirkan setelah sekian lamanya tersimpan hingga "senak" terasa di perut! Hendak dibuang angin bimbang berbau busuk, hendak di tahan sakit sudah melata ke dada.

Saya percaya Datuk adalah seorang yang istimewa. Saya sendiri, malah ramai rakan-rakan saya bersetuju bahawa Datuk mempunyai kelebihan dan perwatakan yang menarik, petah dan tegas.

Namun saya juga mempercayai bahawa Datuk, dengan sesungguhnya tanpa ragu-ragu, mempercayai bahawa Datuk sendiri terlebih-lebih istimewa.

Perkara ini dapat disimpulkan dalam pelbagai tindakan, ulasan dan gaya Datuk sehingga kini, terutamanya apabila melihat isu pertelagahan ‘dalam kain' antara pimpinan PAS di Selangor.

Saya tidak begitu ‘berani' mempersoalkan pentadbiran dalaman sahabat seperjuangan PAS dalam menangani isu ini kerana amat hormatkan 'saudra tua'.

Namun apabila saya terlihat temubual Datuk agar adik-adik siswa dan siswi menjauhkan diri daripada menghadiri hari penultimate Datuk Seri Anwar Ibrahim, penerangan PKR Selangor tidak terdaya lagi menahan jari untuk menulis kenyataan ini dengan menyatakan ‘perasaan menyampah sangat' dengan tindakan Datuk.

Apakah siswa dan siswi akan secara automatisnya gagal dan mencapai CGPA yang rendah apabila memperjuangkan kebenaran dan PKR? Apakah perjuangan hanya digalas oleh mereka yang berintelek dan berijazah daripada Universiti Pittsburgh?

Secara tidak langsungnya Datuk telah menghina mereka yang turut merasakan kezaliman rejim Umno dan BN dan mereka yang dianiaya tanpa pembelaan sewajarnya. Umum mengetahui bahawa di Malaysia ini, "justice is only available to those who could afford it".

Dan sekiranya manusia Anwar Ibrahim ini dapat menyatukan rakyat untuk menyatakan tidak kepada kes fitnah kedua tanpa bukti kukuh, dan membelakangi undang-undang syariah kepada kedudukan second-tier, apakah salahnya mereka hadir untuk menyatakan dan menzahirkan sokongan mereka?

Sekurang kurangnya sebagai sokongan moral kepada Anwar - simbol kepada mangsa fitnah berterusan!

Pencapaian akademik tidak selama-lamanya merupakan pre-requisite kejayaan kerana ‘otak tanpa ruh Islam' akan menyebabkan keruntuhan akhlak para genius Melayu sepertimana berlaku sekarang di United Kingdom dan Eropah.

PKR Selangor hairan, Datuk seolah-olah terperangkap dengan hujah counter-intelligence UMNO bahawa isu ini hanyalah isu peribadi. Sebenarnya Datuk, isu ini adalah isu nasional.

Buktinya adalah perjuangan beliau dan rakan-rakan semuanya berlandaskan kepentingan rakyat. Polisi Pakatan Rakyat dimodelkan atas premis primer ini dan kini Rakyat dapat merasakan hasil titik peluh mereka sendiri walau dinafikan oleh Umno selama ini.

Sedangkan Umno dan PDRM sendiri menyatakan bahawa ini melibatkan keselamatan persekutuan! Bagaimana Datuk boleh mengatakan ia peribadi?

PKR telah menunjukkan solidaritinya bersama PAS dan Pakatan apabila mengheret ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dan menyingkirkannya walaupun dalam keadaan genting.

Namun tindakan Datuk cuma menambahkan derita dengan tidak menggalakkan secara terbuka (melalui RTM dan TV3 juga) agar tidak hadir ke mahkamah.

Apakah Datuk sebegitu buta hati terhadap masalah Anwar? Apakah sebegitu gelap dan jijik pandangan Datuk terhadap Anwar? Bukankah isu Anwar itu sendiri membantu Datuk mendapat kemenangan dalam pilihan raya yang akhirnya menjayakan Datuk menduduki kerusi empuk di Bangunan SSAAS Shah Alam?

Inilah padahnya jika ‘terlalu kerap terlewat hadir di taklimat dan mesyuarat yang diadakan'. Saya percaya Datuk tertinggal semua taklimat penting hingga Datuk tenggelam punca.

Tindakan Datuk seolah-olah menyatakan bahawa sesiapa sahaja boleh menuduh zina kepada mana-mana Rakyat dan kita harus mendiamkan diri. Tindakan ini adalah tindakan pengecut, pentingkan diri sendiri dan kebas terhadap penderitaan mereka yang difitnah.

Datuk juga sebegitu pasif dan naïf dalam membuat kenyataan. Datuk sehingga hari ini gagal menjawab Harakah berkenaan dakwaan Datuk bahawa pertemuan Datuk bersama Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di Kelantan adalah berkenaan permohonan maaf.

Apabila kes diumumkan tutup, Datuk tanpa segan silu menggunakan media Umno lagi untuk membuat serangan selanjutnya. Apakah sebegitu dendam Datuk sehingga sanggup membakar rumah sendiri? PKR Selangor yakin Datuk sudah ‘terkena sesuatu'.

Datuk Hasan, sama ada setuju atau tidak Datuk kini merupakan liabiliti kepada Pakatan. Datuk mungkin merasakan Datuk berjuang berlandaskan jalan Allah SWT namun saya ingin Datuk bermuhasabah diri sendiri dan bertanya sama ada Datuk benar-benar dipihak yang benar atau benar-benar keliru.

Kedua-duanya lain dan melihat tindakan Datuk yang terkini, seolah-oleh Datuk menyatakan bahawa Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tersilap dan tersasar. Apakah Datuk sebegitu fasih, khatam dalam agama sehingga sanggup menyatakan sedemikian?

Sejak bila Islam dan Melayu itu satu Datuk? Islam tidak memerlukan Melayu malah Melayu dan manusia amnya yang memerlukan Islam.

Menyatukan keduanya adalah sesuatu yang jahil melihatkan kepada kes perkahwinan jantina sejenis bersongkok dan keruntuhan moral anak bangsa diluar negara kini.

Saya menyeru agar Datuk jangan terlalu mengikut perasaan. Masa Datuk untuk menjadi menteri besar masih ada. Jangan kita merajuk sampai terlupa kita sebenarnya membakar rumah kita sendiri.

Masih ada ruang ‘untuk berjiwa besar' dengan menoleh sejenak ke belakang. Apakah langkah Datuk sederap dengan pimpinan, atau ia semakin sumbang? Datuk lebih mengerti dengan maksud ‘kura kura dalam perahu'.

Saya memohon maaf sekiranya tulisan saya menyakiti hati dan perasaan Datuk. Sesungguhnya tulisan, ucapan dan tindakan Datuk telah melukakan hati saya dan ramai teman seperjuangan yang lain termasuk Anwar dan keluarganya.

Dalam keadaan mereka memerlukan, sekurang-kurangnya janganlah kita merendahkan moral dan menjatuhkan lagi semangat mereka yang mungkin perlu dipaksa berpisah lagi sekali dan berhubung hanya melalui jeriji besi. Sila bayangkan sekiranya perkara yang sama berlaku kepada Datuk.


Penulis merupakan ketua penerangan PKR Selangor dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda. Tulisan ini disediakan sebelum Dr Hasan dipecat sebagai anggota PAS dan tidak melambangkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Hasan Ali Yang Saya Kenal

Apakah prinsip 5 cinta yang bilangkali dijeritkan oleh Hassan Ali dihadapan penuntut yang membayar ratusan ringgit setiap orang untuk menghadiri "Summer Camp"nya seiring dengan semangat dan perjuangan beliau sendiri? Jawapan saya. Saya kurang yakin!!!

Terus kepada kepada fakta. Tiada bunga bahasa kerana itu lebih sesuai dititipkan buat manusia yang hadirnya tidak menambah, hilangnya tiada yang susut.

Pernah saya titipkan dalam lelaman saya - kerajaanrakyat.com yang telah digodam, Dr Hassan Ali, yang sekarang ini adalah seorang EXCO Kerajaan Negeri Selangor pernah dibayar lebih RM12,000 hanya untuk berceramah kurang daripada 2 jam di Mersing, Johor. Ini berlaku sekitar tahun 1994!!!. Nah, tu dia bayar lebih RM12,000 untuk berceramah tidak sampai 2 jam. Perbelanjaan ini tidak termasuk kos pengangkutan, penginapan dan makan minum yang semuanya dibiayai oleh pihak penganjur. Ceramah apa? Ceramah agama..!!!!

Saya bersama ayahanda saya (Allahyarham) dan beberapa rakan termasuk Abdul Latiff Ahmad (Datuk, Timbalan Menteri) terlibat secara langsung dalam program ini dan melihat bagaimana ilmu agama diperdagangkan!!!! Oleh siapa?. Oleh orang yang mendakwa dirinya seorang tokoh perjuang anak bangsa. Oleh seorang yang mendakwa dirinya telah mendisplinkan ribuan manusia melalui "Summer Camp"nya.

Tidak dinafikan kesinoniman manusia bernama Hassan Ali dengan "Summer Camp"nya di Hulu Langat. Ceramahnya gah dengan selinggan bahasa 'mat saleh'. Malahan bahasa 'mat saleh' lebih kerap tersembur daripada mulutnya jika dibandingkan dengan Nas Al Quran atau hadith Nabi.

Saya sempat berjumpa Dr. Hassan di Hulu Langat sebulan selepas kemenangannya dalam pru-12 lalu. Ceritanya (jika off politik}, tiada kisah lain selain WANG. WANG. WANG..!!! Itulah manusia Hassan Ali yang saya kenal.

Hati kecil ini selalu bermonolog, "Apakah sebenarnya tujuan Hassan Ali sertai PAS? Apakah ini landasan mudah untuk berniaga dakwah? Dakwah pun diperniagakan?"

Hasan: Saya sedih dibalas sedemikian rupa


Exco kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali menyuarakan rasa sedihnya kerana dipecat daripada anggota PAS oleh jawatankuasa pusat parti itu berkuatkuasa serta merta pada hari ini.

"Saya amat terkejut dengan tindakan drastik yang diambil oleh AJK (anggota jawankuas) PAS Pusat itu.

"Saya turut bersedih kerana perjuangan Islam saya selama ini dibalas sedemikian rupa," katanya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya hari ini mengumumkan memecat Dr Hasan atas tindakannya yang didakwa "menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan PAS".

Pemecatan berdasarkan Fasal 82(9) perlembagaan parti itu dibuat setelah mesyuarat jawatankuasa pusat lebih tiga jam di Kuala Lumpur pagi ini.

Dalam kenyataan segeranya hari ini, bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata akan merujuk kepada sahabat-sahabatnya untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau juga berkata akan memanggil sidang akhbar dalam masa terdekat untuk menjelaskan kedudukannya berhubung perkara itu.

Amanat' Anwar: Ribuan banjiri ibu negara




Ribuan membanjiri Kampung Baru di ibu negara malam ini bagi mendengar 'amanat terakhir' Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum nasibnya ditentukan mahkamah esok.

Ditemani pemimpin tertinggi pembangkang, dianggarkan 5,000 memenuhi padang Kelab Sultan Sulaiman bagi menunjukkan sokongan kepada Anwar yang dituduh meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Malah, keadaan sesak menyebabkan ada yang terpaksa duduk di anak tangga bangunan berkenaan untuk tidak melepaskan peluang menatap wajah pemimpin kesayangan mereka -- yang menghadapi kemungkinan dihukum penjara.

Jumlah kehadiran yang besar didorong juga dengan kemasukan penyokong daripada luar yang mula memenuhi Kuala Lumpur sejak awal petang tadi untuk menghadiri perhimpunan besar di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada jam 7 pagi esok.

Sokongan itu menyebabkan Anwar yang juga ketua Umum PKR memberikan ucapan penuh semangat, sekali gus dilihat pasrah akan kemungkinan yang bakal dihadapinya esok.

Sambil berseloroh, Anwar berkata, sekiranya Pakatan menang dalam pilihan raya umum akan datang dan membentuk kerajaan, beliau yakin akan dibebaskan.

"Malam ini kita menang, selamatlah saya, apa susah sangat," katanya disambut tepukan dan sorakan gemuruh daripada orang ramai.

Pada saat-saat terakhir menjelang keputusan yang dinanti-nantikan esok, Anwar mendedahkan anggota keluarganya meluahkan kebimbangan beliau dipukul seperti dalam perbicaraan kes liwat pertama yang melibatkannya sebelum ini.

Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau menjawab perkara tersebut "tidak mungkin berlaku" lagi.

Ucapannya juga turut diiringi dengan ucapan takbir, reformasi dan lawan slogan popular pembangkang "lawan tetap lawan".

Turut hadir berceramah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Anwar dan puluhan pemimpin PKR sebelum ini giat menjelajah ke seluruh negara bagi menggerakkan sokongan terhadap perhimpunan "Bebas Anwar 901" esok.