Hishamuddin Rais | Aug 8, 08 10:19pm
(Mengikut al-kesahnya, Anak Tok Penghulu Lama dan Dua Budak Suruhan lari dari kampung hingga ke Pekan. Demikianlah al-kesah cerita turun-temurun yang disampaikan oleh nenek kepada cucu dan cucu kepada cicitnya)
Rupa-rupanya mengikut yang empunya cerita, al-kesah Kerbau Jantan ini belumlah tamat adanya...
Anak Tok Penghulu Lama bersama Dua Budak Suruhan termengah-mengah cuba melarikan diri dari orang kampung yang memburu mereka. Lintang-pukanglah mereka lari - banir terlanggar, belukar diredah - dengan harapan mereka akan terselamat.
Lari punya lari akhirnya mereka pun sampailah di hadapan sebuah rumah besar terletak jauh dari Pekan.
Rumah besar ini kelihatan tidak berpenunggu. Jantan Bertiga ini memberanikan diri lalu masuk terus ke bilik tidur. Tetapi mereka masih berasa tidak selamat lalu meloncat ke atas katil dan menyorok di dalam kelambu. Tujuh hari tujuh malam mereka duduk di dalam kelambu. Tidak ada seorang pun yang berani keluar.
Di hari ketujuh, tiba-tiba mereka terdengar bunyi tapak kaki masuk ke rumah. Mereka berpandangan sesama sendiri. Dari dalam kelambu, mereka ternampak wajah seorang Betina mengheret badannya menuju ke arah katil. Jantan Bertiga dalam kelambu mula menggigil ketakutan.
Dari celah kain kelambu mereka ternampak seorang Betina yang kilo di badannya tidak ada dacing di alam semesta ini yang berani mengukurnya. Rambutnya tidaklah panjang dan tidaklah pula pendek. Matanya tidaklah sepet dan tidaklah bundar.
Di lehernya bergemelapan rantai mutiara yang hampir menjerut hingga ke dagu. Telinganya panjang kerana gayutan subang permata intan berlian. Gelang di tangan kiri dan kanan dipasang hingga ke siku. Jari sepuluh penuh dengan cincin permata.
Hendak dikatakan Betina ini seorang Nenek Kebayan paras rupa bukan nenek kebayan. Nak dikatakan Anak Dara sudah macam Mak Janda. Nak dikatakan Hantu, ada bentuk macam Manusia. Nak dikatakan Manusia, ada pula rupa macam Hantu - inilah perihal yang menakutkan Jantan Bertiga di dalam kelambu.
Dengan serta-merta Betina ini menyelak kelambu, maka kelihatan Tiga Jantan ini sedang berpelukan sesama sendiri kerana teramatlah takutnya mereka.
Betina ini kemudian bersuara keras: "Aku Bik Mama... kamu bertiga akan menjadi hamba aku."
Apabila Bik Mama diberitahu tentang al-kesah Anak Muda bakal Tok Penghulu Baru yang menghalau mereka, maka Bik Mama naik berang.
Bik Mama ini bukan calang-calang orangnya. Betina ini cukup hebat. Pernah satu ketika dahulu Bik Mama menjadi gundek seorang Panglima Kerajaan Melayu Melaka, tetapi Panglima ini ditangkap kerana si Panglima amat kepingin dengan Kanak-kanak.
Kemudian Bik Mama dikisahkan telah menjadi gundek seorang Menteri Melayu dari Negara Islam Darul Papa. Tetapi Menteri ini hilang menterinya apabila orang kampung marah kerana dia menyimpan terlalu banyak gundek.
Apabila Bik Mama mengetahui ada di antara Tiga Jantan ini seorang anak bekas Tok Penghulu, maka Big Mama pun naik minyak - badannya semakin mengembang.
Mengikut yang empunya cerita, Anak Tok Penghulu Lama telah terperangkap di atas katil Bik Mama. Anak Tok Penghulu Lama tidak ada pilihan lalu bernikahlah dia dengan Bik Mama.
Selesai sahaja perkahwinan, Bik Mama pun mula merancang untuk menobatkan Anak Tok Penghulu Lama menjadi Tok Penghulu Baru.
Bik Mama marah dan ketawa kerana rancangan kerbau dahulu gagal. Bik Mama anggap Dua Budak Suruhan ini bodoh macam telor.
Tidak ada otak, macam batang keladi.
Mereka membuat rancangan baru. Dua Budak Suruhan diminta mencari saekor Itek Angsa. Maka ke hulu ke hilirlah Dua Budak Suruhan itu. Mereka mencari di sekeliling Pekan. Dari reban ke reban mereka menggeledah. Ditakdirkan maka Dua Budak Suruhan ini bertemulah dengan saekor Itek Angsa berbulu hijau lebat.
Apabila Itek Angsa ini dibawa ke hadapan Bik Mama, maka sukalah hati Bik Mama. Tetapi mereka memiliki satu masaelah besar - bagaimana hendak membawa Itek Angsa ini masuk ke kampung kerana Orang Kampung semua sudah kenal muka mereka.
Dengan bangganya Budak Suruhan yang paling bebal mencadangkan agar mereka memakai topeng. Bik Mama mengherdik mereka kerana cadangan ini cukup bodoh.
Kalau mereka memakai Topeng masuk kampung, pastilah Orang Kampung sedar dan tahu. Orang Kampung memang tahu yang bertopeng itu pastilah Orang Jahat. Hanya Orang Jahat sahaja yang memakai Topeng.
Akhirnya Bik Mama mendapat satu jalan. Hendaklah dicari seorang yang cergas dan berlari pantas. Jika boleh orang yang dicari ini pemecut yang bertauliah.
Dua Budak Suruhan itupun mencari di sekeliling Pekan tetapi tidak juga bertemu. Bila pencarian mereka gagal, Dua Budak Suruhan ini dengan takut pulang untuk menghadap Bik Mama.
Dalam ketakutan, Dua Budak Suruhan ini duduklah di atas tangga menunggu Bik Mama. Tiba-tiba muncul saekor Makhluk dari dalam rumah. Makhluk ini agak pelik - hendak dikatakan betina dia gagah macam lelaki. Hendak dikatakan Melayu kulitnya pula hitam lagi legam. Hendak dikatakan sida dia bersusu. Entah jantan entah betina Makhluk ini.
Dalam kehairanan ini, Bik Mama muncul di tepi pintu. Bik Mama menerangkan, Makhluk ini ialah bekas pemecut terhandal. Makhluk ini pelari terpantas di sekeliling Pekan. Lalu Bik Mama menerangkan bagaimana rancangan ini wajib diuruskan.
Mula-mula Makhluk ini akan berlari deras sambil membawa Itek Angsa masuk ke dalam kampung. Itek ini hendaklah ditinggalkan dalam bilik tidur Anak Muda. Kemudian Makhluk ini akan lari pulang ke Pekan. Dengan bangga Bik Mama menepuk dada kerana rancangan ini lebih masuk akal daripada rancangan bodoh mereka dahulu.
Ketika semua ini sedang dirancang, Anak Tok Penghulu Lama hanya sanggup mengangguk-angguk kepala. Mengikut tuan yang empunya cerita, semenjak bernikah dengan Bik Mama ini Anak Tok Penghulu Lama ini telah menikus takut terutama apabila Bik Mama bersuara.
Akhirnya, suatu petang yang cerah telah dipilih sebagai hari yang terbaik untuk rancangan mereka. Satelah semuanya dirancang dengan rapi, maka si Makhluk pun mengepit Itek Angsa dan berlari dari Pekan masuk ke kampung. Rumah yang dituju tidak lain dan tidak bukan rumahlah si Anak Muda yang pada ketika itu sedang bekerja di bendang.
Sesampai di rumah Anak Muda, dengan pantas si Makhluk masuk ke rumah. Itek Angsa ini ditinggalkan di atas katil Anak Muda. Selesai sahaja kerja ini, si Mahkluk pun berlari menuju ke Pekan kerana Bik Mama, Anak Tok Penghulu Lama dan Dua Budak Suruhan sedang sedia menunggu untuk meneruskan rancangan seterusnya.
Mereka telah merancang untuk mencanangkan bahawa di Pekan ada orang telah kehilangan Itek Angsa.
Itek Angsa yang terletak di atas katil Anak Muda itu menjadi hairan kerana dia ditinggalkan sunyi kesaorangan. Maka Itek Angsa ini pun mula bersuara dengan harapan akan ada lagi kawan-kawan itek atau ayam berhampiran.
Itek Angkas ini pun bersuara - pet, pet, pet, pet. Itek Angsa terus bersuara dan tergedik-gedik turun dari katil lalukeluarlah ia ke kawasan halaman rumah.
Mengikut tuan yang empunya cerita, pada ketika itu ada satu kumpulan Kanak-Kanak sedang bermain konda-kondi. Apabila Itek Angsa ini bersuara pet, pet, pet, maka Kanak-Kanak ini pun tertawa besar apabila mendengar bunyi suara Itek Angsa ini.
Kanak-Kanak ini mengejar Itek Angsa ini sambil turut sama bernyanyi pet, pet, pet. Mengikut kata sahibul hikayat, rancangan Bik Mama gagal lagi. Itek Angsa yang mereka rancang akhirnya menjadi teman mainan Kanak-Kanak di kampung.
Untuk menyedapkan al-kesah, Itek Angsa ini telah diberi nama Uncle Pet oleh Kanak-Kanak di kampung. Hingga ke hari ini Uncle Pet ini telah menjadi daya tarikan bahan lawak ketawa bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi seantero alam.
Malah telah diberitakan, Uncle Pet ini telah dipancar suaranya di suatu halaman untuk tontonan seluruh alam. Pet, pet, pet... Demikianlah adanya al-kesah yang diturunkan dari mulut ke mulut, dari anak hingga ke cucu, dari cucu hingga ke cicit.
MalaysiaKini
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan