Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
2010/02/04
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Gara-gara putus cinta, seorang lelaki berusia lewat 20-an bertindak nekad cuba membunuh diri dengan meminum sebotol ubat kurap di rumahnya, di Kampung Cheras Baru, di sini, Isnin lalu.
Difahamkan, lelaki terbabit hilang pertimbangan sebaik kekasihnya itu enggan meneruskan percintaan yang terjalin sejak dua tahun lalu. Lelaki terbabit juga dikatakan sudah berbincang dengan keluarganya untuk meminang gadis berkenaan. Kejadian bermula jam 4 petang, apabila wanita berusia awal 20-an itu dikatakan menghubungi suspek sebelum meminta hubungan mereka diputuskan tanpa sebab sebelum dia mematikan telefon. Ketika kejadian, suspek yang berada di rumahnya segera menghubungi kekasihnya untuk mendapatkan penjelasan tetapi gagal. Suspek kemudian bergegas ke rumah kekasihnya itu, namun gadis terbabit masih enggan berjumpanya. Sumber berkata, suspek menjerit-jerit di hadapan rumah gadis berkenaan sebelum mengugut membunuh diri sekiranya kekasihnya itu masih berkeras untuk tidak bertemu dengannya. “Selepas lebih sejam menunggu, suspek mengalah dan kembali ke rumahnya dengan perasaan marah selain kecewa,” katanya. Difahamkan, sebaik tiba di rumah, suspek berulang kali berusaha menghubungi kekasihnya itu namun gagal. Dia hilang kawalan bertindak minum sebotol ubat kurap di biliknya.
Difahamkan, sebaik minum ubat kurap suspek menggelupur menahan kesakitan sebelum muntah dan tidak sedarkan diri. Sumber berkata, suspek bernasib baik kerana tindakannya itu disedari keluarganya yang menghubungi pihak hospital. Selepas beberapa minit kemudian, ambulans tiba dan suspek dibawa ke Hospital Ampang, di sini, untuk diberikan rawatan kecemasan. Sumber berkata, mangsa bernasib baik kerana berjaya diselamatkan dan difahamkan keadaannya sudah stabil.
Sehubungan itu, pegawai perubatan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, untuk tindakan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan