Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

3.10.11

2,000 dijangka hadiri Malam Puisi Utusan

MELAKA 3 Okt. - Malam Puisi Utusan 2011 yang akan berlangsung di pusat beli-belah Mydin Ayer Keroh pada Rabu ini dijangka dimeriahkan lebih 2,000 peminat seni dan sastera sekitar negeri ini.

Ketua 1 Persatuan Penulis Negeri Melaka (Penama), Datuk Othman Mohamad berkata, selain kali pertama diadakan di luar Kuala Lumpur, kehadiran nama-nama besar dalam dunia sastera seperti Sasterawan Negara, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah dan artis-artis popular pasti menggamit orang ramai untuk datang menyaksikan majlis tersebut.

"Kehadiran Malam Puisi Utusan 2011 adalah peluang kepada penggiat sastera terutama penyair-penyair di negeri ini dan pelajar sekolah termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menghayati industri kreatif ini.

"Amat jarang sekali pengkarya dan penyair di negeri ini dapat melihat secara langsung kehadiran penyair terkenal negara dan selebriti popular tanah air tampil membuat persembahan di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan singkat di tapak Malam Puisi Utusan 2011 di Mydin Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Mydin Cawangan Melaka, S. Sreedran yang turut memberi taklimat persiapan menjelang Malam Puisi Utusan 2011.

Malam Puisi Utusan 2011 adalah anjuran bersama Exxon Mobil, Astro, Kerajaan Negeri Melaka, Persatuan Penulis Negeri Melaka (Penama) dan Mydin Ayer Keroh.

Mengulas lanjut, Othman yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, Malam Puisi Utusan 2011 yang bermula pukul 8.45 malam itu akan berkonsepkan santai.

Katanya, selain penyair mendeklamasi puisi, ia turut diserikan dengan persembahan lagu-lagu puisi.

Selain Dr. Ahmad Kamal atau nama penanya, Kemala, penggiat sastera lain yang akan hadir ialah Halim Yazid, Shukri Abdullah, Marsli N.O., Dr. Lim Swee Tin, kumpulan Kopratasa dan Pyan Habib.

"Di samping itu, orang ramai berpeluang melihat Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mendeklamasi puisi termasuk dua wakil dari Penama, Astro dan Kumpulan Utusan," katanya.

Malam Puisi Utusan 2011 itu akan turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob sebagai tetamu kehormat.

Othman menambah, malam tersebut turut diserikan dengan kehadiran beberapa selebriti terkenal tanah air seperti Datuk Sharifah Aini, aktres jelita, Rozita Che Wan, johan Akademi Fantasia musim kesembilan, Hazama dan penyanyi kumpulan Slam, Zamani.

Tiada ulasan: