Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

30.10.08

Ke mana Najib larikan RM5 bilion?

Hishamuddin Rais | Oct 30, 08 7:47pm

Hari ini telah dipastikan bahawa sistem ekonomi kapitalis neoliberal telah berakhir. Krisis ekonomi yang melanda sistem kapitalis neoliberal ini sedang nazak. Secara bengong, hanya Najib Razak sahaja yang cuba menafikannya dan berkata Malaysia “terselamat.”

Dasar Ekonomi Bengong (DEB) ini akan membawa mudarat yang amat sangat kepada orang ramai. Justeru, mari kita memahami dasar ekonomi Najib ini.

Dua hari sebelum meninggalkan Kementerian Pertahanan, Najib telah menandatangani perjanjian membeli Eurocopter. Helikopter ini berharga RM2 bilion. Brazil telah membeli helikopter yang sama dengan harga 1 bilion ringgit. Apakah Malaysia ditipu 1 bilion ringgit?

Jawabnya - tidak. Harga helikopter ini sama. Tidak berubah-ubah. Tukang buat dan tukang jual ini tidak menipu. Kita rakyat Malaysia yang kena tipu oleh Najibk. Harga ini telah ‘dinaikkan’. Yang membayar nanti kita semua kerana yang membeli helikopter ini kerajaan.

Kerajaan itu orang ramai. Orang ramai itu kita semua.

Cara “menipu” ini samalah seperti cara Najib membeli jet pejuang Sukhoi (Rusia) dan kapal selam Scorpene (Perancis). Yang berbeza kali ini hanyalah tidak ada perterjemah cun dari Mongolia. Juga kali ini bukan syarikat perunding Razak Baginda yang menjalankan urus jual-beli.

Berita masih belum jelas syarikat kroni mana pula yang mendapat komisen 1 bilion ringgit membeli Eurocopter ini.

Dari mana agaknya duit-duit ini akan datang? Apakah duit ini juga datang dari punca yang sama? Dalam suasana gawat ini banyak persoalan timbul kenapa beli helikopter?

Pertanyaan ini terjawab pantas. Belum pun satu bulan menjadi menteri kewangan, Najib telah “melarikan 5 bilion ringgit” duit KWSP. Duit ini ialah duit simpanan kaum buruh dan kaum pekerja. Duit KWSP adalah duit simpanan yang wajib disimpan oleh semua pekerja.

Majikan juga diwajibkan menyumbang dalam dana KWSP. Duit KWSP ini untuk kegunaan di hari tua – sebagai pencen atau untuk diambil membuat rumah, pergi naik haji dan sebagainya.

Menurut DEB Najib, duit 5 bilion ringgit ini akan disalurkan kepada syarikat ValueCap Sdn Bhd. Penyaluran duit KWSP ini bertujuan menaikkan harga nilai saham syarikat-syarikat yang dianggap “jatuh nilai”.

Persoalan timbul - nilai saham ini rendah kerana orang ramai tidak yakin terhadap syarikat-syarikat ini. Memasukkan duit ke dalam syarikat ini tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Untuk sementara waktu, kemungkinan nilai saham syarikat ini akan naik tetapi akhirnya akan jatuh terlingkup juga.

Apabila saham ini mendapat suntikan 5 bilion ringgit, maka nilai sahamnya naik. Apabila nilainya naik, maka makin ramai tuan empunya saham akan menjualkan saham mereka kerana ekonomi sedang gawat. Apabila saham banyak terjual, maka nilai saham ini akan jatuh kembali.

Hanya orang bengong sahaja yang tidak faham bagaimana spekulasi bergerak pantas di bursa saham Kuala Lumpur. Lima bilion ringgit ini akan dicekup oleh pemodal besar terutama dari luar negara.

Dalam masa yang singkat 5 bilion ringgit ini pasti akan hangus. Lima bilion ringgit ini adalah duit kita semua yang diperjudikan di Bursa Malaysia oleh Najib.

Lihat pula ekonomi kita. Harga bahan bakar petroleum telah jatuh. Ketika artikel ini ditulis, harga setong minyak mentah 62 dolar. Untuk mengeluarkan minyak dari perut laut, Petronas memerlukan 60 dolar. Ertinya, dalam satu tong kita hanya untung 2 dolar. Jika harga minyak jatuh lagi maka tidak berbaloi Petronas mengeluarkan minyak.

Lihat pula harga kelapa sawit. Harganya juga jatuh. Pada ketika ini harga setan minyak sawit kurang lebih 1,500 ringgit. Perbelanjaan mendapat setan minyak sawit dianggarkan antara 1,200 ke 1,700 ringgit. Dalam masa yang tidak lama kos pengeluaran – baja, buruh, pengangkutan – lebih tinggi daripada pendapatan.

Justeru, kerana menyedari semua ini Pakatan Rakyat meminta agar Belanjawan 2009 disemak kembali. Belanjawan yang dibentangkan di Parlimen sekarang berdasarkan harga minyak yang melebihi 100 dolar setong dan harga sawit hampir 3,000 ringgit setan.

Pendapatan negara yang dijadikan asas Belanjawan 2009 bergantung kepada hasil petroleum dan minyak sawit. Jika harga dua bahan eksport utama negara kita jatuh, ertinya pendapatan negara jatuh. Justeru Belanjawan 2009 wajib dikaji semula.

Najib yang menjalankan DEB (Dasar Ekonomi Bengong) telah menolak permintaan Pakatan Rakyat di Parlimen. Apa yang dilakukan oleh Najib ialah “melarikan duit KWSP.”

Selama lebih 30 tahun sistem ekonomi kapitalis neoliberal diperkenalkan oleh Amerika Syarikat. Kapitalis neoliberal bermakna “apa yang boleh jual akan dijual, apa yang boleh beli dibeli”.

Sistem ini mengetepikan peranan daulah. Kerajaan tidak dibenarkan memiliki hospital, sekolah dan universiti, janakuasa elektrik, sistem pengangkutan, air atau menyediakan subsidi untuk orang ramai.

Menurut falsafah neoliberal, jika kerajaan campur tangan, maka sistem ekonomi akan cacat.

Justeru gerombolan United Malays National Organistion telah turut mengamalkan sistem kapitalis neoliberal. Hasilnya – lembaga elektrik dijual pada kroni, lembaga agihan air dijual pada kroni, jalan raya dijual pada kroni, hospital dijual pada kroni.

Siapa kroni ini ? Mereka anak-beranak dan kaum keluarga gerombolan United Malays National Organisation.

Untuk menipu rakyat, maka gerombolan United Malays National Organisation mengatakan bahawa ini adalah Dasar Ekonomi Baru untuk menolong orang Melayu. Apabila ada kritikan muncul, maka gerombolan ini akan berselindung bawah Perlembagaan Persekutuan dan hak keistimewaan Melayu.

Jika kritikan datang daripada bukan Melayu, maka mereka akan mengatakan bahawa bukan Melayu tidak ada hak untuk membincangkan hak keistimewaan Melayu. Gerombolan ini akan mengancam mereka dengan tindakan undang-undang.

Tingkah laku dan perangai gerombolan United Malays National Organisation ini samalah seperti satu gerombolan perompak – selepas melakukan rompakan, mereka berselindung di masjid, kuil atau gereja.

Beginilah taktik yang telah dilakukan oleh gerombolan United Malays National Organisation berulang-ulang kali.

DEB Najib ini akan membawa mudarat yang maha besar kepada kita semua – Melayu dan bukan Melayu. Ekonomi kapitalis tidak pernah kenal kamu beragama apa, kamu berbangsa apa atau kamu bersembahyang di mana.

Apabila ekonomi kuncup, yang terpukul tenat ialah kelas bawahan – kaum pekerja, kaum buruh, kaum tani dan nelayan dipukul hebat. Ramai warga hilang pekerjaan dan mata pencarian.

Kita wajib menerima hakikat bahawa Malaysia turut sama mengamalkan sistem ekonomi kapitalis neoliberal. Sistem ini berpusat di Amerika Syarikat. Apabila ekonomi Amerika Syarikat menguncup, maka semua ekonomi kapitalis neoliberal dalam dunia ini juga akan turut menguncup.

Justeru Pakatan Rakyat tidak ada pilihan melainkan wajib mengambil alih kerajaan secepat mungkin untuk menyelamatkan negara daripada bencana kemelesatan ekonomi.

DEB Najib wajib digantikan secepat mungkin. Malah Najib sendiri wajib dihumbankan dalam tong sampah sejarah.

Langkah awal ialah konsep kembali ke bumi. Pertanian wajib dijadikan tulang belakang ekonomi Malaysia. Pertanian ini bukan hanya menanam sawit atau getah sahaja tetapi rakyat wajib dibantu untuk menghasilkan tanaman makanan.

Jika ekonomi meleset, orang ramai masih ada makanan. Makanan untuk diekspot bukan tujuan utama kerana pasaran makanan dunia juga sedang menguncup. Jika kita dapat mengekspot makanan, maka anggaplah ini sebagai bonus.

Kembali ke bumi bertujuan membeli masa agar kita dapat menyusun kembali struktur ekonomi kita yang selama 30 tahun ini telah diporak-perandakan oleh dasar kapitalis neoliberal.

Tidak dapat tidak penstrukturan baru ekonomi yang akan dibawa oleh Pakatan Rakyat tidak akan berpandukan keuntungan maksimum atau dasa “apa boleh jual, jual; apa boleh beli, beli”.

Struktur ekonomi baru wajib memperlihatkan peranan daulah yang lebih kuat. Wajib diwujudkan garis pemisah untuk mengasingkan pengaruh kaum pemodal dari politik negara.

Kuasa kaum pemodal menentukan dasar ekonomi negara berlandaskan neoliberal. Dasar ini sedang terbogel dan terbukti gagal. Dasar kapitalis neoliberal ini wajib ditinggalkan. Rakyat dunia memerlukan satu struktur baru yang berasaskan kekutaan kaum pekerja, buruh dan tani.

MalaysiaKini

Tiada ulasan: