Penulis yang mengkritik kelemahan kepimpinan PAS Perlis yang tidak respon terhadap program Karnival Jom Heboh yang mendapat bantahan dari Dato’ Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis pada hari semalam telah terjawap.
Laporan Harakahdaily (3 Mei), memetik kata-kata Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPNPs),” Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) menyambut baik kenyataan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkaitan dengan Festival Jom Heboh anjuran sebuah stesen Televisyen swasta yang bakal berlangsung di negeri ini selama dua hari mulai hari ini.
Ketuanya, Ustaz Ya'akub Abu Seman mengalu-alukan sikap Dr Mohd Asri yang ternyata menyerlahkan tugas sebenarnya sebagai seorang mufti.
Beliau menambah, "Pemuda PAS Perlis seiring dengan pandangan Mufti Perlis berkaitan sebarang program yang tidak memberikan manfaat terhadap perkembangan minda golongan remaja khususnya dan rakyat negeri ini amnya," jelasnya.
Ustaz Ya’akub turut bersetuju dengan larangan penyanyi Faizal Tahir mengadakan persembahannya konsert Jom Heboh di Perlis seperti yang ditegaskan oleh Mufti Perlis.
PAS Perlis tidak melarang mana-mana artis mengadakan persembahan mereka di negeri tersebut, sekiranya mereka boleh menampilkan imej yang memenuhi peraturan yang ditetapkan. Artis berkenaan hendaklah mengubah imej dan gaya penampilan serta mengadakan persembahan yang mengikut lunas-lunas agama dan tidak terkeluar dari peraturan yang ditetapkan.
Namun, Jabatan Mufti Perlis pada dasarnya tidak mengeluarkan fatwa mengharamkan program Karnival Jom Heboh, anjuran TV3, sebaliknya rasa dukacita dengan nilai-nilai negatif yang terselit bersama. Oleh itu, Jabatan Mufti Perlis mencadangkan garis panduan tertentu sebagai panduan pelaksanaan program Karnival Jom Heboh yang hendak diadakan di Negeri Perlis.
Antara cadangannya ialah :-
Program Jom Heboh tanpa konsert adalah satu keutamaan sekiranya hendak dilaksanakan di Negeri Perlis.
Jika disertai dengan program konsert, ia hendaklah terkawal dan berdisiplin.
Artis-artis yang menimbulkan contoh-contoh yang buruk seperti Faizal Tahir atau aliran artis lain dari aliran rock, dangdut dan seumpamanya yang mempromosikan gelagat-gelagat liar dan ala kebudak-budakan yang menghapuskan nilai-nilai kematangan hidup tidak boleh dibenarkan.
Maka artis-artis yang hendak dibawa masuk hendaklah artis yang telah dirujuk persetujuan dari Jabatan Mufti, secara umumnya dicadangkan artis-artis puisi seperti Kopratasa, Ramli Sarip dan Suhaimi Mior Hassan ataupun kumpulan-kumpulan nasyid di tanahair.
Sebarang aktiviti-aktiviti yang memperlihatkan nilai-nilai kebodohan yang seakan-akan memperlekehkan akal dan pemikiran rakyat adalah tidak boleh dibenarkan.
Unsur-unsur khurafat seperti penampilan kepercayaan-kepercayaan misteri dan karut tidak dibenarkan. Demikian juga jualan barang-barangan khurafat dan tahyul seperti kayu koka tidak dibenarkan.
Penganjur Jom Heboh hendaklah menghormati sensitiviti orang-orang Islam seperti tidak menguatkan bunyian-bunyian pada waktu solat sehingga kelihatan seperti tidak menghormati agama.
Dua tahun lalu, Harakahdaily sendiri pernah menyiarkan berita tentang konsert Jom Heboh yang diadakan mengganggu jemaah yang sedang bersolat Isyak di sebuah masjid berhampiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan